Showing posts with label Masa Berlalu Pantas. Show all posts
Showing posts with label Masa Berlalu Pantas. Show all posts

Friday, February 14, 2025

Muhammad Firman Kini Bersekolah Darjah Satu

Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat anak keempat aku, Muhammad Firman, kerana dia sudah memulakan persekolahan Tahun 1 di SK Taman Bukit Rambai. Sekolah ini adalah sekolah rendah dengan jumlah pelajar paling ramai di Melaka. Semasa sesi taklimat pagi tadi, guru besar memaklumkan bahawa sekolah ini mempunyai seramai 1,686 orang pelajar. Untuk Tahun 1 sahaja, terdapat 10 kelas yang menampung murid-murid baharu.

Selamat menempuh alam persekolahan duhai anak 

Dengan Firman sudah memulakan alam persekolahan, kini aku mempunyai empat orang anak yang bersekolah. Anak sulung kini berada di tingkatan 5, manakala anak kedua pula akan memasuki tingkatan 1 dan bakal tinggal di asrama. Anak ke-3 akan naik. Ke darjah 4. Hanya tinggal seorang sahaja lagi yang belum bersekolah. Melihat anak-anak membesar dan melangkah ke fasa baru dalam kehidupan mereka benar-benar membuatkan aku terasa masa berlalu begitu pantas.

Hari orientasi ini adalah pengalaman baru buat Firman. Dia berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan baru, guru-guru dan melihat persekitaran sekolah. Walaupun mungkin masih ada sedikit rasa janggal, aku harap dia akan cepat menyesuaikan diri dan menikmati pembelajaran. Dunia sekolah rendah pastinya akan menjadi kenangan indah dalam kehidupannya nanti.

Sebagai ibu bapa, aku hanya mampu berdoa dan memberi sokongan agar anak-anak dapat menimba ilmu dengan baik. Semoga Firman seronok belajar, rajin membaca dan membesar menjadi insan yang berguna. Selamat menempuh alam persekolahan, anakku.