Showing posts with label Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Indonesia. Show all posts

Friday, December 22, 2023

Berpetualang ke Jakarta (Bahagian 4) - Berkunjung ke Museum Bank Indonesia

Selepas tamat majlis perasmian Galeri Melaka Jakarta, bagi memanfaatkan masa yang terluang, aku berpeluang untuk mengunjungi Museum Bank Indonesia. Lokasi antara muzium ini dengan Museum Sejarah Jakarta tidaklah jauh, tapi akibat macet (jalan sesak) agak mengambil sedikit masa. Masa ini kami menaiki buggy yang boleh memuatkan 10 orang.

Museum Bank Indonesia pernah diiktiraf sebagai muzium terbaik di Indonesia kalau tidak silap bagi tahun 2022. Apabila aku masuk ke dalam muzium ini, sememangnya muzium ini layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut. Bank kot.. Banyak duit. Pasal itu mereka boleh mengeluarkan kos yang tinggi untuk menubuhkan muzium ini. Mereka pun tidak segan silu menyatakan penataan muzium mereka ini mendapat aspirasi dari Muzium Bank Negara Malaysia. 

Bagi aku konsep dan penataan ruang pameran di muzium ini kelihatan menarik. Kena dengan jiwa aku yang mementingkan ringkas, bersih dan minimalis. Harga tiket pun tidak mahal, hanya 5,000 rupiah saja atau bersamaan dengan RM1.50. Masa kami datang ini, diberikan kemasukan percuma. Maklumlah, tamu negara kan... 

Layanlah sahajalah beberapa tangkapan gambar yang sempat aku ambil sepanjang mengunjungi muzium ini.






Friday, December 15, 2023

Berpetualang ke Jakarta, Indonesia (Bahagian 1) - Perihal Galeri Melaka Jakarta

Jakarta, Indonesia bukanlah asing bagi aku.. Haha.. Rasanya sudah empat kali aku ke Jakarta pasal urusan kerja. Huh, macam ahli perniagaan pula bila ada urusan kerja di sini. Kali pertama aku ke Jakarta adalah pada tahun 2015. Sebenarnya, sebab mengapa aku sering ke Jakarta adalah kerana terdapat sebuah Galeri Melaka di sana.

Galeri Melaka di Jakarta adalah satu kerjasama strategik antara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) iaitu tempat aku bertugas dengan Muzium Kesejarahan Jakarta. Kerjasama ini meliputi penubuhan Galeri Melaka Jakarta di Muzium Sejarah Jakarta manakalan Galeri Jakarta Melaka pula ditubuhkan di Muzium Sejarah Melaka. Kedua-dua galeri ini bertempat di bangunan kolonial Belanda di kedua-dua buah negeri/ provinsi. 

Ikutkan sebelum ini, Galeri Melaka di Jakarta telah berpindah sebanyak tiga kali. Sebelum ini kerajaan negeri Melaka menyewa bangunan di Jakarta bagi menempatkan Galeri Melaka Jakarta. Sudah dua kali menyewa bangunan. Akibat telah tamat tempoh dan kadar sewaan yang terus meningkat, kali ini negeri Melaka melalui PERZIM telah menjalinkan kerjasama dengan Muzium Kesejarahan Jakarta bagi menempatkan Galeri Melaka di salah satu ruang yang terdapat di muzium tersebut. 

Begitu jugalah sebagai timbal balik, Galeri Jakarta juga ditempatkan di salah sebuah ruang yang terdapat di dalam Muzium Sejarah Melaka. 

Kali ini, pemergian aku ke Jakarta adalah untuk mengadakan majlis perasmian Galeri Melaka Jakarta yang akan diadakan pada 16 September 2023. Hal perasmian ini boleh dikatakan diuruskan aku dari awal hingga ke akhirnya. Semoga majlis esok berjalan dengan lancar tanpa terdapat sebarang cacat celanya. 

Beberapa gambar di bawah ini merupakan Galeri Melaka yang terdapat di Muzium Sejarah Jakarta. 














Antara sumbangan aku pada Galeri Melaka Jakarta ialah penerangan (write up) yang terdapat di galeri ini adalah hasil daripada penulisan aku. Adalah juga jasa aku pada penubuhan galeri ini. 

Wednesday, August 2, 2023

Lawatan Kerja ke Makassar, Indonesia

Pada 24 hingga 27 Julai 2023 lalu aku berpeluang ke Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia bagi mengikuti beberapa program iaitu seminar, mesyuarat dan lawatan kerja. Lawatan diaturkan oleh jabatan aku yang disertai delegasi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Hari pertama dan keempat hanyalah melibatkan perjalanan pergi dan pulang manakala dua hari lagi dipenuhi dengan program yang dirancang di mana hari kedua adalah seminar dan mesyuarat manakala hari kedua adalah lawatan kerja.

