Showing posts with label analisa. Show all posts
Showing posts with label analisa. Show all posts

Wednesday, April 24, 2013

ANALISIS POLITIK BAGI (3) ORANG CALON BEBAS YANG TERKENAL


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Mula-mula aku mahu minta maaf, ini adalah entri sekadar suka-suka bagi memeriahkan kempen pilihanraya yang sedang hangat sekarang ini.

Okay.. Cuba kita lihat senarai (3) calon bebas di bawah ini :

Sumber gambar : KLIK

Anda kenalkan ketiga-tiga calon ini? Aku pasti anda semua amat mengenalinya. Namun setakat dikenali calon popular, tidak semestinya antara mereka boleh menang dengan begitu mudah. Jom mari kita buat analisa bersama, supaya kita tahu nak undi siapa dan siapa yang akan mewakili kita nanti.

Calon Pertama 

Haji Bakhil. Seorang yang amat kaya. Mempunyai kereta besar dan mempunyai 2 orang gajian yang sangat taat setia. Walaupun beliau kaya raya namun beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kedekut.

Selain itu, beliau adalah seorang yang miang atau gatal. Tak boleh lihat perempuan cantik dan berdahi licin, semua beliau mahu kebas. Agak bermuka-muka dalam pemberian derma kepada pihak tertentu iaitu hanya mendermakan wang yang banyak kepada wanita sedangkan apabila orang lelaki yang meminta derma, hanya seringgit sahaja didermakannya.

Calon Kedua

Beliau mewakili Parlimen Pinang Sebatang, tak lain tidak bukan iaitu Pendekar Mustar. Seorang pendekar yang gagah perkasa dan mempunyai ilmu persilatan yang hebat.

Seorang yang baik hati dan amat prihatin terhadap masyarakat. Ini dapat dilihat apabila ada (3) orang pemuda bergelandangan datang ke rumahnya, dan telah diterima untuk tinggal di rumahnya. Selain itu, dia tidak kedekut ilmu, ilmunya sentiasa dicurahkan kepada sesiapa yang menginginkannya.

Calon Ketiga

Sharip Dol anak orang kaya. Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau boleh tercalon pada pilihanraya pada kali ini. Beliau merupakan samseng yang sangat terkenal. Kawasannya ialah di Kampung Dusun.

Sifat samseng beliau sangat jelas dan diketahui ramai. Antara sifatnya yang terkeji ialah suka bergaduh, berjudi, mengacau wanita-wanita kampung, malahan yang paling dahsyat sekali ialah membakar rumah orang. Nauzubillah, inikah orang yang hendak mewakili kita nanti???

Daripada analisa di atas diharap para pengundi tahu siapakah calon yang akan dipilih pada pilihanraya akan datang. Bagi aku selaku penganalisis ketiga-tiga calon ini, semestinya aku akan memilih Pendekar Mustar sebagai calon yang terbaik untuk memenangi pilihanraya kali ini. Semoga beliau berjaya. Hidup Pendekar Mustar.. Hidup Pendekar Mustar.. Hidup..! Hidup..!

Ps : Entri ini adalah sekadar gurauan semata-mata tidak ada kena mengena sama ada yang masih hidup mahupun yang meninggal dunia. Nama-nama yang disebut adalah berdasarkan dari filem-filem Allahyarham P. Ramlee. 

Al-Fatihah, semoga mereka-mereka yang pernah memeriahkan industri filem dahulu kala ini ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh dan moga mereka dicucuri rahmat Illahi.

Moral : Walaupun entri ini nampak seperti suka-suka, namun ada sedikit pengajaran daripadanya. Apabila tiba masa mengundi nanti, kita buatlah sedikit analisa pada calon-calon yang kita hendak pangkah nanti. Lihat-lihatlah dari segi kebolehan, pencapaian, moral, integriti dan lain-lain yang difikirkan perlu bagi memastikan kita tidak tersilap pilih. 

Sunday, September 9, 2012

REMPIT - SATU ANALISA RINGKAS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Sebut sahaja perkataan rempit, pastinya terfikir di benak fikiran kita tentang suatu yang negatif. Rempit digambarkan kepada golongan bermotorsikal yang menunggang dengan cara merbahaya dan sering melanggar peraturan jalan raya.
 
