Showing posts with label halal. Show all posts
Showing posts with label halal. Show all posts

Friday, March 7, 2014

PERKENALKAN LOGO HARAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari ini khutbah Jumaat di masjid perihal makanan Halal. Makanan yang Halal lagi baik itu adalah makanan yang terhindar dari benda yang haram dan unsur syubhah. 

Kita orang Islam kalau nak membeli barangan makanan memang sering meneliti dulu sama ada barangan tersebut mempunyai logo Halal atau tidak. Tak kiralah logo Halal manapun, janji ada logo Halal, kitapun beranggapan ianya Halal. 

Sebenarnya ada logo Halal yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), ada juga logo Halal dipalsukan demi untuk mengaut keuntungan dari pengguna Islam.

Sampai bila umat Islam di Malaysia terus ditipu? Rasanya tanpa disedari, sudah banyak makanan Haram yang telah masuk ke dalam perut umat Islam pada zaman sekarang. Pasal itulah generasi sekarang hatinya begitu 'keras'.

Sudah tiba pada saatnya Kerajaan Malaysia melalui jabatan atau agensi tertentu membuat satu logo baru untuk barangan makanan dan lain-lain barangan berkaitan iaitu logo Haram.



Rasanya dengan adanya logo Haram akan lebih 'menyeramkan' pengguna Islam untuk membeli barangan tersebut berbanding logo Halal yang berbagai-bagai jenis.

Begitu juga rokok, harus ada logo Haram di kotak rokok. Manalah tahu, dengan kaedah sebegini boleh barulah tabiat merokok di kalangan umat Islam boleh diberhentikan. (termasuklah dengan si penulis) 

*****

Mungkin ada yang akan berkata, makanan Halal itu bukan sahaja dari keadaan zahir dan batin makanan yang kita beli. Ia juga melibatkan dalam beberapa aspek lagi, seperti :

a) Memakan makanan dari hasil mencuri

b) Membeli makanan untuk anak-anak dan isteri hasil dari rasuah

c) Menjana pendapatan dengan hasil menipu

d) Menerima pendapatan bulanan tetapi kerap ponteng kerja, melepak dan makan terlalu lama dan sebagainya.

Ps : Sedang muhasabah diri sendiri.

Tuesday, January 29, 2013

TIDAK HARAM BERTUDUNG SANGGUL TINGGI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya isu bertudung sanggul tinggi ini telah lama dibangkitkan. Dalam pemerhatian aku, memang banyak blog menyuarakan isu ini. Ada yang menyatakan ianya Harus dan ada juga menyatakan Haram dengan hujah dan dalil-dalil tertentu.

Sebenarnya pemakaian tudung bersanggul tinggi adalah tidak Haram selagi ianya dipakai mengikut syariat Islam, menutup aurat, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak membangkitkan syahwat kepada bukan mahramnya.

Kebanyakkan yang menyatakan ianya Haram setelah berhujah melalui dalil ini :

Rasulullah bersabda: "Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula (wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat." (Riwayat Ahmad).  

Dan satu lagi :

"Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka di dunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini." (Riwayat Muslim).

Menurut dari ceramah yang aku dengar, hanya bersanggul tinggi seperti bonggolan unta itu bukanlah satu dalil bagi mengharamkan pemakaian sanggul tinggi ini. Sebaliknya ia terdapat 3 elemen penting yang harus disatukan baharulah ia jatuh kepada haram atau yang dikatakan sebagai wanita terlaknat dan tidak akan memasuki syurga seperti yang dimaksudkan.

3 elemen tersebut ialah wanita yang (1) berpakaian tetapi seperti telanjang, (2) berjalan bergoyang dan berlenggang lenggok serta (3) bersanggul seperti unta. Maka, sekiranya setakat bersanggul seperti bonggol unta, ianya tidak jatuh Haram kerana 3 elemen ini sebenarnya saling lengkap melengkapi. 

Sebenarnya siapakah Rasulullah S.A.W maksudkan dengan wanita yang mempunyai ketiga-tiga elemen ini? Golongan sebegini dinyatakan Baginda Rasulullah S.A.W sendiri tidak pernah melihatnya di dalam dunia ini. Jadi siapakah golongan wanita ini?

Melalui apa yang disampaikan ustaz tersebut di dalam ceramahnya, golongan wanita ini saling bersamaan seperti wanita yang memperagakan pakaian iaitu ratu cantik.

Ratu cantik kebiasaanya apa yang kita dapat lihat? Berpakaian tetapi seperti telanjang? Ya benar. Berjalan bergoyang-goyang dan berlenggang lenggok? Ya benar. Bersanggul yang berbonggol seperti unta? Kebiasaannya benar. Jadi mungkinkah golongan ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W? Kita sendiri fikir-fikirkan.

