Showing posts with label bank negara. Show all posts
Showing posts with label bank negara. Show all posts

Tuesday, September 2, 2014

BERHATI-HATI DENGAN PENIPUAN TERANCANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Berhati-hatilah.. Kini banyak penipuan terancang sama ada di jalanan mahupun dengan panggilan telefon. Yang paling 'jahat' sekarang ialah melalui telefon sehingga kita tidak perasan sebenarnya kita ditipu. 

Jadi, sentiasa berwaspadalah. Kalau ada panggilan yang meragukan, jangan dilayan.. Ikuti pesanan dari Bank Negara Malaysia.


Ps : Dulu nyaris kena tipu juga...

Wednesday, October 31, 2012

WAJIB BACA : PENIPUAN WANG ALAF BARU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Sebelum saya bercerita agak panjang lebar, terlebih dahulu saya berpendapat mungkin ada antara kalangan yang membaca entri ini pernah terkena sepertimana yang saya mahu ceritakan ini. Saya berkongsi cerita ini supaya kita semua mendapat makluman seterusnya tidak tertipu dalam apa-apa bentuk penipuan yang menyuruh kita menyerahkan wang. Wallahuaklam.
 
Hendak dijadikan cerita, pagi tadi (30 Oktober 2012) saya ada mendapat satu panggilan bernombor misteri iaitu 1300888*** yang mendakwa panggilan dibuat dari TM (Telekom Malaysia). Semasa menjawab panggilan tersebut, operatornya memberitahu saya mempunyai bayaran tertunggak bil bulanan UNIFI sejak April 2012 sebanyak RM 3,000 ++. Selepas itu, operator menyuruh saya menekan nombor sekian-sekian untuk terus disambungkan kepada pegawai mereka.
 
Saya agak terperanjat kerana saya tidak pernah melanggan pakej tersebut, ditambah lagi keraguan bahawa kawasan penginapan saya memang masih belum ada servis UNIFI. Saya agak sedikit bingung.
 
Pegawai yang disambungkan kepada saya mendakwa beliau dari pejabat TM di Kuala Lumpur. Saya memberitahu perkara sebenar yang saya memang tidak melanggan UNIFI. Seterusnya dia memberitahu kepada saya mungkin ada seseorang yang telah menggunakan nama dan nombor kad pengenalan saya untuk melanggan UNIFI.
 
Apa yang membuatkan saya berasa janggal sangat, orang yang didakwa menggunakan nama saya itu juga membuka akaun RHB BANK sebagai agensi pemotongan bulanan terus dari akaun untuk membayar bil bulanan UNIFI. Keadaan saya semakin tertanya-tanya.
 
Lantas, pegawai tadi menyatakan mungkin nama dan nombor kad pengenalan saya telah disalahguna oleh pihak tertentu dan menyarankan saya membuat laporan ke BANK NEGARA kerana ia melibatkan penipuan akaun bank. Sebelum itu sempat juga dia memberikan maklumat-maklumat berkaitan seperti alamat dan nombor telefon rumah orang yang menggunakan nama saya, nombor akaun UNIFI serta nombor akaun RHB BANK yang semuanya menggunakan nama saya.
 
Pegawai tersebut menyuruh saya menulis segala maklumat yang diberikan supaya mudah disampaikan kepada pegawai di BANK NEGARA semasa saya membuat laporan. Sebelum menamatkan panggilan, pegawai tersebut telah memberikan nombor telefon Unit Aduan BANK NEGARA dan menyarankan agar saya segera menghubunginya.
 
Saya tanpa berfikir panjang terus menghubungi BANK NEGARA melalui nombor telefon yang telah diberikan. Tiada jawapan. Saya dail sekali lagi, masih tiada jawapan seperti talian sedang sibuk. Dalam hati saya berfikir, tentu mereka sedang sibuk menerima aduan pelanggan yang ramai.
 
Semasa menunggu talian tidak sibuk saya sempat mengemaskini status di Facebook dengan menyatakan masalah yang sedang saya hadapi. Ada pula seorang yang menekan butang "like" iaitu MADAM LALA. Saya juga sempat menghantar mesej kepada isteri saya untuk menyatakan perihal ini.
 
