Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

Monday, June 3, 2024

Nak Jadi Guru? Ikut Pesanan Abdullah Munsyi



Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi @ Munshi Abdullah di dalam Hikayat Abdullah ada mencatatkan lima perkara yang perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi guru. Lima perkara tersebut ialah :

1. Hendaklah ada pengetahuan.

2. Hendaklah jangan ia membesarkan dirinya sebab pengetahuannya itu.

3. Hendaklah ada ia sabar daripada kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan.

4. hendaklah diketahuinya tiap-tiap perkataan yang diajarkannya itu dari mana asalnya, dan bagaimana memakai ia.

5. Hendaklah ia rajin serta usaha.

Thursday, March 31, 2022

Pernah Dulu Bercita-Cita Menjadi Guru Tapi Tak Lulus Peperiksaan Untuk Jadi Guru

Perkongsian ilmu bersempena lawatan akademik pelajar UKM

Pernah satu ketika dahulu aku bercita-cita untuk menjadi guru. Dalam ahli keluarga aku, abang sulong aku merupakan seorang guru. Bapa dan emak saudara, sepupu sepapat aku ramai yang bekerjaya sebagai guru. Jadi, terdetik dalam sanubari aku keinginan menjadi seorang guru seperti mereka.

Tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku pernah memohon maktab perguruan. Telah duduki peperiksaan, namun gagal. Gagal. Tak pasti di mana silapnya. Mungkin dahulu otak aku belum cukup bergeliga sehingga boleh dibuat batu cincin. Walaupun pada hakikatnya, ramai yang menyatakan negara kekurangan guru lelaki. Kenapa aku tak terpilih? (Huk aloh... Sebab gagal ujian nak jadi cikgu le tu). 

Aku sambung ambil Ijazah Pertama setelah tamat tingkatan 6. Akan tetapi selepas itu tidak pula aku mencuba untuk mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebab mungkin kerana selepas beberapa bulan graduasi, aku telah mendapat kerja. jadi, impian aku untuk menjadi guru, aku sendiri yang kuburkan.

Sekarang, sudah 15 tahun aku bertugas dalam bidang pemuziuman. Dalam 15 tahun ni telah banyak bahagian dan unit telah aku bertugas. Dari unit pendaftaran, operasi muzium, konservasi, pemasaran dan kini di seksyen penyelidikan. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman yang telah aku timba dalam dunia pemuziuman. Namun aku sedar, aku bukanlah hebat, aku sekadar pekerja biasa-biasa sahaja. Tiada yang istimewanya.

Bagusnya di sini, aku berpeluang untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan mengajar, namun berkongsi ilmu. Sedikit ilmu yang aku ada, aku kongsikan agar dapat memberikan manfaat kepada yang ingin menerimanya. Jadi, aku boleh merasa juga diri ini sebagai guru. Menyampaikan ilmu kepada masyarakat dari peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke pelajar yang mengambil PhD yang hadir ke muzium untuk mendapatkan maklumat.

Sunday, May 16, 2021

SELAMAT HARI GURU 2021

Guru adalah insan yang sering dikaitkan dengan lilin. Mereka sanggup membakar diri demi menerangi insan-insan lain khususnya anak-anak didik. Pengorbanan seorang guru begitu besar, mendidik anak bangsa agar berjaya kemudian hari di dunia dan akhirat.


Hari Guru di Malaysia disambut pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Jika semasa di sekolah dahulu, Hari Guru merupakan sambutan yang amat dinanti-nantikan kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik melibatkan guru-guru dan murid-murid. Namun kini, pendamik Covid-19 telah membataskan semua itu dari dilaksanakan, ditambah lagi dengan sesi pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada tahun 2021 ini, tema Hari Guru ialah "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu". Secara peribadi, saya amat suka akan tema ini. 

Kini, pelbagai ujian dan peperiksaan telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan, situasi yang tidak berorientasikan peperiksaan telah membuka lembaran baharu bagi pelajar menonjolkan diri ke arah apa yang diminati dan kecenderungan mereka. Tidak bermakna kekurangan dari segi akademik, seseorang itu tidak boleh berjaya, malah kebanyakan mereka lebih berjaya dari pelajar yang memasuki universiti.

