Showing posts with label Jakarta. Show all posts
Showing posts with label Jakarta. Show all posts

Friday, December 22, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 4) - Berkunjung ke Museum Bank Indonesia

Selepas tamat majlis perasmian Galeri Melaka Jakarta, bagi memanfaatkan masa yang terluang, aku berpeluang untuk mengunjungi Museum Bank Indonesia. Lokasi antara muzium ini dengan Museum Sejarah Jakarta tidaklah jauh, tapi akibat macet (jalan sesak) agak mengambil sedikit masa. Masa ini kami menaiki buggy yang boleh memuatkan 10 orang.

Museum Bank Indonesia pernah diiktiraf sebagai muzium terbaik di Indonesia kalau tidak silap bagi tahun 2022. Apabila aku masuk ke dalam muzium ini, sememangnya muzium ini layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut. Bank kot.. Banyak duit. Pasal itu mereka boleh mengeluarkan kos yang tinggi untuk menubuhkan muzium ini. Mereka pun tidak segan silu menyatakan penataan muzium mereka ini mendapat aspirasi dari Muzium Bank Negara Malaysia. 

Bagi aku konsep dan penataan ruang pameran di muzium ini kelihatan menarik. Kena dengan jiwa aku yang mementingkan ringkas, bersih dan minimalis. Harga tiket pun tidak mahal, hanya 5,000 rupiah saja atau bersamaan dengan RM1.50. Masa kami datang ini, diberikan kemasukan percuma. Maklumlah, tamu negara kan... 

Layanlah sahajalah beberapa tangkapan gambar yang sempat aku ambil sepanjang mengunjungi muzium ini.






Wednesday, December 20, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 3) - Majlis Perasmian Galeri Melaka Jakarta

Bermula pada tahun 2013, penubuhan Galeri Melaka di Jakarta buat pertama kali bertempat di Jalan Melaka 7-9, Kelurahan Roa Melaka, Kecamatan Tambora, Jakarta Barat. Kemudian berpindah ke lokasi baru iaitu di Gedung Kantor Pos, Kawasan Kota Tua, Jalan Fatahilah, Jakarta Barat pada tahun 2018. Namun atas faktor tertentu, galeri ini terpaksa di pindahkan ke Museum Sejarah Jakarta pada tahun 2022 dan ianya telah mula dibuka kepada pelawat pada 12 Ogos 2023.

Pada 16 Disember 2023, galeri ini secara rasminya telah dirasmikan oleh YB. Datuk Wira Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Museum Sejarah Jakarta.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Mohamad Hasrin bin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, YB. Datuk Haji Zaidi bin Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERZIM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kassim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBrs. Drs. Mohd Nasruddin bin Rahman, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka dan YBrs. Ibu Esti Utami, Kepala Unit Pengelola Museum Kesejarahan Jakarta.

Galeri Melaka di bangunan Museum Sejarah Jakarta adalah sangat penting ​bagi menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia terutamanya di Jakarta untuk datang ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 kelak.

Pernyataan di atas inilah yang membawa aku ke Jakarta pada kali ini iaitu bermula pada 15 hingga 17 Disember 2023. Urusan majlis perasmian aku yang menguruskannya dibantu beberapa kakitangan lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun pada asalnya hanya sekadar untuk membuat secara kecil-kecilan, namun hasilkan nampak begitu kemilau.

Terima kasih kepada semua yang membantu dari awal hingga akhir majlis ini diadakan. 





Saturday, December 16, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 2) - Review Holiday Inn & Suites Gajah Mada

Sebelum meneruskan pembacaan, sila layari juga Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 1).

Kali ini aku nak mengulas (review) sedikit sebanyak tempat penginapan aku di Jakarta iaitu di Holiday Inn & Suites Gajah Mada yang terletak di Jalan Gajah Mada, Kota Jakarta Barat, Indonesia.

Hotel ini  merupakan hotel yang besar dan tinggi. Mempunyai 28 aras ketinggian dan aku menginap di aras 21. Sudah cukup tinggi untuk melihat pemandangan kota raya Jakarta dengan jelas. 

Biliknya besar dan selesa. Penataan bilik pun menarik, bersih, ringkas dan minimalis. Bilik air juga memiliki penataan yang menarik. Yang paling penting, ia mempunyai seterika dan penunjuk arah kiblat. Akan tetapi, tiada pula sejadah disediakan. 

So far so good, kalau kalian ke Jakarta, Indonesia aku amat merekomen sekiranya memilih hotel ini untuk dijadikan penginapan dan sesuai untuk seisi keluarga. 

Aku asyik berpetualang seorangan, entah bila berpeluang untuk membawa keluarga bercuti luar negara. Ini pun kerana biayanya ditanggung jabatan, kalau tak, entah bila merasa untuk sering ke luar negara. 

