Gambar : Makcik Google
Tahniah diucapkan kepada pemain perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kerana sekali lagi mengharumkan nama negara dengan kemenangan ke atas pemain Indonesia, Taufik Hidayat di Kejohanan Terbuka Malaysia Super Series 2011.
Kemenangan Malaysia dalam perseorangan lelaki adalah memang seperti yang telah diramalkan dengan prestasi Lee Chong Wei berada di tahap terbaik. Apa yang hendak dibicarakan ialah bukan sekadar kemenangan, tetapi tentang penonton.
Kita mungkin terlupa sejenak tentang gelagat penyokong Indonesia ketika pasukan bolasepak negara mahu bertantang ke Indonesia dalam perlawanan akhir kedua
Piala Suzuki. Kita mendapat
provokasi yang hebat sehinggakan tiada penyokong Malaysia yang mengibarkan bendera Malaysia di stadium Pada perlawanan tersebut.
Namun, ia agak berbeza apabila perlawanan akhir badminton yang berlansung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam (23.01.11) di mana penyokong Indonesia bebas mengibarkan bendera bagi menyokong pemain mereka, bahkan mereka begitu senang duduk bersama-sama penyokong Malaysia yang langsung tidak menghiraukan kehadiran mereka.
Di sini dilihat masyarakat Malaysia memang suka dan cintakan kemakmuran dan ketenangan. Walaupun kita pernah diprovokasi dalam tempoh 1 bulan yang lalu di Indonesia, namun ternyata penyokong Malaysia tidak mudah melatah dan tidak bertindak melebihi batas ke atas penyokong Indonesia. Malahan mereka dilihat begitu akrab dan saling terhibur dengan perlawanan tersebut.
Adalah diharapkan agar keadaan baik seperti ini akan berterusan, tak kiralah di mana sesuatu perlawanan diadakan samada di Malaysia mahupun di Indonesia. Kita negara serumpun, duduk di Timur lagi, oleh itu jagalah tatasusila kita sebagai warga Timur yang sememangnya penuh dengan adab dan budi pekerti yang baik.