Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Friday, February 16, 2024

Akibat Tidak Menghafal Doa Qunut

Gambar sekadar hiasan 


"Qunut pendek ke qunut panjang?".

"Qunut pendek macam mana? Qunut panjang macam mana?"

"Qunut pendek bacaannya, qunut!, qunut panjang pula, bacaannya qunuuuuuuttttt...."

Inilah antara ungkapan tentang doa qunut yang menjadi bahan gurauan sejak dahulu hingga kini. Berulang-ulang tidak ditelan zaman. Baik yang muda, mahupun berusia masih menjadikan ia sebagai senda gurauan. 

Perihal doa qunut amat terkesan pada diri aku. Ia tersimpan rapi dalam lipatan sejarah hidupku. Walaupun perit dan memalukan namun aku bersyukur dan amat berterima kasih.

Aku amat berterima kasih kepada seorang ustazah yang membuka jalan untuk aku menghafal doa qunut. Andai tidak silap, nama ustazah tersebut adalah Zakiah. Ya betul, ustazah Zakiah namanya. 

Beliaulah mengajar aku mata pelajaran Pendidikan Islam. Namun aku terlupa, pada darjah berapa beliau mengajarku. Yang pastinya, ia berlaku ketika aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka. 

Masih aku teringat, ustazah Zakiah mengajar kami sekelas untuk menghafal doa qunut. Ustazah memberikan masa beberapa hari untuk setiap murid menghafal doa tersebut. 

Ustazah Zakiah merupakan seorang cikgu yang garang. Aku antara murid yang takut kepadanya, apatah lagi, subjek Pendidikan Islam antara kelemahan aku. Bukan aku seorang sahaja yang takut kepadanya, murid-murid  lain pun mempunyai perasaan yang serupa. 

Setelah tiba pada hari ustazah Zakiah menguji hafalan doa qunut oleh semua murid, terasa menggigil satu badan aku kerana masih tidak menghafal doa tersebut. Satu persatu murid diminta melafazkan doa qunut. Ramai yang dapat menghafal, dan yang pastinya aku antara murid yang tidak dapat menghafal doa qunut. 

Maka, terjadinya satu kaedah denda yang dikenakan kepada aku dan murid-murid lain senasib. Apa dendanya? Dendanya ialah kami perlu merangkak mengelilingi sebuah blok sekolah sambil diekori oleh ustazah. Sambil merangkak, perlu membaca doa qunut. 

Walaupun bloknya tidak besar, tetapi melibatkan beberapa buah bilik darjah dan bilik cikgu. Saat itu, betapa malunya diri ini hanya tuhan saja yang tahu. Perasaan marah kepada diri sendiri pun ada kerana gagal untuk menghafal doa qunut. 

Malu. Malu kerana murid-murid lain melihat dari tingkap nako sambil tersenyum dan tersengih dengan ekspresi muka yang sinis. Cikgu-cikgu yang turut melihat, juga menggelengkan kepala. 

Hari bersilih ganti, minggu bertukar minggu, akhirnya aku berjaya menghafal doa qunut. Alhamdulillah... Tidak lagi dikenakan denda yang tidak terjangkau dek akal iaitu merangkak sambil membaca doa qunut. Serik. Cukuplah sekali didenda merangkak. 

Walaupun ia merupakan satu denda yang amat memalukan, namun aku amat berterima kasih kepada Ustazah Zakiah. Dengan didikan Ustazah Zakiah lah aku mampu menghafal doa qunut. Barangkali, jika tidak didenda sebegitu rupa, kemungkinan lagi lambat aku untuk menghafal doa qunut. 

Terima kasih ustazah. Jasa baktimu akanku kenang selama-selamanya. Semoga ilmu yang bermanfaat yang telah dicurahkan menjadi bekalan yang baik di akhirat nanti. 

Murid RMT Nikmati Makanan di Tepi Longkang

Gambar sekadar hiasan 


Mengimbau kenangan lalu di zaman persekolahan, masih terngiang-ngiang detik bersama rakan-rakan ketika makan di kantin sekolah. Apabila bunyi loceng menandakan waktu rehat bermula, hati mula berasa tidak sabar untuk ke kantin bagi menikmati juadah yang disediakan oleh makcik kantin.

Saat cikgu membenarkan murid keluar berehat, kami berlari sepantas pelari pecut menuju ke kantin sekolah. Perlu segera ke kantin untuk mendapatkan makanan kerana risau kehabisan makanan yang disediakan. Takut diambil oleh murid lain. 

Aku merupakan murid RMT iaitu murid yang menerima Rancangan Makanan Tambahan. Ia adalah makanan percuma bagi keluarga yang berpendapatan rendah seperti aku. 

Pernah beberapa kali aku tidak dapat menikmati makanan RMT yang disediakan kerana telah kehabisan. Ia diambil oleh murid lain yang tidak layak mendapat RMT. Sepatutnya mereka tidak boleh mengambil makanan itu. 

Kebiasaannya apabila aku dan murid-murid RMT lain lambat dilepaskan oleh cikgu untuk keluar rehat, tiba saja di kantin akan kelihatan murid-murid yang tidak mendapat RMT telah memegang pinggan seperti menandakan makanan tersebut adalah milik mereka. Kononnya jika makanan tersebut tidak diambil oleh murid RMT, maka mereka akan memakannya. Situasi ini memang kerap berlaku. Ia sangat mengecewakan. 

Ada kalanya, geram juga perasaan melihat perangai murid-murid lain yang mengambil hak murid-murid RMT. Nak ditegur, risau bergaduh. Nak ditegur, tiada keberanian. Nak ditegur, kawan sendiri juga. Redha sajalah. 

Walaupun masih bersekolah rendah, tapi otak aku ligat berfikir, mengapa tidak ada cikgu yang mengawal makanan untuk murid RMT? Banyak kali aku tidak dapat makan makanan RMT kerana kehabisan atau diambil oleh murid yang tidak sepatutnya. Sekiranya ada kawalan, pasti situasi ini tidak akan berlaku. 

Berbekalkan wang saku sebanyak lima puluh sen terpaksa aku melupakan niat untuk mendapatkan makanan percuma sebaliknya perlu membeli di kantin. Nilai lima puluh sen zaman 80-an dulu masih boleh dapat lagi sepinggan mee goreng atau nasi lemak dan secawan air sirap. 

Seusai mendapat makanan, biasanya aku bersama rakan-rakan akan mencari 'port' terbaik untuk menikmati makanan. Bukan di meja makan, tetapi di tepi longkang berdekatan kaki lima kantin sekolah. 

Kami duduk di atas lantai sambil kaki di dalam longkang. Bukan longkang besar pun, cuma longkang kecil yang mengalirkan air hujan. Longkang pun tidak kotor dan tidak berair. Jika longkang tersebut berair akibat hujan barulah kami tidak menikmati makanan di situ.

Itulah nikmat, berselera kami menjamu selera di tepi longkang. Sambil makan bergurau senda. Ya, pada zahirnya sudah pasti tempat itu tempat itu tidak bersih. Tapi apa nak dikatakan, kami kan budak-budak. 

Wednesday, February 15, 2017

BAS MINI : TINGGAL KENANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam nuat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Perkhidmatan Bas Mini diperkenalkan pada 23 September 1975 meliputi 60 laluan termasuk hampir semua kawasan perumahan di Lembah Klang. Kebanyakkan warga kota bergantung kepada Bas Mini untuk bergerak dengan mudah.

Tambang bas pada asalnya hanya 40 sen, kemudian dinaikkan ke 50 sen pada tahun 1991 dan dua tahun kemudian dinaikkan lagi ke 60 sen.









Perkhidmatan Bas Mini tidak mempunyai jadual yang tetap. Pengusaha perkhidmatan pula dibayar mengikut bilangan trip dan jumlah kutipan tambang dalam sehari berasaskan sistem komisen.

Ketika era keemasannya pada awal tahun 1980-an, terdapat 1,200 Bas Mini di Lembah Klang yang melibatkan lebih 300 pengusaha dan 7,000 orang pekerja. 

Pada awalnya, setiap bas Mini mempunyai warna yang berbeza mengikut laluannya. Pada tahun 1990 warna merah jambu dan jalur putih telah dijadikan warna piawai dan ditetapkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Paduka Rahmah Osman. 

Perkhidmatan bas Mini dihentikan di bandar raya Kuala Lumpur pada 1 Julai 1998. Sememangnya bayangan Bas Mini merah jambu yang biasanya dibawa laju di jalan raya dengan keadaan penumpang yang berhimpit-himpitseperti sardin akan tetap segar dalam ingatan.

Monday, December 2, 2013

ROTI & MILO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tetiba malam-malam macam ni lapar pula perut. Pergi ke dapur ada pula roti, tapi nak makan dengan apa ye.. Nak goreng telur rasa malas pula, jadi aku mula mengimbau makanan yang aku gemar pada zaman aku kanak-kanak dulu.


