Kenapalah dengan dunia hari ini. Dengan krisis negara Arab yang bergolak. Dengan gempa bumi dan Tsunaminya, dengan politik dalam negara yang menjijikan. Sekarang ni di Kelantan ada pula cubaan membunuh diri oleh seorang remaja perempuan.
Kenapa ada terdetik dalam hati seseorang untuk membunuh diri? Adakah kerana hanya kekecewaan atau kesusahan hidup sahaja yang menyebabkan seseorang mengambil tindakan untuk membunuh diri. Tidakkah itu dinamakan sebagai tidak menerima kenyataan sekaligus menafikan qada dan qadar dari Allah.
Di sini ada diselitkan beberapa petikan hadis tentang hukum atau hukuman bagi tindakan membunuh diri.
“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(Al-Bukhari dan Muslim)
“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.”
(Al-Bukhari dan Muslim)
“Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T. : “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.”
(Al-Bukhari dan Muslim)
Para remaja harapan bangsa sekalian, janganlah mengambil keputusan terburu-buru dengan membunuh diri kerana sesungguhnya ia adalah Dosa Besar dan tempat mereka yang membunuh diri itu ialah neraka. Sekiranya ada masalah, tenangkan diri, munasabah diri dan dekatkan diri dengan Allah, insyaalah segala masalah boleh diatasi.
Bola Sepak merupakan sukan utama yang diminati oleh segenap warga dunia dan juga tidak ketinggalan masyarakat negara kita, Malaysia. Walaupun sukan ini tidak berapa maju dari segi prestasinya di Malaysia, namun sukan ini tetap menjadi pilihan bagi kebanyakan rakyat.
Tragedi yang menimpa seorang penyokong pasukan Kelantan yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika rusuhan penonton semasa perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam baru-baru ini melihatkan betapa fanatiknya penyokong bola sepak di negara kita.
Kenapa perkara ini boleh berlaku? Apa perlu kita saling merusuh semata-mata kerana satu perlawanan atau sukan yang dipanggil Bola Sepak? Adakah mereka puas melakukan rusuhan dengan mencederakan orang lain malahan sehingga ada nyawa yang melayang? Perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya setiap pihak memainkan peranan masing-masing dan penonton menjadi seorang yang berdisiplin.
Dalam hal seperti ini pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlulah membuat post mortem selepas perlawanan tersebut. Buat kajian yang terperinci bagi mengelakan perkara ini dari berlaku sekali lagi.
Antara perkara yang mungkin boleh dilaksanakan ialah dengan menambah pasukan keselamatan di kawasan penonton, menjarakkan jurang antara kedua-dua penyokong, mengetatkan kawalan di pintu-pintu masuk stadium, menguatkuasakan peraturan larangan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium dengan cekap, mengharamkan kehadiran penyokong pada pasukan yang mempunyai rekod penyokong yang amat fanatik dan sebagainya.
Mungkin syor-syor di atas amat berat atau sukar untuk diperaktikkan, namun adakah kita mahu melihat ada lagi penyokong yang kehilangan nyawa baru kita terkial-kial mahu mengambil tindakan. Bangkitlah, bangunlah wahai FAM, lihatlah bagaimana pengurusan Bola Sepak di luar negara yang mempunyai prosedur keselamatan yang begitu ketat. Contohilah prosedur mereka yang sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia, bukan sekadar ke luar negara untuk memakan angin.
Bagi penyokong-penyokong pula, jadilah peminat Bola Sepak sejati. Sentiasalah menerima hakikat bahawa bola itu bulat. Kalah atau menang adalah adat bertanding. Biar bersemangat di jiwa dan raga, jangan ditunjukkan secara kekerasan fizikal.
Sudah lama aku tak menyaksikan perlawanan bola sepak liga Malaysia di televisyen, apatah lagi nak tengok perlawanan pasukan Melaka di stadium. Masa dulu-dulu rajin juga tengok perlawanan bola di stadium, tapi sekarang tidak lagi kerana mutu permainan yang membosankan.
Tapi satu malam, aku ada menonton siaran ulangan Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan di saluran Astro Arena. Wah, menarik juga perlawanan tu. Kedua-dua pasukan saling menyerang, permainan yang laju. Terhibur jugalah menonton perlawanan tu walaupun di akhir perlawanan keputusannya seri 1-1.
