Showing posts with label 1 Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1 Malaysia. Show all posts

Thursday, June 2, 2011

SKIM LATIHAN 1 MALAYSIA : APA KELEBIHANNYA?

1 Jun 2011 yang lepas, Perdana Menteri kita mengumumkan satu skim baru bagi graduan yang belum mendapat pekerjaan iaitu Skim Latihan 1 Malaysia. Skim ini akan bermula dengan ambilan seramai 3000 graduan untuk ditempatkan ke syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Skim ini juga dilihat bakal memberikan peluang para graduan untuk menimba ilmu dan pengalaman dan seterusnya boleh sebatikan diri dalam alam pekerjaan.

Apakah kelebihan skim ini? Dari pandangan peribadi aku, skim ini sememangnya amat berguna kepada graduan yang menganggur. Bukan apa, aku sendiri pernah mengalaminya. Iyalah, mana-mana syarikat yang kita minta kerja mesti mahukan pengalaman bekerja. Tapi macamana kita mahu mendapat pengalaman sekiranya kita baharu saja tamat pengajian dan baru saja mahu menempuh ke alam pekerjaan. Maka tak hairanlah selepas tamat pengajian di universiti aku pergi mencari pengalaman kerja dulu termasuk kerja kilang, kerja di kedai serbaneka dan sebagainya. Iyalah, daripada duduk menganggur kononnya nak menantikan peluang pekerjaan yang cerah lebih baik kita bekerja apa-apa pekerjaan terlebih dahulu. Dapatlah juga duit belanja dari minta duit mak bapa.

Selain itu, dengan skim ini memungkin para graduan yang menyertai skim ini terus mendapat pekerjaan di syarikat GLC tersebut. Iyalah, manalah tahu, dalam membuat pekerjaan tiba-tiba bos syarikat berkenan dengan cara tugasan kita dan terus ingin mengambil sebagai kakitangan tetap. Manalah tahu. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia........

Walaupun banyak baiknya skim ini, para graduan yang mendapat mengikuti skim ini perlulah bekerja dengan baik dan sempurna. Anggaplah kita benar-benar bekerja di situ. Buat kerja sehabis baik dan ikhlas. Tunjukkan bakat yang ada dan jangan hanya bertugas sekadar melepaskan batuk di tangga. Semoga semuanya maju jaya.

Don’t bodek-bodek but market yourself. :)




Sunday, March 13, 2011

SATU JENIS SEKOLAH DEMI PERPADUAN KAUM



Sekolah merupakan institusi pembelajaran secara formal kepada anak-anak. Anak-anak dididik untuk mengenal ilmu dan erti kehidupan. Pada masa kini sekolah kerajaan terbahagi kepada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Apa yang hendak dibincangkan ialah tentang kepelbagaian jenis sekolah. Kepelbagaian jenis sekolah ini dilihat seperti mengasing-asingkan pelajar mengikut kaum tertentu, padahal kerajaan menitikberatkan soal perpaduan. Memang tidak dinafikan bahawa pelajar-pelajar sekolah ini akan bertemu bersama di sekolah menengah, tetapi pelajar-pelajar ini seharusnya dicampur dan disebatikan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Mengapa kerajaan tidak mengutamakan satu sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan dan memansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil?

Kita sekarang di Malaysia, Bahasa Malaysia mestilah diutamakan. Bukankah ia merupakan salah satu dari perlembagaan Malaysia. Bukan tidak boleh belajar Bahasa Cina atau Tamil tetapi bukankah elok sekiranya kita satukan Bahasa Malaysia di mana ia merupakan Bahasa Rasmi negara? Sekiranya pelajar-pelajar ini dilatih dalam Bahasa Malaysia sejak dari kecil lagi dan bersekolah dalam satu aliran sahaja, adalah berkemungkinan besar pelajar-pelajar selain dari pelajar Melayu akan fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia kerana adanya pembelajaran dalam Bahasa Melayu dan interaksi antara kaum. Tidak seperti sekarang, ada kaum selain Melayu masih lagi sukar untuk berbahasa Malaysia. 

Dengan adanya sekolah yang sejenis ini pastinya akan dapat memupuk perpaduan antara kaum. Iyalah, mereka sudah bergaul dan saling mengenali sejak kecil sehingga ke sekolah menengah sudah pasti mereka akan erat dan saling memahami. Bagi kaum lain, sikap memandang ke hadapan adalah perlu. Jangan jadikan alasan sekiranya kerajaan memansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan. Sayangilah anak-anak kita. Kita perlu berikan mereka kebebasan untuk berkawan dengan kaum-kaum lain. Jangan biarkan mereka hanya berkawan dengan kaum sejenis tanpa memberi peluang untuk berkawan dengan kaum lain. Sekiranya begini, sampai bilapun perpaduan diantara kaum tidak tercapai 100%. 

Tidakkah kita mahu melihat Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain hidup aman damai tanpa sebarang syak wasangka dan iri hati. Kita sama-sama duduk dalam satu negara dalam keadaan damai dan harmoni, mana-mana pergi pun boleh hidup. Jangan ada dengki, jangan ada sombong. Rezeki ada di mana-mana, carilah tiada siapa yang halang selagi tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

Saturday, February 19, 2011

KENALI TARIAN SINGA

Tarian Singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.


Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.




Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya. mata singa itu hitam,putih atau merah,putih menunjuk kan garang.

Ps : Kenapa Tarian Singa? Sebabnya pada 26 / 02 / 2011 ini aku telah diarahkan oleh bos aku untuk membuat satu bengkel yang dikenali sebagai Bengkel Mengenali Tarian Singa 1 Malaysia. So, sesiapa yang berminat tu, bolehlah datang ke Dewan Perbadanan Muzium Melaka.. :)