Showing posts with label azam. Show all posts
Showing posts with label azam. Show all posts

Monday, January 15, 2024

Tidak Semua Meminati Siti Nurhaliza

Sebab masih ramai lagi yang lebih meminati P. Ramlee, Ella, Ziana Zain, Jamal Abdillah mahu pun Awie.
 
Gambar sekadar hiasan


Tidak semua minat nak jadi doktor, jurutera atau peguam. Sebab ada juga yang minat untuk menjadi mekanik, tukang kayu profesional dan juga ahli perniagaan. 

Begitu jugalah dengan anak-anak kita terutamanya yang baru mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Bukan semua boleh lulus cemerlang, kerana IQ masing-masing adalah berbeza dan ini akan terdapat keputusan yang kurang cemerlang. 

Akan tetapi, itu bukan bermakna mereka GAGAL atau BODOH. Mereka sekadar tidak cemerlang dalam akademik, tapi pastinya ada bidang-bidang lain yang boleh membuatkan mereka cemerlang. 

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh hanya memberi lebih sokongan kepada anak yang cemerlang (banyak A) tetapi kita juga harus memberikan sokongan serta lebih galakkan untuk anak yang kurang mendapat A. Ini kerana kehidupan mereka tidak terhenti selepas mendapat keputusan SPM. Perjalanan mereka masih jauh dan pelbagai kejutan yang kita sendiri tidak percaya ia boleh berlaku.

Sekiranya tidak berjaya memohon ke universiti, masih boleh menggalakkan anak memohon jurusan teknikal seperti di politeknik, kolej komuniti atau mana-mana pusat pembelajaran berkaitan teknikal. Zaman sekarang,  jurusan teknikal antara bidang yang mempunyai ruang pekerjaan yang banyak dan mudah mendapat pekerjaan berbanding bidang lain. 

Justeru, sama-samalah para ibu bapa memberi sokongan dan dokongan kepada anak tidak kira sama ada mereka cemerlang atau sebaliknya. 

Apa yang lebih penting kejayaan yang harus kita dambakan ialah kejayaan di akhirat kelak. Pupuklah anak untuk mengenali Allah dan Islam. 

Wednesday, December 21, 2011

JANGAN BERAZAM TERLALU TINGGI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila hendak menghampiri tahun baru, ramai yang mula memasang azam. Ada berazam untuk mencari jodoh, ada yang mahu beli kereta atau rumah baru, berazam untuk mencari kerja yang lebih bagus dan bermacam-macam lagi. Akan tetapi apabila berazam pastikan azam itu boleh dicapai dan mengikut apa yang kita mampu.


Azam yang dapat dicapai pastinya akan mengembirakan dan memuaskan hati kita, tetapi sekiranya tidak tercapai ia mungkin akan membuatkan kita berdukacita dan sebagainya. Misalannya, apabila seseorang berazam untuk mencari jodoh, namun apabila tiada pasangan yang mahu berkahwin dengan dia, maka mungkin ia akan menerbitkan rasa kecewa.

Azam juga boleh dikaitkan dengan angan-angan atau berangan. Tapi, apabila berangan tu janganlah pula jadi seperti "angan-angan Mat Jenin". Asyik duduk berangan saja. Baru panjat pokok kelapa macam-macam yang sudah di angan-angankan. Itu belum petik lagi, baru di tengah-tengah batang kelapa. Angan-angan itu, angan-angan ini dan akhirnya terjatuh. Langsung tak dapat apa-apa. Hebat betul orang dulu-dulu, buat cerita sampai ke hari ini dapat dijadikan tauladan.

Apa yang ingin disampaikan sebenarnya ialah jangan buat azam yang kita tidak mampu membuatnya atau mencapainya. Buatlah azam yang relevan dan boleh dicapai. Tidak kisah, sesukar manapun, ia boleh dicapai. Jangan sampai pasang azam kita mati hidup semulapun kita tidak boleh capai.

Sebenar-benarnya entri ini berkait rapat dengan diri saya sendiri. Nak dijadikan cerita, tiap-tiap hari saya pulang dari kerja, apabila tiba di suatu persimpangan berlampu isyarat, biasanya akan merah di situ dan saya akan memerhatikan kereta-kereta mewah seperti Toyota Alphard dan sebagainya berdekatan kedai kereta di sebelah kanan saya. Lalu berfikir, bolehkah saya memiliki kereta itu? Segera saya sedarkan diri saya bahawa saya memang tidak layak melainkan saya ada buat kerja sampingan lain yang lebih lumayan berbanding saya sebagai kakitangan kerajaan sahaja.

Saya cuba mempositifkan lagi keadaan dengan mengatakan bahawa saya boleh memiliki kereta tersebut pada suatu hari nanti. Namun didatangi pula bisikan-bisikan yang menyatakan, suatu hari saya boleh membelinya tetapi akan menyusahkan hidup. Bak kata orang besar periuk besar lagi keraknya.

Lepas sahaja lampu isyarat menunjukan warna merah, saya terus berlalu dan angan-angan tersebut juga berlalu bagaikan angin lalu. Tidak mahu saya berazam memilik Toyota Alphard, cukuplah Toyota orang tua yang saya ada sekarang.