Dalam seminggu dua ini kembali hangat isu tentang kerajaan negeri Melaka hendak menukar nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka. Isu ini terus menjadi hangat apabila wakil di pihak pembangkang mempertikai dan membantah usul ini. Pihak pembangkang juga telah menyatakan bahawa pihak kerajaan mahu menukar sejarah.
Tidak... Ini bukan untuk menukar sejarah. Tetapi sebenarnya kita sedang kembalikan sejarah. Kita kembalikan nama Bukit St. Paul kepada nama sebenarnya iaitu Bukit Melaka.
Sebenarnya, pada tahun 2020 yang lalu, aku telahpun menulis tentang Bukit Melaka, boleh baca di sini "Bukit Melaka : Satu Catatan Sejarah". Di sini aku tertarik untuk berkongsi pandangan mengenai peta lakaran yang menunjukan lokasi Bukit Melaka yang terdapat di dalam catatan Emanuel Godinho De Eredia di dalam bukunya berjudul Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay (Description of Malaca, Meridional India, and Cathay.) yang telah ditulis pada tahun 1613.
Sebelum menulis dengan panjang lebar, mari kita kenali siapakah Emanuel Godinho De Eredia? Bak kata orang-orang lama, tak kenal maka tak cinta.
Emanuel Godinho De Eredia merupakan seorang Portugis yang lahir di Melaka pada tahun 1563 iaitu semasa zaman penjajahan Portugis di Melaka. Beliau banyak menghabiskan masa kecilnya di Melaka. Bapanya berbangsa Aragon (Sepanyol) manakala ibunya dari keturunan Bugis dari Makasar. Beliau juga mendapat pendidikan awalnya di Melaka dan di Goa, India.
Bapanya bernama João de Erédia Aquaviva manakala ibunya bernama Dona Elena Vessiva. Beliau telah berkahwin dengan isterinya Vilante de Sampaio di Cochin pada tahun 1586 dan telah dikurniakan dua orang anak seorang lelaki dan seorang perempuan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1623.
Eredia adalah seorang penulis dan ahli kartografi. Selain itu beliau juga bekerja sebagai jurutera ketenteraan. Beliau banyak menghasilkan peta-peta di kawasan Asia Tengggara untuk Raja Sepanyol.
Antara penulisan-penulisan Eredia adalah :
- Plantas de plaças das conquistas de Portugal (1610)
- Discourse on the Province of Indostan, termed Mogûl (1611)
- Summary of the Trees and Plants of India intra Ganges (1612)
- Description of Malaca, Meridional India, and Cathay (1613)
- History of the Martyrdom of Luiz Monteiro Coutinho (1615)
- Treatise on Ophir (1616)
- Lyvro de Plataforma das Fortalezas da India (1620)
Eredia adalah ahli kartografi. Bagi yang tidak mengetahui apa itu kartografi, kartografi merupakan ilmu, seni dan teknologi yang digunakan untuk membuat peta. Kartografi adalah sangat berkait dengan ilmu geografi dan topografi. Justeru, sudah pasti beliau merupakan pakar dalam membuat peta dan sangat mengetahui akan sesuatu lokasi yang telah beliau lukis atau lakar.
Di dalam catatan Eredia yang terdapat di dalam buku Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay terdapat sehelai muka surat yang mengisahkan tentang Malaca Antiga iaitu Melaka pada zaman kuno. Di dalam helaian ini memaparkan sebuah lakaran peta kota Melaka di mana salah satu lokasi yang dinyatakan ialah Monte : Buquet Malaca yang bermaksud Bukit Melaka.
Peta ini merupakan lakaran oleh Eredia yang menunjukan Melaka pada zaman pemerintahan Parameswara (Raja Iskandar Syah). Peta ini adalah selari dengan lokasi jika dibandingkan pada zaman kini iaitu sekitar Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Jadi, agak sukar disanggah bahawa tiada penggunaan Bukit Melaka pada catatan terdahulu.
Ya, mungkin ada yang masih mahu menyanggah dengan menyatakan bahawa Eredia tidak hidup di zaman Parameswara, jadi masakan beliau boleh mengetahui bahawa pada zaman Parameswara bukit ini telah dinamakan sebagai Bukit Melaka? Berkemungkinan memang sejak dahulu bukit ini dikenali sebagai Bukit Melaka, justeru Eredia turut menulisnya sebagai Bukit Melaka sepertimana beliau menulis Bukit China sebagai Buquet China, Bukit Pipi sebagai Buquet Pipi dan Bukit Piatu sebagai Buquet Piato.
Eredia boleh sahaja meletakkan nama lain contohnya Buquet St. Paul tapi kenapa beliau menyatakan bukit tersebut sebagai Buquet Melaka (Bukit Melaka)? Jawapannya senang, memang bukit tersebut namanya Bukit Melaka.
Selain Eredia, dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) turut mencatatkan kewujudan Bukit Melaka di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 - 1488). Catatan berkaitan Bukit Melaka yang terdapat pada Sulalatus Salatin boleh di baca di sini "Bukit Melaka : Satu Catatan Sejarah". Sulalatus Salatin merupakan teks agung Sejarah Melayu yang mula dikarang oleh Tun Seri Lanang pada sekitar tahun 1612.
Eredia merupakan seorang penulis yang mempunyai memori yang hebat. Selain daripada melakar peta Bukit Melaka dan persekitarannya, beliau turut menulis perihal Melaka meliputi kisah, lokasi dan nama-nama tempat yang terdapat di Melaka. Antara nama-nama tempat yang dicatat dalam penulisannya seperti Tanjon Chelim (Tanjong Keling), Tanjon Bidara (Tanjong Bidara), Batantiga (Batang Tiga), Rio de Malaca (Sungai Melaka), Muar dan banyak lagi.
Justeru, nama Bukit Melaka merupakan nama asal Bukit St. Paul tidak boleh disangkal lagi. Keputusan kerajaan negeri Melaka untuk mengembalikan nama asal bukit tersebut adalah tepat. Kita bukan menukar sejarah, tetapi kita mengembalikan sejarah.
Sepatutnya ini tidak dijadikan isu sama ada isu perkauman atau isu politik. Jika nak dikatakan ia sebagai isu perkauman adalah tidak logik kerana kerajaan mahu menukarkan kepada Bukit Melaka bukannya Bukit Melayu. Jadi ia tidak harus dijadikan isu perkauman. Kita harus bangga kerana mengembalikan nama bukit tersebut dengan menggunakan nama negeri dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan dan bukannya mengagung-agungkan warisan penjajah. Sekiranya ada yang tidak bersetuju, jadi apa bezanya mereka dengan penjajah?
Sekarang ini pun telah banyak nama-nama berbahasa Inggeris atau berunsurkan penjajah telah kembali ditukarkan kepada Bahasa Kebangsaan. Di Melaka sendiri telah menukarkan Fort Road (Jalan Kota), Bona Vista (Jalan Hang Tuah), Newcome Road (Jalan Munshi Abdullah) dan banyak lagi.
Di peringkat nasional juga telah menukarkan nama-nama warisan penjajah kepada Bahasa Kebangsaan seperti Teluk Anson (Teluk Intan), Port Swettenham (Pelabuhan Kelang), Jalan Birch (Jalan Maharajalela), Port Weld (Kuala Sepetang) dan banyak lagi.
Jadi apa masalahnya tukar nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka?