Showing posts with label filem. Show all posts
Showing posts with label filem. Show all posts

Wednesday, January 24, 2024

Ulasan Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah

Terlebih dahulu, aku bukanlah seorang peminat menonton wayang, apatah lagi untuk mengulas sesuatu filem. Dan post ini bukanlah untuk mengulas filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah. 

Aku cuma nak berkongsi tentang tayangan amal yang telah kelab sukan dan kebajikan jabatan adakan. Tayangan amal ini diadakan 17 Januari yang lalu. Tema pakaian semasa menonton filem ini ialah busana Melayu atau Baju Kebangsaan. 

Aku ada 3 tanjak, tapi puas cari tak jumpa. Barangkali sudah terbuang masa rumah terbakar dulu


Ia berlaku dengan pantas. Perancangan hanya seminggu lebih sahaja. Sekali mesyuarat kemudian laksanakan gerak kerja dengan pantas. Alhamdulillah, sumbangan hasil jualan tiket amat memuaskan.

Berkenan cerita yang ditayangkan, tidak dapat aku ulas begitu jelas kerana aku sendiri masuk ke panggung wayang sudah terlewat kira-kira 20 minit. Kelewatan adalah disebabkan aku bertugas di luar panggung bagi memastikan kesemua pembeli tiket amal sudah hadir. Justeru, kisah permulaan cerita ini aku tidak tahu. 

Masuk-masuk panggung, aku hanya dapat menyaksikan aksi-aksi peperangan/ pergaduhan antara pihak British dan kumpulan Pendekar Awang. Aksi-aksi yang disajikan amat menarik, rugi rasanya masuk lambat kerana tak tahu cerita pangkalnya, tahu-tahu dapat tengok babak di pertengahan dan penghabisan saja. 

Apa-apapun, filem ini bagi aku amat menarik. Dapat meningkatkan semangat patriotik di kalangan warga negara khususnya bangsa Melayu. Siapa yang belum menonton lagi filem ini, aku sarankan agar kalian menontonnya. 

Friday, June 2, 2023

Review Filem : Ulasan Jujur Filem Polis Evo 3


Aku bukanlah seorang penonton filem yang tegar. Amat jarang sekali aku menonton di panggung wayang. Kalau ada pun, mungkin setahun sekali aku menonton wayang atau tidak pernah langsung menonton wayang dalam setahun. Justeru, apabila aku mula memberikan ulasan pada satu-satu filem, pastinya ada sesuatu yang ingin aku sampaikan.

Tanggal 2 Jun 2023 merupakan tarikh aku pergi menonton filem Polis Evo 3. Aku pergi menonton ini pun kerana isteriku mengajak. Jadinya, hari ini aku mengambil keputusan untuk memohon cuti dan pergi menonton wayang di GSC Aeon Bandaraya Melaka. 

Aku tak mampu untuk membuat ulasan bab teknikal tetapi apa yang aku ingin perkatakan bahawa filem ini menarik ditonton. Terdapat elemen-elemen aksi, lucu dan watak-watak yang dimainkan oleh para pelakon amat berkesan. Watak utama, Zizan Razak dan Shaheizy Sam begitu menonjol, dan ada kalanya aksi lucu yang dilakonkan nampak bersahaja. Walaubagaimana pun bagi aku, pengakhiran cerita telah dapat aku 'baca' dengan kesudahan happy ending.

Jalan cerita yang amat menarik. Tak sangka juga watak yang dimainkan oleh Sharnaaz Ahmad begitu kejam. Dalam masa yang sama, kesian juga kepadanya kerana melalui kisah silam yang begitu sadis akibat pembunuhan isterinya yang sedang mengandung. 

Dialog filem ini banyak juga menggunakan loghat negeri Terengganu sehingga terdapat beberapa dialog yang aku tak biasa dengari. Namun, usah bimbang kerana terdapat sari kata Bahasa Melayu turut dipaparkan.

Namun, sedikit hairan bagi aku, filem ini diklasifikasikan sebagai P13 di mana ia hanya boleh ditonton oleh individu berumur 13 tahun ke atas. Tetapi semasa aku menonton terdapat ramai ibu bapa yang membawa anaknya bersama, termasuklah aku yang membawa anak yang berumur 5 dan 8 tahun. Nampak tiada kawalannya di situ oleh pihak panggung wayang.

Tahniah kepada penerbit, pengarah dan para pelakon kerana berjaya menghasilkan filem aksi Melayu yang hebat. Dikhabarkan dalam beberapa hari tayangan, filem ini telah menjangkau kutipan tiket melebihi RM16 juta. Syabas!

Jika hendak diberi bintang, dari 5 bintang, aku memberinya 4 1/2 bintang!

Tuesday, September 18, 2012

I'M MUSLIM AND WHY ALWAYS ME!!!




