Showing posts with label arkeologi. Show all posts
Showing posts with label arkeologi. Show all posts

Thursday, February 2, 2023

Melaka Empayar Maritim : Jumpaan Artifak di Kawasan Tambak Laut Pulau Melaka

Melaka Empayar Maritim
Negeri Melaka sedia dikenali seantero dunia sebagai salah sebuah empayar maritim yang mempunyai pelabuhan antara tersibuk di dunia di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lebih 600 tahun dahulu. Sebagai empayar yang hebat, pastinya pelbagai negara turut ingin menguasai Melaka maka berlakunya era penjajahan oleh Portugis, Belanda kemudiannya British. Zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan era penjajahan telah meninggalkan banyak tinggalan bersejarah baik dari segi monumen mahu pun artifak. Artifak-artifak ini adalah penting sebagai pembuktian kewujudan dan kegemilangan kesultanan Melayu Melaka disamping dapatan melalui penulisan-penulisan lain oleh ahli sejarah.

Selat Melaka : Selat Tersibuk di Dunia
Sejak di zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, Selat Melaka merupakan laluan tersibuk di dunia dengan pelbagai jenis kapal dagang melalui perairan ini. Selat Melaka mempunyai panjang sejauh 930 kilometer dan lebarnya 38 kilometer manakala kedalamannya pula purata sedalam 25 meter. Selat Melaka menghubungan perdagangan Timur dan Barat melalui Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Nama Selat Melaka dipercayai diambil sempena nama Pelabuhan Melaka yang begitu terkenal sebagai pelabuhan entrepot sekitar abad ke-16 dan 17.

Apa itu Arkeologi Maritim?
Merupakan cabang ilmu arkeologi yang mengkaji dan menyelidik hubungan antara manusia dan perairan melalui pendekatan maritim. Antara kegiatan maritim yang dikaji ialah berkaitan pengangkutan air, fasiliti di persisiran pantai, kargo dan tinggalan tubuh manusia. Objek-objek kajian pula terdiri daripada insfrastruktur pelabuhan, dok kapal, perahu, kapal, rumah api, pelampung, manusia dan lain-lain lagi termasuk artifak. Pendekatan ini dilakukan bagi mengkaji kehidupan masyarakat yang menjadikan perairan sebagai sumber dalam segenap aspek kehidupan.

Penyelidikan Arkeologi Maritim Fasa I
Pada 25 hingga 31 Mac 2021 satu penyelidikan arkeologi maritim telah dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama dari Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan penyelidik bebas di dua kawasan iaitu kawasan tambak laut Kota Syahbandar dan Pulau Melaka. Tinjuan awal selama seminggu mendapati tapak ini berpotensi dari sudut penyelidikan Arkeologi Maritim dengan pelbagai jumpaan ditemui antaranya ialah rangka kapal/perahu, seramik, porselin, tembikar dan duit syiling. Rangka kapal/perahu ini dipercayai dari abad ke-15 berdasarkan pentarikhan jumpaan artifak-artifak di dalam dan sekitar jumpaan rangka kayu tersebut.

Penyelidikan Arkeologi Maritim Fasa II
Kajian lanjut bagi fasa II telah disambung oleh pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Ia telah dilaksanakan pada 20 Oktober 2021 hingga 2 Disember 2021 yang diketuai oleh Drs. Mohd Nasruddin bin Rahman, Pengurus Besar PERZIM dengan bantuan pakar Arkeologi Maritim iaitu Prof. Madya Dr. Asyaari bin Muhamad dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi kajian kali ini lebih tertumpu di kawasan tambak laut berdekatan Pulau Melaka dan kaedah yang digunakan ialah Arkeologi Menyelamat di mana para penyelidik berusaha mengeluarkan seberapa banyak artifak yang terdapat di kawasan tersebut.

Jumpaan Arkeologi Menyelamat di Kawasan Tambak Pulau Melaka
Selain rangka-rangka kayu purba dari jenis kayu Merbau yang dipercayai dari abad ke-16 hingga ke-17, terdapat banyak jumpaan artifak-artifak semasa kerja-kerja penggalian arkeologi dilaksanakan. Antara yang banyak ditemui ialah serpihan porselin biru dan putih, celadon, tembikar batu dan tembikar tanah. Artifak ini adalah berasal dari China sekitar abad ke-15 hingga ke-18 iaitu sezaman dengan Dinasti Ming hingga Dinasti Ching. Selain itu, terdapat juga jumpaan duit syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu syiling zaman Sultan Muzaffar Syah.

