Showing posts with label empayar melaka. Show all posts
Showing posts with label empayar melaka. Show all posts

Thursday, August 24, 2023

Jangan Jadi Bangsat!!!

Ogos 1511 jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis. Sebuah kisah sedih yang harus dikenang. Pembinaan negara bangsa dari Kesultanan Melayu Melaka habis lenyap kesemuanya.

Batu Nisan Sultan Mansur Syah di Muzium Sejarah Melaka


Namun, apa yang lebih menyakitkan hati, apabila terdapat segelintir warga yang menyatakan bahawa tanpa penjajahan, Melaka tidak terkenal seperti sekarang, Melaka tiada sumber dan hanya bergantung kepada sektor pelancongan, malah ada yang menyatakan Melaka adalah bandar mati!

Yang matikan Melaka adalah penjajah! Tidakkah kalian belajar dari sejarah? Dahulu sebelum datangnya era penjajahan, Melaka sudah sedia terkenal. Ia bukanlah sebuah negeri, tetapi sebuah empayar. Empayar yang sebahagian besarnya meliputi segenap nusantara.

Penulis luar juga menyatakan bahawa Melaka ini merupakan "Venice di sebelah Timur", sebuah emporium menghubungkan Timur dan Barat. Di pelabuhan Melaka terdapat 84 bahasa dipertuturkan, lihat betapa gahnya Melaka ketika itu.

Melaka juga mempunyai undang-undang yang tersendiri. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menunjukkan bahawa Melaka adalah sebuah empayar yang mempunyai pemerintahan yang bersistematik, adil dan saksama.

Terdapat juga manuskrip-manuskrip Melayu yang memerihalkan kehebatan Melaka, antaranya Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah di mana 2 teks karya agung ini melihatkan keintelektualan masyarakat tempatan setanding negara Barat yang dikatakan lebih maju itu.

Tak perlulah diterangkan lagi perihal kehebatan empayar Melaka dengan panjang lebar. Seharusnya kalian sudah sedia tahu.

446 tahun Melaka dijajah! Betapa sakitnya hati para pejuang-pejuang terdahulu apabila terdapat segelintir warga yang memperlekehkan perjuangan mereka, malah disanjung pula penjajah.

Yang mana kuat memperlekehkan di mana tempat kakinya berpijak, eloklah kiranya pulang semula dari mana arahnya datang!

Monday, November 9, 2020

TEROWONG RAHSIA DI BUKIT MELAKA (BUKIT ST. PAUL)



Memetik dari Hikayat Abdullah :

“Maka diiringan bukit itu rumah raja, terlalu indah-indah perbuatannya. Adapun jalan di rumah raja itu boleh berjalan dari bawah tanah masuk ke dalam bukit itu; dan lagi pula ada satu pintu dari situ boleh berjalan terus sampai ke sungai” (Hikayat Abdullah : 49). 

Di sini didapati Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau Munsyi Abdullah telah mengambarkan bahawa terdapat laluan di bawah tanah di kawasan pentadbiran British dahulu iaitu di sekitar Bukit Melaka. 

Walaubagaimanapun, kemungkinan laluan yang dinyatakan tersebut merupakan laluan sedia ada yang terdapat di bangunan Stadthuys sekarang yang dahulunya digunakan sebagai laluan sama ada untuk kegunaan orang ramai, ketenteraan ataupun sebagai laluan logistik.

Pada tahun 1976 dicatatkan terdapat kerja-kerja menggali kesan sebuah lubang telah dilaksanakan oleh kakitangan Muzium Melaka :

“Tentang perigi ini, pada tahun 1976 atau 1977, pegawai-pegawai Muzium Melaka pernah menggali kesan sebuah lubang di kaki Bukit St. Paul di sebelah Stadthuys atau Stadthuis, iaitu berhampiran jalan masuk ke Pejabat Pentadbiran Negeri dahulu (sekarang pejabat Muzium Negeri). Pada ketika itu, penggalian tersebut diharapkan akan menemukan pintu masuk ke terowong dari Stadthuys ke Bukit St. John (Bukit Senjuang). Hal ini kerana sudah lama terdapat khabar angin di kalangan penduduk Bandar Melaka bahawa Portugis atau Belanda ada menggali terowong di bawah tanah untuk menyambungkan kedua-dua bukit tersebut.”

"Kerja-kerja menggali kesan lubang itu turut disaksikan sekali oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Setia Ghani Ali. Namun setelah lubang tersebut digali dengan agak dalam, pihak Muzium Melaka masih gagal bertemu dengan pintu terowong yang diharapkan. Kemungkinan besar lubang tersebut hanya bekas sebuah perigi lama." (Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi : 52 – 53)

Walaubagaimanapun, jika dilihat daripada kerajaan atau empayar yang besar pada zaman lalu,  banyak ditemui terowong atau laluan rahsia bawah tanah dibina sama ada untuk kegunaan keselamatan, ketenteraan atau lain-lain.

