Showing posts with label islam. Show all posts
Showing posts with label islam. Show all posts

Monday, October 19, 2015

APABILA FRASA 'BERAT' DILIBERALKAN!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah, malam Sabtu yang lepas, berpeluang mendengar ceramah agama di dataran Pusat Islam Melaka. Ceramah agama itu bersempena Karnival Falak negeri Melaka. 

Banyak juga pemahaman yang dapat dipelajari dari ceramah tersebut. Cuba yang masih terngiang-ngiang di kepala otak aku ini ialah tentang usaha untuk meliberalkan bahasa terhadap sesuatu benda atau perbuatan yang mungkar. 

Meliberalkan bahasa agar ia seakan-akan boleh diterima oleh masyarakat tanpa ada suatu kesalahan yang berlaku atau meringankan sesuatu kesalahan agar ia tidak nampak berat.

Antara contoh yang diberikan oleh ustaz tersebut yang sempat aku masukkan dalam sel otak aku ni ialah frasa ialah :


Betul ke perkataan ini diliberalkan? Jom kita cuba membuat contoh...

A. Emak.. Maafkan Bella mak, Bella sudah terlanjur.

B. Emak.. Maafkan Bella mak, Bella sudah berzina.

Berzina itu adalah satu kesalahan besar dan salah satu dosa besar. Tapi apabila ia ditukarkan dengan perkataan terlanjur, nampak macam kecil sahaja kesalahan itu kan?

Begitu juga dengan contoh ini...

A. Bro.. jom ke disko malam ni, GRO baik-baik tu..

B. Bro.. jom ke disco malam ni, pelacur baik-baik tu..

Sedapkan sebut GRO dari pelacur? Nampak suci je.. Nampak macam tiada kesalahan saja.

Sekian saja perkongsian hari ini. Yang baik itu datangnya dari Allah SWT, salah dan silap dari kelemahan diri ini sendiri.

Wallahuaklam.

Friday, December 5, 2014

IMAN ADALAH MUTIARA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Salam Jumaat yang penuh barakah. Bersempena hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita merenung kembali pada tahap mana keimanan kita kepada ALLAH S.W.T.

Kita sering kali mengejar hal DUNIA yang ada kalanya TIDAK PASTI, namun kita terlupa untuk mengejar AKHIRAT yang PASTI.


Tuesday, February 4, 2014

KEBALKAH KITA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Baru-baru ni aku menyambut hari kelahiran emak aku di tepi pantai bersama-sama semua ahli keluargaku yang lain. Berminggu juga tak jumpa emak dan kebetulan emak pun baru pulang dari rumah adik bongsu aku yang sedang mabuk kerana hamil. 

Tugas aku di pantai ialah membakar ayam dan jagung. Memang kegemaran aku dengan tugas bakar membakar ni. Panas dan bahang dari api arang yang membara tu memang tak payah cakaplah, memang panas. Merah jari jemari aku ni dibuatnya, bulu-bulu roma pun ada yang sedikit terbakar. 

Dalam membakar ayam-ayam dan jagung tu, aku sempat juga terfikir... Ini baru panas dunia. Belum panas di akhirat nanti. Belum panas Api Neraka lagi.

Kedalaman Api Neraka digambarkan sekiranya membaling batu ke dalamnya, maka 70 tahun barulah batu tersebut akan tiba di dasarnya. MashaAllah.. 

Ibnu Abbas R.A mengatakan : Pada suatu hari Rasulullah sedang duduk dengan para sahabatnya. Tiba-tiba dia terdengar suatu suara. Ketika itu nabi S.A.W bertanya, "tahukah kamu suara apakah itu?" Jawab mereka "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Kata nabi S.A.W "itu adalah batu yang dilemparkan ke dalam neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu dan baru sekarang sampai ke dasar neraka itu."

(HR Muslim)

Ya.. itu baru kedalaman Api Neraka, bagaimana pula dengan kepanasannya? 

Panas Api Neraka yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanyalah sepertujuh puluh dari panasnya Api Neraka di akhirat. Kalau sebahagian kecil (Api Neraka) jatuh ke dunia, nescaya mendidihlah air laut kerana kepanasannya.

