Bermula hujung minggu ini, kakitangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang bertugas di bahagian hadapan telah mula mengenakan “uniform” baharu yang berkonsepkan busana tradisional Melayu.
Pakaian ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasakan elemen warisan budaya dalam persekitaran muzium, di samping memberi wajah segar kepada kakitangan yang menjadi barisan hadapan menerima kedatangan pengunjung.
Kakitangan lelaki mengenakan baju berkotak merah dengan samping dan tanjak, manakala wanita pula tampil anggun dengan baju kurung sedondon.
Aku sendiri sempat menyertai sesi fotografi khas bersama rakan-rakan sekerja di Muzium Sejarah Melaka (Stadthuys) yang mengenakan busana baharu ini. Walaupun aku tidak memakai pakaian tema yang sama, aku tetap rasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan PERZIM yang komited dalam memartabatkan budaya.
Sesi ini bukan sekadar untuk merakam gambar sebagai dokumentasi, malah turut menjadi kenangan manis yang menggambarkan semangat kerja berpasukan dan penghargaan terhadap nilai-nilai tradisi yang masih kekal relevan.
Apa yang lebih menarik, semasa sesi fotografi dijalankan di kawasan muzium, beberapa pelancong yang kebetulan berada di sekitar turut teruja melihat penampilan kakitangan kami. Mereka tidak melepaskan peluang untuk turut serta bergambar bersama dan ada yang menyatakan rasa kagum terhadap usaha kami menampilkan identiti Melayu dalam suasana kerja.
Reaksi spontan para pelawat ini menunjukkan bahawa busana tradisional bukan sahaja menyerlahkan imej profesionalisme berteraskan budaya, tetapi juga mampu menjadi tarikan pelancongan yang memberi pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung muzium.
Dengan adanya perubahan ini, aku berharap semangat untuk menghargai dan memelihara warisan budaya terus disemai dalam kalangan warga PERZIM dan juga masyarakat. Busana ini bukan sekadar pakaian kerja, tetapi simbol jati diri dan kecintaan terhadap budaya bangsa.