Showing posts with label istana. Show all posts
Showing posts with label istana. Show all posts

Thursday, September 22, 2011

JOM KE FESTIVAL HANG TUAH






Buat julung-julung kalinya Kementerian Pelancongan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Penerangan dan Kebudayaan Malaysia serta Kerajaan Negeri Melaka akan mengadakan satu festival yang dinamakan Festival Hang Tuah yang akan diadakan di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Festival ini akan diadakan pada 23 hingga 25 September ini bakal mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik bagi tontonan pelancong dari dalam dan luar negara.

Seperti yang sedia maklum, Hang Tuah merupakan ikon kepahlawanan di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang gah di sepelusuk nusantara. Dengan sikapnya yang taat tanpa berbelah bahagi kepada perintah sultan, Hang Tuah dilihat sebagai seorang yang wira sejati yang boleh dicontohi. Demikian juga dengan kata-kata hikmahnya iaitu "Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia"

Antara acara-acara yang bakal diadakan ialah seperti Pameran, Demonstrasi Silat, Permainan Rakyat, Persembahan Pentas, Tayangan Filem, Demonstrasi Membuat Kraf dan lain-lain aktiviti menarik.

Majlis perasmian festival ini akan diadakan pada 23 September 2011 pada pukul 8.30 malam di Muzium Istana Kesultanan Melaka, Bandar Hilir, Melaka. Apa yang menarik dalam majlis perasmian ini, ia akan mengimbau kembali sepertimana acara sambutan dan keraian pembesar negeri Melaka bersama-sama rakyat.

Sesiapa yang ingin menghadiri majlis peramian ini disarankan memakai baju tradisional pada zaman dahulu kata. Bagi lelaki bolehlah memakai baju Melayu bersampin dan memakai tengkolok / setanjak.

Jom beramai-ramai raikannya. Anda pasti akan melihat suatu kelainan. :)

Thursday, March 10, 2011

MARI MELAWAT KE MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari ini aku mahu mempromosikan sedikit tempat aku bekerja, mana lagi kalau bukan di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Kepada sesiapa yang berhasrat ke Melaka tu, rajin-rajinlah datang melawat ke muzium ini. Harga tiketnya tidaklah mahal mana. Bagi dewasa cuma RM 2,00 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun RM 0.50. Tak mahal bukan?

Di bawah ni aku pertontonkan sedikit video muzium ini. Tak bolehlah kalau aku nak papar semua. Kalau nak tengok lebih lanjut, datanglah melawat ke muzium ini.



Macam mana, menarik tak? Apa lagi, cuti-cuti sekolah dan cuti hari minggu tu bawalah anak-anak datang ke sini. Kita bukan sahaja suka-suka nak papar barang-barang lama, tapi ia merupakan satu aspek pendidikan tidak formal. Mengenali sejarah. Mengenali sesuatu yang mungkin kita tidak tahu. Dari membiarkan anak-anak dari tak tentu hala, apa kata bawa dia ke muzium. Kalau dah datang ke muzium tu, janganlah pulak hanyak tengok-tengok saja, bacalah juga setiap penceritaan yang dipamerkan. Pastinya akan menambah ilmu untuk semua.

Bagi sahabat-sahabat bloggers, kalau nak datang ke muzium ni bolehlah cari aku. Sekurang-kurangnya kita boleh berkenalan dan aku pun boleh menjadi "guide" korang. Tapi bayar tetap kena bayar ek.. Tak boleh percuma.. :)

Friday, September 17, 2010

NOBAT

Nobat ialah sekumpulan alat-alat bunyian khusus untuk upacara dan majlis-majlis diraja. Nobat berasal dari bahasa Parsi bereti sembilan alat. Alat-alat itu adalah seperti gendang nobat, gendang peningkah, nafiri, serunai dan negara. Upacara nobat akan diketuai oleh seorang Ketua Nobat bergelar Tok Setia Guna yang memegang tongkat Mahaguru.


Pemain-pemain alat nobat digelar Orang Kalur. Ketua Nobat dipanggil Kalur Besar kemudian diikuti penghulu (yang bergelar Tok Setia Indera) dan selepas itu Kalur kecil dan yang lainnya Orang Nobat. Alat perkakas nobat ini boleh dibunyikan oleh Orang Kalur sahaja dan tidak sempurna jika dimainkan oleh orang lain. Lagu Nobat disebut ragam. Ragam yang asal ialah Iskandar Dzulkarnain dan Ibrahim Khalil kemudian ditambah ragam-ragam lain seperti Gendang Berangkat, Puteri Mandi Mayang, Dang Gidang, Rama-Rama Terbang Tinggi, Kumbang Si Kumali dan Pandak.


