Hari Raya Aidilfitri tahun ini sudah semakin dekat dan persiapan pakaian raya aku sudah pun siap. Seperti tahun-tahun sebelumnya, aku suka memilih tema tertentu untuk pakaian raya dan kali ini aku memilih tema "Baju Rakyat" iaitu gaya yang mencerminkan warisan dan budaya kita. Untuk raya tahun ini, aku akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga, potongan klasik yang terkenal dengan kesederhanaannya tetapi tetap penuh dengan nilai tradisional. Warna baju ini melambangkan keanggunan dan kesopanan dipadankan dengan seluar hitam untuk tampak lebih kemas dan bergaya.
Tidak lengkap penampilan tanpa samping songket yang akan aku lilit kemas di pinggang. Samping songket bukan sekadar aksesori tetapi lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang kaya dengan motif dan corak. Sebagai pelengkap, aku akan mengenakan tanjak, penutup kepala yang sinonim dengan kegagahan dan identiti Melayu. Namun, mengikut kebiasaan aku, tanjak ini hanya akan dipakai selepas solat sunat Aidilfitri. Untuk ke masjid, aku lebih selesa mengenakan songkok yang lebih praktikal dan kemas.
Dengan busana ini, aku berharap dapat menghidupkan kembali semangat tradisi dan menghayati keindahan warisan Melayu dalam suasana Hari Raya yang penuh makna. Semoga Aidilfitri kali ini membawa kegembiraan dan keberkatan buat kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Alang-alang selit keris.... hehehe
ReplyDeleteBagusnya mengekalkan tradisi dan budaya melayu.
ReplyDelete