Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai orang Melayu gemar memakai pakaian yang dipanggil "kurta", terutama pada hari raya dan majlis keagamaan. Namun, jika diperhatikan, pakaian yang mereka pakai sebenarnya tidak menepati ciri-ciri kurta sebenar yang berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh. Kurta tradisional Asia Selatan labuh menghampiri lutut, dengan potongan yang longgar dan biasanya dipakai bersama seluar khas. Sebaliknya, apa yang dipanggil "kurta" dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini lebih menyerupai baju Melayu dengan leher teluk belanga atau menyerupai leher cekak musang dan potongan yang lebih kemas.
Jika kita lihat gambar orang Melayu dahulu, baju yang mereka pakai tidak jauh bezanya dengan apa yang disebut sebagai kurta hari ini. Potongan baju Melayu yang asal juga labuh, longgar dan dipakai dengan seluar berlainan warna serta lengkap dengan samping. Cuma potongan bajunya tidak mempunyai pesak dan kekek. Maka, persoalannya, adakah pakaian yang sedang dipakai oleh orang Melayu kini benar-benar kurta atau sebenarnya hanyalah variasi moden baju Melayu?
Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada trend fesyen dan pemasaran. Peniaga fesyen mula mempopularkan istilah kurta kerana ia lebih bersifat antarabangsa dan mungkin lebih menarik minat pembeli muda. Sedangkan, jika diperhalusi, pakaian ini masih mempunyai ciri-ciri baju Melayu dan bukan kurta seperti yang dikenali di Asia Selatan. Bahkan, masyarakat India, Pakistan dan Bangladesh sendiri mungkin tidak menganggapnya sebagai kurta.
Dalam usaha melestarikan budaya, lebih baik kita mengangkat identiti pakaian tradisional sendiri daripada mengubah namanya hanya kerana mengikut arus fesyen. Jika potongan baju itu masih mengekalkan ciri baju Melayu, mengapa perlu dipanggil kurta? Kita seharusnya lebih bangga dengan baju Melayu dan tidak perlu menjenamakannya semula dengan nama asing.
Baju yang kini dikenali sebagai "kurta" dalam kalangan masyarakat Melayu sebenarnya hanyalah evolusi baju Melayu yang lebih ringkas. Daripada terus mengelirukan orang ramai dengan istilah yang tidak tepat, lebih baik kita meraikan pakaian tradisional kita sendiri dengan nama yang betul. Kurta tetap kurta, dan baju Melayu tetap baju Melayu.
Adik dan ayah CCL pun gemar pakai kurta .
ReplyDeleteKurta yang labuh ke?
DeleteBaju melayu moden, slim fit.. Siap ada zip sorok dekat bahagian badan... Adui, linda tak berkenan betul fashion yang baru nie... Baju melayu ngam, cantik, elok bila dia berpesak.
ReplyDeleteKalau variasi selagi tak mengubah rupa bentuk asal mungkin dapat dimaafkan lagi.
DeleteSaya panggil 'baju melayu yang tak ada seluar' 😄. Tak boleh nak panggil kurta sebab memang bukan kurta.
ReplyDeleteSetuju dengan pendapat En.Fairus 👍
Terima kasih kerana bersetuju. Hehe.
DeleteItu la fesyen orang zaman sekarang. Tak berkenan kita la. Baik pakai baju melayu lengkap. Takmo yang slimfit tu ye.
ReplyDeleteItu sebaiknya.
DeleteKat foto lama tu, yang dua orang di tengah tu pun pakai baju melayu ke? Yang terbelah macam kemeja?
ReplyDeleteMaaf , uncle tak fasih dalam fashion2 ni.
Tu dipanggil baju layang.
Delete