(HR Muslim)

Begitulah gambaran Api Neraka. Amat dahsyat sekali. Semoga kita semua tergolong sebagai ahli Syurga dan dijauhi dari azab Neraka. Amin Ya-Rabbal Alamin.


"Ya-Allah... Aku tidaklah layak untuk ke Syurga-Mu, namun aku juga tidak mahu azab Neraka-Mu"

Friday, January 17, 2014

ALLAH YANG ESA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Memang benar ALLAH itu tuhan sekalian alam, ALLAH adalah tuhan bagi orang muslim dan orang bukan muslim. Namun, sampai tahap mana orang bukan muslim menerima ALLAH sebagai tuhan mereka yang sebenar-benarnya. 



ALLAH adalah Esa dan tidak beranak dan tidak diperanakkan. Inilah yang sebenar-sebenarnya. Namun pandangan mereka lain, mereka syirik dan menyengutukan ALLAH. 

Buat apa mereka nak menggunakan kalimah ALLAH sekiranya mereka tidak benar-benar beriman kepada ALLAH. 

Mungkin ada beberapa percaturannya di sini yang ingin merosakan iman dan aqidah generasi umat Islam kini dan akan datang. Wallahuaklam.

Friday, January 3, 2014

RAPATKAN SAF


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Rapatkan saf...

Rapatkan saf...

Rapatkan saf...

Begitulah setiap kali imam akan memberitahu kepada makmum sebelum sembahyang berjemaah dimulakan. Namun, antara kita dengar atau tidak, tahu atau tidak, faham atau tidak, kita tetap alpa dan lalai untuk tidak merapatkan saf. 

Apa salahnya merapatkan saf dengan bahu bertemu bahu, siku bertemu siku, kaki bertemu kaki. Sebilangan kita hanya tahu mahu selesa, bersolat umpama sendirian, jauh berjengkal-jengkal dari makmum yang lain. Sedangkan dengan merapatkan saf itu sendiri merapatkan ukhwah dan kasih sayang antara sesama Islam. 

Sumber gambar >> KLIK <<

Aku tidak mahu bercerita pasal hukum merapatkan saf, kerana masih mencari-cari hadith yang sahih, namun apa yang aku tahu ia dituntut kita melakukannya. Kalau tak masakan berkali-kali imam memberitahu kepada makmum untuk merapatkan saf.  

Ayuhlah muslimin dan muslimat, kita rapatkan saf. 

Thursday, December 26, 2013

MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

"Satu titis air mata yang digugurkan di atas dunia ini kerana takut kepada ALLAH S.W.T. akan memadamkan selautan api Neraka Jahannam...

tetapi lautan tangisan di akhirat nanti tidak akan memadamkan walaupun satu titis pun dari api Jahannam"

*****

Sama-sama kita menginsafi diri sendiri. Kita manusia sering melakukan dosa dan kesalahan sama ada kita sedar mahupun tidak sedar. 

Setiap dosa pastinya akan dibalas di akhirat kelak. Kita memang tak mampu nak lari ke mana-mana sekiranya dimasukkan ke dalam neraka. Terpekik, terlolong, tiada siapa yang boleh membantu. Sesungguhnya azab ALLAH S.W.T. amatlah berat.

Sekiranya air mata kerana takutkan ALLAH S.W.T itu boleh memadamkan api Neraka Jahannam, taubatlah.. menangislah.. Semoga kita semua terlepas dari azab dan seksaan ALLAH S.W.T.

Peringatan KERAS untuk diri sendiri!

SUBHANALLAH | ALHAMDULILLAH | ALLAHUAKBAR

Friday, December 20, 2013

KEHIDUPAN MANUSIA DI 7 ALAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pada dasarnya kita manusia akan menjalani perjalanan kehidupan yang sangat panjang iaitu sebanyak 7 alam. Alam-alam yang dimaksudkan adalah :

1. Alam Roh
2. Alam Rahim
3. Alam Dunia
4. Alam Kubur (Alam Barzakh)
5. Hari Kiamat (Kebangkitan)
6. Hari Penghisaban (Perhitungan Amal)
7. Hari Pembalasan

Buat masa ini kita telah lalui 3 alam iaitu Alam Roh, Alam Rahim dan Alam Dunia. Kini tinggal 4 alam lagi alam yang harus dan mesti kita lalui iaitu Alam Kubur, Hari Kiamat, Hari Penghisaban dan Hari Pembalasan.