Kajian di kawasan tambak laut Pulau Melaka ini menunjukkan penemuan artifak yang terbanyak ialah seramik iaitu kira-kira 90% dari jumpaan. Terdapat tiga jenis seramik yang ditemui iaitu 80% terdiri daripada kategori porselin biru dan putih (zaman Dinasti Ming dari abad ke-15 hingga ke-17 dan zaman Dinasti Ching dari abad ke-19). Tembikar batu sebanyak 15% iaitu dari akhir abad Dinasti Ming dan awal Dinasti Ching. Seterusnya tembikar tanah sebanyak 5% yang dipercayai dari abad ke-19.

Seramik-seramik yang ditemui dijumpai secara tersusun rapi namun kebanyakkan telah pecah. Ia adalah berasal dari daerah Jiajing dan Jingdezhen di China. Seramik yang dijumpai terdiri daripada pinggan, mangkuk dan cawan yang mempunyai pelbagai motif. Motif fauna terdiri daripada naga, monyet, burung bangau, dan ikan, manakala motif flora terdiri daripada bunga kiambang dan teratai. Tidak ketinggalan juga motif permandangan alam semula jadi.

Antara porselin biru putih zaman Dinasti Ming yang ditemui

Proses penggalian yang rumit di dalam selut yang tebal dan keras

Antara jumpaan dalam keadaan sempurna

Jumpaan artifak mangkuk yang hampir sempurna

Pinggan porselin biru putih zaman akhir Dinasti Ming dan awal Dinasti Ching antara yang banyak ditemui

Setiap proses direkodkan 

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Friday, March 25, 2022

Berseronoklah Dengan Apa Jua Pekerjaan Yang Kita Lakukan


Ada kalanya bekerja di pejabat yang dingin, sejuk bak air batu yang enak dicampurkan bersama sirap Bandung. Teringat air Bandung, tak sangka tak lama lagi Ramadan bakal muncul kembali. Alhamdulillah. Namun, ada kalanya bekerja di luar pejabat, berjemur di bawah terik matahari. Bekerja umpama buruh kasar, kerja berat, anggota badan berpeluh dan kotor.

Itu semua tak pernah menjadi satu masalah bagiku. Aku tak pernah mengeluh. Sebagai seorang yang sukakan cabaran dan boleh bertugas dan bekerja dalam apa jua keadaan, aku seronok melalui semua ini. Semakin banyak aku melakukan sesuatu, semakin banyak juga aku dapat menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Aku sedar, hidup ini hanya sementara, jadi selagi mata belum tertutup dan badan belum dikafankan maka aku harus mencari sebanyak mana ilmu dan pengalaman untuk aku rasai. Apabila kita mempunyai ilmu dan pengalaman, kita tidak kekok untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang kita tahu kepada sesiapa sahaja.

Gambar di atas ini merupakan kerja-kerja kajian struktur bangunan Masjid Lama Belimbing Dalam. Ini adalah bengkel kajian, jadi bagi kajian struktur yang melibatkan kerja-kerja ekskavasi arkeologi tidak dilaksanakan secara menyeluruh, hanya tiga petak ekskavasi dibuka. Namun, lain-lain kajian antaranya lukisan terukur (measured drawing) dilaksanakan sehingga selesai oleh pihak lain.

Tuesday, January 4, 2022

Ada Yang Rindu Ke?

Ada yang rindu ke? Hehehe...

Minta maaf banyak-banyak kepada rakan bloggers kerana saya tidak aktif berblog seperti dahulu. Bak kata orang tua-tua, daun palas sudah melekat di belakang badan. Aduh.. Malas betul dah sekarang nak kemaskini blog. Jangan kata nak kemaskini, nak buka blog sendiri pun dah malas. Huk aloh.

Nak dikatakan tugasan banyak di pejabat, ya juga. Bukan setakat tugasan di pejabat, bermula Oktober hingga Disember 2021 yang lepas aku banyak berada di tapak ekskavasi bagi meneruskan usaha penyelamatan dan mencari artifak di sekitar kawasan tambak laut di Pulau Melaka. Hari-hari pakaian dan anggota badan dipenuhi lumpur dan kotoran dari tanah. Balik rumah, badan pun sudah penat. Jadi bermula Oktober tahun lepas jugalah aku mula perlahan dan terus tidak mengemaskini blog.

