Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Tuesday, June 23, 2015

HANCUR TANGAN KERANA MERCUN!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tiba saja bulan puasa, ada saja kes melibatkan kemalangan akibat bermain mercun. Kejadian baru berlaku di Tanjong Sepat, Selangor, seorang kanak-kanak berumur 4 tahun telah hancur tangan kirinya akibat bermain mercun.


Ya.. Allah! Sampai begini sekali tangan kau hancur dik.. Bukan tangan saja yang hancur, pasti hati ibu bapa pun hancur luluh melihat keadaan anaknya begini.

Nak beri nasihat, aku juga seorang bapa, jadi sama-samalah kita saling ingat mengingati. Hindarilah anak-anak kita dari bermain mercun di musim-musim perayaan ini. Kalau nak juga berasa beraya, berikan saja mercun pop-pop yang tidak merbahaya.

Sebenarnya kerajaan Malaysia sudah lama mengharamkan penjualan dan bermain mercun, tetapi rakyat kita masih degil. Hendak juga bermain mercun di musim perayaan.

Untuk para penyeludup, apa mereka tidak rasa bersalahkah dengan apa yang terjadi pada adik ini? Begitu juga penguatkuasa-penguatkuasa yang 'menutup mata' melepaskan barangan seperti ini masuk dari sempadan negara, sekiranya anda bertugas dengan berintegriti, pasti perkara seperti ini tidak berlaku dalam negara Malaysia.

Saturday, September 22, 2012

HAMPIR KEMALANGAN AKIBAT PEMANDU BERMESRA BERSAMA PASANGAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pemandu di Malaysia ni memang berbagai-bagai ragam. Ada yang memang ikut peraturan, ada pula yang kadang kala ikut peraturan dan ada yang tidak mahu ikut peraturan langsung. Hendak dikatakan tiada kempen kesedaran keselamatan jalan raya, rasanya sudah berbuih mulut pihak kerajaan mahupun swasta mambantu memberi kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya mengikuti undang-undang jalan raya. Namun, masih ramai yang mengendahkannya.

Nak dijadikan cerita, pagi tadi semasa dalam perjalanan hendak pergi kerja, hampir-hampir jugalah dilanggar oleh sebuah kereta. Saya kalau menunggang motorsikal dah memang berhati-hati kerana serik juga apabila pernah melanggar motorsikal lain yang main keluar sahaja dari persimpangan. Tetapi pagi tadi saya sempatlah mengelak sebuah kereta yang membelok ke simpang dengan tanpa memberikan lampu isyarat masuk.

Sebenarnya saya memang sudah bersedia, kerana tahu di hadapan ada simpang membelok ke kiri. Saya di bahagian kiri belakangnya sudah memerhati saja keretanya yang tidak memberikan isyarat ke kiri dan pemanduannya agak laju juga (seperti tidak mahu membelok ke kiri). Saya pun menyangka dia tidak akan membelok ke kiri.

Pemandunya juga jelas saya kelihatan, lelakinya botak licin linkungan awal 40-an dan seorang wanita di sisinya. Tangan wanita itu pula disandarkan ke bahu pemandu sambil jari jemarinya bermain-main di telinga lelaki tersebut. Pendek kata kemesraan memang terpancar pada kedua-dua pasangan ini.

Semasa pemandu tersebut terus membelok ke kiri, nasib baiklah saya sempat membrek. Dua kali saya tekan brek. Oleh kerana tekanan brek begitu mencengkam, meleret jugalah tayar. Nasib baiklah tidak kena langgar. Alhamdulillah.

Tak habis lagi.... Tak habis lagi... Saya yang sedikit bengang terus mengejar semula kereta tersebut. Saya memotong dan terus ke sisi sebelah pemandu.  Saya duduk pandang sahaja pemandunya. Tapi dia pun tak perasan, asyik bermesra, tergelak-gelak bersama pasangannya. Hampeh betullah, saya rasa memang dia tak perasan langsung yang dia hampir melanggar saya.

Moral dari cerita ini, JADILAH PEMANDU YANG BERHEMAH. Jangan leka dan lalai sehinggakan tidak perasan yang kita melakukan kesalahan serta JANGAN MELANGGAR PERATURAN JALAN RAYA.

Kerana agak bengang, maka terhasillah status di dalam Muka Buku Facebook saya seperti di bawah ini. Amat jarang saya keluarkan status sedemikian rupa. Ada antara komen-komen berunsur 18 SX, harap dapat lepas tapisan minda para pembaca.. :)
 
Klik untuk tumbesaran sempurna

Tuesday, August 14, 2012

SIAPA SAJA PUN BOLEH JADI PEMBUNUH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Manusia biasa (layman) seperti kita ini siapa kata tidak boleh membunuh? Ini bukannya membunuh orang dengan menggunakan senjata sepertimana kita sering dengar di televisyen mahupun membunuh nyamuk. Apa yang hendak disampaikan sebenarnya ialah tentang membunuh pengguna jalan raya iaitu dengan kata mudahnya ialah kemalangan maut.

Apabila tibanya hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri, maka berpusu-pusu pengguna kenderaan menggunakan jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Pengguna jalan raya pula berbagai ragam, rupa dan cara memandu. Ada yang berhemah, ada yang sekejab berhemah sekejab kelam kabut dan ada juga yang langsung tidak mempedulikan undang-undang.