Justeru, murid-murid perlu menanamkan niat untuk apa berguru, pastinya ia untuk mendapatkan ilmu. Ilmu itu pun luas, banyak bidangnya. Jika suka sesuatu bidang ilmu, carilah guru yang selayaknya kemudian barulah generasi dapat dibina dan dibentuk mengikut acuan-acuan atau bidang-bidang mengikut kecenderungan masing-masing.

Kesempatan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada guru-guru, ustaz dan ustazah serta para pensyarah universiti yang telah membentuk saya untuk menjadi "manusia". Insyaallah, segala ilmu yang telah dicurahkan menjadi bekalan kalian sepertimana yang telah tertulis bahawa antara amalan yang berterusan selepas meninggal dunia ialah Ilmu Yang Bermanfaat.

Akhir kata Selamat Hari Guru dari saya buat semua pendidik sama ada yang saya kenali atau tidak. Terimalah serangkap pantun dari saya :

Manuskrip Melayu mari disalin,
isinya tersurat pesan memesan;
guru-guru umpama lilin,
membakar diri menerangi insan.

Lihat juga sajak saya perihal guru yang telah saya karang pada tahun 2012 bertajuk Kembali Kepada Lilin.

Saturday, October 5, 2013

BENTUK HUKUMAN DI SEKOLAH : WAJAR ATAU TIDAK?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Masa di sekolah rendah dan menengah dulu, denda merupakan suatu yang biasa bagi aku. Iyalah, aku ni pun bukannya baik sangat, mangkau (bahasa Melaka) jugak. Setakat kena rotan, kena gunting misai, sideburn, memang biasa dah.

Dulu, kalau nak mengadu dengan mak bapa pasal kena denda, memang tak lah. Silap-silap lagi kena tambah dengan mak bapa. 

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Baru-baru ni, aku ada terbaca larangan kepada guru-guru sekolah mengenakan denda kepada murid-murid bagi denda-denda yang berikut :

HUKUMAN TERHADAP FIZIKAL

1. Berdiri lama di tengah panas
2. Lari keliling padang
3. Berdiri lama dalam / luar bilik darjah
4. Memukul diri sendiri / sesama sendiri
5. Berdiri di atas kerusi / meja
6. Menarik rambut / telinga
7. Belasah dengan alat seperti tali pinggang atau pembaris
8. Junjung kerusi atau buku
9. Cubit
10. Enjut / ketuk ketampi
11. Ketuk / sekel kepala

HUKUMAN TERHADAP MENTAL DAN EMOSI

1. Gunting rambut
2. Berdiri membuat latihan
3. Berleter
4. Gantung tulisan di badan
5. Memalukan dikhalayak ramai
6. Kelas tahanan pada waktu rehat
7. Memaki hamun
8. Conteng muka dengan kapur
9. Koyak buku latihan
10. Mengugut atau mengertak murid
11. Tidak menanda buku latihan
12. Tidak menghiraukan murid

Aku tak pastilah kewajaran larangan denda-denda tersebut tidak dipraktikan lagi di sekolah. Dulu ramai yang tak kisah, tapi sekarang ramai yang ambil kisah. Sama ada memanjakan anak atau memang tak mahu anak didenda oleh guru.

Pada peribadi aku sendiri, aku agak tidak kisah sekiranya anak aku didenda sedemikian rupa oleh guru. Kalau betul dia bersalah, terpulang pada cikgu untuk menghukumnya. Namun, dalam mengenakan denda, perlulah dengan niat untuk mengajar dan tidak sampai mengalami kecederaan.

Bagi aku, hukuman adalah pengajaran supaya seseorang murid tidak melakukan kesalahan yang sama sekali lagi. Apabila mengenangkan denda-denda yang pernah aku kena dahulu, sama sekali aku tidak menyimpan dendam kepada guru-guru. Malahan aku terfikir, sekiranya aku tidak didenda, mungkin aku akan jadi lebih malas dan bermasalah. 

Mengenangkan kesalahan-kesalahan yang lalu, iya, memang benar setiap denda merupakan hukuman kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan baik dari segi pelajaran mahupun disiplin. Jadi, tidak salahlah hukuman itu dikenakan terhadap aku kerana keingkaran yang dilakukan.

Namun, melihat pada bentuk-bentuk hukuman di atas, aku lihat ada yang masih boleh dikekalkan dan ada yang memang patut dihapuskan. Sebenarnya tak semua perlu dimansuhkan.

