Showing posts with label hari guru. Show all posts
Showing posts with label hari guru. Show all posts

Tuesday, May 16, 2023

Ucapan Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di seluruh negeri! Tema tahun 2023 ialah "Guru Insani Pemangkin Generasi Madani". 

Sebagai guru insani, guru sudah pasti memahami bahawa kejayaan dalam pendidikan tidak hanya berpusat pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga membentuk pelajar yang penuh dengan kesabaran, kepercayaan diri, berdisiplin dan hampir kesemuanya termasuk pengetahuan agama yang kuat. Oleh itu, tugas sebagai guru insani adalah untuk membantu pelajar mengekalkan nilai murni dan keperibadian yang positif.

Sebagai pemangkin generasi madani, guru memainkan peranan penting bagi pembangunan masyarakat yang bernilai, bermoral dan memberikan sumbangan yang bererti tidak hanya bagi diri sendiri tetapi juga bagi masyarakat sekitar. Selaku tenaga pendidik, guru harus berfikir jangka panjang di mana kejayaan bukan hanya memiliki sijil tetapi juga menjadi pemimpin yang selayaknya pada masa akan datang.

Saya ingin mengucapkan semoga guru-guru semua terus memberikan kesan positif pada pendidikan di negara kita dengan menjadi model pengajaran yang mencetuskan generasi madani yang cemerlang, gemilang dan terbilang. 

Selamat Hari Guru!

Sunday, May 16, 2021

SELAMAT HARI GURU 2021

Guru adalah insan yang sering dikaitkan dengan lilin. Mereka sanggup membakar diri demi menerangi insan-insan lain khususnya anak-anak didik. Pengorbanan seorang guru begitu besar, mendidik anak bangsa agar berjaya kemudian hari di dunia dan akhirat.


Hari Guru di Malaysia disambut pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Jika semasa di sekolah dahulu, Hari Guru merupakan sambutan yang amat dinanti-nantikan kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik melibatkan guru-guru dan murid-murid. Namun kini, pendamik Covid-19 telah membataskan semua itu dari dilaksanakan, ditambah lagi dengan sesi pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada tahun 2021 ini, tema Hari Guru ialah "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu". Secara peribadi, saya amat suka akan tema ini. 

Kini, pelbagai ujian dan peperiksaan telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan, situasi yang tidak berorientasikan peperiksaan telah membuka lembaran baharu bagi pelajar menonjolkan diri ke arah apa yang diminati dan kecenderungan mereka. Tidak bermakna kekurangan dari segi akademik, seseorang itu tidak boleh berjaya, malah kebanyakan mereka lebih berjaya dari pelajar yang memasuki universiti.

Justeru, murid-murid perlu menanamkan niat untuk apa berguru, pastinya ia untuk mendapatkan ilmu. Ilmu itu pun luas, banyak bidangnya. Jika suka sesuatu bidang ilmu, carilah guru yang selayaknya kemudian barulah generasi dapat dibina dan dibentuk mengikut acuan-acuan atau bidang-bidang mengikut kecenderungan masing-masing.

Kesempatan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada guru-guru, ustaz dan ustazah serta para pensyarah universiti yang telah membentuk saya untuk menjadi "manusia". Insyaallah, segala ilmu yang telah dicurahkan menjadi bekalan kalian sepertimana yang telah tertulis bahawa antara amalan yang berterusan selepas meninggal dunia ialah Ilmu Yang Bermanfaat.

Akhir kata Selamat Hari Guru dari saya buat semua pendidik sama ada yang saya kenali atau tidak. Terimalah serangkap pantun dari saya :

Manuskrip Melayu mari disalin,
isinya tersurat pesan memesan;
guru-guru umpama lilin,
membakar diri menerangi insan.

Lihat juga sajak saya perihal guru yang telah saya karang pada tahun 2012 bertajuk Kembali Kepada Lilin.