Nah, layan saja beberapa gambar Holiday Inn & Suites Gajah Mada yang sempat aku ambil. 












Friday, December 15, 2023

Berpetualang ke Jakarta, Indonesia (Bahagian 1) - Perihal Galeri Melaka Jakarta

Jakarta, Indonesia bukanlah asing bagi aku.. Haha.. Rasanya sudah empat kali aku ke Jakarta pasal urusan kerja. Huh, macam ahli perniagaan pula bila ada urusan kerja di sini. Kali pertama aku ke Jakarta adalah pada tahun 2015. Sebenarnya, sebab mengapa aku sering ke Jakarta adalah kerana terdapat sebuah Galeri Melaka di sana.

Galeri Melaka di Jakarta adalah satu kerjasama strategik antara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) iaitu tempat aku bertugas dengan Muzium Kesejarahan Jakarta. Kerjasama ini meliputi penubuhan Galeri Melaka Jakarta di Muzium Sejarah Jakarta manakalan Galeri Jakarta Melaka pula ditubuhkan di Muzium Sejarah Melaka. Kedua-dua galeri ini bertempat di bangunan kolonial Belanda di kedua-dua buah negeri/ provinsi. 

Ikutkan sebelum ini, Galeri Melaka di Jakarta telah berpindah sebanyak tiga kali. Sebelum ini kerajaan negeri Melaka menyewa bangunan di Jakarta bagi menempatkan Galeri Melaka Jakarta. Sudah dua kali menyewa bangunan. Akibat telah tamat tempoh dan kadar sewaan yang terus meningkat, kali ini negeri Melaka melalui PERZIM telah menjalinkan kerjasama dengan Muzium Kesejarahan Jakarta bagi menempatkan Galeri Melaka di salah satu ruang yang terdapat di muzium tersebut. 

Begitu jugalah sebagai timbal balik, Galeri Jakarta juga ditempatkan di salah sebuah ruang yang terdapat di dalam Muzium Sejarah Melaka. 

Kali ini, pemergian aku ke Jakarta adalah untuk mengadakan majlis perasmian Galeri Melaka Jakarta yang akan diadakan pada 16 September 2023. Hal perasmian ini boleh dikatakan diuruskan aku dari awal hingga ke akhirnya. Semoga majlis esok berjalan dengan lancar tanpa terdapat sebarang cacat celanya. 

Beberapa gambar di bawah ini merupakan Galeri Melaka yang terdapat di Muzium Sejarah Jakarta. 














Antara sumbangan aku pada Galeri Melaka Jakarta ialah penerangan (write up) yang terdapat di galeri ini adalah hasil daripada penulisan aku. Adalah juga jasa aku pada penubuhan galeri ini. 

Wednesday, December 21, 2022

Meriam Si Jagur di Jakarta Ada Kaitan Dengan Melaka?

Pada 19 Disember 2022 aku berkesempatan ke Muzium Sejarah Jakarta.  Aku ke sana untuk menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak berkait cadangan untuk menubuhkan Galeri Melaka @ Jakarta.
 
Apa yang uniknya, bangunan Muzium Sejarah Jakarta dikenali sebagai Stadthuys sama seperti bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah Melaka. Kedua-duanya adalah bangunan tinggalan penjajah Belanda. Cuma bangunan Stadthuys di Jakarta berwarna putih manakala bangunan Stadthuys di Melaka berwarna merah. Namun, warna asal bangunan Stadthuys di Melaka sebenarnya berwarna putih, dicat oleh Inggeris pada sekitar 1920-an dengan warna merah. 

Di hadapan Muzium Sejarah Jakarta terdapat sebuah dataran yang luas yang sering dipenuhi oleh orang ramai lebih-lebih lagi semasa cuti hujung minggu. Dataran ini dikenali sebagai Dataran Fatahillah. Di sekeliling dataran ini mempunyai beberapa buah muzium dan juga monumen bersejarah.

Antara yang tertarik di hati aku ialah berkenaan sebuah meriam lama yang dikenali sebagai Meriam Si Jagur. Meriam ini berdekatan dengan Dataran Fatahillah dan Kantor Pos. Semasa bermesyuarat bersama pegawai Muzium Sejarah Jakarta, salah seorang daripada kakitangannya menyatakan bahawa meriam ini pernah berada di Melaka.

Meriam ini memiliki ukuran panjang 3.85 meter manakala beratnya ialah 3.5 tan. Diletakkan di atas struktur batu dan dipagari dengan pagar besi yang rendah. Walaubagaimanapun, tiada sebarang papan penerangan yang ditempatkan pada monumen meriam ini. 


MILIK SIAPAKAH MERIAM SI JAGUR?

