Showing posts with label cina. Show all posts
Showing posts with label cina. Show all posts

Thursday, June 14, 2012

OH MELAYU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pertamanya, saya ingin menyatakan bahawa penulisan saya ini bukanlah kerana ada sifat perkauman dalam diri saya. Sejak di bangku sekolah lagi saya sukakan pergaulan antara kaum. saya mempunyai kawan berbangsa Cina dan juga India. Berkawan memang rapat, sehingga boleh berbual dan ketawa terbahak-bahak.

Namun kini, masa terus bergerak ke hadapan, zaman bertukar zaman dan dilihat sifat perkauman di Malaysia dilihat kian  menebal. Masing-masing sudah tidak menghormati bangsa masing-masing. Keadaan ini dilihat disebabkan oleh satu aspek iaitu politik.

Sebenarnya. tidak salah berpolitik. Berpolitiklah secara berhemah. Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, cubalah ketengahkan kelebihan sendiri berbanding sering memburuk dan menjatuhkan pihak lawan. Bukankah mengaibkan dan memburukkan orang lain itu satu perbuatan yang tidak bermoral. Perumpaan berkenaan berpolitik secara berhemah bolehlah membaca lebih lanjut di entri ini --- > Klik.

Yang menyebabkan saya lebih terasa untuk menulis entri ini ialah berkenaan penghinaan terhadap orang Melayu terhadap kaum lain yang menetap di Malaysia ini. Saya tidak kisah sekiranya mereka menegur dengan nada yang baik, namun saya lihat ia merupakan nada-nada penghinaan, nada-nada mencabar kewibawaan dan nada-nada mengutuk terhadap Melayu dan keistimewaan orang-orang Melayu.

Ye.. Memang dari dahulu sehingga sekarang bangsa Melayu agak lemah. Sebab itulah Melayu perlu dijaga dan terus dijaga. Memang sudah termaktub di dalam perlembagaan tentang hak dan keistimewaan orang-orang Melayu, justeru adalah lebih elok sekiranya perkara seperti ini tidak dibincangkan oleh kaum-kaum lain.

Sekiranya nenek moyang bangsa Cina dan India menerima seadanya segala syarat yang ditetapkan untuk menduduki Tanah Melayu, tetapi mengapa kini mereka seperti ingin menjadi hero di dalam negara ini? Tidak pernah Melayu mahu menyekat kamu, kamu bebas mencari kekayaan, bebas untuk mengecap semua apa yang ada dan yang kamu mampu, namun kamu tetap mahu lebih dan lebih sehingga kepala Melayu hendak dipijak. Orang-orang yang kaya raya di Malaysia juga dari kalangan kamu, adakah itu dikatakan kita menyekat kamu mengejar kekayaan?

Huh, bukan sahaja Melayu mudah lupa, mereka pun mudah lupa juga. Kononnya kini semuanya sudah pandai, pandai itu, pandai ini, pandai serba serbi namun malangnya sejarah yang membabitkan bangsa kamu masih belum kamu khatam.

Maaf andai penulisan ini menyinggung perasaan mana-mana kaum. Bukan niat mengajar, cuma marilah kita muhasabah diri masing-masing. Betul ke, salah ke segala pertuturan dan tingkah laku kita sehingga menyakitkan hati dan perasaan orang / kaum lain.

Tidakkah kita suka duduk di Malaysia pelbagai kaum dengan suasana aman, damai dan tenteram?

(Tolong baca dengan hati yang tulus, suci dan murni)

Thursday, August 25, 2011

MARI KITA AJAR CINA DAN INDIA!!!

Memang tidak dinafikan bahawa di Malaysia ini masih lagi terdapat kaum Cina dan India yang masih belum fasih berbahasa Malaysia walaupun mereka sudah hidup lama di bumi Malaysia ini. Mereka bukannya tidak tahu bercakap dalam Bahasa Malaysia, tetapi sebenarnya percakapan mereka tidak sempurna dengan ditambah dengan slang bahasa masing-masing?

Salah siapa sebenarnya yang menyebabkan perkara ini berlaku? Sudah pastilah salah diri mereka sendiri kerana tidak mahu belajar menutur dengan baik. Tetapi mungkin ada silapnya juga kepada bangsa Melayu kita sendiri. Cuba-cubalah kita mengajar kaum-kaum Cina dan India ini dengan menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul. Tetapi bagaimana caranya?

Caranya ialah kita sendiri menutur dalam Bahasa Malaysia yang standard apabila bercakap dan bertutur dengan kaum lain. Kita boleh praktikan di mana-mana tempat dan ketika bagi membolehkan kaum lain mempelajari Bahasa Malaysia secara tidak langsung.

