Showing posts with label blog satu pendokumentasian. Show all posts
Showing posts with label blog satu pendokumentasian. Show all posts

Sunday, November 20, 2011

BLOG SATU DOKUMENTASI





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada zaman sekarang blog adalah satu media yang amat popular baik bagi remaja mahupun yang sudah dewasa. Berbagai-bagai fungsi yang dilakukan dengan berblog seperti untuk peribadi, politik, pemasaran, pelancongan, makanan dan sebagainya. Secara sedar mahupun tidak sedar sebenarnya kita telah membuat suatu dokumentasi tentang sesuatu acara, perkara ataupun peristiwa yang telah dilalui.

Mendokumentasikan sesuatu perkara yang telah kita lakukan adalah penting. Ini adalah kerana ia mempunyai nilai pada suatu masa nanti. Nilai-nilai tersebut seperti nilai sejarah, nilai budaya, nilai fiskal, nilai perundangan, nilai estetika dan berbagai-bagai nilai yang lainnya.

Kalau hendak dibandingkan dengan negara Barat, rasanya kita di Malaysia agak jauh ketinggalan dalam mendokumentasikan apa yang kita lakukan dan laksanakan. Di Barat, mereka menganggap pendokumentasian adalah penting bagi masa-masa hadapan untuk individu ataupun negara. Dalam perkataan yang lain, mereka senantiasa merekod dan menyimpan segala rekod dengan sempurna bagi rujukan akan datang. Bersyukurlah kita mempunyai arkib dan muzium yang mendokumentasi dan menyimpan rekod-rekod kepentingan negara.

Kita beralih kepada peristiwa yang lalu di mana Malaysia telah kalah kepada Singapura di Mahkamah Antarabangsa semasa tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Selain daripada isu kecuaian, isu rekod juga salah satu daripada faktor mengapa Singapura menang dalam tuntutan tersebut. Jelaslah bahawa rekod dan dokumentasi adalah penting pada individu dan negara, mungkin bukan buat masa sekarang tetapi pada masa akan datang kerana ianya mempunyai nilai-nilai yang tertentu.

Dalam hujah ini penulisan blog juga mungkin berguna pada masa akan datang. Manalah tahu, pada masa hadapan penulisan-penulisan blog ini boleh dijadikan bukti pada hal-hal tertentu. Ia juga boleh menjadikan memori yang indah apabila kita sudah berumur kelak. Tapi mungkin ada yang bertanyakan bolehkan blog terus wujud pada masa akan datang? Saya fikirkan tentu boleh. Andainya blog akan tidak wujud lagi, mungkin kita boleh salinkan semua isi-isi kandungan blog kita dan jilidkan seperti buku agar ia terus dapat kita simpan.

Mungkin penulisan ini dilihat remeh temeh oleh segelintir individu tetapi percayalah, sekiranya anda telah meningkat ke umur veteran dan menyingkap kembali tentang apa yang anda tulis di blog pastinya akan meninggalkan kesan sentimental yang begitu indah.