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
 
Terlebih dahulu ingin dinyatakan bahawa entri ini menggunakan Bahasa Melayu, hanya tajuknya sahaja dari Bahasa Inggeris supaya kononya ia boleh dibaca oleh Mat Saleh terutamanya dari Amerika.
 
Innocence of Muslims. Inilah provokasi terbaru pihak kafir latnatullah dalam memperkecilkan Islam. Filem Innocence of Muslims ini digambar benar-benar menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengambarkan Nabi junjungan kita ini sebagai seorang yang bodoh, kaki perempuan, menipu agama dan sebagainya. Jelas, ini amat bertentangan dengan kefahaman kita dan ia sememangnya perlu ditolak dan dibantah dengan lantang.

Sejak dari peristiwa serangan 11 September 2001 lagi masyarakat Islam disalahkan kononnya ia berpunca dari kumpulan jihad Islam iaitu Al-Qaeda yang telah melakukan serangan terbabit. Kumpulan ini diketuai oleh Osama bin Laden dan beliau dikatakan bertanggungjawab di atas serangan di World Trade Center (WTC) dan juga di Pentagon. Selepas itu usaha memburu Osama bin Laden dijadikan lesen bagi Amerika Syarikat untuk mengebom Afganistan dengan amat dahsyat sekali.

Usaha Amerika memerangi keganasan di Afganistan bermula sepjak Oktober 2001 namun orang yang paling mereka kehendaki iaitu Osama bin Laden hanya berjaya dibunuh pada tahun 2011. Setelah hancur dibuatnya bumi Afganistan, setelah ramai nyawa muslimin yang terkorban dan mengambil masa hampir 10 tahun berperang akhirnya Osama bin Laden dapat dihapuskan. Mengapakah Amerika yang mempunyai peralatan dan senjata moden dan canggih agak sukar untuk menjejaki Osama bin Laden.

Why Always Me!!!

Tidak cukup dengan Afganistan, pada Mac 2003, negara Islam Iraq pula telah diserang oleh Amerika. Kerana apa? Hanya kerana mereka mengandaikan bahawa negara Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran. Namun setelah puas berperang, satu senjata pemusnah pun tidak dapat ditemui dan dikesan. Tiada apa bukti yang diperolehi dan Kumpulan Peninjau Iraq yang diketuai Amerika sendiri membuktikan bahawa Iraq tiada langsung senjata pemusnah. Malah Presiden Iraq yang ditangkap dan telah dihukum gantung sampai mati telah dijatuhkan hukum di atas kesalahan yang lain.

Why Always Me!!!

Berbalik semula kepada pembikinan filem menghina Islam, Innocence of Muslims. Satu dunia sudah kecoh akan hal ini. Demonstrasi membantah filem ini merata-rata negara, baik dalam bentuk aman mahupun dengan kekerasan. Malahan telah ada yang mengorbankan nyawa pihak kedutaan Amerika beserta pegawai-pegawainya. Namun, Amerika hanya berdiam. Tiada usaha untuk mereka menarik semula penayangan filem ini. Malahan di You Tube, thriller filem ini terus dimainkan.

Sekiranya orang dalam berfikiran waras. Apabila melihat bantahan diseluruh dunia yang mengutuk pengeluaran filem ini, mengapa ia tidak dihentikan serta merta? Mereka seperti mahu melihat masyarakat Islam terus marah dan mengambil tindakan yang keras. Adakah ini juga boleh dijadikan modal dan lesen untuk mereka untuk memerangi orang Islam?

Why Always Me!!!

Pelbagai lagilah peperangan terhadap Islam berlaku di muka bumi ini. Baik di dunia Arab dan juga tidak terlepas juga di Asia Tenggara sendiri iaitu di Myanmar. Masyarakat Islam Rohingya dibunuh dengan kejam hingga beribu-ribu orang Islam Rohingya dibunuh. Apa peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam hal ini? Seharusnya, mereka dengan pantas menghantar bantuan askar pengaman untuk mententeramkan keadaan untuk mengelakan pembunuhan terus berlaku. Kini dilihat pembersihan umat Islam di Myanmar sedang dilaksanakan.

Why Always Me!!!

Kita di Malaysia ini harus bersyukur. Kita hanya mendengar perkhabaran peperangan dan keganasan umat Islam ini dari jauh sahaja. Ia tidak terjadi di dalam bumi Malaysia ini. Namun, kita perlu ingat, panas tidak semestinya sampai ke petang, mungkin juga hujan akan turun di tengah hari. Justeru, umat Islam di Malaysia harus bersatu. Tidak kiralah apa lambang sekalipun, kita perlu rapatkan saf. Jangan biarkan ada ruang sekecil zarahpun untuk pihak kafir untuk menjatuhkan kita.

