Showing posts with label kerajaan. Show all posts
Showing posts with label kerajaan. Show all posts

Thursday, October 8, 2020

KERAJAAN SENDIRI - AYAH PIN


Saturday, September 22, 2012

INIKAH NAMANYA KEBEBASAN BERSUARA???


Kebebasan bersuara salah satu elemen dalam Sistem Pemerintahan Demokrasi. Perkataan Demokrasi berasal dari pekataan Yunani yang bermaksud "Rakyat" dan "Memerintah" ataupun dalam erti kata sebenar ialah "Rakyat yang Memerintah".
 
Kebanyakkan negara-negara Barat mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi dan tidak lupa juga negara kita yang tercinta inipun mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi. Kalau dahulunya Tanah Melayu ini diperintah oleh Sultan-Sultan Melayu, namun setelah kedatangan British, mereka menukar sistem pemerintahan kita dengan Sistem Pemerintahan Demokrasi, di mana sistem beraja tetap dikekalkan namun dikenali sebagai sistem Raja Berpelembagaan.

 
 
Apa yang saya nak sentuhkan di sini ialah tentang Kebebasan Bersuara. Kebebasan Bersuara seperti yang saya sebutkan di awal tadi ialah salah satu dari elemen di dalam Sistem Pemerintahan Demokrasi. Di Malaysia ini, dilihat Kebebasan Bersuara tetap diberikan namun ianya tetap dikawal oleh pihak kerajaan. Bagi saya Kebebasan Bersuara ini sememangnya perlu dikawal agar ia tidak menyentuh hal-hal yang sensitif seperti agama, kaum dan lain-lain perkara yang menyentuh sesitiviti.
 
Inilah berlaku di Amerika Syarikat apabila cerita Innocence of Muslim telah berjaya diterbitkan. Ini merupakan kejayaan besar dalam sistem Kebebasan Bersuara yang telah dicanangkan oleh Barat. Inilah yang mereka mahukan, mereka bebas untuk menerbitkan apa-apa filem yang menghina agama Islam demi kepentingan tertentu di atas tiket Kebebasan Bersuara
 
Tak habis begitu sahaja, Kebebasan Bersuara ini terus berkumandang di negara Peranchis. Mereka bukan tampil untuk memprotes filem tersebut. namun mereka membarakkan lagi kebencian dengan menyiarkan pula karikatur yang dinamakan sebagai Nabi Muhammad. Inilah dikatakan kebebasan bagi mereka, Kebebasan Bersuara termasuklah Kebebasan Akhbar dan Penerbitan.
 
Pada pendapat peribadi saya, Kebebasan Bersuara memang perlu namun ianya harus dikawal juga. Sekiranya tidak dikawal maka terjadilah perkara-perkara sebegini. Tidak mustahil perkara seperti ini juga akan berlaku di bumi Malaysia sekiranya tiadanya kawalan dilakukan oleh pihak berkuasa.
 

Wednesday, October 19, 2011

UNDANG-UNDANG = KASIH SAYANG





Semasa memandu pulang ke rumah dari tempat kerja petang tadi, fikiran aku melayang-layang memikirkan sesuatu dengan penuh minat. Berfikir, mengapa perlu ada undang-undang? Untuk apa perlu undang-undang? Secara ringkasnya orang biasa seperti kita ini pastinya akan menyatakan bahawa undang-undang dibuat untuk mendisiplinkan masyarakat.

Namun setelah aku memecahkan pemikiran supaya dapat berfikir seperti profesor serba tahu, dapatlah aku kaitkan bahawa undang-undang adalah sebahagian daripada kasih sayang. Iya... Kasih sayang. Kasih sayang daripada pengubal undang-undang atau pemerintah kepada rakyatnya. Tetapi bagaimana ia boleh dikatakan kasih sayang?

Aku ni nak dikatakan sangat patuh pada undang-undang tidaklah sangat, tetapi semasa menaiki kereta, pastinya tali pinggang keledar akan aku pakai dahulu. Bukan takut kepada polis, tetapi aku tahu ianya mampu membantu mengelakkan kecederaan lebih teruk sekiranya berlakunya kemalangan. Jadinya, undang-undang yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar adalah menunjukan betapa kasih dan sayangnya pengubal undang-undang terhadap nyawa setiap pengguna kenderaan.

