Showing posts with label jalanraya. Show all posts
Showing posts with label jalanraya. Show all posts

Thursday, June 27, 2013

PANTAULAH SIKIT....!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Bukan niat untuk menghentam mana-mana pihak, namun ianya hanya teguran membina untuk meningkatkan kecekapan sesebuah agensi. 

Apa yang aku minta pantau ini ialah berkaitan jalan raya. Jalan sudah baik-baik, digalinya untuk membuat perparitan bawah tanah atau kabel elektrik. Itu tak mengapalah, tapi kenapa lepas itu jalannya ditar tidak rata? Jalan yang lama lagi baik dari jalan yang baru ditarkan. 


Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar KLIK

Kalau memandu di kawasan tu, aku marah-marah sendiri. Orang rumah aku saja yang mendengarnya. Ini semua pasal tiada pemantauan!! Pantaulah sikit... Jangan asyik duduk dalam pejabat saja!

Kalau ada projek sebegini, jabatan yang terlibat perlulah ada pegawai yang memantau. Jalan ditar dengan sempurna atau tidak. 

Aku pun tak fahamlah macam manalah pegawai boleh sain projek sudah siap sedangkan jalannya macam jalan tak siap. Jalan lama lagi baik dari jalan yang baru ditar. Eh, betul tak fahamlah!!

Moralnya, pantaulah sikit... Jalan raya tempat pemandu dan penunggang motorsikal berlalu lalang, kalau jalannya tidak rata mungkin akan menyebabkan kemalangan. Janganlah apabila orang besar nak lalu barulah nak buat pemantauan. Commonlah., Pantaulah sikit....

(Ps : Kepada agensi terlibat sekiranya membaca entri ini, aku bukanlah mahu menghentam, sekadar teguran dengan penuh kasih sayang)

Friday, July 6, 2012

MULAKAN PEMANDUAN DENGAN HATI SUCI MURNI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya akui dalam diri saya sendiri bahawa dalam banyak-banyak hal kita boleh bersabar, tetapi tahap kesabaran kita sentiasa akan lenyap apabila kita memandu kenderaan. Iyalah, semasa memandu kita sering disajikan dengan pelbagai gelagat pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan mementingkan diri sendiri.

Akibat daripada kurangnya sabar, maka terjadilah kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan sama ada kemalangan kecil mahupun kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Sebenarnya kita mampu... Ya, kita mampu mengubahnya dengan diri kita sendiri. Sebelum kita memulakan pemanduan adalah elok kita mulakan dengan membaca doa menaiki kenderaan, membaca bismillah dan sebagainya. Kemudian, berniatlah dalam hati bahawa kita akan menjadi pemandu yang berhemah. Sucikan hati kita sesuci-sucinya. Kita niatlah agar pemanduan kita selamat. Elakkan melakukan kesalahan lalulintas.

Semasa memandu jangan ada niat mahu cabar mencabar antara satu sama lain. Tidak kiralah pemandu lain salah ke, janji kita tidak mencabarnya. Sekiranya ada kenderaan yang "mencucuk-cucuk" dari belakang, berilah dia laluan. Sekiranya ada kenderaan dipersimpangan mahu memasuki jalan hadapan kita, berilah laluan. Tidak mengapalah... 

Yang penting adalah kita dan pengguna jalan raya yang lain selamat. 

Lihat juga entri-entri saya perihal keselamatan jalan raya :




Wednesday, October 19, 2011

UNDANG-UNDANG = KASIH SAYANG





Semasa memandu pulang ke rumah dari tempat kerja petang tadi, fikiran aku melayang-layang memikirkan sesuatu dengan penuh minat. Berfikir, mengapa perlu ada undang-undang? Untuk apa perlu undang-undang? Secara ringkasnya orang biasa seperti kita ini pastinya akan menyatakan bahawa undang-undang dibuat untuk mendisiplinkan masyarakat.

Namun setelah aku memecahkan pemikiran supaya dapat berfikir seperti profesor serba tahu, dapatlah aku kaitkan bahawa undang-undang adalah sebahagian daripada kasih sayang. Iya... Kasih sayang. Kasih sayang daripada pengubal undang-undang atau pemerintah kepada rakyatnya. Tetapi bagaimana ia boleh dikatakan kasih sayang?

Aku ni nak dikatakan sangat patuh pada undang-undang tidaklah sangat, tetapi semasa menaiki kereta, pastinya tali pinggang keledar akan aku pakai dahulu. Bukan takut kepada polis, tetapi aku tahu ianya mampu membantu mengelakkan kecederaan lebih teruk sekiranya berlakunya kemalangan. Jadinya, undang-undang yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar adalah menunjukan betapa kasih dan sayangnya pengubal undang-undang terhadap nyawa setiap pengguna kenderaan.

Bukan setakat kasih sayang antara manusia, undang-undang juga menunjukan kasih sayang terhadap haiwan. Dengan adanya undang-undang seperti Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, haiwan-haiwan dapat dipelihara dan bebas hidup tanpa sebarang ancaman daripada mana-mana pihak. Ini menunjukan satu kasih sayang di mana pengubal undang-undang telah menyayangi haiwan supaya tidak pupus, diburu secara haram, diawet secara haram atau sebagainya.

