Showing posts with label budaya. Show all posts
Showing posts with label budaya. Show all posts

Wednesday, December 25, 2024

Sampai Bila Nak Jadi Pengacara Majlis?

Semalam, aku sekali lagi diarahkan menjadi pengacara majlis, kali ini untuk Pameran Retrospektif Citra Budaya dan Warisan Melaka dalam Seni Miniatur. Pameran ini dirasmikan oleh YB. Timbalan EXCO kerajaan negeri Melaka bagi portfolio pelancongan.

Nasi baik jurukamera ambil gambar, ada juga kenangan

Sejujurnya, tugasan ini bukanlah sesuatu yang aku gemar. Kalau boleh, aku nak elak. Tapi setiap kali nama aku naik, alasan yang sama muncul, tiada orang lain yang mahu. Jadi, nak tak nak, aku kena buat juga.

Majlis berjalan lancar. Bermula dengan ucapan alu-aluan, disusuli ucapan YB. Timbalan EXCO, dan akhirnya gimik perasmian yang cukup santai, sederhana tapi bermakna. Selepas itu, tetamu dibawa melawat pameran yang mempamerkan seni miniatur budaya dan warisan Melaka.

Walaupun aku dah biasa dengan tugas ini, rasa risau tetap ada. Bimbang tersasul atau tersalah sebut, terutamanya bila melibatkan nama-nama besar. Tapi bila tengok majlis berjalan lancar dan tetamu gembira, lega rasanya.

Namun, aku tetap berharap suatu hari nanti ada orang lain yang lebih rela dan berminat menggantikan aku sebagai pengacara. Tugas ini bukanlah kegemaran aku, tapi setakat ini, aku buat saja demi memastikan majlis berjalan seperti yang dirancang.

Wednesday, May 17, 2023

Lima Perkara Menarik Yang Terdapat di Muzium

Balai Seni Lukis Melaka mempamerkan karya seni artis dari dalam dan luar negara

Terdapat banyak perkara menarik yang terdapat di muzium. Berikut adalah lima perkara menarik yang anda boleh jumpai di muzium :

ARTIFAK BERSEJARAH

Muzium sering kali mempamerkan artifak bersejarah yang memberi gambaran tentang masa lalu. Anda mungkin akan menjumpai senjata dan perkakas kuno, pakaian tradisional dan lain-lain. Melalui artifak-artifak ini, anda dapat menghayati dan mempelajari tentang budaya, peradaban, dan peristiwa penting dalam sejarah. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Sejarah Melaka, Muzium Istana Kesultanan Melaka.

LUKISAN DAN UKIRAN

Muzium seni seringkali mepamerkan koleksi lukisan dan ukiran yang mengagumkan. Anda dapat menikmati keindahan seni dari pelukis-pelukis ternama atau pengukir-pengukir terkenal. Muzium seni juga sering mengadakan pameran sementara yang menampilkan seniman-seniman kontemporari. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Balai Seni Lukis Melaka dan Galeri Seni Rakyat.

FOSIL DAN TULANG-TULANG

Jika anda mengunjungi muzium yang maempamerkan sejarah alam semulajadi atau paleontologi, anda akan menjumpai fosil dan tulang-tulang dari haiwan purba dari spesis yang sudah pupus. Melalui pameran ini, anda dapat mempelajari tentang evolusi dan aneka kehidupan di muka bumi. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Negara, Muzium Budaya Borneo.

ARTIFAK BUDAYA

Muzium berkaitan budaya seringkali mempamerkan artifak yang berkaitan dengan kehidupan sehari-hari masyarakat tertentu. Contohnya, muzium berkaitan etnografi mungkin mempamerkan pakaian tradisional, alat muzik, senjata tradisional, dan objek-objek budaya yang lain. Melalui pameran ini, anda dapat mengeksplorasi kebudayaan yang berbeza dan menghargai kepelbagaian manusia melalui etnik dan kaum. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Etnografi dan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam.

SAINS DAN TEKNOLOGI

Muzium bertemakan sains dan teknologi biasanya menampilkan penemuan-penemuan dan inovasi yang mempengaruhi dunia. Anda mungkin dapat melihat model-model mesin, prototaip, alat-alat ilmiah, dan interaktif yang memperlihatkan prinsip-prinsip sains. Ini adalah tempat yang baik untuk belajar tentang perkembangan teknologi dan bagaimana ia telah membentuk kehidupan kita. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Automobil Nasional dan Muzium Budaya Borneo.

Namun perlu diingat, setiap muzium memiliki koleksi yang unik dan tersendiri. Justeru perkara menarik yang dapat ditemui dapat bervariasi dari satu muzium ke muzium yang lain.

Saturday, December 17, 2022

Empat (4) Fungsi Utama Muzium

Bermesra bersama artifak


APA ITU MUZIUM?

