Showing posts with label Covid-19. Show all posts
Showing posts with label Covid-19. Show all posts

Wednesday, February 23, 2022

Akhirnya Tergolong Sebagai Pesakit Covid-19

Gambar tiada kena mengena


18 Februari 2022 aku mula mengalami demam. Agak tinggi juga suhu badan pada ketika itu. Hampir mencecah 40°c. Tidur malam pun tidak lena, sekejap-sekejap terjaga. Ke kiri tak kena, ke kanan pun tak kena.

Sebelum ini isteri aku didapati positif Covid-19. Dia lebih awal daripada aku. Aku hanya didapati positif Covid-19 pada 20 Februari 2022. Aku tak risau akan diri aku, cuma risaukan isteri yang sedang sarat mengandung anak kelima kami. Insyaallah, awal bulan April ini bakal lahir.

Anak-anak turut demam. 3 orang anak demam dan kini telah sembuh. Cuma anak bongsu jadi hero sebab tak demam. Anak-anak kalau demam lagilah bertambah risau. Sebabnya mereka semua susah nak diberi makan ubat. Kena paksa betul-betul, kena pegang kaki dan tangan dan suapkan ubat dalam mulut. Itupun disemburkan. Banyak yang keluar dari masuk ke dalam perut.

Simptom Covid-19 yang aku kena dibawah kategori 2(a) dan terkini kategori 1. Cuma demam, selsema, batuk, sakit tekak, sakit kepala dan bisa-bisa sendi. Deria rasa masih berfungsi cuma deria bau kurang sedikit, mungkin sebab hidung tersumbat.

Sebelum ini, jabatan aku baru sahaja ditutup selama seminggu akibat ramai kakitangan yang terkena jangkitan Covid-19. 22 Februari baru buka. Tapi aku akan kuarantin di rumah hingga 26 Februari. Bertambah lamalah aku duduk di rumah.

Bantuan. Alhamdulillah, duduk di kejiranan yang aku tinggal sekarang amat prihatin. Bantuan datang dari pelbagai pihak. Bantuan pertama yang aku terima dari Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin, kedua dari pihak Japerun Klebang, Melaka dan yang ketiga dari JPKK kampung. Bagus mereka ini semua. Amat prihatin sedangkan aku baru juga berpindah di sini dalam 3 tahun lebih.

Adik beradik dan anak-anak buah juga banyak membantu. Mereka tolong belikan barang-barang keperluan. Memang sejak dari kuarantin semasa isteri kena Covid-19 kami tak keluar rumah. Cuma 2 kali keluar, itupun ke klinik. Hanya membeli makanan dan barangan keperluan melalui atas katil talian. 

Jadi, inilah sahaja sedikit sebanyak perkongsian diri aku yang dijangkiti Covid-19. Alhamdulillah, tidaklah teruk sangat. Bagi aku, ini tanda Allah SWT sayang kita. Dia beri kita sakit untuk menghapuskan dosa-dosa kecil dan menyuruh aku sentiasa ingat akan Dia. 

Wednesday, August 11, 2021

ANDA KEMURUNGAN DI MUSIM PANDEMIK COVID-19?

Kemurungan boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Bagaimana hendak mengatasinya, itulah yang kita perlu ketahui. Pada ketika ini, pandemik Covid-19 telah banyak menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat terutama yang melibatkan kewangan. Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang gajinya dipotong, peniaga terpaksa menutup operasi malah ada yang bankrup. 

Hampir dua tahun masyarakat perlu menjalani perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan. Hendak ke sini tidak boleh, ke sana pun tidak boleh, pendek kata, pergerakkan adalah terbatas. Tidak seperti dahulu. Bayangkan jenis individu yang amat patuh, sentiasa duduk di rumah sahaja. Barangkali, apa yang berlaku di luar rumah pun tidak diketahuinya.

Mungkin akan ada sesuatu yang negatif berlaku apabila pandemik covid-19 berterusan antaranya kemurungan. Jaga-jaga, sebenarnya kemurungan ini adalah sesuatu yang begitu bahaya. Ia boleh membawa kepada kes bunuh diri.