Selain itu, kasih sayang terhadap bangunan dan monumen juga boleh ditafsirkan melalui dengan wujudnya undang-undang seperti Akta Warisan Kebangsaan mahupun enakmen-enakmen warisan di negeri-negeri di Malaysia. Tanpa undang-undang seperti ini, bangunan-bangunan dan monumen warisan dan bersejarah boleh dimusnahkan begitu saja. Tetapi demi kasih dan sayangnya kepada warisan dan sejarah, undang-undang ini digubal bagi membolehkan warisan terus terpelihara.

Namun begitu, pengubal undang-undang juga adalah manusia. Kadangkala mereka yang membuat undang-undang dan mereka jugalah yang mencabul undang-undang. Justeru itu, untuk meneruskan kesinambungan kasih sayang ini kita haruslah mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Dalam meneruskan ketaatan kepada peraturan dan undang-oundang juga, kita tidak terlepas dari qada dan qadar. Contohnya, sehabis baik manapun kita pakai tali pinggang keledar, sebaik manapun kita menggunakan helmet, kalau sudah ketemu ajal tetap mati juga.

Friday, March 4, 2011

PERKARA YANG DIBENGANG SEMASA MEMANDU

Memang betullah dengan apa yang orang selalu cakap. Dalam banyak-banyak benda kita boleh bersabar, tapi ada satu situasi ni memang sukar untuk bersabar iaitu ketika memandu. Perkara ini pun memang sering terjadi pada aku.

Apa yang aku bengangkan ialah pasal sikap pemandu-pemandu yang suka-suka tidak mahu ikut peraturan atau tidak mahu berdisiplin di jalan raya. Sudahlah tak ikut peraturan, menyusahkan orang lain pulak tu.




Di bawah ini aku gariskan beberapa sikap pemandu jalan raya yang boleh membuatkan orang lain bengang :

1. Memotong sesuka hati tanpa memberi isyarat.

2. Pandu tidak ikut lorong dan menyusahkan orang lain (kalau orang luar takpe jugak, tapi nombor plat tempatan)

3. Masuk simpang secara mengejut dan tak memberi isyarat.

4. Mengikori rapat (cucuk angin) kenderaan hadapan (walaupun hakikatnya lorong sebelah kanan ada ruang)

5. Parkir di tepi jalan sesuka hati dan menganggu lalu lintas.

6. Memandu laju dan tak tentu hala. (apa ingat jalan raya litar F1 ke?)

7. Keluar muncung kereta terlebih semasa hendak keluar simpang walau pada hakikatnya dia mahu menunggu kereta kereta lengang jugak (orang yang mengikut lorong yang betul terpaksa mengelak muncung kereta dia)

8. Dah potong kenderaan lain, lepas tu boleh masuk semula secara mengejut (pangkah).

Dah, ni saja lah yang dapat aku fikirkan buat masa ni. Korang pulak, apa yang selalu dibengangkan ketika memandu?

(ps : Namun aku sentiasa cuba bersabar. Taknak maki-maki. Diorang bukan dengar pun)

Monday, January 10, 2011

JPJ PERKENALKAN SISTEM BORANG ADUAN KEPADA PENUMPANG BAS

Kemalangan-kemalangan maut yang melibatkan bas yang kerap berlaku baru-baru ini telah membuatkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan satu kaedah di mana setiap penumpang bas dikehendaki mengisikan borang aduan bagi memastikan setiap perjalanan dengan menggunakan bas dalam keadaan selamat.

Disini aku ingin menyokong tindakan pihak JPJ yang melaksanakan tindakan seperti ini. Namun setiap kaedah yang diperkenalkan semestinya ada baik dan buruknya. Jadinya, dalam memperkenalkan sistem borang aduan ini, pihak JPJ seharusnya melaksanakan ia dengan bersungguh-sungguh dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.





Antara kebaikan yang boleh diperolehi dalam sistem ini semestinya dapat membantu pihak berkuasa mengenalpasti pemandu-pemandu yang memandu secara merbahaya, dapat meningkat mutu keselamatan penumpang dan sebagainya. Dengan ini kemalangan melibatkan bas dapat dikurangkan atau terus dapat diatasi.

Keburukannya pula ialah berkemungkinan penumpang tidak atau gagal memberikan aduan yang sepatutnya atau sekadar menipu maklumat yang diberikan. Yang akan teraniaya ialah pemandu dan syarikat bas terbabit. Mungkin juga kaedah ini sendiri tidak dapat kerjasama daripada setiap penumpang sama ada mereka malas untuk menulis atau sengaja tidak memberikan kerjasama.

Setiap kaedah atau pelaksanaan sesuatu sistem ada pro dan kontranya. Oleh itu, pihak yang berkaitan adalah bertanggungjawab untuk memastikan setiap kaedah dilaksanakan dengan baik dan sempurna tanpa gagal bagi memastikan objektif pelaksanaan dicapai dengan jayanya.