Wednesday, February 26, 2025

Tun Teja Dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)



Tun Teja Ratna Menggala,
pandai membelah lada sulah,
jikalau tuan tidak percaya,
mari bersumpah kalam Allah.

Pantun ini bukan sekadar rangkap puisi lama, tetapi mengandungi kisah seorang wanita yang kecantikannya memukau, kebijaksanaannya dikagumi dan takdirnya menjadi sebahagian daripada sejarah kegemilangan Melaka. Nama Tun Teja Ratna Menggala dikenang dalam Sulalatus Salatin sebagai puteri Bendahara Pahang, Seri Amar Bangsa Diraja, yang jelita, bijaksana dan memiliki daya tarikan luar biasa.

Di negeri Pahang, kecantikan Tun Teja menjadi buah mulut rakyat jelata. Tiada seorang pun wanita yang dapat menandingi serinya, bahkan para pembesar istana sendiri terpesona dengan keanggunannya. Bukan sahaja jelita, Tun Teja juga memiliki kebijaksanaan dan kepetahan dalam berbicara serta tangkas dalam segala urusan. Keistimewaannya itu menarik perhatian Sultan Abdul Jamal Syah, Sultan Pahang ketika itu, yang ingin menjadikannya permaisuri.

Namun, nasib Tun Teja berubah apabila Seri Wak Raja, utusan Sultan Mahmud Syah dari Melaka, menyampaikan kisah kecantikannya kepada baginda. Hati Sultan Melaka tertawan meskipun belum pernah menatap wajah Tun Teja. Keinginan baginda untuk memiliki Tun Teja begitu mendalam, namun halangan besar terletak pada hakikat bahawa Tun Teja sudah menjadi tunangan Sultan Pahang.

Sultan Mahmud Syah mengumumkan bahawa sesiapa yang berjaya membawa Tun Teja ke Melaka akan diberi anugerah tertinggi dan diampuni segala kesalahan. Mendengar titah itu, Hang Nadim melihat peluang keemasan untuk menebus segala dosa dan kesilapannya. Dengan akal dan kepintarannya, beliau merancang strategi yang penuh licik.

Hang Nadim berangkat ke Pahang dengan muslihat yang halus. Beliau mempergunakan seorang pelulut, wanita tua yang bertugas menyapu bedak wangi pada tubuh seorang puteri, untuk menyampaikan lulut yang telah dijampi. Wangian lulut itu bukan sekadar harum tetapi mempunyai daya pemikat yang menjadikan hati Tun Teja lembut dan cenderung kepada Melaka. Hatinya yang sebelum ini teguh sebagai tunangan Sultan Pahang mula goyah dan tanpa menyedari sepenuhnya pengaruh sihir halus itu, Tun Teja bersetuju untuk mengikut Hang Nadim ke Melaka.

Dalam gelap malam yang sepi, Hang Nadim membawa lari Tun Teja meninggalkan Pahang. Namun, kehilangannya segera disedari dan Sultan Abdul Jamal Syah mengerah seluruh angkatan untuk mengejar Hang Nadim. Kapal-kapal Pahang berlayar dengan penuh amarah, mengepung dan menyerang kapal Hang Nadim. Pertempuran di laut berlangsung sengit tetapi Hang Nadim yang cekap dalam peperangan berjaya melepaskan diri dan membawa Tun Teja hingga ke perairan Melaka.

Setibanya di Melaka, Tun Teja dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah. Dengan penuh kegembiraan dan rasa bangga, baginda menerima Tun Teja sebagai permaisuri. Sebagai balasan atas jasanya, Hang Nadim dikurniakan anugerah tertinggi oleh Sultan Melaka.

WW : Jalan Tukang Besi, Melaka


Thursday, February 20, 2025

Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru


Tarikh 20 Februari mungkin tidak begitu dikenali oleh ramai rakyat Malaysia. Namun, hakikatnya, ia merupakan satu tarikh yang amat penting dalam sejarah negara kita. Pada tanggal ini pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama delegasi rundingan kemerdekaan telah pulang dari London setelah mencapai kata sepakat mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Setibanya di tanah air, Tunku dan rombongan disambut dengan penuh semangat di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka. Dari situ, mereka berarak menuju ke Padang Bandar Hilir, di mana ribuan rakyat telah berkumpul dengan penuh harapan.

