Baru-baru ini bahagian pejabat saya telah membuat sesi fotografi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Gambar-gambar ini diambil untuk kenang-kenangan untuk dimuatkan ke media sosial jabatan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Saya ada memuatnaik sekeping gambar di laman Facebook dengan kapsyen "Berikan ku arang, akan ku genggam menjadi bara yang menyala".
Ada jugalah rakan-rakan yang komen mengatakan peribahasa saya salah. Sepatutnya peribahasa itu "genggam bara api hingga menjadi abu". Ya, saya tahu peribahasa itu. Maksud peribahasa ini ialah membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh hingga peroleh kejayaan.
Namun dalam aspek "semangat", genggam bara hingga menjadi abu membawa maksud semangat yang hilang. Awal-awal sahaja bersemangat, namun akhirnya semangat itu lenyap dan hancur berderai. Itulah yang sering terjadi pada diri kita. Mula-mula semangat berkobar-kobar untuk mengecapi sesuatu tapi akhirnya hilang begitu sahaja.
Justeru, saya ubah sedikit peribahasa tersebut menjadi sepotong frasa iaitu "genggam arang hingga menjadi bara yang menyala". Mungkin ada yang beranggapan bahawa adalah mustahil untuk menggenggam arang untuk menjadi bara. Tetapi itulah keistimewaannya, sesuatu yang LUAR BIASA, ajaib, di luar pemikiran namun tidak mustahil ia boleh terjadi.
Menjadi bara yang menyala pula membawa pengertian semangat yang berterusan, istiqamah, membara dan terus membara dalam pelaksanaan. Sesuatu pelaksanaan atau semangat tidak sepatutnya terhenti lalu hilang, bara yang menyala akan terus membara dan berkekalan agar tidak dikata orang sebagai hangat-hangat tahi ayam. Lihat, berapa ramai orang kita sebegini, akhirnya kecundang.
Akhir kalam, bukan niat saya untuk mengubah peribahasa, itu hanyalah pandangan peribadi dan falsafah serta metafora yang dapat saya hurai dan kaitkan dalam kehidupan seharian manusia terutama kita yang berbangsa Melayu.
Gambar bonus bersama |
Turut kelihatan di nombor 3 dari kiri ialah blogger Julia Ali yang juga merupakan seorang kakitangan di bahagian saya. 😎🤙🏼