Showing posts with label batam. Show all posts
Showing posts with label batam. Show all posts

Monday, November 15, 2010

PERKARA YANG DIINGAT SEMASA DI BATAM

Semasa aku di Batam, Indonesia inilah perkara-perkara yang aku ingati sehingga kini sebagai maklumat dan pengalaman aku sepanjang berada 5 hari di sana. (8 - 12 November 2010)

2800 Rp :
Semasa aku di sana, nilai matawang RM 1.00 bersamaan 2800 Rp. Aku sentiasa membuat perbezaan harga dalam nilai RM semasa hendak membeli barang. Ternyata harga barangannya tidak jauh bezanya, tetapi ada juga yang murah.

Supir :
Maksudnya ialah pemandu. Sebab aku sentiasa dibawa oleh pak supir yang telah disewa untuk membawa ke mana-mana destinasi yang hendak dituju. Pak supir juga berperanan membantu aku menawar harga semasa membeli belah.

Nagoya Hill :
Pusat membeli belah yang kerap sekali aku tuju. Rasanya hampir 3 kali aku pergi ke situ.

Lembaga Adat Melayu :
Bangunan yang menempatkan Galeri Melaka dan tempat berlangsungnya Seminar Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka.

Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka :
Buku-buku ini yang membuatkan aku ke Batam bagi melaksanakan pelancaran buku ini. Berkotak-kotak buku ini di bawa dari Melaka dan amat berat kerana buku ini tebal dan bersaiz besar.

TV3 :
Satu-satunya siaran dari Malaysia yang terdapat di hotel. Buletin Utama merupakan rancangan yang harus ditonton.

Bukan Empat Mata :
Rancangan Bual Bicara yang kerap aku tonton setiap malam. Rancangan ini bersiaran selama 2 jam. Memang kelakar dan menyeronokan.

Barack Obama :
Kebetulan masa aku di Batam, presiden Amerika Barack Obama juga membuat lawatan ke Indonesia. Jadinya kebanyakan siaran tv menyiarkan cerita tentang kedatangan Obama. Antara perkataan yang diucapkan oleh Obama yang masih aku ingat ialah "Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera", "Pulang Kampung Nih", Nasi Goreng, Bakso" dan "Indonesia Bagian Bagi Saya"

Swiss-Belhotel :
Hotel inilah tempat aku menginap selama 5 hari 4 malam.

Restoran Pak Datuk :
Restoran makanan Padang yang kerap sekali aku kunjungi. Makanannya memang enak-enak sekali.

Restoran Golden Prawn :
Restoran makan laut, ala-ala restoran terapung. 2 malam makan di sini, tapi aku tak suka sangat masakannya.

Jalan Raya :
Jalan raya di sini kurang lampu isyarat, banyak kenderaan menggunakan hon. Tetapi di sana adalah perkara biasa. Mereka sentiasa berhemah di jalan raya. Sekiranya hon dibunyikan, kenderaan akan memberi laluan dan sekiranya di suatu persimpangan yang tiada lampu isyarat, pemandu hanya perlu menghulurkan hadapan kenderaan dan kereta di hadapan pastinya akan memberikan laluan. Aku beritahu pemandu di sana, di Malaysia kalau orang hon-hon silap-silap dibalas dengan tunjuk penumbuk.

Galeri Melaka :
Galeri yang baru ditubuhkan di bangunan Lembaga Adat melayu, Batam. Kerana galeri inilah aku berada di Batam.

Walikota :
Banyak poster-poster dan Billboard sepanjang jalan raya yang memaparkan wajah-wajah calon wakikota dan wakil walikota kerana pada masa tersebut sedang giat kempen pemilihan walikota.

AXIS : Operator telefon bimbit yang aku gunakan di sana. Kalau aku roaming menggunakan MAXIS harganya agak mahal, jadi aku guna operator sana untuk berhubung ke Malaysia.

Melayu : Orang di sana juga bercakap dalam bahasa Melayu, berbaju Melayu dan mengatakan mereka adalah Melayu.