Di padang bersejarah itu, Tunku Abdul Rahman dengan lantang dan penuh semangat mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957. Pengumuman ini disambut dengan laungan "Merdeka!" yang menggema di seluruh kawasan, menandakan detik permulaan kepada sebuah negara yang bakal bebas daripada cengkaman penjajahan British.

Peristiwa ini bukan sekadar satu pengumuman, tetapi ia melambangkan usaha gigih dan perpaduan pemimpin serta rakyat dalam memperjuangkan kemerdekaan. Melaka dipilih sebagai lokasi pengisytiharan kerana negeri ini memainkan peranan penting dalam sejarah tanah air, bermula dari zaman Kesultanan Melaka hingga ke era perjuangan kemerdekaan.

Sehingga ke hari ini, tarikh 20 Februari 1956 tetap dikenang sebagai detik bersejarah yang membawa negara kita selangkah lebih dekat kepada kebebasan. Ia merupakan simbol keberanian, kebijaksanaan dan ketabahan pemimpin serta rakyat dalam merealisasikan impian sebuah negara merdeka.

Justeru, marilah kita menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan terus memperkukuhkan semangat patriotisme dalam diri kita demi kemakmuran Malaysia yang tercinta.

Tuesday, February 18, 2025

Giveaway Kerajaan Kelapa

Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Kerajaan Kelapa, Al-Cuya Wal Kelapa Nan Sebatang, telah berkenan menghantar titah ke dalam peti warkah sekelian rakyat jelata di bawah naungan Kerajaan Kelapa. Maka, tanpa berpanjang bicara, patik, hamba Allah yang hina lagi daif, dengan penuh sukacita menyatakan hasrat untuk menyertai pemberian anugerah ini.



Adapun barang siapa yang berkehendak untuk turut serta dalam pemberian anugerah ini, marilah kita bersama-sama memeriahkan majlis ini, agar sekelian rakyat jelata Kerajaan Kelapa beroleh peluang bagi memenangi bingkisan istimewa, iaitu sampul emas berisi rezeki, yang amatlah sesuai sekali bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Maka dengan itu, dipersilakan sekelian rakyat mengklik warkah yang tertera, bagi menyatakan penyertaan dalam majlis pemberian anugerah ini.

Demikianlah titah ini disampaikan, sekian adanya, dengan penuh hormat dan takzim.

Monday, February 17, 2025

Adegan Hari Pertama Persekolahan

Sebelum membaca lebih lanjut, sila baca ini juga.

Baca juga :

Dalam empat anak-anak aku yang bersekolah, Muhammad Firman ni memang lain macam sedikit. Tak macam abang-abang dan kakaknya. Memang liat nak bersekolah. Masa pra sekolah dulu pun sama. 

Hari ni masa  pertama persekolahan pagi tadi, dia dah buat perangai. Duk keras dalam kereta taknak masuk ke sekolah. Masa ni isteri aku yang bawa ke sekolah. Abangnya Muhammad Firas Faiq, ok saja. Dia dah keluar kereta dan masuk ke sekolah. Tinggal Muhammad Firman "mengeraskan diri" dalam kereta. 

Isteri aku whatsapp, jadi aku yang memang bercuti hari ni, pergilah ke sekolah dengan harapan untuk memujuknya. 

Sampai saja di kereta isteri yang diparkir di luar sekolah, Muhammad Firman memang dah menangis. Tak boleh dibiarkan, kalau nak ikut kehendak dia, memang susahlah hari-hari yang bakal mendatang. Aku pujuk, memang tak makan pujuk. Apa lagi, aku dukung dia masuk ke dalam sekolah. 


Terus menangis. Sampai dalam sekolah, perhimpunan sedang berjalan. Masa tu Murid-murid sedang duduk dalam perhimpunan, ibu bapa pun ramai hadir memerhatikan anak-anaknya. Aku bawa Muhammad Firman berdiri di kaki lima berdekatan murid-murid darjah satu. Muhammad Firman terus menangis tanpa henti. 

