Showing posts with label derma. Show all posts
Showing posts with label derma. Show all posts

Saturday, September 9, 2023

Terima Kasih Semua



Bagi yang pernah terbaca post aku bulan lalu pasti perasan tentang kebakaran yang berlaku pada rumah aku yang terjadi pada 6 Ogos 2023. Satu musibah dan ujian daripada Allah SWT yang tidak mungkin dapat aku lupakan sepanjang hidup.

Selepas kejadian itu berlaku, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang perseorangan. Bantuan dari segi kewangan boleh dikatakan banyak juga yang aku perolehi . Aku sangat terharu dengan hati budi dan keikhlasan orang-orang yang membantu. Antara sumbangan dalam bentuk kewangan yang diterima ialah dari :

1. Adik beradik
2. Saudara mara 
3. Jiran tetangga 
4. Persatuan Penduduk Taman Pasir Emas 
5. Penduduk Kampung & Khariah Batang Tiga 
6. Masjid Al-Aminin, Klebang 
7. Sekolah, guru, ibu dan bapa murid (sekolah kebangsaan dan sekolah agama) 
8. Rakan-rakan sekerja dan rakan sekerja isteri 
9. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 
10. Kerajaan Negeri Melaka melalui JAPERUN 
11. Ahli Parlimen Tangga Batu
12. Rakan-rakan AKRAB MELAKA 
13. Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM 
14. Lain-lain lagi termasuk orang perseorangan. 

Mungkin ada lagi yang aku terlepas pandang. Sengaja aku catatkan penyumbang-penyumbang ini agar suatu hari nanti akan aku balas kembali kebaikan yang telah mereka dilakukan terhadap diri aku dan keluarga. 

Bukan sahaja bantuan dari aspek kewangan, jiran tetangga dah ahli keluarga turut bergotong-royong mengangkat barang-barang yang masih boleh digunakan untuk ditempatkan di rumah sebelah yang aku sewa untuk meletakkan barang-barang. 

Kebetulan di kiri dan kanan aku rumah masih belum dihuni oleh pemiliknya. Jadi, aku sewa untuk meletakkan barang-barang. Untuk menginap pula, aku menyewa sebuah lagi rumah di dalam taman perumahan aku. Sebenarnya rumah itu dibuat homestay, tapi pemiliknya berbesar hati menyewakannya kepada aku dengan harga sewaan bulanan dengan harga 'mampu bayar'.

Terima kasih semua! Sangat besar pengorbanan kalian dalam memberi sumbangan kepada aku dan keluarga. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan kebaikan yang telah kalian curahkan. Insya-Allah, setelah selesai semuanya, aku berhasrat untuk membuat kenduri doa selamat.

TERIMA KASIH SEMUA... 

Monday, April 26, 2021

SUDAH ADA YANG BAYAR!

Kali kedua saya singgah di gerai tepi jalan untuk membeli juadah tetapi peniaga tidak mahu menerima wang kerana ia telah dibayar. Kali pertama dahulu, sebelum bulan Ramadan, masa membeli nasi lemak, namun ia telah dibayar oleh seseorang. Alhamdulillah, rezeki Allah SWT yang tentukan.

Kuih seri muka dan koci yang dibeli petang tadi telah dibayar orang


Menurut peniaga, memang biasa jualannya diborong oleh seseorang, kemudian disedekahkan kepada pembeli-pembeli yang mengunjungi gerainya.

Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih dan berdoa agar si pemberi terus dilimpahi rezeki yang berlipat kali ganda. Insyaallah... 

Sebenarnya, bukan gerai itu saja, di tempat kerja pun sama. Sebelum Ramadan dahulu ada saja insan-insan berhati mulia sedekah (belanja makan) dengan memberikan sejumlah amaun ke sebuah kedai, dan apabila kakitangan jabatan kami makan, dikira telah dibayar makanannya. Ini sangat memotivasikan saya untuk membuat perkara yang sama. 

Dalam keadaan kesulitan yang dihadapi oleh kebanyakan orang sekarang, masih banyak lagi jiwa-jiwa berhati mulia. Mereka begitu pemurah dalam membantu meringankan sedikit beban bagi mereka dalam kesukaran. 

Kita tak sehebat Ustaz Ebit Liew, namun sekiranya ada sedikit kelebihan, bantulah orang yang sangat memerlukan. Dalam wang yang kita miliki, ada hak orang-orang lain juga. Kita bantu orang untuk bantu diri sendiri di akhirat.

Wednesday, October 29, 2014

TESCO ECO WALK FOR LIFE 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.



Pada 9 November 2014 (Ahad), Tesco Stores (Malaysia) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akan mengadakan program "Tesco Eco Walk For Life 2014" yang akan diadakan di sekitar Bandar Hilir, Melaka bagi mengumpul dana sebanyak RM 1 juta untuk membantu kanak-kanak yang mengidap leukaemia.

Usaha murni seperti ini haruslah DISOKONG oleh semua rakyat bagi membantu meringankan beban pesakit leukaemia yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan yang sememangnya memerlukan kos yang tinggi.

Dengan penyertaan ini, sedikit sebanyak dapat mengumpul dana dan seterusnya diagihkan dalam bentuk pembiayaan kos rawatan bagi kanak-kanak yang mengidap leukaemia dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Ayuh! sertai program ini dan berilah harapan kepada mereka yang sangat memerlukan.