Seminar berlangsung di Universitas Negeri Makassar (UNM) dengan tajuk International Talk on Architecture Heritage and Culture Between Malaysia and Indonesia 2023.Kemudian diikuti dengan mesyuarat antara bagi membincangkan kolaborasi yang boleh diadakan bersama bagi kedua-dua belah pihak.

Hari berikutnya merupakan lawatan kerja. Terdapat beberapa lokasi bersejarah yang dilawati antaranya Fort Rotterdam, Museum Karaeng Pattingalloang, Benteng Somba Opu, Makam raja-raja di Katangka dan beberapa lagi tempat bersejarah.

Bab makan di sana, memang agak mewah. Pelbagai makanan tradisi Makassar yang telah aku rasai. Kebanyakkan adalah makanan laut. Tak lupa juga menikmati Nasi Padang di sana. Makanan di sana enak-enak juga namun 2 hari perut aku tidak selesa, takut-takut tersalah makan. Sempat juga aku pergi membeli ubat di apotek (farmasi). Selepas makan ubat, barulah selesa sedikit.

Di Makassar bagi aku terkenal dengan 2 perkara iaitu Bugis di mana kebanyakkan orang di Makassar ialah berketurunan Bugis. Satu lagi ialah pinisi iaitu kapal tradisi masyarakat Makassar.


Bergambar kenangan di hadapan Menara Pinisi, Universitas Negeri Makassar

Benteng Somba Opu, kubu pertahanan kerajaan Gowa

Hanya dapat seketika berada di Makam Raja-raja di Katangka. Tak sempat nak teliti pemilik makam


Tuesday, February 21, 2023

Sehari di Pekan Baru, Riau, Indonesia

Kali ini sudah kali ketiga aku menjejakkan kaki ke Pekan Baru, Riau, Indonesia. 13-14 Februari 2023 lalu, sekali lagi aku telah ke sana. Bukan pergi semata-mata untuk melancong, tetapi ada urusan kerja yang perlu dilaksanakan. Aku ke sana kerana ingin meninjau ruang promosi bagi menempatkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka berkaitan pelancongan di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Pekan Baru.

Pelancongan kesihatan bukan asing bagi negeri Melaka. Ramai pesakit dari Indonesia khususnya di sebelah Sumatera mendapatkan rawatan kesihatan di hospital-hospital swasta di Melaka seperti Hospital Putra dan Hospital Mahkota. Walau bagaimanapun di Hospital Pantai dan Hospital Oriental masih kelihatan kurang pesakit dari sana.

Maka tidak hairanlah syarikat penerbangan berani membuka operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka. Setahu aku, hanya terdapat 2 penerbangan di lapangan terbang sini iaitu Batik Air ke Pekan Baru dan Air Asia ke Pulau Pinang.

Malindo Air dijenamakan semula menjadi Batik Air

Tiada apa yang menarik yang dapat dikongsikan kerana kedatangan aku ke Pekan Baru sangat terhad iaitu hanya satu hari. Namun sempat juga aku menikmati masakan nasi padang yang mempunyai lauk pauk yang enak-enak di Restoran Garuda. Makanan di Indonesia ni banyak yang pedas-pedas, tapi aku masih lagi boleh menikmatinya kerana aku pun suka yang pedas-pedas. 


Masa ni pelayan belum habis hantar lauk lagi, yang sebetulnya bertingkat-tingkat lauknya 


Aku menginap di Hotel Jatra. Hotel lama. Seingat aku pernah menginap di hotel ini pada kali pertama aku ke sini pada tahun 2008. Bagi aku, hotel ini biasa saja. Kalau nak beri markah persepuluh, aku beri 6/10. Cuma semasa aku daftar masuk, bilik berbau rokok. Di bilik air kelihatan sedikit kurang bersih kerana ada sedikit kotoran di belakang mangkuk tandas. 

Namun, jika datang bersama keluarga, mungkin aku tidak menyarankan hotel ini kerana terdapat kelab malam dan karaoke di dalam hotel ini. Bayangkan, di lobi pun masih boleh kedengaran orang melalak menyanyi sama ada lunak atau sumbang. Hotel ni pun memang promosikan kelab malam mereka, buka saja televisyen ada iklan kelab. Semasa daftar masuk juga dapat kupon masuk kelab ini secara percuma. Namun aku tak masuklah, bukan gaya hidup aku pun. 