Pendapat korang pula macam mana?

Thursday, May 2, 2013

MELAWAT GURU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sebenarnya aku ni mempunyai peranan sebagai 'Admin' dan 'Admin bersama' dalam beberapa buah halaman Facebook. Ada halaman yang aku buat sendiri dan ada juga halaman yang aku dilantik sebagai 'Admin bersama'.

Salah satu halaman Facebook yang aku suka untuk menguruskan ialah Alumni sekolah lama aku. Itu pun ada seorang kawan lama yang lantik aku sebagai Admin agar halaman tersebut terus 'hidup'. Halaman tersebut mempuyai lebih 1500 orang pengikut. Kalau sekali mengepos status memang ramai yang komen dan 'like'.

Sebenarnya aku baru saja mula nak meriahkan lagi halaman tersebut. Memang halaman tu nampak muram saja. Masih aku ingat lagi kali terakhir aku menulis status pada November 2012, dan selepas itu ianya terus muram tanpa sebarang 'posting' walaupun Admin halaman tersebut mempunyai kira-kira 5 orang.

Pada April 2013, aku mula aktifkan semula halaman tersebut dan kembali memeriahkannya. Alhamdulillah, penerimaanya begitu positif di kalangan pengikut halaman. Setiap status mendapat maklumbalas yang agak memerangsangkan.

Pelbagai memori dan kenangan indah bersama dikongsikan dalam halaman ini dan tak lupa juga maklumat-maklumat, makluman dan lawak jenaka turut dikongsikan.

Walaupun Alumni ini bukanlah Alumni rasmi di pihak sekolah, namun sebagai orang yang telah dilantik sebagai Admin, aku berasa bertanggungjawab untuk memastikan ianya bukanlah sekadar habis begitu sahaja. Ianya perlu diuruskan dengan perkara-perkara yang dapat memberikan manfaat.

Pada hari ini (1 Mei 2013) aku telah membuat satu program ziarah ke rumah seorang guru yang kurang sihat di mana ianya memang telah dirancang melalui pengumuman di halaman Alumni tersebut. Mulanya ia mendapat maklumbalas yang baik, nampak seperti ramai saja yang mahu mengikutinya, namun akhirnya hanya aku dan seorang lagi teman yang menziarah cikgu tersebut. Teman Alumni tu pun aku kurang kenal, usianya 4,5 tahun lebih tua dari aku.


Sempat juga aku bergambar kenangan dengan cikgu ni. Alhamdulillah dia semakin sihat walaupun mempunyai penyakit 3 serangkai iaitu jantung, kencing manis dan darah tinggi. Namun badannya kelihatan agak susut berbanding dahulu.

Aku doakan semoga semua cikgu-cikgu aku dahulu sihat-sihat selalu dan dapat terus mengajar anak bangsa menjadi insan yang berguna.

Ps : Nak cerita pasal melawat guru saja, tapi mukadimmahnya bukan main panjang.. Hehe. Perasan tak?

Thursday, May 17, 2012

KEMBALI KEPADA LILIN

Kerapkali,
Acapkali Kau Di Samakan Dengan Sebatang Lilin,
Sanggup Membakar Diri,
Membakar Diri Untuk Menerangi Insan Lain,
Mulia Sungguh Kamu,
Mulia Sungguh Pekerjaan Kamu,
Ilmu Di Dada Kamu Taburkan,
Buat Anak Bangsa Mengenal Erti Kehidupan.

Sekali Terfikir Dalam Benak,
Dalam Batu Jemala,
Mengapa Lilin?
Benarkah Kau Umpama Lilin?
Kala Dulu, Ya...
Ya, Kau Lilin,
Namun Kini,
Ada Yang Lilin
Ada Yang Bukan Lilin,
Niat Hati Saja Yang Tahu.

Dalam Gelora Gen Y,
Kau Mesti Kembali Berubah,
Kembali Menjadi Lilin,
Pupuk Mereka Dengan Adanya,
Dengan Segala Kederat Yang Ada,
Mereka Memberontak,
Akal, Hati Penuhi Emosi,
Tak Tenteram,
Tak Damai,
Tak Ada Iman Dalam Dada,
Lilin Saja Dapat Merubah.

