Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Monday, January 15, 2024

Tidak Semua Meminati Siti Nurhaliza

Sebab masih ramai lagi yang lebih meminati P. Ramlee, Ella, Ziana Zain, Jamal Abdillah mahu pun Awie.
 
Gambar sekadar hiasan


Tidak semua minat nak jadi doktor, jurutera atau peguam. Sebab ada juga yang minat untuk menjadi mekanik, tukang kayu profesional dan juga ahli perniagaan. 

Begitu jugalah dengan anak-anak kita terutamanya yang baru mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Bukan semua boleh lulus cemerlang, kerana IQ masing-masing adalah berbeza dan ini akan terdapat keputusan yang kurang cemerlang. 

Akan tetapi, itu bukan bermakna mereka GAGAL atau BODOH. Mereka sekadar tidak cemerlang dalam akademik, tapi pastinya ada bidang-bidang lain yang boleh membuatkan mereka cemerlang. 

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh hanya memberi lebih sokongan kepada anak yang cemerlang (banyak A) tetapi kita juga harus memberikan sokongan serta lebih galakkan untuk anak yang kurang mendapat A. Ini kerana kehidupan mereka tidak terhenti selepas mendapat keputusan SPM. Perjalanan mereka masih jauh dan pelbagai kejutan yang kita sendiri tidak percaya ia boleh berlaku.

Sekiranya tidak berjaya memohon ke universiti, masih boleh menggalakkan anak memohon jurusan teknikal seperti di politeknik, kolej komuniti atau mana-mana pusat pembelajaran berkaitan teknikal. Zaman sekarang,  jurusan teknikal antara bidang yang mempunyai ruang pekerjaan yang banyak dan mudah mendapat pekerjaan berbanding bidang lain. 

Justeru, sama-samalah para ibu bapa memberi sokongan dan dokongan kepada anak tidak kira sama ada mereka cemerlang atau sebaliknya. 

Apa yang lebih penting kejayaan yang harus kita dambakan ialah kejayaan di akhirat kelak. Pupuklah anak untuk mengenali Allah dan Islam. 

Monday, May 1, 2023

Kenali Potensi Anak

Kesilapan aku ialah menganggap apa yang keluar dari mulut anak aku hanya sebagai angin lalu. Dia kata suka main bola, dia kata lariannya pantas sehingga sering mengalahkan rakan-rakan sekelasnya semasa mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Namun, aku sekadar mendengar dan tidak mengambil serius.

Sehinggalah pada satu ketika anak aku, Muhammad Firas Faiq berusia 8 tahun menyatakan dia terpilih untuk mewakili sekolah dalam acara pertandingan bola sepak jemputan St. Michael's Soccer Association Melaka Cup (SMSA Melaka Cup 2023) bawah 8 tahun yang telah diadakan pada 11 - 12 Mac 2023 lalu yang diadakan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Sebagai seorang penyerang, pada hari pertama dia telah menjaringkan 3 biji gol dalam 4 perlawanan. Walaubagaimanapun, pasukannya tidak berjaya ke pusingan seterusnya. Hari berikutnya, pasukan yang tidak berjaya bertanding pula dalam Frienship Cup. Namun pasukannya sekadar menduduki tempat ke-7 secara keseluruhan. Nampak bakatnya di situ, sekiranya digilap, insyaallah boleh terus mewakili sekolah pada tahun-tahun berikutnya. 

Tiga biji gol sahaja ayah...

Besar harapan aku, agar suatu hari dia berjaya menjadi pemain bola sepak profesional seperti sepupunya Nizarruddin Jazi yang kini bermain di JDT2. Atau sekurang-kurangnya perlulah mengatasi aku sebagai ayahnya yang bermain bola sepak untuk sekolah hingga ke peringkat daerah. Hihi.


Muhammad Firas Faiq bersama pasukannya

Thursday, April 7, 2022

Hadirmu di Bulan Mulia


Alhamdulillah... Pada 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadan 1443 Hijrah lahirnya seorang anak lelaki buah hati pengarang jantung keluarga aku. Ini merupakan anak kelima kami dan rasanya cukuplah lima orang anak. Umur pun dah awal empat puluh siri, nanti bila dah bersara, ramai anak masih bersekolah payah juga nanti.

Isteri pun telah pulang ke rumah. Duduk wad sehari sahaja selepas bersalin. Di kala menaip entri pun terdengar suara bayi menangis. Apa lagi kalau bukan mahu menyusu. Terasa hilang rindu mendengar suara bayi menangis. 