Persoalannya, sudahkah kita bersedia untuk menempuh alam-alam yang seterusnya dengan amal ibadah kita yang kita sendiri tidak tahu sama ada ia diterima atau tidak oleh ALLAH S.W.T. Namun, amal dan ibadat harus terus kita lakukan tanpa gagal. Semoga ALLAH S.W.T. menerima amal ibadat kita.

Teringat ceramah dari seorang ustaz di dalam ceramahnya di You Tube, manusia bermula dengan mati kemudian dihidupkan, seterusnya dimatikan semula dan akhirnya akan terus hidup.

Apa yang difahami, mati yang pertama itu adalah di Alam Roh di mana kita hanya ada Roh sahaja sedangkan tiada jasad. Kemudiannya akan hidup di dalam rahim dan dilahirkan di dunia.

Mati seterusnya apabila kita akan dimasukkan ke dalam kubur. Di situlah tempat tinggal kita buat sementara sehingga tiupan sangka kala yang kedua yang akan membangkit dan menghidupkan mayat-mayat dari kubur untuk menjalani pula kehidupan sehinggalah ke hari pembalasan.   

Rujukan gambar >> KLIK <<


Selepas itu manusia tidak akan mati lagi kerana pada ketika itu, manusia yang banyak beramal soleh sedang sibuk di syurga melayani bidadari-bidadari syurga manakala yang melakukan mungkar akan diberi balasan dan hukuman yang sewajarnya mengikut perbuatan salah masing-masing ketika berada di dunia.

Kita kejar mana? Dunia atau akhirat?

Saturday, December 14, 2013

PANGGILAN ILLAHI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kita sebagai ibu bapa, sekiranya memanggil anak kita tetapi dia tidak menyahut walaupun dia hanya duduk di depan mata kita, apa perasaan kita? Marah? Sakit hati? Rasa nak lempang anak? Itu baru sekali kita panggil, kalau 2,3, kali kita panggil tapi dia buat 'keras' je, tak ke lagi mendatangkan marah!

Bagaimana pula sekiranya kita terdengar panggilan azan? Panggilan dari ALLAH SWT supaya kita menunaikan solat. Adakah kita akan segera pergi menunaikan solat atau masih mendiamkan diri, bahkan sehingga selesai azan kita tidak bergerak-gerak lagi untuk menunaikan solat. 

Agak-agaknya apakah pandangan ALLAH SWT terhadap kita?

Persoalan ini ditinggalkan untuk kita sama-sama muhasabah diri masing-masing. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya.., yang lalai dan alpa.

Sunday, November 24, 2013

JUMAAT SEBAGAI CUTI HUJUNG MINGGU?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam but nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah.. Tahniah kepada rakyat Johor terutamanya bagi mereka yang beragama Islam kerana cuti mingguan negeri tersebut telah ditukarkan kepada hari JUMAAT dan Sabtu sepertimana negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Hari JUMAAT merupakan hari kebesaran bagi umat Islam, memang berpatutanlah sekiranya hari JUMAAT diiktiraf sebagai cuti mingguan. Antara rasionalnya ialah :

a) Bagi pekerja lelaki, tidak perlu terkejar-kejar ke masjid untuk menunaikan Solat JUMAAT oleh kerana waktu rehat yang singkat.

b) Kaum lelaki yang bekerja boleh membersihkan diri dan memakai pakaian yang bersih dan wangi-wangian untuk menunaikan Solat JUMAAT.

c) Waktu rehat bagi kakitangan kerajaan pada hari JUMAAT ialah selama 2 jam 30 minit. Peruntukan waktu rehat yang panjang boleh menjejaskan produktiviti dan perkhidmatan, justeru adalah lebih elok hari JUMAAT Adalah hari cuti.

d) Tiada alasan bagi pekerja yang tidak tidak boleh meninggalkan tempat bertugas untuk tidak bersolat JUMAAT.