Rapatkan Saf Para Lilin,
Rapatkan Saf Para Lilin,
Rapatkan Saf Para Lilin,
Dunia Hidup Sementara,
Akhirat Baqa' Kekal,
Buang Ke Laut Segala Hasad,
Anak Didik Tempatkan Paling Atas.

F. B. Mamat
17 Mei 2012
Bukit Katil, Melaka

Wednesday, May 16, 2012

TRAFIK MENINGKAT SEMPENA HARI GURU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada tanggal 16 Mei di setiap tahun pastinya akan mengingatkan kita dengan sambutan Hari Guru. Begitu juga pada tahun ini, seluruh sekolah meraikan guru-guru dengan pelbagai program yang dirancang.

Pada masa saya bersekolah dulu, juga tidak ketinggalan meraikan sambutan Hari Guru. Seronok. Dapat meraikan guru dengan mengadakan jamuan, melihat persembahan guru-guru, memberi guru hadiah dan pelbagai lagi. Pendek kata, memang seronok tidak terhingga.

Kesempatan ini, nak ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di Malaysia terutama Abang Long saya dan ipar-ipar, Kak Long dan Kak Ita. Tak lupa juga pada sedara-mara yang bertugas sebagai guru dan semua bloggers guru yang tentunya seperti Cikgu Tie dan lain-lain. Semoga kalian terus berjaya dalam mendidik anak bangsa.

Erm.. Dalam diam-diam kerana sudah lama tidak mengeluarkan entri terbaru, tiba-tiba statistik pengunjung ke blog saya sehari dua ni bertambah banyak. Mula-mula saya ingatkan kerana terdapatnya banner blog saya di blog PCL Dot Com, tetapi sebenarnya kerana entri saya yang bertajuk Banner / Gambar Ucapan Selamat Hari Guru.

Inilah dalam sejarah saya berblog, pengunjung yang mengunjungi blog saya berjumlah lebih 500 pelawat dalam satu hari. Kalau hari-hari pelawat macam inikan bagus bagi seorang blogger  suam-suam kuku macam saya ni..


Ini statistik jumlah paparan dan pelawat pada pukul 7.00 malam tadi


Ini statistik pelawat dalam minggu ini


Ramai juga pengunjung yang mencari banner / gambar ucapan Hari Guru

Monday, May 16, 2011

BANNER / GAMBAR UCAPAN SELAMAT HARI GURU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Masa rehat tadi ada masa terluang sikit, jadi aku buat beberapa ucapan sempena Hari Guru ni. Bagi sesiapa yang berminat bolehlah ambil.







Sajak untuk guru >> KLIK <<



KERANAMU CIKGU, KU TAHU BACA DOA QUNUT

Guru umpama lilin. Sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain. Begitu mulianya kerjaya guru ini, bukan hanya mengajar malah memberikan pendidikan yang sempurna untuk memastikan setiap anak-anak muridnya berjaya di dunia dan di akhirat.

Kalau tiada guru, apa akan jadi kepada kita? Adakah ibu bapa kita sahaja yang boleh mengajar kita? Tidak. Gurulah insan yang paling layak untuk mengajar dan sekolah merupakan institusi pembelajaran yang wajib dihadiri oleh setiap anak-anak untuk menimba pelbagai ilmu.

Terkenang seketika dahulu semasa aku bersekolah rendah (darjah berapa tak ingat). Ada seorang ustazah mengajar membaca Doa Qunut. Beliau suruh kami semua menghafalnya dan minggu seterusnya dia akan menguji setiap murid dan memastikan kami semua menghafalnya. Nak dijadikan cerita, pada minggu yang dinantikan, aku dan beberapa orang murid-murid lain tak dapat menghafal Doa Qunut dan kami telah didenda. Nak tahu denda apa? Punyalah malu, kami semua kena merangkak-rangkak melalui sederet bangunan sekolah. Pergi dan balik merangkak. Pelajar-pelajar kelas lain tengok dan ketawa. Mak ooii.. Punyalah malu.

Tapi akhirnya, setelah bertungkus lumus cuba menghafal, aku berjaya menghafalnya. Alhamdulillah, sehingga kini aku hafal Doa Qunut. Kalau sesiapa yang belum menghafal Doa Qunut tu, di sini aku ada sediakan DOa Qunut untuk kita sama-sama menghafal dan mempraktikkannya.

Doa Qunut