Nama belum beri lagi. Sebelum bersalin lagi sudah mencari-cari nama yang sesuai, namun tidak dapat lagi. Iyalah, nama anak aku semua bermula dengan huruf "F" sepertimana nama aku. Huruf "F" ni macam kurang saja pilihan nama. Banyak nama orang lain dah ambil. 

Sekarang ni ada juga beberapa nama yang aku fikirkan. Cuma belum dimuktamadkan lagi. Tunggulah nanti, apabila pergi ke pejabat Jabatan  Pendaftaran Negara, nama yang dicatat, itulah namanya nanti 

Ada idea tak nama anak lelaki yang bermula dari huruf "F"?

Monday, June 14, 2021

MUHAMMAD FIRMAN SUDAH TIGA TAHUN

14 Jun 2018, masa ini 2 hari lagi nak sambut Hari Raya Aidilfitri. Lahirlah seorang anak lelaki lalu diberi nama Muhammad Firman. Muhammad Fahim, Ainnur Afiah dan Muhammad Firas Faiq telah mempunyai adik baharu.

Hari ini merupakan ulang tahun ketiga buat anakanda Muhammad Firman. Sekejap rasanya dia membesar. Nakal, petah bercakap dan ada kalanya pemalu macam ayahnya. 😌😌😌

Hari ini saya bekerja. Tiada apa-apa rancangan untuk sambut hari lahirnya. Sekali teringat ingin memberi hadiah kepada dia. Tapi, musim PKP ni banyak kedai tutup. Pasaraya pun di bahagian permainan ditutup. Tidak dibenarkan masuk ke kawasan permainan.

Kebetulan, ada kenalan yang berniaga permainan. Dia biasa berniaga di up town. Semasa PKP ni tidak berniaga. Jadi, selepas habis bekerja saya singgah ke rumahnya untuk membeli permainan untuk Muhammad Firman.

Balik dari kerja terus singgah beli hadiah untuk Muhammad Firman


Banyak permainan di rumahnya. Saya pilih untuk membeli kereta kawalan jauh. Boleh tahan juga harganya. Mujur hari ini gaji dah masuk. Beli sajalah, setahun tak sekali. Hehe.. 

Balik saja rumah, buka pintu dan terus beri kotak kereta kawalan jauh kepada Muhammad Firman. Tak dan nak balut dengan kertas hadiah, bagi begitu saja. Alhamdulillah, Firman suka. 

Kegembiraan jelas kelihatan pada riak wajahnya. Hihi


Dari petang hingga ke malam duk main kereta kawalan jauh. Dah simpan dalam kotak, dibukanya semula untuk bermain, kemudian masuk semula ke dalam kotak. Biasalah, budak-budak. Nanti apabila sudah bosan, alat kawalan ke mana, kereta ke mana nanti. 

Semoga Muhammad Firman membesar dengan sihat, ceria dan menjadi anak yang soleh dengan mentaati perintah Allah SWT dan mendengar cakap kedua ibu bapa.

Wednesday, August 19, 2015

SILA LIHAT TEMPAT DUDUK BELAKANG KERETA ANDA SETELAH ANDA PARKIR!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pernah tak kita membaca surat khabar atau terlihat berita di kaca televisyen tentang kanak-kanak mati lemas di dalam kenderaan kerana ibu atau bapanya terlupa bahawa anaknya di dalam kenderaan tersebut? Pasti pernah dengar kan..

Penyakit 'lupa' ni memang sukar untuk diatasi. Akibat dari lupa ini, anak yang menjadi mangsa. 

Memang tidak dinafikan, kadang-kadang kita sendiri terlupa bahawa kita sedang membawa anak-anak di dalam kereta kita. Aku katakan ini kerana aku sendiri yang telah melaluinya. 

Pernah sekali, seperti biasa, setiap pagi aku akan hantar anak ke tempat penjaganya. Pada masa tu, aku rasa macam sedang memandu sendirian saja. Padahal masa tu, anak aku sedang tidur lena di tempat duduk belakang kereta. Tiba-tiba aku menoleh ke belakang dan lihat anak aku sedang tidur, lalu aku beristighfar beberapa kali. "astaghfirullahalazim..., anak aku ada di belakang rupanya.."