Justeru, mari sama-sama menyaksikan sebuah program Impak Psikologi Semasa Impak Pandemik Covid-19 yang akan membincangkan tajuk Kemurungan Pembunuh Dalam Diam. Program ini akan diadakan pada 12 Ogos 2021 (Khamis) bermula jam 3.00 petang hingga 4.00 petang yang akan mengetengahkan Dr. Ahmad Rostam Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. 

Program ini dianjurkan oleh Unit Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) negeri Melaka. Kebetulan saya merupakan ahli AKRAB dan telah dijemput untuk menjadi moderator. Rakan-rakan yang berminat boleh ikuti program ini melalui siaran langsung di Facebook rasmi Unit Psikologi & kaunseling, JKMM.

Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini 👉🏼 KLIK

Friday, May 28, 2021

MALAYSIA TOTAL LOCKDOWN

Setelah angka demi angka kes Covid-19 baharu terus meningkat, akhirnya Kerajaan Malaysia telah mengumumkan LOCKDOWN seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021. Ini bermakna semua sektor sosial dan ekonomi ditutup. Walaubagaimanapun, terdapat sektor-sektor penting akan dibuka.



Semoga tindakan Kerajaan Malaysia ini betul dan mampu menurunkan graf kes baharu di dalam negara ini. Diharapkan juga agar pandemik ini segera berakhir dan lenyap di muka bumi ini.

Pada para pemimpin, masa sekarang bukan masa untuk menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Bukan juga masanya untuk merebut atau mempertahankan kuasa. Sekarang ini sama-sama perlu bersatu padu dan berganding bahu bagi mengatasi pandemik ini.

Dahulu kita kerap marahkan Fatah dan Hamas tidak bersatu bersama menentang pencerobohan Israel. Kita marah pasal Islam tidak bersatu. Tapi sebenarnya, di Malaysia sendiri kita boleh lihat situasi ini. Kita mempunyai ramai wakil rakyat Melayu Islam dari pelbagai parti sama ada pemerintah atau pembangkang, namun kita tidak bersatu menghadapi saat-saat sulit bagi negara. Jadi, jangan ditanya lagi kenapa Islam sukar bersatu.

Walau apapun, ini semua adalah perancangan. Ya, mungkin ada pihak yang menyatakan ini adalah perancangan pihak atau organisasi tertentu yang sedang mengawal dunia. Namun, perancangan ini berlaku dengan keizinan Allah SWT. Sebaik-baik perancang manusia, tidak sebaik perancangan dari Allah SWT.

Kita perlu tetapkan Iman kita yang keenam iaitu percaya pada qada' dan qadar Allah SWT. Semua yang berlaku di dalam dunia ini telah tertulis dan kehendak Allah SWT. Anggap ini semua ujian dan kita harus redha, perbanyakkan ibadah dan terus melaksanakan yang terbaik untuk diri, keluarga, bangsa dan negara (pesanan untuk diri sendiri).

Sunday, May 23, 2021

PENDEKATAN MAYA

Zaman covid-19 kini semuanya terbatas. Hendak buat program itu tidak boleh, buat ini tidak boleh. Jika boleh sekalipun, perlu melalui prosedur yang amat ketat. Ini semua dilaksanakan bagi mengelakkan penularan pandemik covid-19.

Bagi saya yang bertugas di institusi yang memerlukan pergaulan dengan masyarakat bagi menyampaikan ilmu dan maklumat berkaitan dunia permuziuman termasuk hal berkaitan sejarah, warisan dan kebudayaan, turut merasai keterbatasan ini.

Dahulu pelbagai program secara bersemuka dapat dijalankan dengan meriah sekali. Tidak kiralah sama ada program berskala kecil atau besar. Memang institusi saya ni saban tahun tidak kurang 20 program yang perlu dilaksanakan. Ini adalah untuk menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara memahami sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya negeri Melaka.