HPA : Syarikat Multi Level Marketing Malaysia yang aku perasan pusat jualannya terdapat di Batam. Aku sangat teruja kerana aku juga ahli HPA. :)

1 Jam : Perbezaan waktu Malaysia dan Batam ialah 1 jam. Pukul 8.00 malam Malaysia = pukul 7.00 malam Batam.




LIMA HARI DI BATAM

8 - 12 November yang lalu aku telah pergi ke Batam, Kepulauan Riau, Indonesia bersama 4 orang lagi dari jabatan tempat aku bekerja. Kedatangan aku ke Batam ialah untuk menghadiri Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-11, namun tujuan utama ke sana ialah untuk melaksanakan tugas-tugas Pelancaran Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka, Tradisi Agung Melayu dan juga Perasmian Galeri Melaka di Lembaga Adat Melayu, Batam.

Hari Pertama

Pagi bertolak dari Jetty Stulang Laut, Johor ke Terminal Batam. Perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit. Sampai di Batam sudah disambut oleh orang di sana dan terus ke bangunan Lembaga Adat Melayu, Batam (LAM) dan memunggahkan kotak-kotak berisi buku-buku, cenderahati, beg goodies dan sebagainya. Lepas tu terus makan di restoran makanan padang Pak Datuk.

Selepas makan terus sahaja ke hotel Swiss-Belhotel yang terletak di Jodoh. Lepak hotel sampai malam kerana belum ada aktiviti yang perlu dilakukan.

Hari Kedua

Pagi bersarapan di hotel lepas tu bersiap-siap ke Lembaga Adat Melayu, Batam untuk membantu dan memantau kerja-kerja menyiapkan Galeri Melaka yang dibuat oleh kontraktor. Pada masa ini, galeri masih belum siap sepenuhnya.

Pada petangnya pula, membantu pihak Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menyelaraskan kerja-kerja Seminar Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka, Tradisi Agung Melayu.

Malamnya pula pergi ke pusat membeli belah Nagoya Hill untuk jalan-jalan dan membeli belah. Aku beli baju dan keychain sahaja.

Hari Ketiga

Pagi selepas sarapan di hotel pergi ke Pusat Konvensyen Batam kerana ada Majlis Pelancaran Buku Panglima Awang dan Buku Empayar Melaka, Tradisi Agung Melayu oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Pelancaran di buat di dalam auditorium, tetapi aku hanya duduk di pintu masuk untuk menjual buku. Ada 6 buah terbitan jabatan aku terjual tetapi buku Panglima Awang dan buku Empayar Melaka tidak terjual, mungkin disebabkan harganya mahal. Masing-masing berharga RM300 dan RM350 sebuah.

Selepas tamat konvensyen, terus ke bangunan Lembaga Adat Melayu untuk memantau kerja-kerja menyiapkan Galeri Melaka. Galeri hampir siap tetapi banyak kesalahan dari segi susunan panel, jadinya kami terpaksa membuka kembali semua panel dan mengarahkan kontraktor memasang kembali mengikut susunan yang telah diperbetulkan. Galeri tersebut berkonsepkan tradisi perkahwinan masyarakat Melaka, jadinya kami banyak membantu pihak kontraktor memastikan pakaian pengantin, pelamin dan bahan hantaran dibuat dengan berlandaskan tradisi-tradisi masyarakat Melaka.

Hari Keempat

Pagi-pagi lagi sudah pergi ke Lembaga Adat Melayu bagi memastikan kerja-kerja akhir Galeri Melaka selesai kerana pada petang ianya akan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka dan Bapak Gabernor Riau.

Setelah bertungkus lumus menyiapkan segala persiapan akhirnya galeri tersebut telah berjaya dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka dan Bapak Gabernor Riau pada petangnya.

Malamnya masa untuk berehat seketika di bilik hotel dan makan malam di restoran Golden Prawn.

Hari Kelima

Hari pengabisan. Pagi selepas sarapan, pergi ke pasar Jodoh. Bukan cari jodoh, tapi nama pasar tu memang pasar jodoh. Aku belikan kain ela sulam benang untuk orang rumah. Lepas tu ke pusat membeli belah Batam Center untuk membeli belah buat kali terakhir. Banyak jugalah habis duit masa shopping di hari terakhir.

Dalam pukul 1.30 Waktu Indonesia Barat (WIB) aku selamat naik feri dan terus ke Stulang LauT, Johor. Dalam pukul 7 lebih barulah aku sampai ke Melaka.