Justeru, satu kajian arkeologi secara holistik perlu dilaksanakan bagi merungkai sama ada terdapatnya terowong atau laluan rahsia di sekitar Bukit Melaka (Bukit St. Paul).

Sekiranya benar-benar terdapat terowong atau laluan rahsia di situ, maka ia merupakan sebuah jumpaan yang hebat serta mampu merungkai segala persoalan yang timbul sejak sekian lama.

Saturday, March 5, 2011

SEJARAH RINGKAS HANG TUAH

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D.) Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.

Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.




Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.

Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.

Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.

Makam Hang Tuah

Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang.

Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.

Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang di dunia" yang bererti bangsa Melayu tidak akan punah di bumi ini.

Sumber : Wikipedia

Wednesday, December 22, 2010

KE MANA PERGINYA WARIS KESULTANAN MELAYU MELAKA

Agak begitu pelik sekiranya Kesultanan Melayu Melaka yang dahulunya gah dengan empayarnya yang tersendiri tidak lagi mempunyai sultan. Jika kita selidiki sejarah Melayu iaitu Sulalatus Salatin, kita dapat membaca tentang betapa hebatnya Melaka sehinggakan seluruh negeri (Semenanjung Tanah Melayu) termasuk sebahagian di Indonesia merupakan Kerajaan Melaka.

Di sini aku ingin huraikan kemana perginya waris Kesultanan Melaka setelah membuat pembacaan dari kertas kerja Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali bertajuk Raja dan Kerajaan : Tinjauan Ringkas Perspektif Sejarah yang telah beliau sampaikan dalam semasa Seminar Keris : Warisan Bangsa Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Mengikut Sulalatus Salatin, kerajaan Melaka telah diasaskan oleh Raja Iskandar Shah iaitu Raja Singapura yang telah berundur ke Melaka dan telah mengasaskan kerajaan Melaka pada tahun 1262. Kerajaan Melaka telah berkembang pesat pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riaayat Shah.

Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, putera baginda, Sultan Muhammad telah dihantar ke Pahang untuk menduduki takhta kerajaan Pahang. Kemudiannya, ketika pemerintahan Sultan Ahmad (putera Sultan Mahmud) angkatan Portugis telah menyerang dan menduduki Melaka pada tahun 1511. Sultan Ahmad dan ayahandanya, Sultan Mahmud telah berundur hingga akhirnya mendirikan kerajaan Melaka di Bintan. Apabila Sultan Ahmad mangkat di Bintan, teraju pemerintahan disandang kembali oleh Sultan Mahmud.

Gambaran Istana zaman Kesultanan Melayu Melaka


Pada tahun 1526, pusat kerajaan Melaka di Bintan telah dikalahkan oleh Portugis. Kota Kara dan Kota Kopak telah dimusnahkan lalu sultan Mahmud berundur ke Kampar. Dengan itu pusat kerajaan Melaka kini adalah di Kampar.

Pada tahun 1528, sultan keturunan Melaka masih memerintah Pahang. Setelah sultan Mahmud mangkat, putera baginda, Raja Ali telah dilantik sebagai penganti. Baginda bergerak ke Pahang dan seterusnya ke Johor dan mengasaskan kerajaan Johor pada tahun 1528. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riaayat Shah. Manakala kekanda baginda, Raja Muzaffar dibawa oleh Tun Shaban ke Tanah Abang, Perak dan ditabalkan sebagai Raja Perak bergelar Sultan Muzaffar Shah.

Kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Alauddin Riaayat Shah mencapai kemuncak ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III. Ketika dalam pemerintahan baginda, Pahang menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor dan Pahang tidak lagi mempunyai sultan yang memerintah negeri lagi kerana Sultan Abdul Jalil Shah merupakan sultan bagi Johor dan Pahang.

Kerajaan Johor kemudiannya mengalami kemerosotan dan membawa kemunculan kerajaan Melayu baru yang terdapat sehingga kini.

Dalam pemahaman aku melalui keterangan yang diberikan jelaslah menyatakan keturunan kesultanan Melaka telah tersebar ke Perak, Pahang dan Johor. Namun mengikut ahli sejarah, keturunan kesultanan Melayu Melaka yang benar-benar adalah di Perak. Jadinya, tidak hairanlah bahawa Keris Taming Sari sekarang berada di Istana Sultan Perak. Wallahuaklam.

Kesimpulan yang boleh aku buat ialah, kesultanan Melayu Melaka tidak pernah mati walaupun Melaka tidak bersultan, kerana pewaris-pewarisnya tetap ada memerintah negeri-negeri yang dahulunya adalah empayar kerajaan Melaka juga.

Wednesday, December 15, 2010

PROMOSI BUKU PANGLIMA AWANG DAN EMPAYAR MELAKA







Buku ini merupakan terbitan baru Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), dan dikesempatan ini aku ingin mempromosikan buku-buku ini kepada korang semua. Sekiranya berminat, boleh beli dengan harga seperti yang dipaparkan. Kalau nak minta aku belikan, boleh., tapi korang kena beri duit penghantaran. Sama ada mahu pos laju atau pos biasa.