Showing posts with label cara tuntutan insurans kebakaran. Show all posts
Showing posts with label cara tuntutan insurans kebakaran. Show all posts

Saturday, October 12, 2024

Proses Menuntut Insurans Kebakaran Rumah

Aku harap korang tak perlu lalui perkara ni, tapi kalau takdir dah tentukan rumah kita terbakar, memang kita kena tahu apa nak buat. Pada 6 Ogos 2023 lalu, aku ada alami situasi yang sama dan aku nak kongsikan prosedur nak buat tuntutan insurans kebakaran rumah. Harap-harap boleh membantu korang yang mungkin tengah terfikir apa langkah pertama.


1. Laporan Polis

Lepas kejadian, benda pertama yang aku buat ialah pergi ke balai polis berdekatan untuk buat laporan. Ini penting sebab tanpa laporan polis, tuntutan tak boleh diproses. Dalam laporan tu, kena ceritakan apa yang berlaku dan serahkan butiran rumah yang terbakar. Polis akan bagi salinan laporan, simpan baik-baik sebab nanti kita nak guna.

2. Laporan di Pejabat Insurans

Langkah kedua, aku terus ke pejabat insurans. Dekat sini, kena sediakan beberapa dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan laporan polis tadi dan dokumen yang berkaitan dengan rumah tu. Kalau rumah tu rumah sewa beli, sediakan juga salinan perjanjian sewa beli. Bagi je semua salinan yang diperlukan, senang proses dia bergerak nanti.


3. Laporan Bomba

Tak lama lepas insiden, pihak bomba akan datang buat siasatan. Diorang ni macam detektif yang nak tahu punca kebakaran. Lepas siasatan selesai, bomba akan keluarkan laporan rasmi. Laporan ni penting untuk pihak insurans, so make sure korang dapat salinan.

4. Hantar Laporan Bomba kepada Insurans

Bila dah dapat laporan bomba, aku terus hantar ke pejabat insurans. Salinan ni penting untuk insurans pastikan kebakaran tu memang betul terjadi dan bukan sebab cuai atau disengajakan.

5. Cari Kontraktor untuk Sebut Harga

Sekarang bab yang agak tricky sikit. Aku kena cari tiga kontraktor untuk buat sebut harga bagi kerja-kerja membaiki rumah. Kena pastikan diorang bagi harga yang realistik dengan kerosakan yang berlaku. Sebut harga ni juga akan dirujuk oleh insurans nanti, jadi kena buat betul-betul.


6. Penilaian dari Insurans

Lepas aku submit semua sebut harga tadi, pihak insurans akan hantar penilai. Penilai ni akan datang tengok sendiri kerosakan rumah dan bandingkan dengan sebut harga yang kita dapat. Dia akan kira nilai kerosakan berbanding nilai rumah yang diinsuranskan. Kalau dia rasa sesuai, dia akan buat penilaian akhir.

7. Surat Tawaran Pampasan

Bila semua dah selesai, insurans akan bagi aku surat tawaran pampasan. Dalam surat tu, ada jumlah pampasan yang diorang rasa patut kita dapat. Tapi kalau korang rasa tak puas hati dengan jumlah tu, boleh minta penilaian semula.

8. Minta Penilaian Semula (Kalau Perlu)

Aku sendiri ada rasa tak puas hati dengan nilai pampasan yang diorang offer. Jadi aku mohon untuk diorang nilai balik, dengan bagi beberapa alasan kenapa aku rasa jumlah tu tak cukup. Kena bagi alasan yang kukuh, barulah diorang pertimbangkan.


9. Terima Pampasan

Kalau dah setuju dengan nilai pampasan tu, tunggu je dalam beberapa hari, duit pampasan akan masuk ke akaun bank kita. Alhamdulillah, masa tu rasa lega sebab dah boleh mula baiki rumah.

Itulah prosedur yang aku lalui untuk buat tuntutan insurans kebakaran rumah. Proses dia memang ambil masa, tapi kalau kita ikut langkah betul, insyaAllah semuanya akan berjalan lancar.

Lihat juga entri INI, perihal rumah aku yang terbakar.