Lobi hotel

Pemandangan dari jendela 

Pemandangan dari jendela 

Ruang bilik yang besar tapi tidur seorang 

Masuk-masuk dah ada iklan kelab malam di televisyen 

Ruangan di dalam bilik air 


Di sana aku turut berpeluang berjumpa dengan kenalan. Seorang memang tinggal di Pekan Baru dan dua orang lagi dari Siak. Sekiranya aku ke Pekan Baru, pasti aku aku ketemu dengan mereka. Yang buat aku terharu ialah mereka yang datang dari Siak. Bagi aku jaraknya agak jauh juga untuk datang semata-mata untuk bertemu. Siak ke Pekan Baru kira-kira dua jam. 

Kenalan dari Pekan Baru ialah Pak Yoserizal Zen. Masa kenal dahulu beliau adalah Kepala Muzium di Pekan Baru, kini beliau sebagai Kepala Dinas Kebudayaan Provinsi Riau. Beliau biasa juga ke Melaka, dan kebiasaannya aku akan menyantuni beliau di sini. 

Rakan-rakan dari Siak pula yang membawa aku makan malam di sana. Kami lepak hingga jam 12.00 malam. Makan malam di Restoran Tepi Sungai, kemudiannya mengopi di kedai kopi Galore.

Pemandangan di Restoran Tepi Sungai 

Masak lemak 

Lain rasa asam pedas di sini

Sempat angkat signboard kedai kopi je


Keesokan harinya setelah selesai sarapan aku sendirian berjalan mengelilingi bandar Pekan Baru. Dapatlah buat 5000++ langkah. Bak kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Dapat juga mengenali tempat orang walaupun hanya seketika pemergian aku ke Pekan Baru. 


Wednesday, December 21, 2022

Meriam Si Jagur di Jakarta Ada Kaitan Dengan Melaka?

Pada 19 Disember 2022 aku berkesempatan ke Muzium Sejarah Jakarta.  Aku ke sana untuk menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak berkait cadangan untuk menubuhkan Galeri Melaka @ Jakarta.
 
Apa yang uniknya, bangunan Muzium Sejarah Jakarta dikenali sebagai Stadthuys sama seperti bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah Melaka. Kedua-duanya adalah bangunan tinggalan penjajah Belanda. Cuma bangunan Stadthuys di Jakarta berwarna putih manakala bangunan Stadthuys di Melaka berwarna merah. Namun, warna asal bangunan Stadthuys di Melaka sebenarnya berwarna putih, dicat oleh Inggeris pada sekitar 1920-an dengan warna merah. 

Di hadapan Muzium Sejarah Jakarta terdapat sebuah dataran yang luas yang sering dipenuhi oleh orang ramai lebih-lebih lagi semasa cuti hujung minggu. Dataran ini dikenali sebagai Dataran Fatahillah. Di sekeliling dataran ini mempunyai beberapa buah muzium dan juga monumen bersejarah.

Antara yang tertarik di hati aku ialah berkenaan sebuah meriam lama yang dikenali sebagai Meriam Si Jagur. Meriam ini berdekatan dengan Dataran Fatahillah dan Kantor Pos. Semasa bermesyuarat bersama pegawai Muzium Sejarah Jakarta, salah seorang daripada kakitangannya menyatakan bahawa meriam ini pernah berada di Melaka.

Meriam ini memiliki ukuran panjang 3.85 meter manakala beratnya ialah 3.5 tan. Diletakkan di atas struktur batu dan dipagari dengan pagar besi yang rendah. Walaubagaimanapun, tiada sebarang papan penerangan yang ditempatkan pada monumen meriam ini. 


MILIK SIAPAKAH MERIAM SI JAGUR?

Meriam ini bukan milik Melaka tetapi pernah berada di Melaka selama puluhan tahun. Meriam ini sebenarnya dibuat oleh bangsa Portugis di Macau. Terdapat catatan menyatakan ia dibuat oleh Manuel Taveres Baccaro pada sekitar abad ke-15. Ia dibawa dan digunakan di Melaka semasa penjajahan Portugis di Melaka.

BAGAIMANA MERIAM INI BERADA DI JAKARTA?

Pada abad ke-16, Belanda telah menguasai Melaka daripada tangan Portugis. Meriam Si Jagur buatan Portugis ini telah dirampas oleh pihak Belanda dan dibawa ke Batavia (sekarang Jakarta) iaitu pusat pentadbiran Belanda di Nusantara. Nama Si Jagur digunakan berkemungkinan diambil sempena nama tempat asal meriam ini ditempatkan iaitu di St. Jago De Barra, iaitu di Macau.