Aktiviti rempit lazimnya dikaitkan dengan penunggang lelaki yang lebih dikenali sebagai Mat Rempit. Apabila dilihat dari penggunaan nama "Mat", ia menunjukkan bahawa kebanyakan Mat Rempit ini terdiri daripada kaum Melayu. Mereka biasanya berusia diantara umur belasan tahun sehinggalah lewat 20 tahun.
 
Aktiviti merempit ini dilakukan tidak kira waktu, tetapi ia lebih hebat apabila tibanya hujung minggu di mana mereka menghabiskan masa cuti sekolah atau cuti hujung minggu bagi yang bekerja untuk mempamerkan aksi-aksi berani mereka kepada khalayak.
 
Mat Rempit terbahagi kepada 2 golongan. Golongan pertama bolehlah dikatakan sebagai mereka yang hanya suka-suka atau hanya untuk berseronok bersama rakan-rakan rempit yang lain. Golongan yang kedua pula yang terlibat secara langsung dengan aktiviti lumba haram.
 
Bagi golongan yang pertama ini, walaupun mereka ini dilihat sekadar hanya mahu berseronok di jalan raya, namun mereka sebenarnya kerap menyusahkan pengguna jalan raya yang lain dan juga membahayakan penggunaan jalan raya dengan melakukan aksi-aksi yang merbahaya. Antara aksi yang sering dilakukan oleh Mat Rempit ialah willi, baring di atas motor, berdiri di atas motor dan sebagainya. Terdapat juga aksi "wikang" di mana penunggang akan brek secara mengejut dan menaikkan tayar belakang motorsikalnya.
 
Mereka ini mempunyai kumpulan-kumpulan tertentu. Setiap kumpulan pula mempunyai ahli-ahli yang agak ramai. Ini boleh dilihat sekiranya mereka keluar beramai-ramai, jalan raya akan dipenuhi oleh mereka. Apabila mereka ramai, maka masing-masing akan menunjukan aksi serta melanggar undang-undang jalan raya. Bagi mereka apabila diperhatikan dan melakukan kesalahan, ia adalah satu kebanggaan dan kepuasan bagi diri mereka.
 
Mereka ini kebiasaanya adalah terdiri daripada golongan muda dan masih bersekolah. Mereka juga lazimnya tidak mempunyai lesen memandu dan motorsikal yang ditunggangnya adalah kepunyaan bapa atau adik beradik lelaki yang lain. Namun, ada juga dikalangan mereka yang bersekolah ini mempunyai motorsikal sendiri sama ada ia pemberian ibu bapa dan ada juga diperolehi dari hasil curi.
 
Bagi golongan yang kedua, mereka adalah yang terlibat secara langsung dengan aktiviti lumba haram. Mereka juga berkumpulan dan mempunyai ahli yang ramai. Apabila sesuatu perlumbaan akan diadakan, biasanya ianya dirancang dengan teliti. Perancangan-perancangan melibatkan penyediaan motorsikal, penetapan tarikh, lokasi dan habuan kemenangan, pengumpulan dana untuk hadiah kemenangan dan sebagainya.
 
Kebiasaan aktiviti lumba haram diadakan pada malam minggu. Litarnya pula biasanya lokasi yang sedia "panas" dan ramai penonton akan menyaksikan perlumbaan ini di kiri dan kanan jalan raya. Kebiasaanya lokasi ini memang telah diketahui oleh pihak polis, namun bagi Mat Rempit itu tidak akan menjadi masalah, bagi mereka sekiranya ada polis sekalipun, perlumbaan akan menjadi semakin "menarik".
 
Selain daripada aktiviti bermotor, Mat Rempit juga mempunyai aktiviti "sampingan" lain iaitu menghisap ganja dan mencuri motorsikal. Bagi yang agak terdesak, mereka akan terlibat dalam gejala ragut. Ini jelas menunjukan bahawa dengan terlibatnya seseorang dalam aktiviti Mat Rempit, peratusan untuk mereka menjadi penjenayah juga adalah tinggi.
 
