Showing posts with label joran. Show all posts
Showing posts with label joran. Show all posts

Thursday, September 23, 2010

BERI MEREKA JORAN ITU

Sebenarnya aku bukan nak ajak kamu semua memancing ikan, tapi aku teringat kata-kata kawan aku dahulu yang menyatakan bahawa sekiranya kita mahu tengok orang berjaya, jangan beri dia ikan, tapi beri dia joran. Faham tak apa maksud dia? Kalau tak faham, dengar sini aku nak huraikan.


Ikan... Ikan merupakan sumber makanan pada manusia. Ikan boleh menjadikan seseorang yang lapar menjadi kenyang apabila memakannya. Oleh itu, ikan merupakan makanan yang penting juga kepada manusia. Bagi orang yang tidak berkemampuan, kita sebenarnya jangan mengajar mereka dengan selalu memberi ikan kepadanya, ini adalah kerana ikan kalau dimakan, akan habis dan akan tinggalkan tulang. Kalau kita mampu, kita boleh memberi ikan kepadanya setiap hari. Tapi sampai bila?


Justeru itu kita perlulah beralih kepada pendekatan yang baru. Jangan beri mereka ikan dan cuba bagi mereka joran pula. Kalau mereka tidak tahu menggunakan joran, kita ajar mereka sampai pandai. Kita ajar sampai mereka mahir menangkap ikan. Apabila mereka sudah pandai, mereka tidak perlu berharap kepada kita lagi. Tapi sekali-sekala kita perlu datang melawat dia bagi memastikan dia akan terus menangkap ikan dan tidak alpa lagi dengan pemberian ikan oleh orang lain.


Apabila mereka telah mahir menangkap ikan. Mereka boleh dapat ikan dengan banyak. Mereka dapat makan sebanyak mana ikan yang berjaya ditangkap. Tidak perlu lagi menunggu orang lain memberikan ikan. Dan sekiranya ikan yang ditangkap terlalu banyak, sehingga mereka tidak mampu untuk memakannya sendiri, maka mereka boleh menjual pula hasil tangkapan ikan tersebut.


Dengan hasil jualan ikan, mereka dapat duit. Duit yang membolehkan mereka membeli apa sahaja yang mereka mahukan mengikut hasil yang diperolehi. Mungkin satu hari nanti mereka mampu membeli kemewahan dengan hanya menangkap ikan dengan joran yang diberikan. Dengan adanya usaha berterusan menangkap ikan, mereka pastinya tidak lagi menunggu orang memberi ikan kepadanya.


Nampaknya dengan sebatang joran, kita dapat membentuk seseorang yang hanya menunggu ikan kepada seseorang yang rajin menunggu joran disentap oleh ikan. Dengan joran, seseorang mampu hidup selesa sekiranya berusaha lebih untuk menangkap ikan.


Adakah kita hendak menjadi penerima ikan atau penerima joran?


Namun begitu kadangkala kita kena meneliti juga mereka yang menerima ikan itu. Sekiranya mereka ini benar-benar tidak mampu untuk menangkap ikan dengan joran, maka teruskanlah memberi ikan kepada mereka. Jangan pula dibiarkan mereka kelaparan.