Saban tahun Majlis Muzium Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai International Council of Museum (ICOM) mengkaji dan mengemaskini definisi muzium selari dengan fungsi muzium yang kini dilihat bukan lagi sebuah organisasi yang statik, tetapi ia merupakan organisasi serta bidang yang dinamik. Ini adalah selaras dengan fungsi permuziuman itu sendiri yang memiliki bidang-bidang kepakaran yang tertentu, bukan sahaja sekadar mempamerkan artifak dan bahan-bahan lama yang bersejarah, malah lebih daripada itu.

Menurut definisi yang sering digunakan oleh mana-mana organisasi permuziuman di dunia, muzium didefinisikan sebagai "institusi bersifat tetap, tidak berorientasikan keuntungan, terbuka kepada umum dengan peranannya memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamerkan bukti-bukti peninggalan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan dan hiburan."

APA TUGAS KAKITANGAN MUZIUM?

Kecuali tugasan pentadbiran dan kewangan, tugas-tugas kakitangan muzium adalah berbeza dengan jabatan-jabatan lain. Terdapat tiga (3) jawatan di muzium yang tiada di jabatan lain iaitu Kurator (S41), Penolong Kurator (S29) dan Pembantu Muzium (S19). Sekiranya disamakan dengan jawatan pentadbiran, jawatan-jawatan ini adalah mempunyai tingkatan pangkat seperti Pegawai Tadbir (N41), Penolong Pegawai Tadbir (N29) dan Pembantu Tadbir (N19).

Di sini ingin diperjelaskan perihal empat (4) tugas-tugas kakitangan muzium iaitu bersamaan dengan fungsi muzium itu sendiri iaitu memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamer. Berikut adalah huraiannya :

A. MEMPEROLEH

Bahan utama yang menyebabkan kewujudan sesebuah muzium ialah ARTIFAK dan bahan bersejarah. Apa itu artifak? Menurut definisi yang digunapakai oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), artifak adalah peralatan atau barang-barang buatan manusia peninggalan pada zaman dahulu. Usia bahan yang ditakrifkan sebagai artifak adalah antara 50 tahun dan ke atas. Selain artifak, fosil dan lain-lain bahan bersejarah turut dipamerkan di dalam muzium.

Di dalam dunia pemuziuman, terdapat beberapa kaedah dalam memperoleh atau mengumpul artifak. Kelazimannya bahagian atau unit yang terlibat di dalam perolehan artifak adalah sama ada Bahagian Pengurusan Koleksi, Bahagian Pengurusan Artifak atau lain-lain istilah yang bersesuaian. Kaedah-kaedah perolehan yang biasa digunapakai oleh institusi muzium ialah :

i. SUMBANGAN

Masyarakat yang mempunyai artifak dan bahan-bahan bersejarah adalah digalakkan untuk menyumbangkannya kepada pihak muzium. Ini adalah bertujuan, artifak tersebut dapat dipamerkan seterusnya memberikan manfaat dalam bentuk pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat. 

Masyarakat yang menyumbangkan artifak atau bahan bersejarah kepada muzium merupakan satu langkah yang sewajarnya diberi kepujian. Ini adalah kerana kesanggupan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak muzium untuk menjaga seterusnya mempamerkan bahan tersebut bakal memberikan suatu sudut pandang yang berbeza dari aspek sejarah, kebudayaan atau warisan berdasarkan bahan yang disumbangkan. 

Adalah berkemungkinan bahan tersebut tiada dalam simpanan atau pameran di muzium, justeru ia amat bermakna jika masyarakat dapat menyumbangkan bahan, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan yang bersejarah dan unik.

Kelazimannya, apabila seseorang telah menyumbangkan artifak kepada pihak muzium, sebagai galang gantinya mereka akan menerima beberapa manfaat. Manfaat ini bergantung kepada pihak pengurusan muzium masing-masing. Sebagai contoh manfaat yang diberi ialah memberikan pas masuk percuma ke muzium kepada penyumbang, memberi imbuhan secara 'one off', memberi sijil penghargaan, pengecualian cukai dan lain-lain yang difikirkan perlu.

ii. PEMBELIAN

Bagi meningkatkan koleksi artifak dan bahan bersejarah di muzium adalah dengan kaedah pembelian. Kebiasaannya organisasi muzium telah menetapkan belanjawan tahunan bagi pembelian artifak dan bahan bersejarah. Lazimnya harga artifak tidaklah murah, justeru institusi muzium menetapkan belanjawan pembelian artifak menjangkau ratusan ribu ringgit setahun, malah bagi muzium-muzium yang besar, menetapkan perolehan melalui pembelian artifak melepasi jutaan ringgit. 

