Showing posts with label dondang sayang. Show all posts
Showing posts with label dondang sayang. Show all posts

Tuesday, January 29, 2019

DONDANG SAYANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam nuat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dondang Sayang atau juga dikenali sebagai Dendang Sayang merupakan lagu tradisi orang Melaka yang didendangkan sejak 500 tahun dahulu. Terdapat dua pendapat tentang kewujudan Dondang Sayang iaitu berasal dari Pulau Penyengat, Riau dan Melaka iaitu di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dirujuk daripada nyanyian berpantun yang diiringi alatan muzik seperti rebana dan kecapi seperti yang tertulis di Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat Al-Nafis. 

Perkataan dondang atau dendang bermaksud bernyanyi untuk bersuka-suka atau menghiburkan hati manakala sayang membawa maksud kasih iaitu melakukan geraklaku yang lembut dan penuh mesra. Dari dua pengertian perkataan ini maka Dondang Sayang membawa maksud sebagai lagu kasih atau nyanyian kasih. 

Alat-alat muzik tradisi yang digunakan untuk menghasilkan irama Dondang Sayang ialah biola, rebana dan tetawak atau gong kecil. 

Biola adalah salah satu alat muzik yang digunakan dalam Dondang Sayang

Dondang Sayang secara tradisinya mempunyai empat orang pemuzik yang terdiri daripada seorang pemukul tetawak atau gong kecil, dua orang pemain rebana dan seorang pemain biola yang juga berperanan sebagai penyanyi. 

Pantun merupakan nadi utama dalam Dondang Sayang. Bait-bait pantun yang dinyanyikan merupakan pelengkap kepada irama ini. Kebiasaannya pantun dinyanyikan dalam keadaan spontan, bersahaja dan juga mencuit hati serta menyeronokkan baik bagi penyanyi mahupun pendengar. 

Irama Dondang Sayang begitu unik di negeri Melaka kerana bukan sahaja dinyanyikan oleh masyarakat Melayu malahan menjadi kesukaan oleh orang Portugis seterusnya irama tradisi ini turut dinyanyikan oleh masyarakat Chetti dan Baba Nyonya di mana masing-masing sangat fasih berbahasa Melayu. 

Kini Dondang Sayang telah mulai kembali menjadi bualan dan mendapat tempat di mata dunia apabila telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara. 

Pengiktirafan ini telah berikan pada 29 November 2018 semasa persidangan UNESCO di Mauritius di bawah Konvensyen Lindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (Convention for the Safeguarding Intangible Cultural Heritage 2003).

Wednesday, July 20, 2011

DONDANG SAYANG

Dondang Sayang merupakan salah satu daripada nyanyian tradisional yang sangat unik dan berbeza dengan lagu-lagu tradisional yang lain, lemah lembut serta membuai perasaan dengan alunan melodinya yang menyegarkan.

Mula wujudnya di Negeri Melaka, Dondang Sayang bukan sahaja popular di kalangan orang Melayu malahan telah terkenal di kalangan Baba Nyonya di Melaka, Pulau Pinang, Singapura serta masyur juga di kalangan masyarakat Chetti dan Portugis di Melaka.


Dondang Sayang ini berasal dari zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah iaitu Raja Melaka yang terkenal dengan kewibawaannya dan ada pula pendapat mengatakan Dondang Sayang bermula ketika pemerintahan Portugis. Ada pendapat lain mengatakan ia berasal dari Sumatera dan terus berkembang di negeri Melaka.

Seni tradisi ini telah tersebar luas ke seluruh dunia Melayu khususnya di Kepulauan Nusantara lantaran perhubungan yang terjalin melalui :

I) Siasah empayar Melaka dan Johor - Riau

II) Perhubungan perdagangan melalui negeri Selat

III) Penubuhan Negeri-Negeri Selat di bawah pemerintahan Inggeris

IV) Kesan penjajahan Inggeris - Belanda

Pantun empat kerat menjadi lirik lagu Dondang Sayang. Penyanyi akan menyanyikanya dengan mendendangkan pantun tersebut.

Nyanyian Dondang Sayang dilagukan oleh penyanyinya secara berpasangan. Kecekapan berpantun dan menjawab pantun dengan spontan akan lebih memeriahkan lagi persembahan.