Beberapa ibu-ibu yang hadir turut memujuk, tapi tak juga jalan. Kakak-kanak pengawas sekolah yang diberi amanah untuk menjaga murid-murid darjah satu pun cuba bantu memujuknya. Tetap tidak makan pujuk. 

Guru bertugas telah memberikan pengumuman supaya ibu bapa meninggalkan anak masing-masing, tapi macam mana aku nak buat, Muhammad Firman tetap menangis. 

Masa sudah masuk ke kelas, guru kelas sudah ada. Guru kelas minta aku pulang dan biarkan Muhammad Firman bersamanya. Masih lagi menangis, ditarik-tariknya tangan aku. Akhirnya, tarikan tangannya dapat dilepaskan dengan bantuan beberapa  sukarelawan terdiri daripada anggota PIBG turut membantu. 

Aku biarkan Muhammad Firman di kelasnya. Biarlah guru kelas yang uruskan. Pastinya mereka pasti mahir dengan situasi sebegini. Dikhabarkan oleh guru, Muhammad Firman tidak lagi menangis dalam beberapa ketika selepas aku meninggalkannya. 

Harap-harap adegan sebegini tidak lagi berlaku di masa-masa akan datang. Pening dibuatnya. Aduhai...

Friday, February 14, 2025

Muhammad Firman Kini Bersekolah Darjah Satu

Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat anak keempat aku, Muhammad Firman, kerana dia sudah memulakan persekolahan Tahun 1 di SK Taman Bukit Rambai. Sekolah ini adalah sekolah rendah dengan jumlah pelajar paling ramai di Melaka. Semasa sesi taklimat pagi tadi, guru besar memaklumkan bahawa sekolah ini mempunyai seramai 1,686 orang pelajar. Untuk Tahun 1 sahaja, terdapat 10 kelas yang menampung murid-murid baharu.

Selamat menempuh alam persekolahan duhai anak 

Dengan Firman sudah memulakan alam persekolahan, kini aku mempunyai empat orang anak yang bersekolah. Anak sulung kini berada di tingkatan 5, manakala anak kedua pula akan memasuki tingkatan 1 dan bakal tinggal di asrama. Anak ke-3 akan naik. Ke darjah 4. Hanya tinggal seorang sahaja lagi yang belum bersekolah. Melihat anak-anak membesar dan melangkah ke fasa baru dalam kehidupan mereka benar-benar membuatkan aku terasa masa berlalu begitu pantas.

Hari orientasi ini adalah pengalaman baru buat Firman. Dia berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan baru, guru-guru dan melihat persekitaran sekolah. Walaupun mungkin masih ada sedikit rasa janggal, aku harap dia akan cepat menyesuaikan diri dan menikmati pembelajaran. Dunia sekolah rendah pastinya akan menjadi kenangan indah dalam kehidupannya nanti.

Sebagai ibu bapa, aku hanya mampu berdoa dan memberi sokongan agar anak-anak dapat menimba ilmu dengan baik. Semoga Firman seronok belajar, rajin membaca dan membesar menjadi insan yang berguna. Selamat menempuh alam persekolahan, anakku. 

Thursday, February 13, 2025

Salam Nisfu Syaaban 1446H : Malam Penuh Keberkatan


Ahamdulillah, kita kini berada di pertengahan bulan Syaaban, satu bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan. Nisfu Syaaban adalah malam yang istimewa dalam kalendar Islam, di mana pintu langit dibuka, doa-doa diangkat, dan amalan kebaikan mendapat ganjaran yang besar.

Pada malam ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan ibadah, memohon keampunan dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan kita kesihatan, kesejahteraan serta istiqamah dalam melakukan kebaikan. Semoga kita juga diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi dalam keadaan yang terbaik, insyaAllah.

Salam Nisfu Syaaban 1446H. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita yang lalu. Aamiin.

Menghadiri Simposium Warisan Etnik Cina dan Peranakan 2025

Hari ini, aku berpeluang hadir ke Simposium Warisan Etnik Cina dan Peranakan 2025 yang berlangsung di Noble Resort, Melaka. Walaupun simposium ni diadakan selama dua hari, aku cuma dapat hadir hari pertama je sebab esok aku kena bercuti untuk uruskan anak-anak yang akan memulakan persekolahan. 