Dalam menyaksikan perlawanan tu, walaupun kelihatan menarik tapi banyak aspek yang masih lemah. Antaranya ialah permainan itu sendiri. Pemain Malaysia ni adalah terdiri daripada pemain yang profesional, di mana mata pencarian mereka adalah bermain bola semata-mata. Tetapi mengapa banyak teknik bola sepak yang masih mereka lemah, terutama dari segi hantaran kepada kawan. Aku lihat hantaran bola sama ada dekat mahupun jauh masih lemah. Tidak tepat dan banyak kehilangan bola walaupun bola dalam kawalan dan tiada tekanan dari pihak lawan. Tidak bolehkan mereka bersikap "rileks" seperti aksi pemain Eropah?
Lagi satu apa yang dilihat masih lemah ialah kaedah menahan bola. Aduhai, apalah lemah sangat ni... Takkan tahan bola pun boleh terlepas. Aku selalu perhatikan, kalau pemain tahan bola mesti melantun jauh dari kaki. Kalau kita lihat kaedah menahan bola oleh pemain Eropah, seperti ada magnet di kaki mereka. Bola melekat saja di kaki mereka. Kalau kita mahir menahan bola, barulah kita boleh mengawal bola dengan lebih sempurna. Wahai coach, tolong buat latihan menahan bola selama seminggu. Jangan buat yang lain dulu, tahan bola saja.
Selain daripada aspek permainan bola sepak itu sendiri, aspek pengulasan bola juga masih membosan. Aku pun tak tahulah nak cakap apa, masa tu Haji Zainal Abidin Rauf dan seorang temannya mengulas perlawanan bola tersebut. Haji Zainal tu dikira sebagai otai dalam pengulasan sukan bola sepak ini, tetapi mengapa masih lagi mengeluarkan perkataan-perkataan yang entah apa-apa. Melalut tak tentu pasal. Aku rasa, kalau mereka diam tanpa berkata-katapun lebih baik. Nak gelak pun ada mendengar ulasanmereka berdua. Macam tak profesional.
Padang juga memainkan peranan yang penting dalam permainan bola sepak. Aku tengok, dari dahulu sampai sekarang kualiti padang masih dalam tahap yang memalukan. Rumput yang tidak rata, bola melantun-melantun apabila pemain membuat hantaran leret. Manalah tak susah kawannya nak menahan bola. Padang tokal-takil. Rumput melayang sana sini apabila menyepak bola, nampak sangat rumput yang di tanam tidak berkualiti. Kalau kita tengok padang bola di Eropah, sangat cantik, rumput rata sahaja, bolapun senanglah dikawal. Wahai tokey padang bola, jagalah padang dengan baik. Kalau tidak dijaga, sampai bila-bila kita tidak dapat menonton permainan yang berkualiti.
Dalam menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca tv, peranan cameraman adalah sangat penting. Setiap sudut perlu diambil untuk memaparkan setiap aksi. Termasuk membuat close up kepada pemain-pemain bagi memperlihatkan pemain membuat skill, hantaran dan sebagainya. Barulah nampak perlawanan secara langsung yang menarik sepertimana perlawanan di Eropah. Ini tidak, kalau ada perlawanan secara langsung di sesuatu stadium, aku lihat hanya dua atau tiga cameraman sahaja yang merakam perlawanan. Manalah nak dapatkan rakaman bagi sudut-sudut yang menarik. Di Eropah tu, setiap sudut ada sahaja cameraman merakam gambar bagi sesuatu siaran langsung. Cepat betul mereka mengedit rakaman untuk terus disiarkan. Barulah profesional namanya...
Banyak lagi sebenarnya aku mahu komen tentang mutu permainan bola sepak di Malaysia ini dari segi tektikal dan teknikalnya, tapi cukuplah sekadar yang di atas sahaja yang aku komen. Komen lebih-lebih nanti ada yang terasa pula. Apa-apapun, aku komen ni bukanlah untuk menjatuhkan, tapi untuk membina. Harap siapa yang terlibat dapat segera sedar. Majulah sukan untuk Malaysia.