Semoga suatu hari nanti, kesemua negeri di Malaysia dapat melaksanakan cuti mingguan pada hari JUMAAT dan Sabtu.

Wallahuaklam.

Sunday, July 14, 2013

ANTARA SOLAT DAN PUASA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

SOLAT dan PUASA sama penting dan wajib dilakukan. 2 perkara ini memang terdapat di dalam Rukun Islam. Namun, ada seorang ilmuan ISLAM pernah berkata yang bermaksud :

"Orang yang menjaga solatnya sudah tentu akan berpuasa manakala orang yang tidak menjaga solatnya belum tentu akan berpuasa"

Pada peribadinya, aku amat bersetuju dengan kenyataan di atas. Kalau kita berpuasa namun tidak bersolat, maka yang akan diperoleh bukanlah pahala, tetapi hanya lapar dan dahaga. 

Begitulah pentingnya SOLAT. Kita diajar untuk mendirikan SOLAT sejak dari umur 7 tahun lagi. Namun, ramai 'orang kita' membuat kesilapan dengan mengajar anak kecil berpuasa terlebih dahulu, tetapi SOLAT tidak diajarnya dengan mengharapkan mereka akan belajar sendiri apabila besar kelak. 

Kesian anak-anak kecil melepuk menahan kelaparan atas dasar mahu mengajar anak itu berpuasa. Kalau kita sanggup membiarkan anak kita kelaparan, maka kita juga harus sanggup memukul anak kita yang umurnya mencecah 10 tahun tetapi masih tidak bersolat. 

"Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah mereka kerana tidak bersolat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka"

Hadith Riwayat : Ahmad dan Abu Daud

Sekian, untuk perhatian bersama di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Bukan niat untuk mengajar tetapi untuk pengetahuan kita bersama. Semoga kita peroleh manfaat daripadanya.

Thursday, April 4, 2013

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W KEPADA SAIDINA ALI R.A


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Alhamdulillah, aku suka bersembahyang Jumaat di sebuah masjid ini, selain daripada dapat mendengar khutbah, di masjid ini kerap mengedarkan risalah-risalah ilmu untuk bacaan para jemaah. 

Jadi, dikesempatan ini aku ingin berkongsikan sedikit ilmu yang terkandung dalam risalah tersebut dan semoga ianya dapat dimanfaatkan oleh kita. Insha Allah.

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W KEPADA SAIDINA ALI R.A :

Wahai Ali, bagi orang mukmin itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
2. Tidak terpesona dengan pujuk rayu
3. Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali, bagi orang alim itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Jujur dan berkata-kata
2. Menjauhi segala yang haram
3. Merendahkan diri

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Merahsiakan ibadahnya
2. Merahsiakan sedekahnya
3. Merahsiakan ujian yang menimpanya

Wahai Ali, bagi orang yang takwa itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Takut berlaku dusta dan keji
2. Menjauhi kejahatan
3. Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman

Wahai Ali, bagi ahli ibadat itu ada 3 tanda-tandanya :

1. Mengawasi dirinya
2. Menghisap dirinya
3. Memperbanyakkan ibadah kepada Allah S.W.T

Wallahuaklam.

Friday, February 8, 2013

MATI SYAHID PUN BELUM TENTU MASUK SYURGA



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Benda yang baik apa kata kita saling sampai-menyampaikan agar ianya menjadi satu ilmu kepada semua yang boleh dimanfaatkan bersama.

Saya terbaca tentang ilmu yang disampaikan ini melalui blog komensen. Semoga kita sama-sama dapat membacanya dengan teliti dan sebolehnya kita mengelakkan diri daripada perkara yang dilarang itu iaitu RIAK. 

Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda :

Yang pertama kali diseru pada hari kiamat adalah orang yang menghafal Al-Quran, orang yang mati syahid dan orang kaya.

Kepada orang-orang yang menghafal Al-Quran, Allah berfirman : "Apakah Aku tidak mengajar kamu membaca Al-Quran yang Aku turunkan kepada Rasul-Ku?"

Jawab mereka : "Tentu sahaja, ya Tuhanku"

Firman Allah seterusnya : "Untuk apa ilmu yang engkau miliki itu?"