Simposium hari ni memang menarik, ramai pembentang yang hebat dan berpengetahuan dalam bidang masing-masing. Mereka berkongsi banyak ilmu tentang sejarah dan budaya etnik Cina dan Peranakan yang membuat aku lebih faham tentang warisan kita. Banyak fakta baru yang aku tak tahu sebelum ni.

Datang awal tapi duduk paling belakang untuk beri peluang yang lambat datang duduk di depan

Apa yang aku belajar hari ni adalah betapa pentingnya kita jaga dan pelihara warisan budaya kita supaya tak hilang. Simposium ni bukan hanya memberi ilmu, tapi juga mengingatkan kita untuk terus menghargai sejarah dan tradisi yang telah lama wujud.

Acah-acah menulis.. 

Walaupun aku hanya dapat ikut sehari, aku rasa sangat berbaloi. Suasana yang santai dan terbuka antara peserta juga menjadikan pengalaman ni lebih seronok. Harapnya, ada lebih banyak lagi acara seperti ni di masa depan. 

Tuesday, February 11, 2025

Menunggu Bot ke Pulau Nangka

Pagi-pagi dah stand by kat Jeti Umbai. Bot-bot nelayan beratur cantik je kat depan mata aku. Air hijau tenang, langit mendung sikit, tapi still perfect pemandangan ni. 



Sambil tunggu bot nak ke Pulau Nangka ni, sempat la aku snap-snap sikit view kat jeti. Memang spot menarik untuk tangkap gambar. Tengok je lah bot warna-warni tu. Ada yang biru, ungu, putih, semua dok berenang-renang atas air. Tiang-tiang bot yang tinggi tu pulak macam pengawal setia jeti ni.

Hari ni aku ada program best sikit, CSR Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kat Pulau Nangka. Aku biasa ke pulau ni, tapi lama juga tak pergi. CSR ni seronok jugak sebab dapat bersihkan pulau sambil explore pulau ni. 

Stay tuned kawan-kawan, nanti aku update balik lepas habis program kat Pulau Nangka. 

Thursday, February 6, 2025

Nasi Lemak Satu Ringgit

Kalau bercakap pasal makanan kegemaran, aku mesti tak boleh lari daripada nasi lemak bungkus yang berharga satu ringgit. Mungkin bagi sesetengah orang, harga macam ni boleh buat orang rasa tak percaya, tapi percayalah walaupun mkecil dan murah, rasanya memang sedap. Dan yang lebih best, tempat jualnya tak jauh dari rumah aku. Setiap kali hujung minggu atau waktu cuti, dah jadi macam rutin untuk singgah beli nasi lemak ni.


Aku tak beli sebungkus dua, tetapi biasanya aku beli dalam enam atau tujuh bungkus sekaligus. Yelah, untuk keluarga kan? Tapi yang pasti, aku tak pernah miss makan dua bungkus setiap kali. Apa yang buat nasi lemak ni special? Simple je, sebab tak banyak bahan pun, hanya nasi lemak, telur suku, sambal dan timun. Walaupun nampak ringkas, tapi rasanya penuh berbaloi. Yang paling penting, sambalnya memang sedap dan tak terlalu pedas.

Setiap kali makan nasi lemak ni, aku mesti tambah dua biji telur mata goyang. Makan nasi lemak dengan telur mata goyang ni bagi aku rasa lebih lengkap. Cukup la, kan? Tak perlu yang mewah-mewah, yang penting puas hati. Hehe..


Kadang-kadang, aku terfikir juga, benda yang simple dan murah ni rupanya boleh jadi pengubat selera dan menyatukan keluarga. Walaupun nasi lemak ni basic, tapi bagi aku, ia penuh dengan nostalgia dan kenangan manis. Cuma satu ringgit, tapi kepuasan yang aku dapat tak terhingga. Menjadikan pagi aku begitu indah dengan sarapan yang enak dan murah. Kalau korang ada kat kawasan aku, mesti nak cuba nasi lemak ni.