Showing posts with label kebun Bandar. Show all posts
Showing posts with label kebun Bandar. Show all posts

Wednesday, October 23, 2024

Kisah Pokok Pisang 40 Hari

Alhamdulillah, pokok pisang 40 hari yang aku tanam di belakang rumah sudah selamat dituai lagi. Ini bukan kali pertama pokok-pokok ini mengeluarkan hasil, malah sudah beberapa kali ia memberikan rezeki buah yang agak banyak.


Setiap kali pisang-pisang ini masak, aku pastikan hasilnya tidak disimpan sendiri sahaja. Selalunya, aku akan agih-agihkan kepada jiran-jiran terdekat, rakan pejabat dan selebihnya aku nikmati bersama keluarga.

Untuk tuaian kali ini, aku merancang untuk berkongsi hasilnya dengan adik-beradik yang lain pula. InsyaAllah, jika ada kesempatan ajan aku hantar kepada mereka, aku akan pastikan mereka turut merasai nikmat buah pisang yang aku tanam sendiri. 

Berkongsi rezeki memang satu kepuasan tersendiri dan melihat senyuman orang lain ketika menerima pemberian kecil ini adalah kegembiraan yang tidak ternilai.

Moga pokok pisang ini terus memberikan hasil dan rezeki untuk terus dikongsi bersama orang-orang yang tersayang.

Saturday, September 14, 2024

Buah Cempedak di Dalam Pagar



Alhamdulilah. Penantian 4 tahun membuahkan hasil. Buah cempedak yang ditanam di belakang rumah pada tahun 2020 telah berbuah sulung. Hanya sebiji saja yang menjadi. Tak pasti pula kenapa hanya sebiji saja yang berbuah. Ada kawan maklumkan, buah sulung biasanya memang akan berbuah sebiji.

Apa-apapun, tak sabar nak melihatnya matang dan sedia untuk dimakan. Buat cempedak goreng pun sedap ni. Harap-harap banyak isi di dalamnya. Buahnya comel je ni, tak besar mana. 

Saturday, May 22, 2021

DURIAN BELANDA BERBUAH SULUNG

Alhamdulillah.. Sudah lebih 2 tahun menanam pokok durian Belanda ini, akhirnya berbuah juga. Bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba, akhirnya tidak lari gunung dikejar.



Sebelum ini memang banyak kali pokok durian Belanda ini berbunga, akan tetapi bunganya tidak lekat untuk menjadi buah. Ada kalanya kecewa juga melihatkan bunga-bunga pokok durian Belanda jatuh berguguran di tanah. Mungkin belum ada rezeki.

Ada juga amalkan beberapa petua untuk pokok durian Belanda berbuah, antaranya menggoyangkan pokok yang sedang berbunga selepas jam 10 malam. Ini adalah untuk membantu proses pendebungaan. Beberapa kali jugalah saya malam-malam ke belakang rumah untuk menggoyangkan pokok durian Belanda. Rasa lucu pun ada, sehingga kawan-kawan di Facebook siap beritahu, kasi goyang kuat-kuat. 😆😆😆

Baja juga memainkan peranan penting. Dulu guna pelbagai baja. Baja biji-biji yang dibeli di kedai pokok bunga. Kemudian tukar ke baja tahi ayam. Terkini guna baja mahal sedikit iaitu baja Milagro.

Tak sabar rasanya nak merasai keenakan buah durian Belanda yang ditanam sendiri. Harap-harap buah tersebut membesar dengan sempurna dan menghasilkan isi yang baik. Apa-apapun, ini semua rezeki Allah SWT. Ada rezeki, adalah, kalau tiada rezeki maka tiadalah.