Perhatikan, apa yang ada di belakang kereta anda! Gambar sekadar hiasan

Berlaku lagi kejadian seperti itu pagi tadi semasa aku nak hantar anak ke tempat penjaganya. Entah apa yang aku fikirkan, aku tak masuk ke simpang lampu isyarat rumah penjaga anak aku. Aku terus sahaja. Dalam beberapa ketika, baru aku terperasan yang aku tak masuk ke simpang tersebut. Aku tersedar dan beristighfar beberapa kali lalu terus pusing kembali ke arah rumah penjaga anak aku. Kalaulah tak perasan, sampai ke pejabatlah jawabnya aku membawa anak aku yang sedang tidur lena tu.

Jadi, pesanan aku di sini, silalah perhati-perhatikan anak yang berada di belakang kereta anda. Pastikan juga semasa parkir kereta, anda perhatikan apa yang ada di tempat duduk belakang kereta anda. Dikhuatiri nanti, anda tidak perasan bahawa anak anda sedang tidur lalu anda bakal meninggalkan dia sendirian di dalam kereta. 

Sama-samalah kita mengingat-ingati antara satu sama lain. Semoga kita dihindari dari apa-apa malang yang sememangnya tidak berbau.

Monday, August 17, 2015

MAKNA NAMA ANAK

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah.. Isteri aku telah selamat melahirkan anak ke-3 kami pada tanggal 6 Ogos 2015 yang lalu. Kerna itu juga, blog ini agak lama tidak dikemaskini.


Muhammad Firas Faiq.. Inilah nama yang telah kami berikan kepada anak ini. Sebenarnya nama ini tidak dirancangpun. Idea tercetus nama ini lahir pada hari ke-7 setelah kelahirannya. Sebelum ini memang ada rancang nak letak nama lain, tetapi sebaik-baik perancangan, perancangan ALLAH jugalah akhirnya yang terbaik. 

Apa makna Muhammad Firas Faiq?

Muhammad
- Nama nabi, Yang Terpuji

Firas
- Kecerdikan, tajam fikiran

Faiq
- Tertinggi, utama, terkenal, terkemuka

Semoga anak ini akan menjadi seperti makna-makna yang terkandung pada namanya. Insya-Allah. Amin.

Tuesday, July 7, 2015

SAAT-SAAT MENANTI KELAHIRAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Walaupun sudah nak masuk anak yang ketiga, aku masih lagi teruja nak menimang cahaya mata seorang lagi. Sekarang ni isteri sudah sarat, dan boleh bersalin bila-bila masa sahaja, namun masih lagi nak menjengok partnernya yang sama-sama berniaga tudung di bazar Ramadan.



Pakaian baby yang baru dibeli pun sudah dibasuh. Hanya menanti saat dan tika masanya sahaja. Kalau dilihat dari gambar pakaian baby di atas, dapat agak tak apa jantina baby tu?



Namanya pun sudah dipilih, tapi biarlah rahsia dulu. Aku ni tak suka nak pilih nama panjang-panjang macam orang zaman sekarang suka letakkan, cukuplah sekadar ringkas dan ada maknanya yang tersendiri.

Cuma, apa yang aku harapkan agar kedua-dua insan yang akan melahirkan dan dilahirkan sihat walafiat dan sejahtera hendaknya. 

Tuesday, June 30, 2015

SUDAH 3 TAHUN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

22 Jun yang lalu genaplah 3 tahun usia anak perempuan aku yang seorang ni. Ainnur Afiah namanya. Sekarang sedang biasakan untuk memanggilnya dengan gelaran akak, bukannya adik lagi, pasal tak lama lagi dia nak dapat adik baru.


Masa ni sambut hari jadinya di rumah mertua aku. Ramai yang datang, nak minta ambil gambarpun dia segan. Jadi, terhasillah gambar yang seakan-akan terpaksa diambil ni.

Apa-apapun semoga anak ayah ni membesar dengan sihat walafiat dan menjadi anak yang solehah.

Thursday, March 20, 2014

TERKENANG PUISI YANG LALU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kadang-kadang bila berada di tempat kerja, teringat anak-anak di rumah penjaga. Macam manalah dengan keadaan mereka. Tidur ke, bermain-main ke, rindu kat ayah dan mama ke, hanya mereka saja yang tahu.

Tapi, mereka perlu tahu, ayah dia ni pun rindu juga dengan anak-anak. Kalau tak bekerja, nak saja duduk dengan anak seharian di rumah. Membawa mereka bersiar-siar, makan-makan bersama. 

Teringat anak-anak, teringatlah juga puisi-puisi yang telah aku cipta buat mereka, semasa mereka selamat dilahirkan di muka bumi.








