Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.
*****
Kerajaan
Syahru’n Nuwi atau lebih dikenali sebagai Siam merupakan kerajaan yang besar
suatu ketika dahulu. Rajanya bernama Bubunnya. Terdapat beberapa kerajaan di selatan
Siam adalah di bawah takluk Paduka Bubunya.
Melaka
pada ketika itu juga merupakan sebuah kerajaan yang besar di bawah pemerintahan
Sultan Muzaffar Syah. Pernah sekali Paduka Bubunnya menghantar utusan ke Melaka
menyuruh Melaka menghantar sembah ke Siam namun Sultan Muzaffar Syah enggan
berbuat demikian. Hal ini telah menyebabkan Paduka Bubunnya teramat murka.
Justeru,
Paduka Bubunnya telah menitahkan hulubalang baginda bernama Awi Cakri bersama-sama
rakyat Siam untuk pergi memerangi Melaka. Bilangan rakyat Siam yang dapat
dikumpulkan amatlah ramai hingga tidak terkira banyaknya.
Berita
Siam hendak menyerang Melaka telah diketahui awal oleh Sultan Muzaffar Syah.
Baginda telah menitahkan segala rakyat jelata untuk berkumpul di Melaka untuk
mempertahankan negeri dari serangan Siam. Tun Perak pada ketika itu merupakan
penghulu Kelang turut ke Melaka dengan membawa orang-orang Kelang, lelaki dan
perempuan beserta anak-anak mereka bagi membantu Melaka menghadapi serangan Siam.
Wajah Bendahara Tun Perak dari gambaran artis |
Setelah
rakyat Siam menghampiri Melaka, maka berlakulah peperangan di antara kedua-dua
belah pihak. Oleh kerana terlalu ramai rakyat Melaka memerangi Siam untuk
mempertahankan Melaka, maka tiada upaya rakyat Siam untuk mengalahkan Melaka. Rakyat
Siam pun banyak yang mati dalam pertempuran tersebut dan mana yang terselamat
telah kembali berundur ke Siam.
Setelah
berundurnya Siam, rakyat jelata yang mempertahankan Melaka pun kembalilah ke penempatan
masing-masing kecuali Tun Perak. Sultan Muzaffar Syah amat berkenan dengan Tun
Perak kerana kebijaksanaannya dan dititah baginda supaya tinggal di Melaka. Tun
Perak terus dilantik sebagai bentara Melaka oleh sultan. Tidak beberapa lama
kemudian, Tun Perak telah dinaikkan pangkat kepada jawatan menteri seterusnya
dilantik sebagai bendahara Melaka dengan gelaran Bendahara Paduka Raja.