Rehat tengah hari. Nampak benar penatnya. Hehehe


Alhamdulillah, kerja-kerja penggalian ekskavasi penyelamatan artifak pada masa tersebut telah banyak menaikkan artifak-artifak seusia zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara artifak yang paling banyak ditemui ialah porselin dan serpihan-serpihan porselin (biru-putih) dari zaman Dinasti Ming. 

Terdapat juga lebih 200 keping syiling timah bercetak Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain jumpaan seperti syiling Portugis, serpihan-serpihan tembikar tanah dan batu serta lain-lain lagi. Sebahagian artifak ini yang masih dalam keadaan baik ada dipamerkan di Kompleks Muzium Rakyat. 

Selain itu, selepas kerja-kerja ekskavasi tamat, aku bersama bahagian aku telah melaksanakan sesi bicara warisan dengan menjemput 3 orang pakar dalam bidang arkeologi dan maritim untuk membentangkan kertas kerja masing-masing berkaitan penemuan artifak-artifak tersebut.

Sebenarnya, kerja-kerja ekskavasi tersebut belum selesai sepenuhnya cuma lesen penggalian dari Jabatan Warisan Negara (JWN) telah tamat. Kerja-kerja sebegini sebenarnya memerlukan kos yang agak besar juga, jadi kami dalam usaha untuk meneruskan lagi dan akan memohon kembali lesen penggalian. 

Nak lihat beberapa artifak yang ditemui boleh lihat di SINI.

Monday, March 29, 2021

JUMPAAN ARTIFAK DI PULAU MELAKA DAN KOTA SYAHBANDAR

Negeri Melaka dikenali sebagai negeri bersejarah sejak sekian lama. Tidak hanya bersejarah, negeri ini juga telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai tapak warisan dunia.

Sebagai warga Melaka, secara peribadi aku sangat bangga dilahirkan di tanah bertuah ini. Bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan warisan membuatkan aku lebih menyanjungi negeri ini kerana kesultanan Melayu Melaka dahulu masyhur seantero dunia.

Boleh dikatakan tiada kawasan di Melaka tiada sejarah. Lebih-lebih lagi di kota Melaka yang dahulunya merupakan kawasan pentadbiran kesultanan Melayu Melaka dan kemudiannya Portugis, Belanda dan Inggeris turut mentadbir negeri di lokasi yang sama iaitu di Bukit Melaka yang kini dikenali sebagai bukit St. Paul.

Kesultanan Melayu Melaka dahulu sangat gah. Sayangnya, disebabkan Melaka mengalami zaman penjajahan yang begitu lama, hampir tidak kelihatan bekas bangunan atau monumen yang bercirikan kesultanan Melayu Melaka. Hanya yang ada ialah replika Istana Kesultanan Melaka.

Walaupun sejarah kesultanan Melayu Melaka kurang dapat dibuktikan dalam bentuk monumen, namun banyak penulisan dari dalam negara dan juga catatan dari China, Portugis, Belanda, Inggeris dan lain-lain ada menyebut mengenai kemasyhuran Melaka pada sekitar abad ke-13 hingga zaman kejatuhan Melaka. Tidak hanya catatan, pembuktian kehebatan kesultanan Melayu Melaka juga boleh dilihat dari artifak-artifak yang berkaitan dengan sejarah kesultanan Melayu Melaka.

Pada 26 Mac 2021 aku telah berpeluang untuk menyertai kerja-kerja servei dan penyelamatan artifak di dua lokasi di negeri ini iaitu sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar. Kerja-kerja ini melibatkan beberapa ahli yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penyelidik bebas.

Memang banyak... Memang banyak artifak yang ditemui sekitar dua lokasi tersebut. Antara jumpaan ialah tempayan, pecahan tembikar dan seramik serta duit syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti syiling Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mahmud Syah. Turut dijumpai syiling era Portugis dan Belanda.

Kawasan tempat kami jumpa artifak tersebut merupakan kawasan tambak laut. Sekiranya tidak ditambak, sebenarnya ia terletak di tengah-tengah laut. Umum mengetahui, Melaka merupakan empayar maritim yang mempunyai pelabuhan entrepot yang menghubungkan dagangan Timur dan Barat. Justeru, secara hipotesisnya, kebarangkalian artifak yang dijumpai itu adalah dari kapal karam di kawasan perairan ini. Ini diperkuatkan lagi dengan jumpaan kayu-kayu yang dipercayai merupakan kayu kapal yang berkemungkinan telah karam suatu masa dahulu.