Maklumat lanjut tentang Tesco Eco Walk For Life 2014 boleh klik di sini >> KLIK <<  

#TescoWFL2014

Tuesday, August 19, 2014

PERANAN KUTIPAN DERMA DALAM KEMERDEKAAN TANAH MELAYU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Di dewan Meng Seng, Melaka itu terdapat lebih kurang 300 orang yang hadir untuk mendengar ucapan daripada Tunku Abdul Rahman dalam mesyuarat tergempar UMNO Malaya setelah kegagalan Tanah Melayu dalam rundingan untuk mendapatkan persetujuan Inggeris bagi mengadakan pilihanraya pada tahun 1955.

Dengan tekad untuk mengecap kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman terus berusaha untuk berunding dengan Inggeris di London. Namun apakan daya, dana yang diperlukan untuk Tunku ke London tidak mencukupi.

Bersaksikan dewan Meng Seng, seorang wanita dalam lingkungan usia 22 - 23 tahun, seorang ustazah dari Rembau, Negeri Sembilan yang juga bersuamikan seorang ustaz telah membuka gelang emas perkahwinan yang baru setahun dipakainya untuk didermakan bagi memberi dana untuk Tunku Abdul Rahman ke London. Beliau adalah Datuk Siti Rahmah binti Kassim yang juga dikenali sebagai Tokoh Gelang Kemerdekaan.

Dewan Meng Seng di Jalan Bendahara masih kekal sehingga kini

Bertitik tolak dari itu, ramai yang berada di dalam dewan itu turut mendermakan barang kemas, wang dan jam tangan untuk mencukupkan dana untuk Tunku ke London untuk mengadakan perundingan kemerdekaan. 

Kutipan derma tidak terhenti di situ, mereka telah pergi ke seluruh pelusuk negeri untuk mendapatkan dana. Derma yang disebut 'Derma Merdeka' ini mendapat sokongan rakyat jelata.

Walaupun rakyat Tanah Melayu pada ketika itu hidup dalam kemiskinan kerana cengkaman penjajah, namun mereka tetap memberikan sumbangan dalam menjayakan misi rundingan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman. Antara bentuk sumbangan yang diberikan ialah padi, buah-buahan, pakaian dan getah keping yang kemudiannya dijual untuk didermakan ke tabung Derma Merdeka.

Pada 27 Julai 1955, setelah mendapat persetujuan dari Inggeris, pilihanraya pertama telah diadakan di Tanah Melayu. Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi.

Lantaran itu, pada Januari 1956 satu rombongan disebut 'Rombongan Kemerdekaan' yang diketuai oleh Tunku telah berangkat ke London bagi memulakan rundingan bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Rundingan tersebut telah berjaya dan Inggeris bersetuju untuk memerdekakan Tanah Melayu.

20 Februari 1956, sekembali dari London, Tunku dan para Rombongan Kemerdekaan telah singgah ke Melaka. Mereka disambut oleh lebih 100,000 orang dari seluruh pelusuk tanah air bagi mendengar pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku. 


Perarakan Tunku semasa pulang dari London

Bersaksikan Padang Pahlawan, Bandar Hilir dan ratusan ribu rakyat, Tunku telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957. 

Thursday, November 28, 2013

JOM BANTU MANGSA TAUFAN HAIYAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Mungkin kita tidak seagama dengan mereka, atau mungkin ada segelintir yang sama agama dengan kita. Tanpa memikirkan agama apakah mereka, bangsa apakah mereka dan negara manakah mereka, marilah sama-sama kita meringankan beban mangsa Taufan Haiyan yang sememangnya menunggu sumbangan ikhlas dari kita. 

Sumbanglah melalui akaun Churp Churp atau Nuffnang. Semoga sedikit sebanyak sumbangan dari kita, dapatlah meringankan beban dan membangunkan kembali kawasan yang ditimpa bencana.



Sekadar pesanan khidmat masyarakat. Aku tidak dibayar untuk mewar-warkan perihal ini. Takut nanti ada pula yang berkata aku terima duit dari Churp Churp atau Nuffnang untuk iklankan benda ni. 

Wednesday, November 21, 2012

DERMALAH WALAUPUN RM 1.00


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Perit rasanya hidup mangsa-mangsa serangan Zionis ke atas Gaza, Palestin. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Kita harus bersyukur kerana hidup di bumi Malaysia yang aman damai, justeru, sama-samalah kita pelihara kedamaian ini bersama.
 
Berbalik pada isu di Gaza. Agak-agak apakah sumbangan kita? Mungkin ada diantara kita hanya menaruh perasaan simpati, sedih dan geram kepada Zionis, Israel yang melakukan kekejaman ke atas rakyat Gaza. Begitu juga bagi mereka yang memboikot produk keluaran Israel, manakala yang agak kurang mampu, sekadar mendoakan keselamatan mereka. Ini semua adalah baik untuk menunjukan sokongan kita atas apa yang terjadi pada rakyat Gaza.
 
 
 
Selain itu, kita juga boleh menderma kepada badan-badan tertentu yang sememangnya secara terus menerus membantu rakyat Gaza, Palestin seperti Aman Palestin, Aqsa Syarif, Tabung Haluan Palestin dan sebagainya.
 
Tapi, adakah kita sudah menderma? Dermalah walaupun dengan hanya RM 1.00. Rakyat Malaysia mempunya kurang lebih 28 juta orang. Kalau separuh daripadanya yang menderma, ia bererti kutipan derma adalah sebanyak RM 14 juta.
 
Jom, marilah menderma, sesungguhnya amalan menderma adalah amalan mulia. Apakan lagi kita menderma kepada mereka yang sangat memerlukan.