Bukan setakat kasih sayang antara manusia, undang-undang juga menunjukan kasih sayang terhadap haiwan. Dengan adanya undang-undang seperti Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, haiwan-haiwan dapat dipelihara dan bebas hidup tanpa sebarang ancaman daripada mana-mana pihak. Ini menunjukan satu kasih sayang di mana pengubal undang-undang telah menyayangi haiwan supaya tidak pupus, diburu secara haram, diawet secara haram atau sebagainya.

Selain itu, kasih sayang terhadap bangunan dan monumen juga boleh ditafsirkan melalui dengan wujudnya undang-undang seperti Akta Warisan Kebangsaan mahupun enakmen-enakmen warisan di negeri-negeri di Malaysia. Tanpa undang-undang seperti ini, bangunan-bangunan dan monumen warisan dan bersejarah boleh dimusnahkan begitu saja. Tetapi demi kasih dan sayangnya kepada warisan dan sejarah, undang-undang ini digubal bagi membolehkan warisan terus terpelihara.

Namun begitu, pengubal undang-undang juga adalah manusia. Kadangkala mereka yang membuat undang-undang dan mereka jugalah yang mencabul undang-undang. Justeru itu, untuk meneruskan kesinambungan kasih sayang ini kita haruslah mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Dalam meneruskan ketaatan kepada peraturan dan undang-oundang juga, kita tidak terlepas dari qada dan qadar. Contohnya, sehabis baik manapun kita pakai tali pinggang keledar, sebaik manapun kita menggunakan helmet, kalau sudah ketemu ajal tetap mati juga.

Monday, September 12, 2011

BIL ASTRO NAIK KE, PREPAID NAIK KE, SAMA JE...

Baru-baru ini dan masih panas lagi berlaku satu isu kenaikkan harga prepaid. Tak kiralah baik Maxis, Celcom ke mahupun Digi dan lain-lain operator telefon bimbit. Persoalannya ia begitu mudah dinaikkan tanpa ada apa-apa tindakan dari pihak kerajaan.

Begitu juga semasa Astro menaikkan harga, kerajaan cakap itu ini. Nak bentangkan di Parlimenlah, tak bagi naiklah, tapi macam itu juga. Bil tetap naik. Pengguna terus rasa tertekan. So sekarang ni sebenarnya SIAPA YANG LEBIH BERKUASA? Pihak kerajaan ataupun swasta? Kalau kerajaan tak boleh buat tindakan, sedihlah macam ni. Kita nak harapkan dia, dia tak boleh buat apa-apa.

Commonlah... Astro dan operator telefon bimbit ni dah banyak untungnya. Dah berlipat ganda untung. Tolonglah serapkan sedikit kos yang tak berapa tu sebagai tanggungjawab sosial pada rakyat. Ni tak, selagi boleh akan menekan rakyat dengan kenaikkan itu ini. Yang kaya teruslah kaya.

Kita yang pengguna ni pun boleh ambil tindakan. Kita pengguna, kuasa juga ada pada kita. Apa kata cuba tidak guna astro, kembali kepada normal macam dulu-dulu, guna arial biasa je. Dulu boleh takkan sekarang tak boleh. Kalau dulu tiada telefon bimbit, hanya guna telefon rumah saja, apa kata guna semula telefon rumah. Orang pun tak kacau siang malam pagi petang di telefon bimbit kita.

Namun begitu, terpulang juga pada masing-masing sama ada boleh berbuat demikian ataupun tidak. Kalau yang tak boleh hidup tanpa telefon bimbit dan astro teruskanlah dengan hidup begitu.

(Ps : Astro aku dah tukar pada basic je... Kalau semua tukar pada basic je, boleh rugi Astro. Silap-silap gulung tikar. Sekarang dah kurang top up pasal rumah aku pun dah masuk telefon rumah. Telefon rumah ke rumah tak kira jauh manapun RM 10.00 sebulan :)




Thursday, April 28, 2011

KAKITANGAN KERAJAAN BAKAL NAIK GAJI?





Erm.. Nampaknya ada khabar angin yang menyatakan bahawa kakitangan kerajaan akan naik gaji. Betul ke? Kalau tak naik camne? Kalau naik, gerenti aku pun suka.

