Showing posts with label jalan raya. Show all posts
Showing posts with label jalan raya. Show all posts

Friday, October 7, 2022

Tertidur Ketika Lampu Isyarat Merah

Sebenarnya, kisah ini bersambung pada hari yang sama berlakunya kejadian INI.

Selepas singgah di kedai, aku terus meneruskan perjalanan ke hospital. Kedudukan rumah ke hospital, tidaklah terlalu jauh. Anggaran dalam 10 kilometer sahaja.

Setibanya di persimpangan berdekatan hospital, lampu isyarat berwarna merah. Jadi tunggulah seketika sebelum lampu bertukar kepada warna hijau. Lama juga menunggu kerana di situ merupakan satu persimpangan empat arah yang juga jalan utama ke pusat bandar.

Gambar sekadar hiasan


Apabila lampu bertukar kepada warna hijau, semua kenderaan mulai bergerak. Namun, di lorong aku kelihatan sedikit perlahan seolah ada kenderaan rosak di hadapan. Kenderaan mula belok ke kiri dan kanan bagi mengelakkan sebuah kereta yang berhenti di tengah-tengah jalan. Kenderaan pun mula membunyikan hon.

Apabila aku sampai di belakang kereta tersebut, aku membelok sedikit ke kiri. Semasa membelok, sempat aku menoleh ke arah kereta itu dan aku terlihat pemandunya ada di dalam kereta dalam keadaan tertutup mata.

Dalam hati aku sudah terfikir macam-macam. Mungkinkah pemandu tersebut terkena serangan jantung, pengsan atau meninggal dunia? Segera aku memberhentikan kereta berdekatan lampu isyarat dan segera turun mendapatkan kenderaan tersebut.

Aku merupakan orang pertama yang datang untuk membantu. Aku lihat di cermin kereta seorang lelaki dengan mata tertutup tersandar di kerusi pemandu. Lantas, aku ketuk cermin dengan kuat dengan harapan beliau sedar. Akhirnya, beliau membuka mata.

Aku menunjukkan isyarat jari ibu kepadanya bagi memastikan beliau dalam keadaan baik atau sebaliknya. Beliau balas dengan isyarat jari ibu juga menandakan semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah.

Rupa-rupanya beliau tertidur semasa menunggu lampu isyarat bertukar kepada warna hijau. Mujurlah tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Kepada para pemandu, sekiranya mengantuk, berhentilah memandu dan cari lokasi yang sesuai untuk rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Jangan pertaruhkan nyawa mengambil risiko memandu dalam keadaan mengantuk kerana kecelakaan mungkin boleh berlaku.

Tuesday, August 6, 2013

BERSABAR ITU JUGALAH YANG TERBAIK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sudah penghujung bulan Ramadhan ni mulalah kenderaan sesak dan memenuhi setiap jalan raya. Orang-orang yang bekerja dan menetap di bandar mula pulang ke kampung halaman untuk menemui ayah, bonda dan sanak saudara tercinta.

Apabila jalan raya mula sesak, maka kenderaan tidak mampu untuk bergerak dengan lancar. Sudah lumrahnya begitu, jadinya kita sebagai pemandu haruslah bersabar dengan terus memandu dengan mengikuti setiap peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Gambar sekadar hiasan. Sila KLIK ke laman rujukan gambar

Jangan kita jadi seperti segelintir pemandu yang tidak mengenal erti sabar. Kenderaan sudah padatpun namun mereka mahu juga menyelit sana-sini. Ada yang tidak sabar terus memandu laju dan memotong kenderaan lain ke kanan dan ke kiri. Kadang-kadang kesian juga melihatnya, sejauh manalah mereka boleh lepas, akhirnya akan tersangkut juga dalam kesesakan.

Itulah sebabnya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dahulu memperkenalkan Ops Sikap (kini Ops Selamat) sebab sikap kurang bersabar pemandulah yang sering menyebabkan kemalangan. Kalaulah sikap semasa memandu di Malaysia ini baik, nescaya kemalangan dapat dielakkan lebih-lebih lagi di musim perayaan.   

Akhir kalam, bersabarlah... Ramai yang menunggu kita di kampung halaman di hari bahagia ini. Mereka bukan mahu menunggu ketibaan mayat kita. Sama-samalah kita tanamkan sifat bersabar semasa memandu. 

Monday, July 1, 2013

ANTARA KECANTIKAN DAN UNDANG-UNDANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sepatutnya kita perlulah mengutamakan undang-undang berbanding kecantikan. Undang-undang dibuat bukanlah kerana suka-suka tetapi ianya dibuat demi kepentingan ramai.

Apa yang aku nak jelaskan di sini ialah tentang etika 'orang kita' berkereta. Memanglah kereta adalah hak individu masing-masing, namun dalam berkereta mestilah mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Janganlah sampai mengubahsuai kereta sehinggakan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Sebagai contoh, penggunaan lampu spotlight berwarna putih. Kebanyakkannya digunakan oleh kereta-kereta mewah. Lampu begini akan menyilaukan mata pengguna jalan raya apabila bertentangan dengan kereta sebegini. Keadaan sebegini amat menyakitkan biji mata, dan tidak mustahil ia boleh mengakibatkan kemalangan di pihak kenderaan yang bertentangan disebabkan penglihatan yang terhad kerana silau.

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Baru-baru ini aku ke KLIA, balik merentasi lebuh raya, aku terserempak dengan sebuah kereta yang agak lain daripada lain. Lampu merah dibelakangnya amat berlainan kerana ia seperti menyuluh ke arah belakang. Bayangkanlah, apabila aku pandang saja lampu itu, ia seperti betul-betul menyuluh ke mata. Memang sakit mata dan hati memandangnya. 

Kesimpulannya, kenderaan memanglah hak milik masing-masing, tetapi tolonglah peka dengan sensitiviti orang lain yang menggunakan jalan raya. Janganlah menyusahkan pengguna yang lain kerana jalan raya bukanlah bapak kita yang punya!!!