Showing posts with label cita-cita. Show all posts
Showing posts with label cita-cita. Show all posts

Thursday, March 31, 2022

Pernah Dulu Bercita-Cita Menjadi Guru Tapi Tak Lulus Peperiksaan Untuk Jadi Guru

Perkongsian ilmu bersempena lawatan akademik pelajar UKM

Pernah satu ketika dahulu aku bercita-cita untuk menjadi guru. Dalam ahli keluarga aku, abang sulong aku merupakan seorang guru. Bapa dan emak saudara, sepupu sepapat aku ramai yang bekerjaya sebagai guru. Jadi, terdetik dalam sanubari aku keinginan menjadi seorang guru seperti mereka.

Tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku pernah memohon maktab perguruan. Telah duduki peperiksaan, namun gagal. Gagal. Tak pasti di mana silapnya. Mungkin dahulu otak aku belum cukup bergeliga sehingga boleh dibuat batu cincin. Walaupun pada hakikatnya, ramai yang menyatakan negara kekurangan guru lelaki. Kenapa aku tak terpilih? (Huk aloh... Sebab gagal ujian nak jadi cikgu le tu). 

Aku sambung ambil Ijazah Pertama setelah tamat tingkatan 6. Akan tetapi selepas itu tidak pula aku mencuba untuk mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebab mungkin kerana selepas beberapa bulan graduasi, aku telah mendapat kerja. jadi, impian aku untuk menjadi guru, aku sendiri yang kuburkan.

Sekarang, sudah 15 tahun aku bertugas dalam bidang pemuziuman. Dalam 15 tahun ni telah banyak bahagian dan unit telah aku bertugas. Dari unit pendaftaran, operasi muzium, konservasi, pemasaran dan kini di seksyen penyelidikan. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman yang telah aku timba dalam dunia pemuziuman. Namun aku sedar, aku bukanlah hebat, aku sekadar pekerja biasa-biasa sahaja. Tiada yang istimewanya.

Bagusnya di sini, aku berpeluang untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan mengajar, namun berkongsi ilmu. Sedikit ilmu yang aku ada, aku kongsikan agar dapat memberikan manfaat kepada yang ingin menerimanya. Jadi, aku boleh merasa juga diri ini sebagai guru. Menyampaikan ilmu kepada masyarakat dari peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke pelajar yang mengambil PhD yang hadir ke muzium untuk mendapatkan maklumat.

Thursday, March 3, 2011

POLIS, ASKAR DAN BOMBA

Sekali teringat pula pada zaman persekolahan dulu. Semasa di sekolah rendah, pastinya tiap-tiap tahun kita akan menulis cita-cita kita di dalam suatu buku rekod di mana ianya perlu diisi sebanyak 3 cita-cita.

Dulu tak tahu apa-apa, cuma letakkan 3 cita-cita utama iaitu Polis, Askar dan Bomba. Itulah yang aku tulis setiap tahun. Ada pernah satu kali tu, aku ada menulis cita-cita aku untuk bekerja kilang. Iskhh... Apalah bengapnya aku masa tu, sehingga aku digelakkan oleh rakan aku. Bukan apa, aku ni dilahirkan bukanlah dari keluarga yang sangat berjaya dan berada, jadi aku kurang sensitif atau ambil berat terhadap cita-cita aku. Cerita pasal aku tulis cita-cita aku untuk bekerja kilang merupakan perkara yang aku tak boleh lupakan sehingga kini.




Dalam hujung-hujung tahun ke darjah enam, aku dah mula ada kesedaran, mulalah membuat cita-cita baru iaitu arkitek. Untuk jadi arkitek ni kena pandai melukis dan seni orangnya, tapi aku, minat tu ada tapi melukis dan seni tu tak pandai pula.

Lepas tamat UiTM aku dah mula mencari kerja. Tak tau nak kerja apa. Otak masih buntu. Ada juga cita-cita nak jadi guru, tapi banyak kali ambil exam, tak lepas-lepas. Sebelum ni ada juga menjadi guru sandaran, pernah mengajar di 2 buah sekolah. Ingat lagi masa tu, gaji aku sebanyak RM50 ++ sehari. Mak bapak aku pula mengharap aku jadi guru sepertimana Abang Long aku, tapi nak buat camne, jodoh aku sebagai guru tidak kesampaian.

Lepas tu macam-macam kerja jugalah aku buat, dari kedai Sushi King, Seven Eleven, kerja kilang, kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah sekarang sudah 3 tahun lebih aku bekerja di muzium. Syukurlah.. Rezeki memang ketentuan Allah, kita hanya mampu merancang, akhirnya juga Allah yang menentukan.

Jadinya pesanan aku pada graduan-graduan universiti yang mengganggur di luar sana, jangan mudah putus asa. Terus kuatkan semangat untuk mencari kerja dan terus mencuba apa-apa kerja walaupun ianya bukanlah apa yang kita harapkan. Timbalah pengalaman walaupun sedikit upah yang diberikan. Insyaallah, ada rezeki dikemudian hari. Bersabarlah... Tapi usaha tetap perlu ada.