Showing posts with label batu nisan. Show all posts
Showing posts with label batu nisan. Show all posts

Thursday, August 24, 2023

Jangan Jadi Bangsat!!!

Ogos 1511 jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis. Sebuah kisah sedih yang harus dikenang. Pembinaan negara bangsa dari Kesultanan Melayu Melaka habis lenyap kesemuanya.

Batu Nisan Sultan Mansur Syah di Muzium Sejarah Melaka


Namun, apa yang lebih menyakitkan hati, apabila terdapat segelintir warga yang menyatakan bahawa tanpa penjajahan, Melaka tidak terkenal seperti sekarang, Melaka tiada sumber dan hanya bergantung kepada sektor pelancongan, malah ada yang menyatakan Melaka adalah bandar mati!

Yang matikan Melaka adalah penjajah! Tidakkah kalian belajar dari sejarah? Dahulu sebelum datangnya era penjajahan, Melaka sudah sedia terkenal. Ia bukanlah sebuah negeri, tetapi sebuah empayar. Empayar yang sebahagian besarnya meliputi segenap nusantara.

Penulis luar juga menyatakan bahawa Melaka ini merupakan "Venice di sebelah Timur", sebuah emporium menghubungkan Timur dan Barat. Di pelabuhan Melaka terdapat 84 bahasa dipertuturkan, lihat betapa gahnya Melaka ketika itu.

Melaka juga mempunyai undang-undang yang tersendiri. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menunjukkan bahawa Melaka adalah sebuah empayar yang mempunyai pemerintahan yang bersistematik, adil dan saksama.

Terdapat juga manuskrip-manuskrip Melayu yang memerihalkan kehebatan Melaka, antaranya Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah di mana 2 teks karya agung ini melihatkan keintelektualan masyarakat tempatan setanding negara Barat yang dikatakan lebih maju itu.

Tak perlulah diterangkan lagi perihal kehebatan empayar Melaka dengan panjang lebar. Seharusnya kalian sudah sedia tahu.

446 tahun Melaka dijajah! Betapa sakitnya hati para pejuang-pejuang terdahulu apabila terdapat segelintir warga yang memperlekehkan perjuangan mereka, malah disanjung pula penjajah.

Yang mana kuat memperlekehkan di mana tempat kakinya berpijak, eloklah kiranya pulang semula dari mana arahnya datang!

Saturday, March 27, 2021

BATU NISAN BELIMBING KAMPUNG CHOHONG









Dalam beberapa tahun yang lalu gempar apabila penduduk kampung menjumpai perkuburan lama di kampung Chohong, Jasin, Melaka yang memaparkan ciri-ciri yang unik.

Apa yang uniknya ialah di kawasan perkuburan tersebut semua batu nisan di situ adalah diperbuat daripada batu laterit. Batu ini juga dikenali dengan batu merah atau batu lada. Batu-batu jenis ini banyak didapati di pulau-pulau dan juga boleh didapati di kawasan darat.

Apa yang menariknya perihal batu nisan ini, ia diukir atau dipahat dengan sempurna dan cantik berbentuk seperti belimbing buluh, lantas ia disebut batu nisan belimbing.

Terdapat lebih 30 buah kubur di kawasan perkuburan di situ di mana semua nisannya diperbuat daripada batu laterit dan kebanyakan berbentuk belimbing dan ada juga beberapa bentuk yang lain.

Tidak banyak sumber diperolehi untuk memastikan milik siapa kubur-kubur ini walaupun beberapa kajian cuba dijalankan namun belum menemui sebarang klu untuk mengesahkan penemuan perkuburan ini.

Maka, beberapa pengkaji telah membuat hipotesis yang menyatakan kebarangkalian ini merupakan antara perkuburan terawal sezaman dengan era kesultanan Melayu Melaka. Malah ada yang berpendapat kemungkinan ia lebih awal daripada itu dengan mengaitkan dengan sebelum kedatangan Parameswara dan pembukaan Melaka.

Pelbagai andaian ini membuka ruang untuk pengkajian lanjut dilakukan. Satu kajian komprehensif yang dipelopori oleh pakar dan ahli sejarah perlu dilaksanakan untuk merungkai persoalan mengenai batu nisan ini.

Walaupun bagaimanapun, keunikan batu nisan ini harus juga dibincangkan dari aspek teknologi. Penemuan batu nisan ini memberi gambaran bahawa teknologi masyarakat Melayu Islam pada masa dahulu sudah kehadapan. Mereka sudah mampu dan berkemahiran mengukir atau memahat batu laterit dengan sempurna dan cantik. Ini jelas menunjukkan bahawa tamadun Melayu Islam di Melaka telah mempunyai tahap yang amat maju.

Untuk menghasilkan batu nisan yang diperbuat daripada batu laterit dengan ukiran atau pahatan yang sempurna adalah tidak masuk akal jika tidak mempunyai teknologi dan kemahiran tertentu. Walaubagaimanapun, penggunaan batu laterit dalam pembuatan batu nisan adalah sesuatu yang biasa ditemui di perkuburan-perkuburan lama sekitar negeri Melaka, cuma batu nisan belimbing ini sahaja yang unik.

Satu persoalan yang bermain di fikiran berkenaan penggunaan batu laterit. Batu laterit sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama zaman penjajahan Portugis.  Kota Melaka (Fortaleza de Malaca) yang dahulu mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St. Paul) dibangunkan dengan bahan batu laterit. Apakah benar kota tersebut adalah teknologi Portugis atau sebenarnya teknologi penggunaan batu laterit sebenarnya telah digunakan awal oleh masyarakat Melayu Melaka? 

Apabila merujuk kepada catatan Portugis, ada menyatakan bahawa terdapat bangunan-bangunan di Melaka diperbuat daripada batu seperti kota, masjid malah istana. Dari bahan runtuhan masjid dan istana ini didirikan Fortaleza de Malaca. Justeru, besar kemungkinan di zaman kesultanan Melayu Melaka telah awal menggunakan bahan binaan daripada batu iaitu batu laterit. 

Batu laterit juga banyak digunakan dalam pembinaan rumah Melayu lama dimana tembok-tembok dikuatkan dengan batu laterit dan disimen. Alas-alas tiang juga menggunakan batu laterit. Justeru, penggunaan batu laterit bagi masyarakat Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu bukanlah suatu yang luar biasa, malah penggunaan ia adalah berleluasa.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa batu laterit merupakan antara bahan binaan utama yang digunakan oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman dahulu.  Masyarakat Melayu Melaka juga mempunyai kemahiran dan teknologi untuk memotong, memahat dan mengukir batu yang amat baik setanding dengan teknologi tamadun-tamadun lain.