Nobat hanya dimainkan ketika menyambut sesuatu perayaan dan hari-hari besar seperti pertabalan raja, istiadat menjunjung duli, nikah kawin, berkhatan, memberi gelar, menyambut Ramadhan dan peristiwa besar yang lain. Sungguhpun nobat itu dikhususkan kepada raja sahaja namun di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu Duli Yang Dipertuan boleh mengurniakannya pada upacara yang lain seperti menyambut dan menghantar utusan diraja dan memberi hormat dalam perarakan jenazah. Hanya alat perkakas yang dikurniakan itu sahaja yang berbeza yakni mengikut taraf atau pangkat.

Tuesday, September 7, 2010

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA




Muzium Istana Kesultanan Melaka merupakan replika Istana Kesultanan Melayu di Zaman Sultan Mansur Syah (1456-1477). Rekabentuk bangunan istana ini adalah berpandukan kepada penelitian Buku Sejarah Melayu dan juga berdasarkan pandangan Persatuan Pelukis Melaka serta Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka. 

Bangunan ini telah dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pembinaan bangunan ini mengambil masa dua tahun iaitu bermula 27 Oktober 1984 dan siap sepenuhnya pada 15 April 1986. Pada 17 Julai 1986. 

Muzium Istana Kesultanan Melaka telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Bangunan ini mempunyai keluasan 240 kaki panjang dan 40 kaki lebar. 

Bangunan ini mempunyai keunikkan tersendiri dari segi senibinanya kerana menggunakan sistem pasak dan tanggam sebagai paku. Manakala struktur bangunan menggunakan kayu-kayu tempatan seperti atap yang diperbuat daripada Kayu Berlian yang dibawa dari Sarawak, tiang seri menggunakan Kayu Cengal serta lantai menggunakan Kayu Resak. Di permukaan dindingnya pula dihiasi dengan ukiran yang disebut sebagai Ketam Buri. 

Bangunan ini dibina dengan enam anjung yang dijadikan galeri pameran dan sebuah anjung utama sebagai laluan naik ke istana. Pada zaman Sultan Mansur Syah, anjung-anjung ini digunakan sebagai tempat tetamu yang datang bertemu dengan Sultan. 

Institusi Kesultanan Melayu yang telah wujud di negara ini sejak lebih lima kurun yang lalu merupakan teras sistem berkerajaan dan masih kukuh dipertahankan sebagai lambang kepada tunggak kedaulatan dan keunggulan nusa dan bangsa.  

Perkembangan dan pergolakan sejarah yang dirakamkan di negara ini boleh dikatakan sentiasa bergerak seiring atau dikaitkan dengan istana dan institusi kesultanan. Kesultanan Melayu juga boleh boleh disifatkan sebagai nadi dalam pembentukan tamadun, kebudayaan, sikap, norma dan sistem nilai bangsa Melayu. 

Sesungguhnya terdapat perubahan yang ketara dalam sistem pemerintahan demokrasi yang dipraktikkan oleh kerajaan sekarang tetapi kedudukan dan fungsi Raja-Raja Melayu masih terus dikekalkan sebagai payung negara, sumber inspirasi kesetiaan dan perpaduan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Kesultanan Melayu mempunyai ciri-ciri keunikan dan dan keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza dengan sistem pemerintahan beraja di negara-negara lain. Berdasarkan kepada hakikat inilah, kedaulatannya diletakkan di puncak pemerintahan demokrasi dan pentadbiran negara apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Muzium ini memaparkan beberapa aspek penting yang perlu diketahui mengenai Kesultanan Melayu dan kaitannya dengan kesinambungan perkembangan sejarah negara. Bahan yang dipamer merupakan hakikat sejarah yang diharap dapat memberi gambaran terhadap kegemilangan takhta pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. 

Semoga pameran ini dapat memberi kesedaran kepada generasi kini dan akan datang berhubung akar umbi sejarah dan ketamadunan bangsa Melayu serta menyedari betapa pentingnya mereka memelihara kedaulatan Kesultananan Melayu yang telah sekian lama bertakhta memayungi negara ini.

Maklumat tambahan >> KLIK <<