Inilah makanannya... Roti disapukan dengan MILO dan susu pekat manis. Dulu masa kecil memang makanan kegemaran aku ni. Tapi sekarang bukan lagi makanan kegemaran aku. Dah lama juga tak makan semacam ni. 

Eh... Sekali teringat pula kisah lama. Korang pernah tak makan macam ni? Cer cite.. Cer cite..

Thursday, November 7, 2013

SUKA DUKA BERNOSTALGIA BERSAMA AIS KRIM MALAYSIA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Entri yang lepas aku ada memaparkan serba sedikit perihal Ais Krim Malaysia. Kalau ada yang tak tahu apa itu, Ais Krim Malaysia, silalah lihat gambarnya di bawah ni.


Ais Krim Malaysia Boleh!!

Kali ni aku nak kongsikan sedikit pengalaman suka duka aku bersama Ais Krim Malaysia

PENGALAMAN SUKA

Arwah datuk aku dulu suka minum Ais Krim Malaysia ni. Kebetulan rumah mak aku dan rumah atok dulu berhampiran, setiap kali atok nak minum Ais Krim Malaysia, dia akan jerit nama aku, Fffaaaairrrruuuusss... Aku yang waktu itu, masih kecil lagi, tak ingatlah baru darjah berapa, lantas pergi ke rumah atok. Kalau tak diminta dipicit, mesti kena belikan Ais Krim Malaysia di rumah nenek sedara aku, Nek Ngah. 

Atok biasanya nak 2 batang dan pastinya aku juga akan mendapat upah sebatang Ais Krim Malaysia. Sambil nak beri atok aku Ais Krim Malaysia miliknya, aku dah nyonyot Ais Krim Malaysia kepunyaan aku.

PENGALAMAN DUKA

Dulu memang suka sangat minum Ais Krim Malaysia ni. Boleh dikatakan setiap hari mesti nak beli di rumah Nek Ngah. Kalau dah selalu nak beli tu, mak aku pun marahlah. Tiap-tiap hari minta duit nak beli Ais Krim Malaysia, sehingga mak kau cakap "ingat mak ni cop duit ke?". 

Oleh kerana dah susah nak dapat duit untuk beli Ais Krim Malaysia, aku pun dengan sendirinya berhutang dengan Nek Ngah untuk mendapatkan Ais Krim Malaysia. Dah sedap sekali berhutang, melarat-larat pula, terus menerus aku berhutang. Nek Ngah aku pun bagi pula tu. Perkataan yang masih terngiang-ngiang di kepala otak aku semasa nak membeli Ais Krim Malaysia "nek... ais krim satu. Hutang erk.."

Aku pun tak tau dah berapa banyak aku berhutang. Asal nak Ais Krim Malaysia saja, mesti berhutang. Ada satu hari tu, abang aku dan seorang sedara telah menangkap aku macam seorang penjahat. Diorang memegang kedua-dua tangan aku, sebabnya ialah Nek Ngah nak jumpa aku pasal dah lama tak bayar hutang. Masa diorang nak bawa ke rumah Nek Ngah, puas aku meronta-ronta minta dilepaskan. Menangis terlolong-lolong, namun tak dilepaskan. 

Sampai di rumah Nek Ngah, takde ape-apepun yang serius. Nek Ngah beritahu jangan berhutang lagi, itu saja. Sejak dari tu aku tak berhutang lagi bila nak membeli Ais Krim Malaysia.

Huh!! Itulah sedikit sebanyak kenangan suka duka aku bersama Ais Krim Malaysia. Amat nostalgia betullah!

Korang ada cerita pasal Ais Krim Malaysia?

Monday, November 4, 2013

AIS KRIM MALAYSIA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Ais Krim Malaysia... Siapa tak kenal maknanya dia bukanlah kanak-kanak di pada zaman 70 - 80an. Sekarang memang masih ada, tapi tak sepopular dahulu. Dulu harganya sekitar RM 0.05 sen atau RM 0.10 saja. Kini harganya sudah meningkat kepada RM 0.50 sen. Kalau perisa Milo atau Nescafe, boleh cecah hingga RM 0.70 sebatang.

Kalau nak diingatkan semula kisah aku dengan Ais Krim Malaysia ni memang banyak ceritanya. Tapi takpelah, lain kali akan aku ceritakan satu persatu. Memang banyak kenangan dan nostalgia bersama Ais Krim Malaysia ni. Kenangan pahit dan manis pun ada. Semuanya pasal Ais Krim Malaysia.