Showing posts with label catatan harian. Show all posts
Showing posts with label catatan harian. Show all posts

Tuesday, August 1, 2023

Membantu Pelajar PhD dari China Membuat Penyelidikan

Walaupun aku telah bertukar dari Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi ke Bahagian Pengurusan Muzium namun aku masih membantu para penyelidik yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan maklumat untuk kajian mereka. Atas tanggungjawab, aku tetap akan membantu kerana bagi aku, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita, Insya-Allah.

Tak berapa lama dahulu, pernah aku membantu seorang pelajar Sarjana bagi mendapatkan maklumat tentang jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku di temuduga dengan beberapa soalan, aku juga dengan senang hati melayannya dengan baik bahkan memberikan penerangan, memberikan laporan dan gambar-gambar berkaitan di samping mengeluarkan segala artifak yang tersimpan di dalam repositori untuk ditatapi oleh pelajar tersebut bagi tujuan penyelidikan. Apabila hendak mendapatkan informasi lanjut, beliau masih bertanya kepada aku melalui panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp

Apa yang membuat hati aku terharu, selepas beberapa bulan beliau whatsapp  kepada aku meminta izin untuk menamakan aku sebagai penulis bersama (co-writer) bagi penulisan jurnalnya. Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.



Hari ini seorang lagi, iaitu pelajar PhD dari China yang belajar di universiti tempatan telah aku santuni. Juga membuat kajian berkisar kepada jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku telah mengeluarkan artifak-artifak dalam simpanan untuk penyelidikan beliau dan turut membawanya ke tapak ekskavasi bagi menunjukkan lokasi artifak-artifak ditemui.

Selesai lawatan ke tapak ekskavasi, beliau mempelawa aku untuk makan tengah hari, namun aku menolaknya dengan baik.

* * * * *

Sebenarnya telah agak lama aku tidak mengemaskini blog. Kehilangannya buah fikiran untuk menulis di samping tugas-tugas yang tiada penghujungnya di pejabat membuatkan aku lelah namun aku tetap suka akan pekerjaan ku.

Aku berusaha menulis semula secara harian sama ada panjang atau ringkas catatan harian ku yang boleh diabadikan untuk rujukan diri aku sendiri pada masa akan datang. 

😎🤘🏼