Showing posts with label asal usul. Show all posts
Showing posts with label asal usul. Show all posts

Saturday, March 27, 2021

BATU NISAN BELIMBING KAMPUNG CHOHONG









Dalam beberapa tahun yang lalu gempar apabila penduduk kampung menjumpai perkuburan lama di kampung Chohong, Jasin, Melaka yang memaparkan ciri-ciri yang unik.

Apa yang uniknya ialah di kawasan perkuburan tersebut semua batu nisan di situ adalah diperbuat daripada batu laterit. Batu ini juga dikenali dengan batu merah atau batu lada. Batu-batu jenis ini banyak didapati di pulau-pulau dan juga boleh didapati di kawasan darat.

Apa yang menariknya perihal batu nisan ini, ia diukir atau dipahat dengan sempurna dan cantik berbentuk seperti belimbing buluh, lantas ia disebut batu nisan belimbing.

Terdapat lebih 30 buah kubur di kawasan perkuburan di situ di mana semua nisannya diperbuat daripada batu laterit dan kebanyakan berbentuk belimbing dan ada juga beberapa bentuk yang lain.

Tidak banyak sumber diperolehi untuk memastikan milik siapa kubur-kubur ini walaupun beberapa kajian cuba dijalankan namun belum menemui sebarang klu untuk mengesahkan penemuan perkuburan ini.

Maka, beberapa pengkaji telah membuat hipotesis yang menyatakan kebarangkalian ini merupakan antara perkuburan terawal sezaman dengan era kesultanan Melayu Melaka. Malah ada yang berpendapat kemungkinan ia lebih awal daripada itu dengan mengaitkan dengan sebelum kedatangan Parameswara dan pembukaan Melaka.

Pelbagai andaian ini membuka ruang untuk pengkajian lanjut dilakukan. Satu kajian komprehensif yang dipelopori oleh pakar dan ahli sejarah perlu dilaksanakan untuk merungkai persoalan mengenai batu nisan ini.

Walaupun bagaimanapun, keunikan batu nisan ini harus juga dibincangkan dari aspek teknologi. Penemuan batu nisan ini memberi gambaran bahawa teknologi masyarakat Melayu Islam pada masa dahulu sudah kehadapan. Mereka sudah mampu dan berkemahiran mengukir atau memahat batu laterit dengan sempurna dan cantik. Ini jelas menunjukkan bahawa tamadun Melayu Islam di Melaka telah mempunyai tahap yang amat maju.

Untuk menghasilkan batu nisan yang diperbuat daripada batu laterit dengan ukiran atau pahatan yang sempurna adalah tidak masuk akal jika tidak mempunyai teknologi dan kemahiran tertentu. Walaubagaimanapun, penggunaan batu laterit dalam pembuatan batu nisan adalah sesuatu yang biasa ditemui di perkuburan-perkuburan lama sekitar negeri Melaka, cuma batu nisan belimbing ini sahaja yang unik.

Satu persoalan yang bermain di fikiran berkenaan penggunaan batu laterit. Batu laterit sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama zaman penjajahan Portugis.  Kota Melaka (Fortaleza de Malaca) yang dahulu mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St. Paul) dibangunkan dengan bahan batu laterit. Apakah benar kota tersebut adalah teknologi Portugis atau sebenarnya teknologi penggunaan batu laterit sebenarnya telah digunakan awal oleh masyarakat Melayu Melaka? 

Apabila merujuk kepada catatan Portugis, ada menyatakan bahawa terdapat bangunan-bangunan di Melaka diperbuat daripada batu seperti kota, masjid malah istana. Dari bahan runtuhan masjid dan istana ini didirikan Fortaleza de Malaca. Justeru, besar kemungkinan di zaman kesultanan Melayu Melaka telah awal menggunakan bahan binaan daripada batu iaitu batu laterit. 