Meriam ini bukan milik Melaka tetapi pernah berada di Melaka selama puluhan tahun. Meriam ini sebenarnya dibuat oleh bangsa Portugis di Macau. Terdapat catatan menyatakan ia dibuat oleh Manuel Taveres Baccaro pada sekitar abad ke-15. Ia dibawa dan digunakan di Melaka semasa penjajahan Portugis di Melaka.

BAGAIMANA MERIAM INI BERADA DI JAKARTA?

Pada abad ke-16, Belanda telah menguasai Melaka daripada tangan Portugis. Meriam Si Jagur buatan Portugis ini telah dirampas oleh pihak Belanda dan dibawa ke Batavia (sekarang Jakarta) iaitu pusat pentadbiran Belanda di Nusantara. Nama Si Jagur digunakan berkemungkinan diambil sempena nama tempat asal meriam ini ditempatkan iaitu di St. Jago De Barra, iaitu di Macau.


SIMBOL JARI DI MERIAM SI JAGUR

Jika diperhatikan pada pangkal meriam ini jelas menunjukkan isyarat lucah.Tak pasti mengapa ia diperbuat begitu, tiada fakta yang khusus ditemui. Di Indonesia, hanya mitos ditemukan sehingga terdapat kisah-kisah pemujaan terhadap meriam tersebut bagi tujuan kesuburan wanita. Malah terdapat peristiwa menyatakan sekiranya terdapat wanita mandul, apabila mengadakan aktiviti pemujaan atau membayar niat maka akan berpeluang untuk menimbang cahaya mata.

Namun sebenarnya, pada pandangan masyarakat Portugis dan beberapa negara barat, simbol berkenaan merupakan simbol bernasib baik (good luck). Berbeza dengan pemikiran rakyat di Indonesia, Malaysia bahkan di negara Asia Tenggara yang menyamakan ia sebagai alat sulit kaum wanita.

Monday, December 19, 2022

Idea Menarik Menceriakan Alat Pemadam Api

Dalam jam 1.30 pagi (18.12.22) aku telah bertolak dari Melaka ke KLIA2 untuk ke Jakarta. Waktu boarding adalah pada jam 6.15 pagi dan kapal terbang berlepas pada jam 6.55 pagi. Di dalam penerbangan memang tak buat apa pun, sebab sudah mengantuk sangat sebab lama berjaga. Jadinya, aku hanya tidur sepanjang penerbangan. Cuma terjaga sebentar apabila pramugari menghantar makanan. Setelah makan, aku kembali sambung tidur. 

Tiba di Soekarno-Hatta Internasional Airport, Jakarta menghampiri jam 8.00 pagi. Apabila keluar dari kapal terbang, aku tertarik dengan keindahan lapangan terbang ini yang menonjolkan unsur-unsur seni dan kreatif. 

Antara yang aku tertarik ialah hasil seni yang menggabungkan lukisan dan alat pemadam api yang diletakkan di dinding-dinding lapangan terbang ini. Berikut beberapa gambar yang sempat aku rakamkan.














Nak jugak masuk frame


Tuesday, December 6, 2022

Kembali ke Tanah Seberang

Apabila tiba hujung minggu, aku suka untuk berkemas-kemas di belakang rumah, menyapu daun-daun kering yang berguguran, mencantas dahan-dahan yang menjalar tak tentu hala, membaja pokok dan sebagainya. Itulah cara aku mengeluarkan peluh. Tidak seperti dahulu. Suka bersukan, jogging, bermain bola sepak dan segala macam jenis sukan. Kini, nak dibuat semua itu, sudah tidak larat. Berbasikal santai-santai masih bolehlah juga.

Usai berkebun sekangkang kera di belakang rumah, aku mencapai telefon bimbit yang aku charge sambil melayari YouTube yang memainkan lagu-lagu irama rock kapak. Satu persatu pesanan melalui aplikasi Whatsapp aku baca. Dalam aku scroll pesanan, aku terhenti di satu pesanan dari salah seorang bos di jabatan aku.

"Standby passport, nanti pergi Jakarta". Huh, masaklah. Baru lagi balik dari Sarawak tempoh hari, ni nak ke seberang pula. Apa lagi ayat yang aku mahu susun baik-baik untuk memberitahu isteriku. Takkan nak buat seperti tips sebegini lagi. Haha...

Sebenarnya, aku dah maklumkan pun pada "mem" besar. Macam biasalah, dah muncung macam hari tu juga. Aduhai. Payah betullah. Sudahpun 2 kali aku maklumkan, tapi tetap dingin je tindak balas daripadanya. Tapi takpe, nanti-nanti oklah tu. 😅😅😅


Passport telah dalam proses renew. Sudah tamat tempoh Ogos 2022 lalu. Oh ya, untuk apa aku ke Jakarta? Bolehlah kalian jengok di entri INI