Coretan ikhlas dari ayahmu

|
|
V


Moga kelak mereka dapat membaca puisi yang telah aku coretkan ini khas untuk mereka.

Tuesday, December 10, 2013

MR. MAMA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari Isnin hingga hari Rabu aku bercuti rehatkan badan dan minda di rumah. Cuti tahun pun memang banyak lagi, jadinya, aku mengambil keputusan untuk bercuti. 

Pagi-pagi lagi aku dikejutkan dengan anak perempuan aku yang menyelak baju dan menghisap puting aku. Aduhai, dia ingat aku ni mama dia agaknya. Isteri aku bekerja, tidak bercuti.

Ingat lepas bangun tidur, aku nak hantar anak kecil aku ke rumah penjaganya, tapi penjaga mahu bercuti. Jadi akulah yang akan menjaga sendiri 2 orang anak aku. Yang besar tu takpelah, memang senang dijaga, yang kecil tu agak sukar sedikit.

So far, memang tiada masalah menjaga mereka. Waktu makan kami makan bersama, lepas makan, kitorang pun tidur bersama. Cuma masa diorang bermain tu adalah gaduh-gaduh sedikit. Terjerit sana, terjerit sini. Aku pun terjerit sama. :)

Hari ni banyaklah juga kerja-kerja rumah yang dibuat, membasuh dan menyidai pakaian, menyapu lantai dan memasak. 

Bab memasak ni memang minat, tapi takde ilmu. Dalam perkataan lain, tak tahu memasak. Aku sudah berfikir-fikir untuk buat sup ayam, kerana isteri aku pernah beritahu, anak sulong aku suka makan sup ayam, makan pun akan bertambah-tambah. Jadinya sebelum memasak tu, aku telefon isteri aku untuk minta resepi cara-cara membuat sup ayam.

Gambar sekadar hiasan. Tak sempat nak ambil gambar Sup Ayam aku, anak-anak dah tak sabar nak makan. Sumber gambar >> KLIK <<


Laaa... rupa-rupanya senang saja buat sup ayam. Lepas masak, aku merasa sup ayam tu, dan aku berpuas hati. Rasa sedap, macam isteri aku masak juga. Hehehe. Selain sup ayam, aku juga memasak ayam kunyit menggunakan kuali seperti 'Pemanggang Ajaib'.

Dah ni je yang nak diceritakan. Esok bercuti lagi, mungkin akan terus jadi Mr. Mama semasa bercuti ni. d:-)

Monday, August 12, 2013

KANAK-KANAK RIANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hai... Macam-macam perangai anak bujang aku seorang ni. Dah pandai nak bergambar sendiri. Dah tu bermacam-macam memek muka dibuatnya.

Dah layan saja memek muka si dia ni...

Hehehe...

Llllll....

Aaaaaarrgg...

Emmmm....

Uwekkk...

Huhuhu...

Thursday, June 13, 2013

MY AINNUR AFIAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Bulan ni merupakan bulan anak aku yang kedua dilahirkan. Maka genaplah umurnya setahun. Tapi dia belum pandai berjalan lagi. Gigi pun baru nak tumbuh 2 batang. 

Akulah yang hari-hari menghantar dan membawa pulang dia ke rumah penjaga kerana rumah penjaga di laluan aku. Kalau mood dia ok, senyap sajalah. Tapi kalau bad mood, mahunya sepanjang perjalanan dia menangis. Aku pulak yang naik berang. Tapi nak buat macam mana, layankan saja.

Harapan aku sebagai seorang bapa agar anak ini membesar dengan sihat walafiat dan kelak menjadi wanita solehah.

Hai... Saya Ainnur Afiah. Selamat berkenalan. :)

Inilah Bos.. Hari-hari angkat dia pergi balik...

Ni masa kakinya tersepit. Meraung le sekejab.. Tu la, memanjat lagi!!

Macam-macam hal lah!! :p

Tuesday, June 26, 2012

REZEKI DARI ALLAH, ALHAMDULILLAH SYUKUR

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Agak lama juga saya tidak mengemaskini blog ini. Almaklumlah, saya baru menimang cahaya mata kedua saya.

Pada tanggal 22 Jun 2012 (Jumaat), lahirlah seorang bayi perempuan pada pukul 12.55 tengah hari di Hospital Besar Melaka. Rasa gembira tidak terhingga dengan kurniaan rezeki dari Allah ini. Alhamdulillah, sehingga kini, anak ini sihat-sihat sahaja.

