Showing posts with label berbuka puasa. Show all posts
Showing posts with label berbuka puasa. Show all posts

Friday, March 21, 2025

Berbuka Puasa di Muzium: Sokongan Untuk Rakan Seperjuangan

Hari ini, aku berbuka puasa bersama kakitangan Muzium Sejarah Melaka yang bertugas. Aku makan nasi ambeng yang aku kirim daripada salah seorang kakitangan yang keluar membeli makanan di bazar Ramadan. Kehadiran aku bukan sekadar untuk menikmati juadah, tetapi sebagai tanda sokongan kepada mereka yang bekerja di hujung minggu ketika orang lain bercuti. Dalam sektor pelancongan, cuti mereka bergilir sama ada pada hari Ahad atau Isnin, menjadikan hujung minggu mereka hari bekerja seperti biasa.

Berbuka puasa di bilik rehat kakitangan

Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, kawasan sekitar tempat kerja aku terlibat dalam Melaka Car Free Zone dan beberapa muzium termasuk Muzium Sejarah Melaka dibuka hingga malam. Ia memberi peluang kepada pelancong menikmati sejarah Melaka pada waktu yang lebih fleksibel, sementara kakitangan muzium terus menjalankan tugas mereka dengan dedikasi.

Berbuka puasa bersama mereka hari ini adalah pengalaman bermakna. Ia bukan sekadar satu perjumpaan biasa, tetapi satu bentuk penghargaan kepada rakan sekerja yang sentiasa komited dengan tugas mereka. Semoga semangat ini terus kekal dan menjadi inspirasi kepada semua yang berkhidmat dalam industri pelancongan.

Thursday, March 20, 2025

Berbuka Puasa di Masjid Al-Aminin Bersama Imam Mohammad Sharif

Semalam, aku berpeluang berbuka puasa di Masjid Al-Aminin, masjid kariah tempat tinggalku. Suasana di masjid begitu meriah dengan kehadiran ramai jemaah yang bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa yang telah disediakan oleh pihak masjid. Hidangan yang disusun rapi membolehkan kami berbuka dengan selesa. Namun, apa yang lebih istimewa pada malam itu ialah kehadiran seorang tetamu, Al-Fadhil Sheikh Al-Hafiz Imam Mohammad Sharif Mohammad Imrani, seorang Imam Masjid Al-Abbad di Mekah.

Imam Mohammad Sharif bukanlah nama asing di Melaka kerana beliau telah bernikah dengan orang tempatan dan sering dijemput mengimamkan solat di masjid-masjid sekitar negeri ini. Pada malam itu, beliau mengimamkan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih. Bacaan Al-Qurannya begitu merdu dan memberikan ketenangan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Seusai solat, beliau turut menyampaikan tazkirah ringkas tentang keistimewaan Ramadan. 


Selesai solat, ramai jemaah mengambil peluang untuk bergambar bersama Imam Mohammad Sharif, termasuk aku sendiri. Detik ini menjadi kenangan berharga kerana dapat bertemu dan bersolat di belakang seorang imam dari tanah suci. Malam itu bukan sekadar berbuka puasa, tetapi juga pengalaman bermakna yang menambahkan rasa syukur dan semangat untuk terus beribadah dengan penuh keikhlasan.

Thursday, May 6, 2021

PANTUN CINCAU

Kecoh sehari dua ini pasal cincau sehingga dibuat pantun oleh netizen. Saya pun sebenarnya kurang periksa bagaimana fenomena cincau ini bermula dan atas sebab apa. 


Bagi saya, selagi tidak terdetik hati saya untuk mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam, elok dibuat bagai angin lalu. Namun, suka untuk saya mencipta pantun-pantun bertemakan cincau.


Pergi Melaka membeli cincau,

mari diminum waktu berbuka;

anak orang jangan dikacau,

kelak nanti lebam di muka.


Anak dara senyum ketawa,

duduk di serambi menikmati cincau;

anak perantau terus kecewa,

tak balik raya jiwa meracau.


Burung kedidi berkicau-kicau,

sambil menikmati seulas nangka;

apalah nasib dirimu cincau,

terhempas ke lantai sebelum berbuka.


Ok.  Setakat ini sahaja idea untuk membuat pantun bertemakan cincau. Puas pula nak memikir, ilham tak datang-datang. 

Ada kalanya bagus juga ada benda-benda viral sebegini kerana mengalakkan netizen berimaginasi dan kreatif dalam mencipta pantun-pantun. Tidak kiralah sama ada pantun yang dicipta itu baik atau sebaliknya, sekurang-kurangnya netizen telah mencuba dan buat yang terbaik.

Pantun juga merupakan salah satu warisan kita yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Baru-baru ini iaitu pada 17 Disember 2020, pantun telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan. Pengiktirafan ini adalah secara bersama iaitu Malaysia dan Indonesia.

Ada siapa pandai berpantun? Sila sertakan pantun kalian di ruangan komen. 😃👍🏼 

Lihat juga koleksi pantun saya di entri buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga.

Wednesday, July 10, 2013

TIPS BERJIMAT CERMAT SEMASA KE PASAR RAMADHAN @ PARAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Bila masuk saja bulan Ramadhan, selain daripada ibadah puasa, solat terawih, solat malam, ia juga pasti dikaitkan dengan Pasar Ramadhan @ Bazar Ramadhan @ PARAM.

Apabila ke Pasar Ramadhan, sudah pasti otak ligat berfikir nak beli itu, beli ini, sehinggakan tak cukup satu tangan hendak menjinjing beg-beg plastik yang mengandungi makanan. Pelbagai makanan dibeli dari murtabak, kuih tepung pelita, ayam percik dan sebagainya. 


Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar : KLIK


Apa yang agak dikesalkan ialah berlakunya pembaziran. Kadangkala, makanan yang dibeli itu langsung tidak diusik. Sudah terlalu kenyang berbuka puasa dengan nasi sehingga tidak mampu untuk mengisi makanan-makanan yang lain. Kalau difikirkan, berapa besar sangatlah perut kita boleh mengisi makanan. Nafsu kita sebenarnya yang besar.

Hanya satu tips yang sememangnya sangat berguna bagi mengelakkan pembaziran apabila ke Pasar Ramadhan iaitu dengan membawa wang seminimum yang boleh. Kalau boleh bawalah hanya RM5.00 atau RM10.00 sahaja agar kita sendiri dapat mengawal perbelanjaan ketika membeli belah di PARAM.

Dengan membawa wang yang minimum, sebesar manapun nafsu kita nak beli itu, beli ini akan terbatas kerana duit yang dibawa tidak mampu membeli dengan jumlah yang banyak. Secara tidak langsung, tidak akan berlakunya pembaziran dan membeli makanan berlebih-lebihan. 

Bukankah di bulan Ramadhan ini kita diajar untuk bersederhana? Oleh itu, marilah sama-sama kita bersederhana dalam apa-apa bentuk tindakan.

Selamat beramal dan selamat berpuasa... :)