Ada desas desus mengatakan :

- Gaji kakitangan sokongan akan naik dari 15 %- 20 %, atau
- Kerajaan akan menaikan gred kakitangan kerajaan, atau
- Kerajaan akan mansuhkan elaun COLA dan membuat penyelarasan gaji yang baru.

Dengar cerita ELAUN COLA pun naik naik, betul ke?


Tapi tak taulah betul ke tak ni. Wallahuaklam. Kalau nak diikutkan, rasanya sudah 10 tahun gaji kakitangan kerajaan belum disemak semula, mungkin tahun ini Perdana Menteri nak kaji semula siapa tau.. Harap-harap tuntutan oleh CUEPAC berkenaan penyelarasan semula gaji kakitangan kerajaan dapat dipertimbangkan oleh Perdana Menteri sebagai hadiah Hari Buruh pada 1 Mei 2011 ini.

Bagi kakitangan kerajaan pulak, kalau benarlah apa yang telah didesas desuskan, eloklah kita sama-sama bekerja dan berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan setiap perkhidmatan yang kita berikan dapat memuaskan hati pelanggan.



Wednesday, February 16, 2011

TIPS TEMUDUGA DI JABATAN KERAJAAN

Siapa yang tak mahu dengan agensi kerajaan? Rasanya ramai yang mahu bekerja di agensi kerajaan bukannya swasta, walau sebenarnya syarikat swasta lebih memberikan imbuhan gaji dan bonus yang lebih besar. Mungkin mereka beranggapan bekerja dengan agensi kerajaan lebih terjamin, ada pencen dan lain-lain keistimewaan.

Tak kisahlah apapun tanggapan orang tentang pekerjaan di agensi kerajaan mahupun swasta, di sini ada beberapa tips yang mungkin boleh dipelajari apabila mahu pergi temuduga di agensi kerajaan.

Gambar : Makcik Google

1. Membuat ulangkaji

Para bakal ditemuduga perlu membuat pembacaan / ulangkaji berkenaan fungsi jabatan, peranan jawatan, nama menteri dan timbalan menteri yang terlibat dalam jabatan, pekeliling-pekeliling kerajaan dan lain-lain pembacaan yang difikirkan perlu.

2. Pakaian

Bagi lelaki yang hadiri temuduga bagi jawatan yang tinggi adalah elok berpakaian kameja lengan panjang berwarna lembut (biru cair, putih), bertali leher yang bersesuaian dan menggunakan kot. Bagi jawatan yang rendah pula, memadai dengan memakai kameja lengan panjang dan bertali leher.

Bagi perempuan pula, jangan memakai pakaian yang menjolok mata. Pakaian yang dipakai hendaklah sesuai dan memilih corak yang sederhana dan warna yang tidak "garang".

Kasut pula sebolehnya berwarna hitam dan harus dikilatkan. Stokin perlu berwarna gelap dan tidak berbelang-belang.

3. Percakapan / Pertuturan

Semasa ditemuduga, setiap perkataan yang dituturkan mestilah terang dan jelas bagi memudahkan penemuduga memahami apa yang dituturkan. Selain itu, perlu bertutur dengan penuh keyakinan dan sopan.

Sekiranya tidak boleh menjawab sesuatu soalan yang ditanya, seeloknya jangan jawab tidak tahu, sebolehnya menjawab sesuatu yang mungkin berkaitan dengan soalan tersebut dengan lancar.

4. Posisi Duduk

Posisi duduk juga memainkan peranan penting. Jangan mengalihkan kerusi yang telah disediakan, anda hanya perlu duduk dengan selesa dan tegak. Jangan duduk secara membongkok, mengiring atau lain-lain yang difikirkan tidak perlu. Posisi kaki pula jangan disilang dan dilunjurkan.

5. Fizikal

Rambut hendaklah tidak panjang dan perlu disisir rapi. Jangan biarkan rambut kering tidak berminyak, tetapi janganlah sampai terlebih minyak rambut. Bagi perempuan, rambut hendaklah disisir rapi dan jangan sampai menutup muka. Seeloknya rambut yang panjang diikat kemas.




Boleh menggunakan minyak wangi tetapi jangan menggunakan minyak wangi yang baunya terlalu kuat. "Make up" juga tidak boleh terlalu tebal.

