Sebelum membaca lebih lanjut, sila baca ini juga.
Baca juga :
Dalam empat anak-anak aku yang bersekolah, Muhammad Firman ni memang lain macam sedikit. Tak macam abang-abang dan kakaknya. Memang liat nak bersekolah. Masa pra sekolah dulu pun sama.
Hari ni masa pertama persekolahan pagi tadi, dia dah buat perangai. Duk keras dalam kereta taknak masuk ke sekolah. Masa ni isteri aku yang bawa ke sekolah. Abangnya Muhammad Firas Faiq, ok saja. Dia dah keluar kereta dan masuk ke sekolah. Tinggal Muhammad Firman "mengeraskan diri" dalam kereta.
Isteri aku whatsapp, jadi aku yang memang bercuti hari ni, pergilah ke sekolah dengan harapan untuk memujuknya.
Sampai saja di kereta isteri yang diparkir di luar sekolah, Muhammad Firman memang dah menangis. Tak boleh dibiarkan, kalau nak ikut kehendak dia, memang susahlah hari-hari yang bakal mendatang. Aku pujuk, memang tak makan pujuk. Apa lagi, aku dukung dia masuk ke dalam sekolah.
Terus menangis. Sampai dalam sekolah, perhimpunan sedang berjalan. Masa tu Murid-murid sedang duduk dalam perhimpunan, ibu bapa pun ramai hadir memerhatikan anak-anaknya. Aku bawa Muhammad Firman berdiri di kaki lima berdekatan murid-murid darjah satu. Muhammad Firman terus menangis tanpa henti.
Beberapa ibu-ibu yang hadir turut memujuk, tapi tak juga jalan. Kakak-kanak pengawas sekolah yang diberi amanah untuk menjaga murid-murid darjah satu pun cuba bantu memujuknya. Tetap tidak makan pujuk.
Guru bertugas telah memberikan pengumuman supaya ibu bapa meninggalkan anak masing-masing, tapi macam mana aku nak buat, Muhammad Firman tetap menangis.
Masa sudah masuk ke kelas, guru kelas sudah ada. Guru kelas minta aku pulang dan biarkan Muhammad Firman bersamanya. Masih lagi menangis, ditarik-tariknya tangan aku. Akhirnya, tarikan tangannya dapat dilepaskan dengan bantuan beberapa sukarelawan terdiri daripada anggota PIBG turut membantu.
Aku biarkan Muhammad Firman di kelasnya. Biarlah guru kelas yang uruskan. Pastinya mereka pasti mahir dengan situasi sebegini. Dikhabarkan oleh guru, Muhammad Firman tidak lagi menangis dalam beberapa ketika selepas aku meninggalkannya.
Harap-harap adegan sebegini tidak lagi berlaku di masa-masa akan datang. Pening dibuatnya. Aduhai...