Jawab mereka : "Saya amalkan dan saya kaji siang dan malam"

Firman Allah lagi : "Engkau dusta!"

Para Malaikat juga berkata : "Kamu dusta!"

Firman Allah : "Sebenarnya engkau ingin mendapat pujian dari orang ramai bahawa engkau seorang Qari. Maka cukuplah pujian ramai sebagai pahala untukmu"

Sekarang, giliran orang kaya pula dihadapkan kepada Allah.

Firman Allah : "Apakah Aku tidak memberi kekayaan kepada mu, hingga engkau tidak memerlukan sesiapa pun?"

Jawabnya : "Tentulah ya Tuhanku. Hamba telah mendapat kakayaan dari-Mu".

Seterusnya Allah berfirman : "Engkau gunakan kekayaan yang Aku berikan itu untuk apa?"

Dia menjawab : "Saya gunakan untuk bersilatulrahim dan bersedekah"

Maka Allah berfirman : "Engkau berdusta!"

Firman Allah seterusnya : "Sesungguhnya engkau ingin mendapat pujian sebagai seorang yang pemurah. Nah, ambillah pujian itu sebagai bahagian untuk mu"

Kini, tiba giliran yang yang mati syahid dihadapkan kepada Tuhan.

Allah berfirman : "Apa yang engkau lakukan selama di dunia?"

Jawabnya : "Saya diperintahkan untuk turut serta dalam Perang Sabil dan perintah itu saya turuti hingga saya mati dalam peperangan itu"

Firman Allah : "Kamu dusta!"

Kemudian Allah berfirman : "Sebenarnya engkau hanya ingin dipuji sebagai seorang pahlawan yang berani dan pujian itulah bahagian untukmu".

Kemudian Rasulullah menepuk lututku sambil bersabda : "Ya Abu Hurairah, mereka itu adalah orang-orang yang mula-mula sekali merasakan panasnya api neraka".


Subhanallah, orang yang kita sangkakan baik itu juga tidak terlepas daripada azab Allah, apakan pula kita ini insan biasa yang senantiasa melakukan dosa kesalahan dalam keadaan sedar atau tidak.

Sumber : Komensen 

Tuesday, January 29, 2013

TIDAK HARAM BERTUDUNG SANGGUL TINGGI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya isu bertudung sanggul tinggi ini telah lama dibangkitkan. Dalam pemerhatian aku, memang banyak blog menyuarakan isu ini. Ada yang menyatakan ianya Harus dan ada juga menyatakan Haram dengan hujah dan dalil-dalil tertentu.

Sebenarnya pemakaian tudung bersanggul tinggi adalah tidak Haram selagi ianya dipakai mengikut syariat Islam, menutup aurat, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak membangkitkan syahwat kepada bukan mahramnya.

Kebanyakkan yang menyatakan ianya Haram setelah berhujah melalui dalil ini :

Rasulullah bersabda: "Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula (wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat." (Riwayat Ahmad).  

Dan satu lagi :

"Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka di dunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini." (Riwayat Muslim).

Menurut dari ceramah yang aku dengar, hanya bersanggul tinggi seperti bonggolan unta itu bukanlah satu dalil bagi mengharamkan pemakaian sanggul tinggi ini. Sebaliknya ia terdapat 3 elemen penting yang harus disatukan baharulah ia jatuh kepada haram atau yang dikatakan sebagai wanita terlaknat dan tidak akan memasuki syurga seperti yang dimaksudkan.

3 elemen tersebut ialah wanita yang (1) berpakaian tetapi seperti telanjang, (2) berjalan bergoyang dan berlenggang lenggok serta (3) bersanggul seperti unta. Maka, sekiranya setakat bersanggul seperti bonggol unta, ianya tidak jatuh Haram kerana 3 elemen ini sebenarnya saling lengkap melengkapi. 

Sebenarnya siapakah Rasulullah S.A.W maksudkan dengan wanita yang mempunyai ketiga-tiga elemen ini? Golongan sebegini dinyatakan Baginda Rasulullah S.A.W sendiri tidak pernah melihatnya di dalam dunia ini. Jadi siapakah golongan wanita ini?

