Showing posts with label akhirat. Show all posts
Showing posts with label akhirat. Show all posts

Tuesday, February 4, 2014

KEBALKAH KITA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Baru-baru ni aku menyambut hari kelahiran emak aku di tepi pantai bersama-sama semua ahli keluargaku yang lain. Berminggu juga tak jumpa emak dan kebetulan emak pun baru pulang dari rumah adik bongsu aku yang sedang mabuk kerana hamil. 

Tugas aku di pantai ialah membakar ayam dan jagung. Memang kegemaran aku dengan tugas bakar membakar ni. Panas dan bahang dari api arang yang membara tu memang tak payah cakaplah, memang panas. Merah jari jemari aku ni dibuatnya, bulu-bulu roma pun ada yang sedikit terbakar. 

Dalam membakar ayam-ayam dan jagung tu, aku sempat juga terfikir... Ini baru panas dunia. Belum panas di akhirat nanti. Belum panas Api Neraka lagi.

Kedalaman Api Neraka digambarkan sekiranya membaling batu ke dalamnya, maka 70 tahun barulah batu tersebut akan tiba di dasarnya. MashaAllah.. 

Ibnu Abbas R.A mengatakan : Pada suatu hari Rasulullah sedang duduk dengan para sahabatnya. Tiba-tiba dia terdengar suatu suara. Ketika itu nabi S.A.W bertanya, "tahukah kamu suara apakah itu?" Jawab mereka "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Kata nabi S.A.W "itu adalah batu yang dilemparkan ke dalam neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu dan baru sekarang sampai ke dasar neraka itu."

(HR Muslim)

Ya.. itu baru kedalaman Api Neraka, bagaimana pula dengan kepanasannya? 

Panas Api Neraka yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanyalah sepertujuh puluh dari panasnya Api Neraka di akhirat. Kalau sebahagian kecil (Api Neraka) jatuh ke dunia, nescaya mendidihlah air laut kerana kepanasannya.

(HR Muslim)

Begitulah gambaran Api Neraka. Amat dahsyat sekali. Semoga kita semua tergolong sebagai ahli Syurga dan dijauhi dari azab Neraka. Amin Ya-Rabbal Alamin.


"Ya-Allah... Aku tidaklah layak untuk ke Syurga-Mu, namun aku juga tidak mahu azab Neraka-Mu"

Saturday, March 3, 2012

MATI ITU BENAR





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mati... Siapa yang tidak takut mati? Lazimnya semua orang takut mati. Akan tetapi, dalam perasaan takut mati yang ada dalam diri masing-masing namun masih ada yang tidak mahu memikirkan yang kita akan mati. Mungkin kerana kita tidak tahu tarikh kematian kita, sebab itulah kita tidak mahu memikirkannya sangat.

Dalam memperkatakan tentang kematian, adakah kita sudah bersedia dengan amalan-amalan sebagai bekalan di alam kubur dan di akhirat kelak? Kita masing-masingpun tidak mengetahui, sama ada amalan yang kita sangkakan kita buat baik, tetapi mana tahu ianya tidak diterima oleh Allah. Betapa ruginya...

Mati... Allah itu Maha Mengetahui. Mengapa agaknya Allah merahsiakan tarikh kematian kita? Sekiranya kita tahu akan tarikh kematian kita, rasa-rasanya kita tidak tidur 24 jam kerana terus beribadat kepada Allah. Sebenarnya kita hidup di dunia ini hanyalah sementara dan Allah sengaja mahu menguji keimanan kita terhadap-Nya.

Sekiranya kita lihat kembali pada cerita-cerita mengenai banduan akhir iaitu banduan yang akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka lagilah pula, sudah tahu akan tarikh kematiannya iaitu tarikh dia akan digantung. Agak-agaknya apakah perasaan dia? Dia tahu dia akan mati dan pasti mati. Apakah perasaan dia? Kalau kita lihat drama yang memainkan semula perihal banduan akhir yang hendak digantung, mereka bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah. Solat mereka tidak tinggal dan sentiasa memohon ampun kepada Allah. Apatah lagi semasa mahu melangkah ke bilik gantung, kakinya tidak mampu melangkah, diampu oleh pegawai penjara. Agak-agak apakah perasan dia? Dia tahu dia pasti akan mati dalam beberapa tika sahaja. Elok rasanya tidak tahu tarikh kematian sendiri daripada kita tahu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang Dia rancang.

Berbalik pula kepada persiapan kita untuk menghadapi mati. Adakah kita tahu tentang hidup kita di alam kubur kelak selepas mati? Adakah kita di alam kubur akan berasa sama seperti hidup di dunia? Semasa di dunia contohnya kita masuk di dalam terowong pelindung serangan udara (ada terdapat di negeri Perak), muat-muat badan untuk berlalu di dalam terowong hanya bertemankan cahaya lampu kecil yang malap. Itu di dunia, masuk terowong kecilpun kita sudah berasa seram dan nak sesak nafas dibuatnya. Bagaimana pula kita di dalam kubur kelak? Sedar-sedar badan sudah dipocongkan dan muat-muat badan sahaja. Kiri, kanan, atas dan bawah cuma tanah sahaja. Kalau amalan kita buruk lalu disoal Malaikat Mungkar dan Nangkir, mana kita mahu lari? Nak minta tolongpun tiada siapa yang boleh membantu. Yang boleh membantu hanyalah amalan kita di dunia.

Lain pula kisahnya pada hari akhirat dan hari pembalasan. Wallahuaklam, bagaimanalah keadaannya nanti. KIta telah digambarkan oleh Allah melalui Al-Quran perihal itu semua, kita memahami tetapi hanya memahami tidak sama dengan mengalami.

Saya dengan rendah diri, berasa insaf. Sedar diri ini serba kekurangan dan masih tercari-cari jalan yang lurus dan benar. Bukan niat untuk mengajar, cuma mahu berkongsikan apa yang bermain di minda. Kerap juga berfikir semasa hendak tidur, sekiranya esok bangun tiba-tiba hidung berbau tanah, badan disaluti kain putih, apakah nasibnya kelak...

Allahu Akbar...