Showing posts with label durian. Show all posts
Showing posts with label durian. Show all posts

Saturday, January 4, 2025

Musim Durian Kena Beli Durian

Sudah 2 hari anak keempat aku, Muhammad Firman meminta untuk membeli durian. Permintaan pertama aku abaikan, tapi kalau sudah dua kali pasti dia memang nak sangat makan durian. Antara ahli keluarga aku, dialah 'hantu durian'.

Jadi semalam, semasa memandu pulang ke rumah aku call rakan aku. Brotherhood aku zaman persekolahan! Seorang peniaga durian. Aku berkawan sejak sekolah menengah lagi. Waktu sekolah dulu, lepas habis sekolah, aku biasa bantu dia meniaga durian.

Baca juga :

Dia bagi lokasi tempat dia meniaga. Pada masa tu, pekerja dia yang meniaga, dia tiada di lokasi. Tapi dia minta aku tunggu sebentar kerana nak jumpa. Iyalah, masing-masing dah besar panjang, ada keluarga, lama tak jumpa. 

Brotherhood aku Along! Banyak kenangan pahit manis bersama.

Sambil menunggu tu, kami sekeluarga makan durian di gerai tu. Makan 3,4 biji durian kahwin. Kemudian bungkus 3 biji durian kampung. Durian kahwin kecil-kecil saja, durian kampung pula yang agak besar sedikit. So far, semua isinya sedap-sedap pelbagai rasa, tiada satupun yang busuk atau rosak, ada manis, lemak dan pahit.

Baca juga :

Balik rumah terus repeat makan lagi. Kini ketujuh-tujuh ahli keluarga aku makan durian. Anak yang bongsu berumur 3 tahun sudah mula makan durian. Bukan main suka lagi dia makan durian. Tapi paling champion anak nombor 4, Muhammad Firman, lebihan 3 ulas durian semalam yang disimpan dalam peti sejuk, dialah yang habiskan, buat sarapan pagi. Haha.

Friday, July 12, 2024

Nak Jual Durian atau Tayang Badan?

Ada ke wanita-wanita nak singgah ke kedai durian sebegini? 

Tular baru-baru ini peniaga durian yang berniaga tanpa memakai baju. Situasi ini berlaku di dalam negara Malaysia yang kita cintai ini. Bukan di luar negara. Aku percaya ia bukan sahaja tidak sopan, tetapi tidak sesuai dalam konteks perniagaan. Sebagai seorang peniaga, penampilan yang kemas dan sopan adalah penting untuk mencerminkan profesionalisme dan menghormati pelanggan.

Tindakan peniaga yang berniaga tanpa memakai baju seolah-olah ingin menayangkan badan yang sasa adalah sesuatu yang kurang bijak. Ia bukan sahaja mengganggu pandangan mata tetapi juga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan, terutama kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Perniagaan sepatutnya dijalankan dalam suasana yang penuh kehormatan dan selesa untuk semua pihak, bukannya menjadi pentas untuk pameran peribadi yang tidak relevan.

Moga pihak berkuasa atau mana-mana pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan peniaga-peniaga durian atau mana-mana peniaga sekalipun, mematuhi etika berpakaian yang sesuai ketika menjalankan perniagaan. Penampilan yang sopan dan kemas bukan sahaja akan meningkatkan imej perniagaan, tetapi juga menjaga keharmonian serta keselesaan masyarakat sekeliling.

Saturday, June 19, 2021

MUSIM DURIAN KITA MAKAN DURIAN

Saya tidak habis belajar lagi bilakah musim durian bermula. Setahu saya, apabila telah ada peniaga menjual durian di tepi jalan, maka waktu itulah bermulanya musim durian. Musim yang dinanti-nantikan oleh peminat durian seluruh negara.

Anak buah beri durian dari kebunnya di Muar


Harga durian mahal? Ya, memang mahal harga durian sekarang. Durian kampung paling koman pun sudah RM10.00 sekilogram termasuk percuma kulit durian. Nak baik sedikit, beli durian kahwin, tak tahulah dia kahwin dengan siapa, harga pasaran kira-kira RM15.00 sekilogram pun dapat percuma kulit durian dan bijinya sekali.