Melalui apa yang disampaikan ustaz tersebut di dalam ceramahnya, golongan wanita ini saling bersamaan seperti wanita yang memperagakan pakaian iaitu ratu cantik.

Ratu cantik kebiasaanya apa yang kita dapat lihat? Berpakaian tetapi seperti telanjang? Ya benar. Berjalan bergoyang-goyang dan berlenggang lenggok? Ya benar. Bersanggul yang berbonggol seperti unta? Kebiasaannya benar. Jadi mungkinkah golongan ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W? Kita sendiri fikir-fikirkan.

Kembali semula kepada persoalan bersanggul tinggi. Sebenarnya ia adalah harus selagi ia tidak bertentangan dari apa yang aku tulis di para kedua di atas. Jadi, usahlah kita haram mengharamkan wanita yang bersanggul. Manalah kita tahu hakikatnya wanita tersebut sememangnya berambut panjang dan untuk mengelakkan rambutnya mengurai sehingga menampakkan rambutnya di sebalik tudung, adalah harus mereka bersanggul bagi mengelakkan rambutnya kelihatan.

Namun, hukum bersanggul akan jatuh Haram sekiranya wanita menyambung rambutnya dengan rambut palsu atau menyanggul dengan rambut palsu. 

Berikut adalah beberapa dalil dalam pengharaman menyambung rambut dengan rambut palsu :

Dari Asma R.A berkata, “Seorang wanita datang kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk bertanya, ‘Ya Rasulullah, aku mempunyai seorang anak perempuan yang akan kawin. Ia ditimpa penyakit campak sehingga rambutnya rontok. Apakah aku boleh menyambung rambutnya?’ Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya dan yang meminta disambung (minta disanggul).” (Muttafaq alaihi) 

Aisyah R.A berkata, “Ada seorang budak perempuan dari Anshar telah menikah, tetapi ia dalam keadaan sakit, yang menyebabkan rambutnya rontok, lalu para keluarganya ingin menyambungnya. Namun sebelumnya mereka bertanya dulu kepada Rasulullah S.A.W. Setelah mendengar pertanyaan itu, beliau melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan.” (Muttafaq alaihi)

Semoga entri ini sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan bagi mereka yang terus menjatuhkan hukum Haram kepada mereka yang bertudung sanggul tinggi. Bukan aku nak tunjuk pandai tetapi ilmu ini adalah hak Allah S.W.T dan kita semua harus menyampai-nyampaikan mana yang benar. Semoga kita memperoleh manfaat daripadanya.

Apa-apapun, kita perlu bersederhana dalam keghairahan berfesyen. Janganlah keterlaluan. Hayatilah semangat wasatiyyah yang diterapkan di dalam sambutan Maulidur Rasul 1434 tempoh hari dan sesungguhnya Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Yang benar datangnya dari Allah S.W.T, mana yang salah dan silap datangnya dari diri aku sendiri.

Wallahuaklam.

Tuesday, January 8, 2013

JANGAN SAMPAI JADI BEGINI WAHAI SAUDARA SEAGAMA ISLAMKU...


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Orang-orang politik yang beragama Islam sama ada berkopiah putih atau bersongkok, tolonglah berasa amat prihatin kepada agama Islam kita yang suci ini. Jangan sekadar untuk mencari 'political mileage', sehinggakan Datuk Seri, Datuk-Datuk, Yang Berhormat sekalian sanggup untuk menggadaikan kesucian agama Islam kita dengan di sama-samakan dengan agama lain.
 
Ahli politik yang beragama Islam masing-masing kata menegakkan Islam. Yang di sini mengatakan negara ini negara Islam, di sana pula mengatakan memperjuangkan Islam, namun apabila pihak lain mahu menggunakan perkataan Allah di dalam agama mereka, kita hanya bertelagah sesama sendiri. Di manakah tindakan kita? Kita yang mempunyai kuasa di dalam negara, undang-undang kita yang luluskan tetapi mengapa kita takut laksanakan undang-undang.
 
Allah itu Esa, satu tiada duanya. Namun sanggupkah kita lihat agama lain juga menggunakan perkataan Allah sebagai tuhan mereka? Sekiranya mereka benar-benar mahu beriman dengan Allah, itu merupakan perkara yang digalakkan, namun jika mereka hanya mahu menggunakan perkataan Allah di dalam gereja, itu patut kita sangkalkan.
 