Ketika memandu, kita hendaklah sentiasa berhemah dan berhati-hati. Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya kemalangan, lebih-lebih lagi kemalangan yang menyebabkan kehilangan jiwa. Memang benar malang itu tidak berbau, namun setidak-tidaknya diri masing-masing dipersiapkan dengan niat yang murni semasa memandu.

Gambar hiasan. Sumber http://ajid77.wordpress.com/

Sekiranya kita mengalami kemalangan, ia tidak mengapa lagi sekiranya hanya kemalangan kecil, namun bagaimana sekiranya kita telah mengakibatkan kematian seseorang. Misalannya kita terlanggar orang yang berlalu di tepi jalan atau kita melanggar penunggang motorsikal lalu mereka maut di tempat kejadian. Bukankah itu juga dikatakan pembunuh. Pembunuh pengguna jalan raya.

Kata orang, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menjadi pemandu yang berhemah dan sentiasa berhati-hati semasa memandu kenderaan bagi mengelakkan kita dilabelkan pebagai pembunuh.

Friday, July 6, 2012

MULAKAN PEMANDUAN DENGAN HATI SUCI MURNI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya akui dalam diri saya sendiri bahawa dalam banyak-banyak hal kita boleh bersabar, tetapi tahap kesabaran kita sentiasa akan lenyap apabila kita memandu kenderaan. Iyalah, semasa memandu kita sering disajikan dengan pelbagai gelagat pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan mementingkan diri sendiri.

Akibat daripada kurangnya sabar, maka terjadilah kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan sama ada kemalangan kecil mahupun kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Sebenarnya kita mampu... Ya, kita mampu mengubahnya dengan diri kita sendiri. Sebelum kita memulakan pemanduan adalah elok kita mulakan dengan membaca doa menaiki kenderaan, membaca bismillah dan sebagainya. Kemudian, berniatlah dalam hati bahawa kita akan menjadi pemandu yang berhemah. Sucikan hati kita sesuci-sucinya. Kita niatlah agar pemanduan kita selamat. Elakkan melakukan kesalahan lalulintas.

Semasa memandu jangan ada niat mahu cabar mencabar antara satu sama lain. Tidak kiralah pemandu lain salah ke, janji kita tidak mencabarnya. Sekiranya ada kenderaan yang "mencucuk-cucuk" dari belakang, berilah dia laluan. Sekiranya ada kenderaan dipersimpangan mahu memasuki jalan hadapan kita, berilah laluan. Tidak mengapalah... 

Yang penting adalah kita dan pengguna jalan raya yang lain selamat. 

Lihat juga entri-entri saya perihal keselamatan jalan raya :




Tuesday, October 12, 2010

BERSAMA-SAMA ELAKKAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Dalam sekelip mata kita dikejutkan dengan kemalangan maut yang beragut belasan nyawa yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Simpang Empat, Melaka pada tanggal keramat 10.10.10. Tidak kiralah siapa yang bersalah, sebaliknya kita harus bermunasabah dalam diri kita sendiri untuk bersama-sama berusaha mengelak dari berlakunya kemalangan.

Memang kita sedia maklum bahawa malang itu tidak berbau. Tetapi malang itu boleh dielakkan sekiranya masyarakat bersama-sama sentiasa berhati-hati di jalanraya. Sekiranya semua pemandu sentiasa berhati-hati pastinya kemalangan dapat dikurangkan atau dapat terus dielakkan.

Dalam pemerhatian yang dijalankan, dapatlah dinyatakan bahawa kemalangan boleh dielakkan sekiranya : -

1. Pengguna jalanraya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
2. Pengguna jalanraya tidak mementingkan diri sendiri.
3. Pengguna jalanraya sentiasa menghormati antara satu sama lain.
4. Pengguna jalanraya sentiasa memandu dengan kelajuan yang ditetapkan.
5. Pengguna jalanraya tidak saling cabar mencabar di jalan raya.
6. Pengguna jalan raya sentiasa bersabar semasa di jalan raya.
7. Pengguna jalan raya tidak berlumba di jalan raya.
8. Pengguna jalan raya tidak memandu ketika mengantuk.
9. Pemandu jalan raya kena sentiasa peka ketika memandu.
10. Pemandu jalan raya kena tanamkan sifat saling mengasihi nyawa pemandu lain.

Memang benar ada yang berkata, sedangkan kita sentiasa berhati-hati namun orang lain yang melanggar kita. Tetapi sekiranya orang tersebut juga berhati-hati masakan kemalangan boleh berlaku? Oleh itu, sama-sama berhati-hati di jalanraya.

Ada juga terdengar kata-kata yang menyatakan bahawa permukaan jalan juga penyebab kemalangan. Itu memang benar, tetapi peratusannya begitu kecil. Sikap.. Sikap manusia itu sendiri yang membawa statistik peratusan besar dalam punca berlakunya kemalangan. Oleh itu, sekali lagi ditekankan, sama-samalah kita berhati-hati dan berdisiplin di jalan raya.

Ingatan ini juga ditujukan untuk diri ini sendiri kerana ada kalanya diri ini turut alpa dan kurang bersabar semasa memandu di jalan raya.