Pada hari ini, aku berpeluang membantu menjayakan pengambaran rancangan televisyen bertajuk "Mercu". Rancangan ini dijadualkan untuk ditayangkan di saluran RTM menjelang penghujung tahun 2023 atau awal tahun 2024.
Mercu merupakan sebuah rancangan santai 13 episod yang memaparkan bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda bagi negeri-negeri di Malaysia. Di Melaka, bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi menjadi salah satu episod bagi rancangan ini. Justeru, bos telah mengarahkan aku untuk membantu menjayakan pengambaran ini.
Dalam pengambaran ini, aku telah ditemubual oleh Anas Ridzuan yang memainkan peranannya sebagai pengacara rancangan. Banyak jugalah soalan-soalan yang ditanyakan, namun aku rasa macam tak puas bercakap. Banyak lagi yang aku boleh terang dan jelaskan tapi mungkin kerana masa tayangannya tak lama, jadi hanya babak-babak yang pendek sahaja temubual dijalankan.
Pengalaman membantu menjayakan pengambaran rancangan Mercu adalah satu perjalanan yang berharga bagi diri aku walaupun pengambarannya hanya seketika iaitu kira-kira 2 jam. Kepentingan ilmu pengetahuan merupakan tunjang utama dalam menjayakan satu-satu hal dalam memastikan masyarakat dapat turut mendapat maklumat yang betul lagi tepat.
Bersama Anas Ridzuan, pengacara Mercu |
Bersama kru pengambaran |