Pembelian seperti ini harus dilakukan bagi menambah koleksi artifak di muzium agar ia dapat dipamerkan bagi manfaat orang ramai khususnya bagi tujuan pendidikan seterusnya memperkayakan ilmu-ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

iii. JUMPAAN

Artifak jumpaan adalah berkait rapat dengan disiplin arkeologi. Kerja-kerja pengorekan, cari gali atau istilahnya ekskavasi arkeologi merupakan salah satu sub-bidang dalam dunia permuziuman. Apabila kerja-kerja ekskavasi dijalankan, kebiasaannya akan menemui bahan-bahan bersejarah seperti artifak atau fosil. 

Jumpaan-jumpaan ini adalah penting bagi pembuktian sejarah, budaya dan warisan di sesebuah tapak yang digali. Seterusnya ia disimpan atau pamerkan di muzium bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta apa-apa tujuan lain dalam mengetengahkan khazanah warisan negara.

B. MEMULIHARA

Apabila memperoleh sesuatu artifak atau bahan bersejarah, proses seterusnya adalah memulihara. Di dalam dunia permuziuman, memulihara disebut sebagai konservasi artifak. Artifak yang baru diperoleh perlu menjalani proses konservasi bergantung kepada keadaan artifak tersebut. Sekiranya arifak tersebut sekadar kotor dan berhabuk, pembersihan secara fizikal perlu dilakukan bagi menghilangkan segala kotoran yang terlekat pada artifak tersebut. 

Sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan dan kekotoran tertentu yang sukar dibersihkan secara fizikal, proses pembaikan secara penggunaan bahan kimia atau lain-lain kaedah yang difikirkan perlu diambil bagi menyelamatkan jangka hayat artifak tersebut. Tidak hanya pada artifak yang baru diperoleh, artifak yang terdapat di ruang pameran dan kawasan repositori juga perlu melalui proses konservasi.

Konservasi artifak terbahagi kepada dua iaitu konservasi preventif dan konservasi kuratif. Konservasi preventif adalah bertindak untuk mencegah atau menghalang artifak supaya tidak mudah rosak akibat persekitaran seperti suhu, cahaya, kelembapan dan serangga perosak seperti fungus, serangga serta pencemaran udara.

Konservasi kuratif pula merupakan tindakan secara terus yang diambil terhadap artifak yang telah mengalami deteriorasi. Tindakan ini diambil bagi memberhenti atau merencatkan proses deteriorasi terus berlaku terhadap artifak.

Di dalam bidang pemuziuman, kakitangan yang melaksanakan kerja-kerja konservasi dikenali sebagai konsevator yang mempunyai kemahiran menggunakan bahan-bahan mekanikal dan kimia bagi proses konservasi. Setiap muzium kebiasaannya mempunyai Bahagian Konservasi bagi menempatkan kakitangan di sebuah lap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Bagi artifak dan bahan bersejarah yang telah rosak yang perlu dibaiki, kaedah restorasi boleh digunapakai. Restorasi merupakan kaedah di mana artifak dirawat bagi mengembalikan artifak seperti sediakala dengan menggunakan material yang sama atau hampir sama dengan bahan asal artifak tersebut.

C. MENYELIDIK

Menyelidik merupakan salah satu aspek penting dalam bidang permuziuman. Setiap muzium yang mempamerkan artifak harus mempunyai keterangan atau maklumat yang perlu disampaikan. Bagi menyampaikan maklumat tersebut, penyelidikan dibuat bagi mengetahui sesuatu artifak atau bahan bersejarah. 

Penyelidikan berkaitan artifak ini lazimnya dilaksanakan oleh kurator yang mempunyai disiplin ilmu tertentu sama ada artifak tersebut berkait dengan sejarah, kebudayaan, warisan atau sebagainya. Justeru, kurator memainkan peranan yang penting untuk membuat penyelidikan bagi memastikan maklumat yang bakal disampaikan adalah benar dan tepat. 

Selain kurator yang menjalankan penyelidikan, pihak muzium turut mendapatkan bantuan daripada para penyelidik khususnya daripada instituti pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Boleh juga mendapatkan bantuan daripada penyelidik-penyelidik persendirian atau individu-individu yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang yang hendak diselidiki.

D. MEMPAMERKAN

Seterusnya, artifak dan bahan bersejarah perlu dipamerkan. Ia adalah bertujuan agar ia boleh dilihat atau disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi muzium. Ini adalah salah satu proses pendidikan muzium di mana para pelawat memperoleh ilmu, maklumat dan hiburan dari artifak yang dilihat seterusnya memberi manfaat khususnya dalam mengenali sejarah, budaya dan warisan negara. 

Dahulu, artifak dan bahan bersejarah dipamerkan secara konvensional di mana hanya dipamerkan di dalam peti pameran dan terdapat penerangan berkaitan bahan tersebut. Namun kini, penggunaan teknologi moden sering digunakan dalam aspek mempamerkan artifak sama ada dalam bentuk 3D, Virtual Reality (VR), Audio Tour dan lain-lain kaedah bersifat interaktif yang mana antara lainnya bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi muzium.