SIMBOL JARI DI MERIAM SI JAGUR

Jika diperhatikan pada pangkal meriam ini jelas menunjukkan isyarat lucah.Tak pasti mengapa ia diperbuat begitu, tiada fakta yang khusus ditemui. Di Indonesia, hanya mitos ditemukan sehingga terdapat kisah-kisah pemujaan terhadap meriam tersebut bagi tujuan kesuburan wanita. Malah terdapat peristiwa menyatakan sekiranya terdapat wanita mandul, apabila mengadakan aktiviti pemujaan atau membayar niat maka akan berpeluang untuk menimbang cahaya mata.

Namun sebenarnya, pada pandangan masyarakat Portugis dan beberapa negara barat, simbol berkenaan merupakan simbol bernasib baik (good luck). Berbeza dengan pemikiran rakyat di Indonesia, Malaysia bahkan di negara Asia Tenggara yang menyamakan ia sebagai alat sulit kaum wanita.

Monday, December 19, 2022

Keindahan Hutan Pinus, Cikole, Lembang, Bandung Indonesia

Sampai sahaja Jakarta semalam, terus bertolak ke Bandung untuk melihat barang-barang galeri Melaka yang telah telah ditempatkan di dua buah setor iaitu di Bandung dan Subang, Indonesia. Aku ke Indonesia ini bukanlah melancong semata, tetapi ada tugasan jabatan.

Galeri Melaka di Jakarta perlu ditempatkan di lokasi baharu kerana di bangunan lama telah tamat tempoh sewaannya dan tidak lagi diperbaharui. Jadinya, kami ke Jakarta bagi memulakan perbincangan untuk menempatkan Galeri Melaka di sebuah ruang yang terdapat di dalam Muzium Sejarah Jakarta. 

Perkara ini secara dasarnya telah dipersetujui dan tindakan selanjutnya akan menyusul. Kedua-dua pihak akan bekerjasama memberikan ruang bagi pengisian galeri di mana akan terdapat ruang galeri Muzium Sejarah Jakarta di Muzium Melaka manakala terdapat Galeri Melaka di Muzium Sejarah Jakarta. 

Berbalik kepada pergi ke Bandung, aku dan 3 orang lagi wakil jabatan telah singgah minum di Restoran Lima Segi. Restoran ini berdekatan dengan hutan pokok pines atau di Indonesia dikenali sebagai pinus. 

Kawasannya sungguh cantik dan menarik. Kehijauan membuatkan jiwa terasa tenang walaupun telah lebih 3 jam perjalanan yang sedikit memenatkan. Apabila tiba lewat petang, kabus mula menyelubungi segenap kawasan tersebut sehingga jarak penglihatan agak terbatas. Cuaca sejuknya mengalahkan Cameron Highlands.

Hutan Pinus ini terletak di kawasan pelancongan popular di Bandung iaitu Tangkuban Perahu. Agak ramai pelancong di sini dan jalan rayanya begitu sesak dengan kereta dan bas. Insyaallah, suatu hari nanti, jika ada rezeki, teringin untuk membawa keluarga bercuti di sini

Kehijauan hutan pokok pines yang mendamaikan jiwa

Pokok-pokok pines yang tinggi melangit

Terdapat juga ruang untuk berkhemah serta glamping

Bergambar kenangan tanda sudah sampai.

Konsep restoran yang menarik. Santai sambil meningkmati pemandangan alam ciptaan Allah SWT






Idea Menarik Menceriakan Alat Pemadam Api

Dalam jam 1.30 pagi (18.12.22) aku telah bertolak dari Melaka ke KLIA2 untuk ke Jakarta. Waktu boarding adalah pada jam 6.15 pagi dan kapal terbang berlepas pada jam 6.55 pagi. Di dalam penerbangan memang tak buat apa pun, sebab sudah mengantuk sangat sebab lama berjaga. Jadinya, aku hanya tidur sepanjang penerbangan. Cuma terjaga sebentar apabila pramugari menghantar makanan. Setelah makan, aku kembali sambung tidur. 

Tiba di Soekarno-Hatta Internasional Airport, Jakarta menghampiri jam 8.00 pagi. Apabila keluar dari kapal terbang, aku tertarik dengan keindahan lapangan terbang ini yang menonjolkan unsur-unsur seni dan kreatif. 

Antara yang aku tertarik ialah hasil seni yang menggabungkan lukisan dan alat pemadam api yang diletakkan di dinding-dinding lapangan terbang ini. Berikut beberapa gambar yang sempat aku rakamkan.














Nak jugak masuk frame