Inilah saja yang dapat digariskan. Moga sedikit sebanyak ianya dapat panduan bagi mereka yang bakal ditemuduga. Selamat ditemuduga dan selamat maju jaya. :)

Wednesday, December 15, 2010

AYUH PERANGI RASUAH

Rasuah musuh negara? Ya, memang benar rasuah itu musuh negara, tetapi mengapa ramai yang suka mendekati musuh dari mengelak musuh? Memang benar bagai dikata, orang zaman sekarang lebih suka membuat kesalahan dari berlaku benar.

Lihat sajalah berita yang terpapar baru-baru ini, seorang hakim telah didakwa kerana rasuah. Ini sepatutnya tidak berlaku. Kita mengharapkan keadilan daripadanya, tetapi akhirnya dia yang tidak berlaku benar. Seperti kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi.





Bangkitlah wahai warga negara, ayuh perangi rasuah. Rasuah meruntuhkan negara. Rasuah berupaya melumpuhkan sistem dalam sesuatu organisasi tak kira kerajaan mahupun swasta.

Marilah sama-sama kita membasmi rasuah. Sekiranya ada unsur rasuah yang berlaku dalam organisasi kita, laporkan saja kepada pihak SPRM agar virus ini tidak terus menular dan dibiarkan begitu sahaja.

Ps: Ingatan ini juga untuk diri ini sendiri.

Tuesday, November 30, 2010

SUDAH BEKERJA BUAT KERJA

Pada zaman sekarang mencari kerja bukanlah suatu yang senang. Agak ramai graduan lepasan universiti yang menganggur di luar sana yang dahagakan mendapat pekerjaan. Bagi yang sudah mendapat pekerjaan, buatlah setiap tugasan yang diarahkan dengan sempurna.

Kita sebagai pekerja, perkara utama yang perlu dilakukan ialah bekerja. Kita bukan dibayar gaji untuk duduk lepak sahaja dalam ofis dan cukup bulan cucuk gaji. Harap sikap sedemikian dapat diubah. Bukan apa, demi kebaikan bersama, bukan kebaikan bos kita sahaja.




Sekiranya kita tak berminat nak bekerja atau ingkar dengan arahan pihak yang lebih atas, adalah lebih baik kita letakan jawatan dan beri pada mereka yang betul-betul mahukan pekerjaan dan betul-betul mahu bekerja.

Monday, September 20, 2010

ASK FORMULA

Untuk mendapatkan prestasi cemerlang, para kakitangan perlulah mempunyai formula ASK iaitu: -


(SKILL + KNOWLEDGE) X ATTITUDE = GOOD PRESTATION


Skill (kebolehan) dan Knowledge (pengetahuan) adalah penting dan perlu ada pada setiap kakitangan, manakala Attitude (keperibadiaan) adalah sangat penting yang amat diperlukan pada setiap kakitangan.


Di sini, apabila dilihat dari formula di atas, Attitude merupakan perkara pokok yang amat penting. Sekiranya Skill adalah 10, Knowledge adalah 10 dan Attitude adalah 10, maka jawapannya ialah 200. Dengan mempunyai markah seperti ini seorang kakitangan dilihat mempunyai prestasi yang cemerlang.


Manakala, sekiranya Skill adalah 10, Knowledge adalah 10 dan Attitude ialah 0, maka jawapannya ialah 0. Ini menunjukan sepandai dan sebijakmanakah kita, berkebolehan tinggikah kita tetapi tidak mempunyai Attitude yang baik maka kita bukanlah tergolong dalam kakitangan yang cemerlang.


Sekiranya kita mempunyai Skill dan Knowledge yang rendah sekalipun tetapi mempunyai Attitude yang tinggi, ia tetap akan memberikan petunjuk bahawa kita mempunyai markah yang tinggi dan boleh menuju ke arah kecemerlangan.


Oleh yang demikian, kita perlulah mempunyai Attitude yang baik walaupun sedikit daripada tiada langsung (0), kerana Attitude itu akan mempengaruhi keseluruhan tahap kecemerlangan yang kita ada.


(Formula ini aku perolehi dalam satu ceramah motivasi. Ayat-ayat ini aku olah semula agar mudah difahami. Kalau tak faham juga, tak tahulah nak cakap apa)