Aktiviti menghisap ganja amat senang menular di kalangan Mat Rempit yang gemar melepak sehingga larut malam di "port-port" yang mereka gemari sama ada di simpang jalan sunyi, tepi pantai, rumah sewa dan sebagainya. Mereka bermula dengan merokok, kemudiannya menghisap ganja. Amat malang lagi apabila ada di kalangan mereka yang menghisap dadah berat seperti syabu, pil khayal dan sebagainya. Ada juga di kalangan mereka turut meminum arak bagi mendapatkan keseronokan.
 
Mat Rempit dan mencuri motorsikal juga tidak dapat dipisahkan. Lazimnya motorsikal yang dicuri bukanlah untuk mereka gunakan. Mereka mencuri motorsikal untuk mendapatkan alat ganti. Alat ganti akan digunakan pada motorsikal mereka dan juga motorsikal untuk perlumbaan. Setelah mendapat alat ganti, rangka motorsikal yang dicuri biasanya akan dibuang ke dalam sungai, lombong dan juga di dalam hutan.
 
Dalam jenayah ragut, Mat Rempit juga turut terlibat. Namun, jumlahnya agak kecil. Kebiasannya penjenayah ragut adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dalam penagihan dadah. Disebabkan mereka meragut dengan bermotorsikal, justeru orang ramai mengesyaki bahawa mereka ialah Mat Rempit.
 
Selain Mat Rempit, kita juga pernah mendengar perihal Minah Rempit. Minah Rempit dikenali sebagai teman bagi Mat Rempit, wanita bermotorsikal ataupun habuan hadiah bagi perlumbaan haram.
 
Sebenarnya, sejak sekian lama masalah rempit ini terus berlaku di negara kita Malaysia. Masalah ini dilihat seperti tiada penghujungnya. Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilihat sering melakukan operasi pencegahan aktiviti rempit ini namun ia tetap berleluasa. Bukan sahaja di ibu kota, masalah ini dilihat berlaku di setiap negeri.
 
Jika dilihat di dalam kaca televisyen, pelbagai langkah pihak PDRM telah lakukan untuk mengatasi masalah ini. Dari operasi biasa hinggalah ke operasi besar-besaran. Dari tindakan yang biasa hinggalah ke langkah yang agak keras. Malahan ada berlakunya kematian dikedua-dua belah pihak namun masalah ini terus gagal diatasi sepenuhnya.
 
Di sini peranan ibu bapa adalah sangat penting. Mereka perlu perhatikan setiap langkah anak-anak mereka dan elakkan mereka terlibat dalam aktiviti merempit. Ibu bapa perlu melarang anak-anak menunggang motorsikal tanpa lesen dan juga perlu melarang mereka mengubahsuai motorsikal. Sekiranya nampak perubahan anak-anak ke arah aktiviti merempit, ibu bapa perlulah segera menasihati mereka agar tidak terlibat dalam dunia tersebut. Selain pemantauan terhadap anak-anak perlu dilakukan dengan sekerap yang mungkin. Perhatikan siapa kawan-kawan mereka, ke mana mereka pergi, apakah aktiviti mereka dan sebagainya.
 
Di sini dapatlah disimpulkan bahawa aktiviti rempit ini sememangnya tidak dapat diatasi sekiranya tiada usaha membasmi oleh semua pihak. Peranan ibu bapa amatlah penting dalam hal ini. Biarlah anak kita menangis tidak dapat menunggang motorsikal, janganlah kita menangis melihat anak kita ditangkap polis atau pun meninggal di atas jalan raya.  Pihak polis juga perlu kerap dalam melakukan operasi menyeluruh bagi membendung masalah ini. Mana-mana yang benar bersalah, dendalah dengan setimpal atau kenalah denda yang lebih berat.
 
Orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing. Mereka boleh segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada melihat kegiatan rempit berleluasa di kawasan mereka. Orang ramai juga perlu menjauhkan diri dari menjadi penonton perlumbaan haram. Sekiranya tiada penonton, tiada Mat Rempit mahu beraksi kerana bagi mereka, aksi yang dipamerkan adalah untuk tatapan orang ramai.
 
(Ps : Harap tiada yang bosan membaca penulisan saya yang sedikit berjela ini)