Mahukah suatu hari nanti kita mahu di Malaysia mempunyai gereja yang sebegini?
 
 
Sumber : Google Image
 
Sumber : Google Image

Kita yang sudah besar panjang ini pun agak sukar untuk menerimanya, apakan lagi kalau ada budak-budak yang melihatnya. Mahunya nanti budak-budak kecil akan berkata tuhan kita dan tuhan dia sama sahaja pasal menggunakan perkataan Allah.
 
Sekali lagi, saya menyeru (atau ada yang bersetuju dengan saya) agar orang-orang Islam di Malaysia ini perlu bersatu padu, bermuafakat, bermesyuarah sesama kita bagi memastikan Islam dan orang Islam tidak boleh dipermain dan diperkotak-katikkan oleh pihak lain. 
 
Andai kata politik orang-orang Islam lagi memecahbelahkan Islam, apa guna berpolitik??? 


Friday, December 21, 2012

SYAHADAH YANG SATU

Nyata Alam Kepenghujung,
Umat-Umat Tak Lagi Menyanjung,
Islam Agama Diperkatik,
Ulama Dipersetan,
Dikata Sesat,
Mufti Digambar Bak Anjing, Babi,
Ustaz, Pak Aji Digelar Busuk, Kotor,
Dimanakah Islam Kamu?

Islam,
Sana Islam Lain,
Sini Islam Kelain,
Mana Mungkin Bersatu,
Mereka Berhati Batu.

Kuman Seberang Sungai Lagi Dinampak,
Kain Koyak Terselak Peha Tidak Ditahu,

Oh.. Inilah Politik Islam, Melayu,
Kelak Lingkup Agama,
Lingkup Bangsa.

Cukup,
Tarik Nafas Dalam,
Istighfar,
Buang Ke Laut Hasad,
Campak Ke Hutan Dengki,
Bangsa Seagama Bersatu,
Ucap Syahadah Yang Satu.

F. B. Mamat
21 Disember 2012
Bukit Katil, Melaka

Friday, November 16, 2012

SALAM MAAL HIJRAH 1434

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
 
Mungkin entri ini agak terlewat kerana saya pulang ke rumah emak, di rumah emak tiada talian internet, oleh itu saya tidak dapat untuk membuat entri ucapan Maal Hijrah lebih awal.
 
Namun begitu, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434 kepada semua yang mengenali diri ini terutama kepada pembaca tegar blog ini.
 
Saya mengharapkan agar pada tahun baru ini kita sama-sama dapat meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.
 
Kepada rakan-rakan penulis blog, marilah kita saling ingat-mengingati dan berkongsi akan perkara yang membawa kepada kebaikan di dunia dan di akhirat.
 
Entri Tambahan :
 
:: Kata-kata FairusMamat ::
 
 

Friday, November 9, 2012

BILA ANAK KECIL PUN BERSEDEKAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semasa mendengar khutbah solat Jumaat sebentar tadi, saya ada memerhatikan seorang kanak-kanak berusia lingkungan 8 ke 9 tahun berjalan ke arah pintu masuk masjid. 

Sambil berjalan dia membuka dompetnya dan mengeluarkan wang kertas lalu dimasukkan ke dalam tabung masjid yang terletak di muka pintu masjid tersebut.

Mari bersama kita amalkan sikap suka bersedekah

Di dalam hati terdetik betapa mulianya anak kecil itu dan terus menginsafi diri yang kadangkala agak lalai untuk mengeluarkan duit untuk menderma ke tabung masjid. Sedangkan sudah termaktub bahawasanya sedekah amal jariah merupakan amalan yang tidak terputus apabila seorang Muslim meninggal dunia.

Dari Abu Hurairah R. A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda "apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya"

Mudahnya :

1) Bersedekah ke jalan Allah S.W.T
2) Memberi ilmu yang bermanfaat
3) Doa dari anak yang soleh

(Ps : Andaikata apa yang saya kongsikan ini juga tergolong dari "memberi ilmu yang bermanfaat",  alangkah syukurnya)