Showing posts with label adab. Show all posts
Showing posts with label adab. Show all posts

Thursday, December 19, 2013

TENTANG BICARA


Tatkala mulut berhajat berbicara,
tolehlah ke kanan,
jelinglah ke kiri,
fikir sejenak sesaat dua,
berbisakah pertuturan,
atau semanis madu kata diatur.

Mungkinkah!
Ada dipandang anak Adam di siang hari,
Ada didengar hamba Allah di malam hari.

Oh! Tidak perlu terus berbicara,
andai bicara tin kosong tak berisi,
elok saja berdiam diri,
elak terpacul kata nista,
elak mengalir lafas keji.

Bukan.. bukan menyekat terus berbicara,
tiada niat untuk mengadang,
berbicaralah yang hak,
diamkan yang batil,
janji Allah itu pasti,
tersalah tersilap mulut berbicara,
kelak tubuh binasa dunia akhirat.

F.B. Mamat
19 Disember 2013
Bandar Hilir, Melaka

Friday, June 28, 2013

40 KALI LEBIH NIKMAT


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah adab makan Nabi Muhammad S.A.W, iaitu nabi mengunyah makanan sebanyak 40 kali kunyahan sebelum menelannya. 

Aku mula hendak mempraktikkannya dan ternyata, kalau kita mengunyah makanan dengan kunyahan yang lama, kita dapat merasai kenikmatan makanan yang kita makan. 

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Ada yang berkata, 'mana boleh nak kunyah lama-lama?'. Sebenarnya memang boleh. Cubalah praktikkannya. Kalau tidak sampai 40 kali kunyahan sekalipun, cubalah mengunyah makanan tersebut selumat-lumatnya sebelum ditelan.

Selain dapat merasakan kenikmatan makanan tersebut, terdapat banyak kebaikkan mengunyah makanan sehingga lumat. Boleh terus membaca pada rujukan yang telah disertakan.

Rujukan : >> KLIK <<

Friday, December 23, 2011

HILANGNYA KESOPANAN BUDAK MELAYU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Melayu oh Melayu... Kemanakah hilangnya kesopanan yang ada pada jati diri Melayu. Mana hilangnya ketatatertiban Melayu. Melayu itu unggul, penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, tetapi kini semacam akan hilang saja semua ini. Orang Melayu ini baik, tetapi mengapa sikap baik ini semacam bakal hilang? Sekiranya hendak tahu Melayu ini baik atau tidak, boleh baca entrinya DI SINI.

Kalau dahulu Melayu penuh dengan kesopanan, tetapi kini kian hancur. Tiada segan dan silu. Anak dara orang dipeluk dan diciumnya dikhalayak orang ramai tanpa ada perasaan malu malah hanya merelakan. Yang lebih dahsyat lagi, sanggup merakamkan aksi-aksi berahi yang akhirnya tersebar luas di telefon bimbit dan internet. Memang hilang kesopanan Melayu sekarang.

Tetapi sebenarnya, bukan ini yang saya mahu ceritakan dalam entri ini. Penulisan entri ini terhasil daripada pengalaman saya ketika bersembahyang Jumaat pada tengah hari tadi. Kebetulan saya ada mesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ayer Keroh, jadi saya berkesempatan bersembahyang Jumaat di masjid yang berdekatan dengan rumah saya.

Apa yang berlaku ini membuatkan saya berfikir, bahawa benarlah kesopanan dan kesusilaan budak Melayu sekarang sudah berkurangan. Hendak diceritakan, saya duduk bersila seperti biasa di dalam masjid untuk mendengar khutbah Jumaat. Kebetulan saya duduk 3 atau 4 baris dari saf belakang. Jadinya orang-orang lain yang mahu ke saf hadapan akan melangkah melalui lutut saya dan lutut orang di sebelah saya. Apa yang saya perhatikan, orang-orang dewasa dan berumur pasti akan membongkokkan badan semasa hendak berlalu di sebelah dan hadapan saya.

Namun begitu, apa yang sebaliknya ada 3 ke 4 orang budak-budak dalam lingkungan sekolah menengah dan pemuda yang berlalu antara lutut saya dan hadapan saya dengan "selamba" saja berlalu. Saya bukanlah minta dihormat. Saya memang tidak perlukan orang hormat saya, tetapi apa yang saya lihat, adab, kesopanan dan kesusilaan budak-budak Melayu kini kian pudar. Tak macam dulu.

Nak dijadikan cerita lagi, pada mulanya ada seorang pakcik terlanggar lutut saya. Dengan segera dia memegang lutut saya dan saya secara spontan memegang betis dia tanda memohon maaf. Tapi sebaliknya berlaku apabila seorang budak lingkungan sekolah menengah bukan hanya seperti melanggar tetapi memijak lutut saya dan terus berlalu seperti tiada apa-apa berlaku. Saya rasa, kamu dapat membayangkannya.

Kalau kita lihat filem P. Ramlee yang dulu-dulu yang memaparkan latar belakang masyarakat Melayu, sudah pastinya mengambarkan orang-orang Melayu ini tinggi tahap kesopanan dan adapnya. Orang Melayu cakapnya berlapik, setiap berbuatannya bersopan. Itulah Melayu. Namun kini, tinggal sejarah. Mungkin bakal lenyap.

Akhir kata, kembalilah anak-anak Melayu ke arah kesopanan. Jaga tatasusila kita. Jangan bersikap kurang ajar kepada orang yang lebih dewasa daripada kita. Sesungguhnya orang yang terdahulu itu lebih paham dari apa yang kita faham. Jadi, belajarlah menghormati orang tua.