Batu laterit juga banyak digunakan dalam pembinaan rumah Melayu lama dimana tembok-tembok dikuatkan dengan batu laterit dan disimen. Alas-alas tiang juga menggunakan batu laterit. Justeru, penggunaan batu laterit bagi masyarakat Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu bukanlah suatu yang luar biasa, malah penggunaan ia adalah berleluasa.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa batu laterit merupakan antara bahan binaan utama yang digunakan oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman dahulu.  Masyarakat Melayu Melaka juga mempunyai kemahiran dan teknologi untuk memotong, memahat dan mengukir batu yang amat baik setanding dengan teknologi tamadun-tamadun lain.

Friday, March 26, 2021

SEJARAH AWAL MUZIUM MELAKA

Logo Muzium Melaka yang digunakan pada tahun 1954 hingga 1971

Institusi pemuziuman di Melaka telah bermula sekitar tahun 1933 apabila Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat memberikan kebenaran Persatuan Sejarah Melaka menggunakan sebuah bilik di bangunan Stadthuys (Bangunan Merah).

Pada 2 Jun 1952, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu telah mengadakan lawatan ke Melaka beliau telah mengarahkan Pesuruhjaya Residen Melaka agar bangunan-bangunan bercirikan Belanda di Fort Road (Jalan Kota) dijadikan pusat poster dan bahan propaganda British bagi membendung ideologi komunis di Melaka. Penduduk tempatan menyebut pusat ini sebagai 'Sekolah Gambar'.

Pada tanggal 19 Mac 1954, George Evan Cameron Wisdom, Pesuruhjaya Residen bagi negeri Melaka telah mengisytiharkan pembukaan sebuah rumah Belanda di Fort Road (Jalan Kota) sebagai Muzium Melaka dan pada tarikh yang sama Muzium Melaka telah dibuka secara rasmi. Pentadbiran British telah menyusun rancangan dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir dan menguruskan Muzium Melaka.

Seterusnya pada tahun 1953, pentadbiran British telah mengisytiharkan telah mempunyai sebuah muzium yang diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan. Tindakan ini dibuat kerana Persatuan Sejarah Melaka dikatakan tidak mampu untuk menguruskan institusi muzium yang dikelolakan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan bilik muzium yang terdapat di bangunan Stadthuys mula dipindahkan ke di bangunan muzium yang baharu di Fort Road (Jalan Kota). 

Pada 15 Julai 1954, D.C. Macgillivray, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu meluluskan Enakmen Muzium Melaka 1954 bagi membolehkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Melaka ditubuhkan. Pembukaan muzium ini merialisasikan dasar Sir Gerald Templer untuk mengumpul kepelbagaian artifak dan budaya Melaka, termasuk sejarah semula jadi. 

Lembaga ini mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan Muzium Melaka termasuk bidang kuasa membeli dan mempamerkan artifak serta koleksi bahan yang dimiliki oleh Muzium Melaka.

Sumber rujukan : 65 tahun Muzium Melaka

Ps: Bila kali terakhir kamu mengunjungi muzium?

Monday, March 2, 2015

ASAL USUL NOMBOR


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tahukah anda di mana asal usul nombor moden yang digunakan sekarang? Ia bukanlah berasal dari Barat, sebaliknya ia adalah pertukaran dari Timur ke Barat. Nombor-nombor moden ini dahulunya adalah nombor Arab. Ia adalah sebahagian daripada sistem perpuluhan yang telah diperhalusi di zaman Tamadun Muslim dan telah tersebar ke seluruh Eropah pada abad ke-10.

Nombor moden yang mengalami transformasi dari nombor Arab

Perkembangan nombor Arab dari abad ke-10 hingga abad ke-14 menunjukan bagaimana orang-orang Muslim telah meneraju dalam penciptaan nombor moden iaitu dari nombor 1 hingga 9 yang digunakan sehingga kini.

Bilangan sudut sepadan dengan bilangan nombor

Setiap nombor Arab dari 1 hingga 9 mengandungi sudut yang sepadan dan sudut itulah bilangan nombor dapat diperolehi. Contohnya; nombor 1 mempunyai 1 sudut, nombor 2 mempunyai 2 sudut dan seterusnya.