Dalam beberapa minit selepas itu, saya dapat menembusi talian Unit Aduan BANK NEGARA. Apabila panggilan diangkat dengan pantas orang yang menjawab panggilan tersebut bertanya "BANK NEGARA, BOLEH SAYA BANTU?" Saya pun menceritakan masalah yang saya hadapi sepertimana yang diberitahu oleh pegawai TM sebelum tadi.
 
Selepas selesai menceritakan masalah saya secara ringkas, pegawai yang mendakwa dirinya dari BANK NEGARA tersebut menyatakan dia akan menelefon saya semula untuk proses rakaman suara pula untuk merekod aduan. Dia meminta saya meninggalkan nombor telefon supaya dia boleh menelefon saya semula. Dalam hati saya bertanya, mengapa dia tidak memasang terus sistem rakaman suara?
 
Dalam beberapa minit selepas itu, pihak yang mendakwa dirinya dari BANK NEGARA telah menghubungi saya semula. Kali ini dia meminta banyak maklumat dari saya. Dari kad kredit (saya tidak ada), bank-bank yang saya menyimpan duit, jumlah-jumlah duit yang ada dalam setiap akaun dan pelbagai soalan seperti lagak orang sedang menjalankan siasatan.
 
Saya mula risau apabila pegawai terbabit berkata mungkin akaun-akaun bank saya boleh dikeluarkan wang oleh orang yang menggunakan nama saya untuk melanggan UNIFI tersebut. Soal jawab antara dia dan saya agak lama juga sehinggalah talian terputus. Perkataan terakhir yang saya ingat sebelum talian terputus ialah "bagaimana pula dengan akaun ASB saya?".
 
Dan dan selepas talian terputus orang tersebut tidak menghubungi saya lagi. Pada sesi soal jawab tersebut, pegawai itu sempat meberitahu agar tidak menghebah-hebahkan perkara ini kepada sesiapa pun kerana ia dalam siasatan dan akan membuat tangkapan dan dalam jangka masa 3 hari, saya dilarang untuk membuat apa-apa transaksi di bank.  Lalu saya teringat saya ada mengemaskini status di Facebook. Dengan pantas saya log masuk ke Facebook dan memadam status saya. Begitu juga dengan mesej yang saya berikan pada isteri, saya menghantar mesej kepadanya semula agar tidak memberitahu kepada sesiapa kerana ia masih dalam siasatan pihak BANK NEGARA
 
Selepas itu saja bekerja seperti biasa, masih mengharap juga panggilan dari BANK NEGARA yang terputus dan tidak ditelefon semula. Dalam pukul 4.00 petang, isteri saya membuat panggilan, dia menyatakan bahawa panggilan dari TM yang saya terima itu adalah panggilan tipu. Nombor telefon BANK NEGARA yang diberikan juga itu adalah tipu. Rupa-rupanya ini adalah satu perancangan rapi dari mereka sendiri untuk menipu wang mangsa. Pada masa ini saya adalah mangsanya.
 
Namun saya bersyukur kerana saya tidak terus tertipu. Pada hemat saya, saya hanya memberitahu akaun-akaun bank (tanpa nombor akaun) dan nilai wang yang ada di setiap akaun bank yang saya ada. Saya harap tiada maklumat penting yang terlepas kepada si penipu itu.
 
Saya yang berasa tidak puas hati terus membuat carian nombor telefon sebenar BANK NEGARA. Setelah berjaya membuat panggilan, saya menceritakan hal yang terjadi pada saya. Pegawai yang menjawab panggilan saya itu seperti sudah tahu kes seperti saya, beliau menyuruh saya membiarkan sahaja kerana telah banyak aduan yang sama mengenainya.
 
Beginilah serba sedikit pengalaman saya yang hampir tertipu. Mujurlah saya memang tiada menggunakan perkhidmatan UNIFI, kalau tidak mungkin juga saya terhasut untuk membayar tunggakkan yang perlu saya jelaskan.
 
Macam-macam cara orang penipu untuk mendapatkan wang, jadi saya berharap apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak memberi makluman dan pengetahuan kepada semua agar tidak tertipu dengan penipuan yang mempunyai modes operandi sedemikian rupa. Harapnya dapatlah juga dikongsikan kepada adik beradik, sedara mara dan sahabat handai yang lain untuk makluman bersama.