Dilampirkan bersama gambar anak ini untuk tatapan semua.. :)

Comel tak saya..?

Nyenyaknya tidur...

Selamat datang ke dunia yang penuh mencabar nak....

Nama saya Ainnur Afiah

Sunday, June 17, 2012

SUMPAH! TIADA NIAT UNTUK MEMBUANG ANAK

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dalam dua minggu yang lepas, taman tempat tinggal saya ini telah menerima tong sampah yang baru yang disumbangkan oleh syarikat Southen Waste Management. Sebenarnya, bukan untuk taman perumahan tempat saya tinggal sahaja, tetapi semua taman perumahan di Melaka menerimanya.

Tong sampah yang baru ini lebih besar dan beroda berbanding tong sampah berwarna hitam yang biasa digunakan di mana-mana taman perumahan. Semasa menerima tong sampah tersebut, ada juga borang yang perlu diisi dan terdapat syarat-syarat tertentu seperti perlu menggunakan tong sampah tersebut dan bukan lagi tong sampah yang lama, kena denda sekiranya tong sampah tersebut rosak atau hilang dan sebagainya. Namun, sehingga kini saya masih belum menggunakannya.

Apabila tong sampah tersebut masih belum digunakan dan diletakkan di dalam pagar rumah, jadi ianya telah menjadi bahan mainan si Muhammad Fahim. Seperti yang saya  sebutkan di tajuk entri ini, bukan niat saya untuk membuang anak tetapi dia yang pandai-pandai nak main dalam tong sampah. Aduhai anak....

Errmmmm Cak!!

Apa tengok-tengok??

Hai.. Nama saya Muhammad Fahim
(Ps : Perangai Muhammad Fahim semakin menjadi-jadi sejak nak dapat adik baru)

Thursday, September 15, 2011

DUIT RAYA ANAK, AMANAH KITA

Macam mana dengan raya tahun ni? Anak dapat banyak duit raya tak? Simpan ke mana duit raya anak tu? Apa... Dah gunakan dulu? Dah beritahu anak tak? Kalau anak masih kecil dan belum tahu bercakap nak beritahu macam mana? Dia beri ke kita pinjam duit dia yang orang beri tu?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu kita jawab sendiri. Kemanakah duit raya anak kita? Adakah kita menyimpannya di bank ataupun kita telah "meminjam" daripada dia untuk menampung perbelanjaan harian yang telah lari budget? Bagi anak-anak yang sudah besar tu tidak mengapalah, mereka tahu bagaimana untuk menyimpan ataupun membelanjakan duit mereka. Namun bagaimana pula halnya tentang anak kita yang masih kecil dan belum tahu berkata-kata.

Bolehkah kita menggunakan duit raya anak kita yang tidak mengetahui apa-apa ini untuk keperluan kita sedangkan kita tidak dapat jawapan daripadanya sama ada dia beri pinjam atau tidak? Duit itu pemberian orang dan ia adalah amanah kepada kita untuk menjaganya. Oleh itu, kita kena amanah dan sebolehnya menyimpan duit tersebut dengan elok.

Rasanya adalah lebih baik kita bukakan akaun SSPN kepada anak kita kerana bermula tahun 2012, mana-mana individu yang mahu meminjam PTPTN hendaklah mempunyai akaun SSPN terlebih dahulu. Membuka akaun SSPN untuk anak kita adalah amat baik kerana paling tidakpun mereka ada simpanan sendiri dan tidak akan berhutang dengan pinjaman yang tinggi sekiranya hendak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kelak. Seterusnya, mereka tidak akan dibebani oleh hutang yang banyak setelah tamat pengajian nanti.

Ingatlah, tahun-tahun yang mendatang pastinya kos untuk pendidikan tinggi akan terus meningkat, oleh itu kita siapkan simpanan anak kita lebih awal demi untuk masa depannya. Bukan apa, nanti-nanti kita juga yang yang dapat untung juga kerana dengan duit yang sedia ada, dia tidaklah menyusahkan kita nanti apabila kita mungkin sudah tidak bekerja kelak.

Akhir sekali, ingatlah... Duit raya anak adalah amanah kita, jangan kita pula dengan sewenang-wenang membelanjakannya.



Monday, February 7, 2011

SAJA NAK TAYANG ANAK




Tak pernah publishkan gambar anak. Sekarang aku uploadkan gambar anak kesayangan aku, namanya Muhammad Fahim. Baru berusia 2 tahun. Tengok bulu matanya, macam perempuan, melentik.