* Maklumat ini diperolehi dari pameran 1001 Inventions : Kegemilangan Tamadun Muslim yang sedang berlangsung di Bastion House, Bandar Hilir, Melaka bermula Februari hingga Jun 2015.

** Jumpa di sana... 

Monday, March 5, 2012

NASIB BAIK POKOK MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya ramai yang sedia maklum tentang nama negeri Melaka yang berasal dari nama sebatang pokok yang dikenali sebagai pokok Melaka. Asal usul nama negeri Melaka sedikit lebih kurang ceritakan terjadi begini :


Pokok Melaka. Sumber gambar >> KLIK <<


Parameswara merupakan seorang putera raja dari Palembang telah diusir dari negeri lalu ke Temasik (Singapura). Di sana baginda telah berkerajaan namun tidak lama setelah baginda telah membunuh Temagi iaitu wakil kerajaan Siam. Dari mengelakan dirinya diburu, baginda telah berundur ke beberapa kawasan.

Dalam satu peristiwa lain, ketika baginda bersama para pengikutnya pergi berburu berhampiran Sungai Bertam, satu kejadian aneh telah berlaku. Anjing-anjing buruan baginda telah menghambat seekor pelanduk putih, namun apa yang berlaku ialah anjing-anjing baginda telah ditendang oleh pelanduk putih tersebut lalu terjatuh ke dalam sungai.

Di kalangan masyarakat terdahulu, apabila sesuatu yang aneh berlaku, lebih-lebih lagi yang mengambarkan kekuatan dan kekuasaan maka alamatnya sesuatu yang baik. Dalam masa yang sama, Parameswara telah berpendapat alangkah baik sekiranya dibuat negeri di kawasan tersebut. Lalu didirikan di situ negeri Melaka bersempena nama pohon kayu yang disandarnya semasa melihat kejadian aneh yang berlaku.

Okey.. Cukup untuk untuk suatu yang serius. Apa akan jadi misalnya pada ketika itu Parameswara sedang bersandar di batang pokok kelapa? Adakah sekarang ini negeri Melaka sebenarnya adalah negeri Kelapa? Ohh.. Tidak mungkin Parameswara duduk di bawah pokok kelapa kerana pokok kelapa merbahaya. Sekiranya buah kelapa jatuh, nahaslah kepala baginda.

Ataupun, andai kata Parameswara ketika itu sedang duduk di bawah pokok mangga. Sudah sahlah sekarang ini negeri Melaka adalah negeri Mangga. Tapi, mana mungkin juga Parameswara bersandar di pokok mangga. Iyalah, manalah tahu pokok mangga tersebut sedang lebat buahnya, lalu Parameswara serta pengikutnya sedang enak memakan buah mangga sehingga tidak perasan anjing buruannya ditendang pelanduk putih. Erm.. Tidak mustahil juga.

Apa kata pula sekiranya Parameswara dulu bersandar di pokok kedondong? Mahu tak diletaknya negeri Melaka sekarang bernama negeri Kedondong. Lain macam saja bunyinya. Tapi, pokok kedondong kecil, mana boleh Parameswayra bersandar di pokok tu pula.

Kesimpulannya, apa yang diterangkan di atas "nampak" seperti suka-suka, namun sebenarnya saya mahu menunjukan bahawa sejarah itu dinamik. Kajian demi kajian perlu dilakukan demi membuktikan sesuatu. Lebih-lebih lagi sesuatu yang amat penting dalam sejarah tanah air mahupun sejarah bangsa. Jangan kita mudah percaya dan menerima akan sesuatu fakta yang keluar dari mulut seseorang tanpa ada kajian terperinci dan sokongan daripada mulut-mulut mereka yang ahli.

(Ps : Bak kata Ogy Ahmad Daud, terus gali dan menggali)