Kini, agak sukar untuk melaksanakan program. Sekarang lebih tertumpu kepada penyampaian maklumat melalui laman maya seperti di Google Meet, Facebook, YouTube dan lain-lain. Contohnya, mesyuarat boleh dilaksanakan melalui Google Meet. Seminar, program bual bicara, bengkel dan sebagainya boleh dibuat melalui siaran langsung di Facebook atau YouTube.

Semasa mengendalikan program bual bicara secara langsung melalui Facebook

Justeru mana-mana institusi perlu bersedia untuk ke arah ini. Kita tidak tahu, bilakah pendamik ini akan berakhir. Semoga cepatlah ia berakhir agar kita boleh kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. 

🤲🏼🤲🏼🤲🏼

KONTAK RAPAT KLUSTER TABLIGH

Mungkinkah Leonardo da Vinci telah dapat meramalkan covid-19 sejak awal tahun 1500 😅

Dulu kecoh! Kecoh satu Malaysia. Nama saya dan rakan-rakan lengkap dengan nama penuh, nama jabatan, jawatan, alamat rumah, nombor kad pengenalan dan nombor telefon telah ditularkan ke media sosial Facebook dan Whatsapp. Dikatakan kami ini dikehendaki kerana mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang positif covid-19.

Mana taknya, masa itu covid-19 baru sahaja tersebar di Malaysia. Jadi, masyarakat luar teruja untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan covid-19. Kebetulan pula kluster tabligh dikatakan kluster pertama penularan covid-19 di Malaysia.

Nak dijadikan cerita, saya berkursus dua hari pada 9 - 10 Mac 2020 lalu dan kursus tersebut turut dihadiri rakan yang baru pulang dari ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. Benda baru, masa tu masih belum panas.  Rakan saya tu pun tak menyedari dia telah terkena covid-19. Tapi masa dia hadir kursus tu, menang dia kata tak sedap badan, dan batuk-batuk.

Dalam beberapa hari selepas kursus, rakan saya telah disahkan positif covid-19. Dalam sekelip mata, perkara ini menjadi viral. Kami yang mengikuti kursus tersebut dikatakan sebagai kontak rapat. Macam-macam versi yang saya dapat baca maklumat yang ditularkan, ada yang betul dan ada yang tidak betul.

Dalam masa sehari maklumat kami ditularkan, tak henti-henti saya terima panggilan dan whatsapp dari ahli keluarga, saudara mara, jiran dan rakan-rakan mengatakan nama saya telah tular kerana covid-19. Boleh dikatakan, hampir ke seluruh Malaysia perkara ini tular. Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak juga turut bertanyakan hal ini. 

Aduh, sudah! Seharian, dari pagi sampai ke malam melayan pertanyaan orang. Sehinggakan saya siapkan satu teks penjelasan dan saya copy and paste pada mereka-mereka yang bertanya lagi. Penatlah nak menjawab dan menjelaskan.

Selang beberapa hari, saya dan semua peserta yang mengikuti kursus telah membuat saringan covid-19. Awal-awal dahulu, belum ada peralatan swab test seperti sekarang. Dulu cucuk guna cotton but saja. Sampai ke pangkal hidung kena cucuk, terus terasa sakit hidung dibuatnya.

Dalam seminggu selepas itu, keputusan covid-19 keluar. Alhamdulillah, semua peserta yang mengikuti kursus itu didapati negatif. Ketika itu, pada masa yang sama, negara telah lancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula 18 Mac 2020.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, sekiranya disekeliling kita terdapat mereka yang dijangkiti covid-19, tolong jangan bebankan mereka dengan banyak pertanyaan. Mereka telah sakit, kita pula sama sibuk bertanya itu ini, itu ini, sehingga mereka terasa terbeban dan mungkin lebih memberi tekanan kepada mereka. 

Lagi satu, jangan tularkan sesuatu yang kita tidak tahu. Dapatkan dahulu kepastian sebelum menyebarkan sesuatu perkara. 

Akhir sekali, harapan saya agar pandemik covid-19 ini segera diangkat oleh Allah SWT dan lenyap di muka bumi ini. Dan kita sebagai muslimin dan muslimat hendaklah sentiasa menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT ini.