Tapi sekarang, sudah banyak peniaga menjual buah durian yang telah dibuka kulitnya dan diletakkan di dalam bekas. Jual macam ni dikira bagus juga. Kita sudah tentu nampak isinya baik atau sebaliknya. Kalau yang ini tidak baik juga, mungkin ada masalah kita semasa memilih kerana tidak betul-betul perhatikan isi durian yang baik.

Murah ke, mahal ke durian, tetap ada yang membelinya. Peniaga berani meletakkan harga yang tinggi sebab ada yang sanggup membelinya. Itu belum lagi durian-durian dari benih yang baik seperti Musang King, 101, D24 dan sebagainya, lagi cekik darah harganya. Tapi, masih lagi orang membelinya. Kalau mampu beli, tak mampu, kita tengok sajalah. 

Saya sendiri tak pernah merasa durian kayangan ni. Macam manalah rasanya durian Musang King tu, sehingga harganya boleh membuatkan menggeletar nak keluar duit dalam dompet. 😅

Namun, dalam diam tak diam, musim durian kali ini puas jugalah makan durian. Hari tu sudah membeli 2 kali, orang beri sekali dan makan di rumah mak sekali. Dengar-dengar hari ni ada pesta durian lagi di rumah mak saya. Pulun lagilah jawabnya. 😀😀😀

Saturday, May 22, 2021

DURIAN BELANDA BERBUAH SULUNG

Alhamdulillah.. Sudah lebih 2 tahun menanam pokok durian Belanda ini, akhirnya berbuah juga. Bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba, akhirnya tidak lari gunung dikejar.



Sebelum ini memang banyak kali pokok durian Belanda ini berbunga, akan tetapi bunganya tidak lekat untuk menjadi buah. Ada kalanya kecewa juga melihatkan bunga-bunga pokok durian Belanda jatuh berguguran di tanah. Mungkin belum ada rezeki.

Ada juga amalkan beberapa petua untuk pokok durian Belanda berbuah, antaranya menggoyangkan pokok yang sedang berbunga selepas jam 10 malam. Ini adalah untuk membantu proses pendebungaan. Beberapa kali jugalah saya malam-malam ke belakang rumah untuk menggoyangkan pokok durian Belanda. Rasa lucu pun ada, sehingga kawan-kawan di Facebook siap beritahu, kasi goyang kuat-kuat. 😆😆😆

Baja juga memainkan peranan penting. Dulu guna pelbagai baja. Baja biji-biji yang dibeli di kedai pokok bunga. Kemudian tukar ke baja tahi ayam. Terkini guna baja mahal sedikit iaitu baja Milagro.

Tak sabar rasanya nak merasai keenakan buah durian Belanda yang ditanam sendiri. Harap-harap buah tersebut membesar dengan sempurna dan menghasilkan isi yang baik. Apa-apapun, ini semua rezeki Allah SWT. Ada rezeki, adalah, kalau tiada rezeki maka tiadalah. 

Friday, November 23, 2012

DURIAN CREPE OH DURIAN CREPE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Siapa yang belum pernah merasai Durian Crepe lagi sila angkat tangan...! Sebenarnya saya pun baru-baru sahaja mengenali Durian Crepe ini.

Kebetulan sepupu saya baru menjual Durian Crepe, jadi saya mula mengenali Durian Crepe. Sekarang saya dan isteri pula menjadi ejen komisen bagi menolong menjual Durian Crepe dan permintaanya amat menggalakkan, sehingga tidak menang tangan sepupu saya membuatnya. 

Rasa Durian Crepe ini amat lazat sekali sehinggakan yang pernah membelinya akan membelinya lagi dengan kuantiti yang banyak.

Kelazatan Durian Crepe ini dapat digambarkan melalui status-status  di Facebook oleh para pembeli (tanpa paksaan).