Semoga dengan jumpaan-jumpaan artifak ini memperkuatkan lagi bukti dan hujah bahawa Melaka merupakan empayar yang penuh gilang gemilang pada zaman dahulu dan mempunyai pelabuhan yang hebat. Ini bertepatan dengan catatan Tome Pires yang menyatakan bahawa barang siapa yang dapat menguasai pelabuhan Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice.





Gambar-gambar di atas merupakan kerja-kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan. Nampak seperti mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Atas dasarnya kelihatan pasir, namun apabila dikorek, maka bermainlah kami dengan lumpur dan selut. Nak jumpa artifak pun sukar.




Gambar-gambar ini pula antara artifak yang ditemui. Kebanyakan tempayan, tembikar dan ceramik yang ditemui hampir tidak lengkap kerana telah pecah semasa ditemui.





Dan gambar-gambar yang terakhir ini merupakan gambar yang diambil oleh jurugambar. Semasa ini kami sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan jumpaan artifak sebelum direkod setiap artifak yang ditemui.

Thursday, March 25, 2021

TAMBAK LAUT, TERKAMBUS ARTIFAK

Kawasan tambak laut di Kota Syahbandar. Banyak artifak telah ditemui di sini


Pantai ditambak atas dasar pembangunan memusnahkan ekologi lantas hidupan laut semakin kurang sama kurangnya dengan pendapatan nelayan pantai.

Dahulunya lautan ini menjadi laluan utama kapal-kapal dagang pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kini ia dikambus dan tertanam terus artifak dari kapal karam zaman tersebut.

Melaka dahulu merupakan kerajaan maritim, laut adalah nadi utama membawa pedagang dari timur dan barat. Melaka tempat berpusat segala dagang, bertukar-tukar barangan di sini. Sistem barter, pelabuhan entrepot, semua itu adalah Melaka. 

Kita hanya mampu menyelamatkan artifak mana yang sempat, sebelum tanah tambak dibangunkan, artifak akan terkubur di bawah bangunan-bangunan yang bakal didirikan.

Di kawasan tambak laut ini telah dijumpai beberapa artifak dipercayai sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka. Antara yang dijumpai adalah kepingan kayu kapal, celadon, martaban, ceramik dan matawang kesultanan Melayu Melaka iaitu matawang Sultan Muzaffar Syah, selain turut ditemui matawang Portugis.

25 hingga 31 Mac 2021, aku mewakili jabatan (Perbadanan Muzium Melaka) bersama-sama pasukan yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pasukan penyelidik bebas menjalankan kerja-kerja penyelamatan artifak di sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar.

Semoga kami dapat menyelamatkan seberapa banyak artifak yang terdapat di situ sebelum kawasan tersebut dibangunkan oleh pemaju. Jumpaan-jumpaan ini sudah pastinya menjadi bukti kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu.

Hendak melihat monumen zaman kesultanan Melayu Melaka, sudah tiada, kerana Melaka telah melalui zaman penjajahan begitu lama. Portugis, Belanda dan British menjajah Melaka lebih 500 tahun. Banyak yang musnah malah tiada satu pun monumen berkaitan kesultanan Melayu Melaka yang dapat dilihat melainkan replika istana kesultanan Melayu Melaka. Artifak yang ditinggalkan ini saja yang menjadi bukti bahawa kesultanan ini pernah wujud dan sangat gah dan hebat satu masa dahulu.


Tuesday, April 9, 2013

EKSPLORASI KEILMUAN GUA BEWAH, TASIK KENYIR


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sudah beberapa hari blog ini tidak disentuh, almaklumlah pemiliknya sedang berjimba-jimba di Tasik Kenyir, Terengganu selama 4 hari bermula 5 hingga 8 April 2013.

Program ini adalah anjuran Persatuan Muzium Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Ia disertai oleh wakil kakitangan-kakitangan muzium seluruh negara dari utara hingga ke selatan, namun dari Sabah dan Sarawak tiada pula wakilnya. Melaka diwakili oleh 4 orang peserta termasuk aku.



Dalam entri ini aku tak mahu menulis banyak, cuma aku mahu berkongsi secara ringkas antara acara yang telah diadakan sepanjang program ini dijalankan :

:: Lawatan ke Gua Bewah
:: Sembang-sembang Muzium
:: Memancing
:: Merentas Hutan (Jungle Tracking)
:: Karaoke
:: Lawatan ke pusat Santuari Ikan Kelah
:: Lawatan ke Taman Herba

Okay.. Setakat sini sahaja. Nanti aku keluarkan satu lagi entri yang akan memaparkan gambar-gambar sekitar program. Tunggu sajalah..

>> Bahagian 2 <<