Ingatlah, apabila kita berpecah, ramai yang suka sebenarnya. Orang kafir memang takut apabila Islam bersatu. Apabila kita bersatu, kita akan kuat dan orang kafir sukar untuk menandingi kita. Bak kata perpatah Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh. Ibarat sebatang lidi, senang untuk dipatahkan, tetapi apabila lidi menjadi seberkas, ia amat sukar untuk dipatahkan. Bersatulah wahai muslimin...

Friday, March 11, 2011

PREVIEW FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA



Wow.. nampak hebat filem ini. Memang dalam hati berhasrat nak tonton. Tapi masih belum ada masa.




Thursday, March 3, 2011

FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Kerajaan Kedah Tua merupakan salah satu kerajaan lama selain Empayar Melaka yang telah wujud sejak sekian lama. Ini dapat dilihat dari wujudnya sumber bertulis iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang mencatatkan sejarah Kerajaan Kedah Tua. Jika Melaka terkenal dengan Sejarah Melayunya atau dikenali sebagai Sulalatus Salatin maka Hikayat Merong Mahawangsa adalah pula adalah gambaran dan penceritaan mengenai Kedah Tua.


Apa yang mahu aku kongsikan di sini ialah tentang filem Hikayat Merong Mahawangsa oleh Kru Studios yang bakal ditayangkan pada 10 Mac 2011 ini. Amat jarang sekali pengeluar filem negara kita membuat filem epik atau sejarah seperti ini. Aku sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan inisiatif yang dibuat oleh Kru Studios yang sanggup memikul tanggungjawab membuat filem sepik seperti ini.

Jika dahulu Seniman Agung, P. Ramlee telah membuat filem Hang Tuah, cerita sejarah Bukit Kepong pula diarahkan oleh Datuk Jins Shamsuddin dan filem seperti Puteri Gunung Ledang, kini giliran Kru Studios pula membuat filem berdasarkan sejarah iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Bagi pengarah-pengarah lain diluar sana, diharap dapat meniru atau mengambil pendekatan yang sama dalam membuat filem.

Pada pendapat aku, membuat filem berdasarkan epik, sejarah ataupun novel adalah baik juga diambil kira. Kalau kita lihat di Hollywood, terdapat banyak juga filem mereka adalah berdasarkan novel.

Lepas ini aku berharap agar Kru Studios atau mana-mana produksi mencuba pula membuat cerita berdasarkan teks Sulalatus Salatin. Memang terlalu banyak cerita dalam teks tersebut, tapi cubalah ambil kisah atau cerita-cerita tertentu untuk difilemkan. Mungkian boleh diambil kisah Putera dari Bukit Si Guntang, Wa'ad Demang Lebar Daun, Sultan Mangkat Dijulang dan sebagainya.




Sebenarnya, filem akan menjadi laris sekiranya berdasarkan teks ataupun novel kerana si pembaca pastinya akan lebih teruja untuk menonton cerita sepertimana yang pernah dibaca.

Aku yang 3 tahun tak menonton wayang inipun teramat teruja untuk menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa ini. Aku pasti akan menontonnya nanti. :)

Wednesday, February 16, 2011

SHAH RUKH KHAN BUAT PENGAMBARAN FILEM DON 2 DI MELAKA

Siapa yang tak kenal Shah Rukh Khan? Pelakon terkenal Bollywood yang mempunyai lakonan yang mantap. Selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pengarah. Dulu, terdapat kontroversi yang melibatkan kerajaan negeri Melaka kerana memberikan gelaran "Datuk" kepada Shah Rukh Khan. Tetapi adakah anda tahu cerita disebaliknya?

Melaka adalah sebuah negeri yang menjana ekonomi berdasarkan pelancongan. Dalam usaha mempertingkatkan kedatangan pelancong asing, promosi secara besaran adalah satu cara yang terbaik. Namun, belanja untuk membuat promosi di peringkat antarabangsa bukanlah suatu yang murah. Oleh itu, langkah kerajaan negeri Melaka memberikan gelaran "Datuk" kepada Shah Rukh Khan merupakan satu usaha promosi yang cukup bijak, selain mengiktiraf Shah Rukh Khan sebagai ikon dunia yang berjaya dalam bidang lakonan.

Gambar : Pakcik Google

Sekarang ini, Shah Rukh Khan sedang membuat pengambaran filem Don 2 di Melaka. Apa yang bagusnya? Yang bagusnya ialah, dengan membuat pengambaran di Melaka, dengan secara tidak langsung akan mempromosikan negeri Melaka yang bersejarah ini di merata dunia. Dengan adanya promosi melalui pengambaran filem seperti ini, sudah tentu ianya bakal memberikan banyak manfaat kepada negeri Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan serta akan memacu ekonomi negeri.

Bijakkan kerajaan negeri Melaka? Oleh itu, bagi mereka yang kurang faham terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka dapat memahami apa sebenarnya yang tersirat di sebalik pemberian gelaran "Datuk" kepda Shah Rukh Khan.