Kembali semula kepada persoalan bersanggul tinggi. Sebenarnya ia adalah harus selagi ia tidak bertentangan dari apa yang aku tulis di para kedua di atas. Jadi, usahlah kita haram mengharamkan wanita yang bersanggul. Manalah kita tahu hakikatnya wanita tersebut sememangnya berambut panjang dan untuk mengelakkan rambutnya mengurai sehingga menampakkan rambutnya di sebalik tudung, adalah harus mereka bersanggul bagi mengelakkan rambutnya kelihatan.

Namun, hukum bersanggul akan jatuh Haram sekiranya wanita menyambung rambutnya dengan rambut palsu atau menyanggul dengan rambut palsu. 

Berikut adalah beberapa dalil dalam pengharaman menyambung rambut dengan rambut palsu :

Dari Asma R.A berkata, “Seorang wanita datang kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk bertanya, ‘Ya Rasulullah, aku mempunyai seorang anak perempuan yang akan kawin. Ia ditimpa penyakit campak sehingga rambutnya rontok. Apakah aku boleh menyambung rambutnya?’ Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya dan yang meminta disambung (minta disanggul).” (Muttafaq alaihi) 

Aisyah R.A berkata, “Ada seorang budak perempuan dari Anshar telah menikah, tetapi ia dalam keadaan sakit, yang menyebabkan rambutnya rontok, lalu para keluarganya ingin menyambungnya. Namun sebelumnya mereka bertanya dulu kepada Rasulullah S.A.W. Setelah mendengar pertanyaan itu, beliau melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan.” (Muttafaq alaihi)

Semoga entri ini sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan bagi mereka yang terus menjatuhkan hukum Haram kepada mereka yang bertudung sanggul tinggi. Bukan aku nak tunjuk pandai tetapi ilmu ini adalah hak Allah S.W.T dan kita semua harus menyampai-nyampaikan mana yang benar. Semoga kita memperoleh manfaat daripadanya.

Apa-apapun, kita perlu bersederhana dalam keghairahan berfesyen. Janganlah keterlaluan. Hayatilah semangat wasatiyyah yang diterapkan di dalam sambutan Maulidur Rasul 1434 tempoh hari dan sesungguhnya Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Yang benar datangnya dari Allah S.W.T, mana yang salah dan silap datangnya dari diri aku sendiri.

Wallahuaklam.

Monday, October 4, 2010

TELITI APA YANG DIBELI

Pada masa kini pelbagai lambakan barang-barang makanan yang terdapat di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya di Malaysia. Tak kiralah dari barangan keperluan dapur, makanan segera mahupun makanan yang disebut sebagai "jajan". Adakah kita pasti bahawa semua makanan ini adalah Halal?


Logo Halal pula terdapat banyak versi. Ada versi Malaysia, versi negeri-negeri di Malaysia dan juga versi negara pengeluar atau sekadar yang hanya menulis perkataan Halal sahaja. Yang mana satu versi harus kita ikuti?


Oleh yang demikian, kita seharusnya lebih teliti tentang hal ini kerana setiap makanan yang kita makan akan menjadi darah daging dalam tubuh kita. Bagi orang Islam, sesuatu makanan yang kita makan bukan sahaja perlu Halal tetapi perlulah terdiri dari makanan yang baik juga. Kerana terdapat ayat-ayat di dalam Al-Quran, apabila ia menjelaskan tentang aspek pemakanan ia akan menyebut perkataan HALALAN TOYIBAN yang bermaksud Halal lagi baik.


Dalam aspek memberi pertolongan pada orang susah atau memberi hadiah "hamper" barang makan kepada para pemenang juga harus diteliti. Berilah barang yang disahkan Halal untuk diberikan kepada orang lain. Perkara ini saya sendiri pernah lalui di mana saya menerima "hamper" barangan makanan semasa menyertai suatu pertandingan. Semasa membuka "hamper" tersebut saya teliti setiap makanan satu persatu, terkejut juga saya kerana ada dua bungkusan makanan ringan langsung tidak mempunyai logo Halal, lalu saya terus membuangnya dalam tong sampah. Di sini menjadi pengajaran kepada setiap penganjur bagi memastikan barang makanan yang diberikan hendaklah dipastikan Halal terlebih dahulu dan bukan sewenang-wenangnya memberi makanan yang tidak diketahui Halal atau Haram.


Kesimpulannya, sebagai pengguna Islam, kita seharusnya menjadi seorang yang lebih teliti tentang apa yang kita makan. Telitilah logo Halalnya, telitilah isi kandungannya dan ramuan sesuatu bahan. Sekiranya ia meragukan, usahlah di beli. Kita adalah pengguna Islam dan wajib membeli hanya yang Halal.



Friday, September 17, 2010

BUKU HALAL HARAM


Saja ingin berkongsi, sesiapa yang mahukan maklumat mengenai apa yang kita makan selama ini HALAL atau HARAM silalah dapatkan dan baca buku ini. Terdapat banyak informasi yang akan memeranjatkan anda.