Tuntasnya, itulah antara empat (4) fungsi utama muzium yang menggerakkan institusi permuziuman khususnya di negara kita ini bagi menyebarluaskan pendidikan muzium kepada masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga lain-lain tugas, peranan atau fungsi tertakluk kepada sesuatu muzium seperti zoologi yang berperanan menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja berkaitan hidupan haiwan meliputi taksidermi iaitu pengawetan haiwan dan sebagainya. 

Turut terpakai dalam alam permuziuman ialah konservasi bangunan. Muzium kelazimannya menggunakan bangunan-bangunan lama era kolonial. Oleh itu, penjagaan bangunan muzium adalah amat berbeza berbanding penjagaan bangunan baharu. Bangunan muzium dibaikpulih mengikut kaedah konservasi dengan diawasi oleh konservator bertauliah. Ini dilakukan agar fasad bangunan dan lain-lain hiasan luaran serta dalaman dibaikpulih dengan sempurna dengan mengekalkan seni bina asalnya. Sepertimana kaedah konservasi, pengekalan bahan asal adalah penting dalam membaiki sesuatu kerosakan, sekiranya tiada, bahan hampir sama perlu digunakan bagi mengekalkan rupa asal bangunan tersebut.

Justeru, masyarakat perlu memahami fungsi kewujudan muzium dan peranannya kepada masyarakat. Muzium perlu dijadikan destinasi utama apabila melancong ke sesebuah negeri atau negara kerana ia bukan hanya memberikan hiburan malah terdapat banyak khazanah ilmu yang bermanfaat terdapat di dalamnya. Bukan sahaja berkaitan sejarah, terdapat banyak disiplin ilmu yang terdapat di muzium antaranya kebudayaan, warisan, seni bina, permuziuman dan lain-lain lagi.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Monday, September 27, 2010

Wednesday, September 15, 2010

MARI MELAWAT MUZIUM-MUZIUM DI MELAKA


Tahukah anda, pada tarikh hari ini 15 Oktober 2010 di Melaka mempunyai 28 buah muzium dan galeri yang diuruskan oleh Perbadanan Muzium Melaka. Muzium dan galeri yang terdapat di Melaka adalah : -

1. Muzium Sejarah dan Ethnografi
2. Muzium Belia Malaysia
3. Muzium Pemerintahan Demokrasi
4. Muzium Tuan Yang Terutama
5. Muzium Pendidikan
6. Muzium Sastera
7. Muzium Samudera Fasa 1 (Kapal Flor De La Mar)
8. Muzium Samudera Fasa 2
9. Muzium Tentera Laut DiRaja Malaysia
11. Muzium Dunia Melayu Dunia Islam
12. Muzium Setem
13. Muzium Rakyat
14. Muzium Layang-Layang
15. Muzium Kecantikan
16. Muzium Islam
17. Muzium Adat Istiadat
18. Muzium Orang Asli
19. Muzium Pertanian
20. Muzium Pengangkutan Melaka
21. Muzium Chitty
22. Muzium Al-Quran
23. Galeri Laksamana Cheng Ho
24. Galeri 3 Dimensi
25. Galeri Seni Rakyat
26. Galeri Melaka
27. Galeri Ketua Menteri Melaka
28. Balai Seni Lukis Melaka

Insyaallah, tidak lama lagi akan bertambah sebuah lagi muzium di Melaka iaitu Muzium Pulau Besar di mana ianya sedang dalam pembinaan dan dijangka akan mula beroperasi pada tahun ini.

Mengapa perlu ada banyak muzium? Pasti ada pertanyaan ini bermain di dalam minda anda. Jawapan yang paling mudah untuk dijawab ialah, muzium memelihara khazanah, budaya dan warisan. Sekiranya tiadanya muzium-muzium ini, dimanakah peninggalan-peninggalan yang bersejarah ini hendak disimpan? Justeru itu, muzium memainkan peranan penting memelihara dan mempamerkan khazanah yang tidak ternilai ini kepada umum, supaya mereka sedar dan memahami sejarah sesuatu peristiwa, artifak, individu, institusi dan sebagainya.

Bukan sahaja berniat untuk mempamerkan "barangan lama" tetapi muzium juga merupakan pusat penyelidikan bagi para pengkaji sejarah. Kebanyakan pengkaji akan membuat kajian tentang sesuatu artifak, peristiwa bersejarah, sejarah dan senibina bangunan muzium dan sebagainya

Akhir kalam, Melaka bukanlah bermegah-megah untuk menubuhkan muzium yang banyak tetapi ianya bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat, agar mereka tahu sejarah negara dan berharap mereka memperoleh faedah daripadanya.