Friday, October 1, 2010

Friday, September 24, 2010

KAMI PERIHATIN

Kini, dilihat semakin kita mempromosikan kempen Kami Prihatin makin banyak pula kes-kes pembuangan bayi yang melanda negara. Apa sudah jadi? Adakah kempen ini tidak berkesan atau sebenarnya ia tidak memberi apa-apa kesan kepada pembuang-pembuang bayi ini.


Agak sukar kita hendak memahami hati dan naluri si pembuang-pembuang bayi ini. Mana perginya nilai kemanusiaan pada diri mereka. Tidak tahukah mereka bahawa perbuatan itu merupakan tindakan yang kejam dan berdosa besar? Mana perginya sifat keperimanusiaan?


Mereka agak tidak tergamak membuang bayi merata-rata tempat. Ada dibuang di tong sampah, dalam tandas, dalam masjid, di perhentian bas dan lain-lain tempat yang tidak sepatutnya. Mana perginya rasa ihsan dan belas kasihan? Bayi itu masih kecil, masih belum mengerti apa-apa, tapi mengapa mereka dibuang begitu saja? Tak kesiankah?


Janganlah hanya mahu berseronok tidak tentu pasal. Keseronokan hanyalah sementara sahaja, hasilnya tidak mahu pula bertanggungjawab. Mana perginya bapa yang begitu berani menghasilkan benih itu? Adakah dia benar-benar melafaskan cinta atau pembohongan semata-mata. Sudah sahlah dirimu ditipu. Kau begitu bodoh menyerahkan diri pada orang dengan hanya bermodalkan kata-kata sayang, dengan bermodalkan RM10, dengan bermodalkan top up prepaid. Sudah puas kau bermadu cinta, hasilnya kau buang merata-rata. Apa kau pikir bayi itu sampah ke?


Kalaulah sudah terlanjur sekalipun, cepat-cepatlah bertaubat. Berkahwin dengan pasangan terbabit. Sekalipun bayi yang dilahirkan tidak diperlukan, berilah kepada mereka yang memerlukan.




Friday, September 17, 2010

MEROKOK TAK MACHO BRO


Aku nak tujukan pesanan ini kepada anak-anak sedara aku yang aku kasihi.

Berhentilah merokok wahai anak-anak buahku sebelum terlewat, pakcik kau ni memang dah merokok sejak zaman sekolah menengah lagi, sampai sekarang susah mahu berhenti. Sudah puas pakcik cuba tak boleh-boleh juga. Kalau kau semua mahu cuba hisap rokok, tolonglah jangan simpan niat itu. Tak payah. Takde faedah pun.

Pakcik banyak kali cuba berhenti merokok, paling lama tiga minggu tidak hisap rokok, jumpa member-member hisap semula. Peh, punyalah susah. Siap beli ubat nak berhenti merokok di farmasi lagi, mahal tau ubat tu, pun tak jalan juga. Bulan puasa lagi lah, bukan tak boleh berhenti, lagi ditunggu-tunggukan waktu berbuka untuk menikmati rokok. Bodoh betul lah...

Sekarang dah ingat merokok membahayakan kesihatan, merokok merugikan. Duit banyak keluar kau orang tahu tak? Jadi, berhentilah merokok dari sekarang atau jangan cuba-cuba menghisap rokok. Tak macho pun, perempuan pun tak suka lelaki hisap rokok. Nasib baiklah makcik kau tu suka kat pakcik. Dia pun dah naik malas nak nasihatkan pakcik, apa taknya, pakcik sendiri kata nak berhenti merokok dan pakcik sendiri tidak boleh berhenti.

Jadi, jangan cuba-cuba merokok dan berhentilah merokok. KATAKAN TIDAK kepada merokok. Pakcik pula, kau orang jangan risau, pakcik akan sedaya upaya cuba berhenti merokok. Bila? Bila kau orang tengok pakcik dah tak merokok...


Pesanan untuk :

Syazani
Syahmi Akmal
Syahdad
Syakir
Azfar
Asyraf
Ammar
Akmal
Amzar
Danial
Irsyaduddin
Nizarruddin
Aidilnuruddin
Danish

Dan tak lupa pada anak aku, Fahim. Ayah nampak kau hisap rokok, ayah ikat kau kat pokok.


v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v

Mahu berhenti merokok? Hubungi saya segera!