Sebagai contohnya, apabila kita pergi ke kedai seorang Cina janganlah kita bertutur "Apek... Lu kasi itu gula satu kilo, beras dua kilo..." sebaliknya kita perlulah bertutur dalam Bahasa Malaysia yang standard dan mungkin boleh menggunakan bahasa baku dengan berbunyi "Pakcik... Tolong berikan saya sekilo gula dan dua kilo beras..." Erm... nampak tak perbezaannya? Bukankah bagus begitu, kalau semua orang mempraktikan seperti ini nescaya kaum lain yang berurusan dengan kita seperti ini akan mudah mempelajari Bahasa Malaysia dengan betul.

Contohnya lainnya, sekiranya kita pergi ke kedai gunting kaum India, tak perlulah kita bertutur seperti mereka juga macam ini "aney... ini rambut kasi potong pendek aaa...." sebaliknya adalah lebih elok kita bercakap seperti ini "abang.... rambut saya perlu dipotong pendek ye..." Bukankah sedap macam ni. Kalau kita biasakan macam ini pastinya suatu hari nanti dia pun sudah pandai bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan bagus.

Kalau kita bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan betulpun apa salahnya kan..? Bukankah Bahasa Malaysia itu indah dan penuh dengan aspek ilmu. Jadi mulakanlah bercakap Bahasa Malaysia yang standard pada kaum Cina dan India di Malaysia sebagai langkah untuk mengajar mereka bertutur dengan lebih sempurna.

(Ps : Entry ini tercipta setelah menghadiri suatu kursus baru-baru ini)



Saturday, February 19, 2011

KENALI TARIAN SINGA

Tarian Singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.


Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.




Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya. mata singa itu hitam,putih atau merah,putih menunjuk kan garang.

Ps : Kenapa Tarian Singa? Sebabnya pada 26 / 02 / 2011 ini aku telah diarahkan oleh bos aku untuk membuat satu bengkel yang dikenali sebagai Bengkel Mengenali Tarian Singa 1 Malaysia. So, sesiapa yang berminat tu, bolehlah datang ke Dewan Perbadanan Muzium Melaka.. :)

Friday, September 17, 2010

SELAMAT HARI MALAYSIA


Rasanya masih belum terlewat aku mengucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA kepada semua. Terima kasih diucapkan kepada pihak kerajaan yang menyedari kepentingan menyambut Hari Malaysia dan memberikan cuti umum pada seluruh negara untuk rakyat sama-sama menyambut hari yang bersejarah ini. Walaupun pada hari tersebut aku terpaksa hadir bertugas separuh hari kerana ada program di jalankan.

Kita seharusnya bersyukur kerana dapat hidup di dalam negara yang aman dan harmoni yang diwarnai dengan pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama. Kita dapat hidup tanpa rasa gusar akan ancaman-ancaman perkauman, kita masih boleh duduk semeja, berborak, ketawa dan berbincang. Inilah indahnya Malaysia di mana ianya sukar dilihat di negara-negara lain.

Dalam hidup dalam keadaan masyarakat majmuk, sifat tolak ansur, saling memahami dan hormat menghormati adalah kunci kepada kejayaan perpaduan kaum. Sekiranya terdapat masalah, hendaklah segera diselesaikan melalui meja bulat. Berbincang menyelesaikan masalah adalah langkah terbaik daripada membuat keputusan sendiri, melulu dan melakukan kekacauan atau suasana yang tidak diingini. Negara ini telah mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam konflik perkauman, tidak usahlah diulangi, tidak usahlah cabar mencabar antara satu sama lain. Tiada apa faedahnya apabila berlaku persengketaan, sebaliknya teguhkanlah perpaduan.

Kita di Malaysia ini, sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Malaysia tidak akan maju sekiranya ada mengatakan kita tidak perlukan Melayu, Cina, India, dan etnik Sabah Sarawak. Dengan perpaduan yang sedia terjalin inilah kita membawa Malaysia ke arah negara yang dinamik dan progresif menuju wawasan negara maju 2020. Kita tidak boleh nafikan ini, kerana sekarang inipun sudah terbukti kita memerlukan Melayu, Cina, India dan etnik Sabah Sarawak untuk sama-sama memajukan negara. Melayunya yang mahir dalam pengurusan, Cinanya yang mahir perniagaan, Indianya yang mahir perundangan juga etnik Sabah Sarawak yang serba berkebolehan bersama-sama bekerja keras memacu negara.

Semoga sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, semua rakyat Malaysia tak kira warna kulit dan latar belakang dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin sekian lama.